-->
Memaparkan catatan dengan label SUP. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SUP. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 

Apa khabar pembaca blog fizalgk dan rakan-rakan sekalian? Moga sihat-sihat selalu ye dan hari ini cuti umum sempena Chinese New Year, jadi jika tidak kemana-mana tu bolehlah masak untuk keluarga dirumah. Walaupun sesibuk mana sekalipun air tangan isteri tu pengikat kasih-sayang keluarga ye tak? Itulah pesanan mak-mak kita zaman anak dara dulu...tak kiralah masakan simple pun janji dapur tu berasap. Tetapi kalau nak makan kat luar pun tak ada salahnya sesekali...ye tak? Pandai-pandailah kita imbangi masa dan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.

Hari ini saya ingin berkongsi resipi sup ikan sedap yang sangat simple dan bagi yang ingin mencuba dialu-alukan. Boleh je tukar dengan apa-apa jenis ikan yang anda suka. Jom kita lihat resipi dibawah ni ❤

SUP IKAN SEDAP
Bahan-bahan
4 potong ikan siakap - Boleh juga guna ikan lain 
4 cawan air

Bahan ditumbuk
1 biji Bawang besar ditumbuk
2 ulas Bawang putih ditumbuk
½ inci Halia 

2 sudu besar minyak masak
1 batang Kulit kayu manis | 1 kuntum Bunga lawang
2 biji buah pelaga
2 biji kentang dipotong baji
½ batang lobak merah
1 biji tomato dibelah 4
3 biji cilipadi diketuk
1 bunjut sup bunjut
Garam dan lada sulah secukup rasa

Hiasan
Daun sup sedikit
Bawang Goreng sedikit

Cara membuat

1. Mula-mula tumbuk halia bersama bawang putih dan bawang besar sehingga lumat

2. Kemudian panaskan minyak di dalam periuk dan tumis bersama kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga sehingga naik bau.

3. Selepas itu masukkan air dan kentang.

4. Setelah mendidih, masukkan ikan, lobak merah, cilipadi, tomato, sup bunjut dan perasakan dengan garam serta lada sulah. kacau rata dan didihkan lagi sehingga ikan masak sepenuhnya. 

5. Taburkan bawang goreng dan sedikit daun sup sebelum dihidang.
Assalamualaikum, 

Apa khabar semua pembaca yang sudi jenguk ke blog pagi ni dan bagaimana cuaca di tempat anda? Di Langkawi hujan renyai-renyai dari awal pagi lagi dan dalam suasana mendung begini memang buatkan perut berdendang minta di isi. Sebelum ke pejabat pagi ni saya ada buatkan sarapan yang amat ringkas sekali iaitu creamy corn soup. Ala ala mat salleh pulak pagi ni kan...selalunya nasi lemak atau roti canai je yang mengisi perut. 

Kalau nak ikutkan sekarang ni memang musim jagung di Langkawi. Ramai yang menjual jagung dipinggir jalan atau dipasar-pasar malam. Tetapi pagi ni lebih praktikal lagi, saya hanya gunakan jagung tin iaitu kombinasi jenis cream dan whole kernel untuk membuat creamy corn soup sebagai sarapan pagi yang ringkas dan sedap.

Jom kita lihat resipi...mungkin ada yang teringin untuk mencuba.
CREAMY CORN SOUP
Bahan-bahan 
1 tin jagung - jenis Cream 
1 tin jagung - jenis whole kernel
2 sudu besar bawang holland cincang 
1/4 cawan air 
1 tangkai daun sup 
1 cawan susu segar 
garam secukup rasa
mentega untuk menumis
1 sudu besar minyak 
4 batang sosej
lada sulah secukupnya

Cara membuatnya :

1. Potong nipis-nipis sosej dan panggang didalam kuali sambil dibalik-balik hinga masak. Sebelum itu masukkan sedikit mentega kedalam kuali. Setelah sosej masak ketepikan seketika.


 2. Masukkan sedikit mentega dan minyak kedalam periuk. Tumis bawang holland dan daun sup hingga layu. Masukkan air dan kacau.

3. Tuang jagung cream dan whole kernel kedalam bahan tumis dan kacau agar bercampur sebati.


4. Seterusnya masukkan susu cair dan renihkan.

5. Perasakan dengan serbuka lada sulah dan garam secukup rasa. Hidangkan dengan menabur sosej tadi dan sedap dimakan dengan roti ataupun begitu sahaja.
Assalamualaikum, 

Sup daging ala Thai memang salah satu menu yang kerap saya order ketika makan di restoran atau kedai makan Thai yang selalunya tukang masaknya terdiri dari warga muslim dari selatan Thai. Supnya memang menyegarkan sekali dan cukup digandingkan dengan nasi panas dan telur dadar sahaja. Tidak perlu banyak lauk pun, dan itu sudah nikmat dan puas makan.

Rasa supnya yang pedas, masam dan masin serta dihidangkan panas-panas itu memang menepati selera saya yang sememangnya gemarkan masakan Thailand. Bila order di restoran memang cepat sampai ke meja dan daging didalam sup yang dihidangkan juga begitu lembut sekali bila dikunyah. Sudah pasti daging tersebut direnih lebih awal sebelum disediakan. Begitu juga dengan saya bila memasak dirumah saya akan merenih daging lebih awal dan menyimpan didalam peti sejuk. Bila balik kerja, cuma keluarkan daging tersebut dan hanya mengambil masa yang pendek untuk menyediakan semangkuk sup daging ala Thai yang lazat untuk makan malam. 

Nak cuba resepi sup daging ala Thai? Jom kita lihat resipinya. Mungkin tak sama seperti di restoran Thai yang anda makan, tetapi InshaAllah...sedap :)

SUP DAGING ALA THAI 
1 Kilogram daging - dibersihkan
3 biji buah pelaga
1/2 sudu teh serbuk ketumbar
1/2 sudu besar serbuk lada hitam
1/2 sudu besar serbuk lada putih
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
1 biji tomato 
5 tangkai cili padi
2 akar ketumbar - di ketuk
bawang goreng secukupnya
1 inci halia - di ketuk
2 biji limau nipis - ambil jusnya
1 labu bawang holland - di hiris kasar
1/2 sudu besar garam 
2 liter air
1 batang celery - di potong pendek


Cara memasak : 

1. Renih daging sehingga empuk. Ini mengambil masa yang agak lama dan selalunya saya akan merenih daging lebih awal sebelum proses memasak. Buang buih yang timbul dipermukaan periuk dengan sudu ketika proses merenih daging tersebut. Tambahkan air secukupnya jika ianya menyusut.
2. Masukkan buah pelaga, akar ketumbar, kulit kayu manis, bunga cengkih, halia, lada hitam, lada putih dan serbuk ketumbar serta renih lagi.

3. Seterusnya masukkan bawang holland, batang celery dan tomato serta renih lagi.
4. Akhir sekali masukkan cili padi dan perasakan dengan garam secukup rasa. 
5. Masukkan sup kedalam mangkuk dan perahkan limau nipis kedalamnya. Taburkan bawang goreng dan bolehlah dihidangkan bersama nasi panas.

Jika ada kesempatan bolehlah hasilkan bawang goreng sendiri kerana ia lebih harum dan ranggup

Assalamualaikum,

Sup adalah menu kegemaran anak-anak saya, tak kiralah apa jenis sup sekalipun. Kalau ada sup dan telur dadar, sempurnalah hidangan bagi mereka...tak perlu berjenis-jenis lauk. 

Hari ini saya ingin berkongsi resepi sup ikan ringkas dan semoga bermanafaat bagi sesiapa yang ingin mencubanya terutama sekali yang baru belajar memasak.

Bahan-bahan dan caranya pun mudah sahaja. Jom kita tengok.
SUP IKAN RINGKAS
3 keping isi ikan
3 biji kentang - di kupas dan potong empat
Air secukupnya - untuk kuah

Bahan A - Tumis
1/2  inci halia – di potong memanjang
3 ulas bawang merah  - di hiris 
3 ulas bawang putih - di hiris 
4 tangkai cili padi – dipotong memanjang
sedikit minyak

Bahan B - Sos
1/2 sudu teh serbuk lada sulah
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos sotong/ikan
Garam secukup rasa

Bahan C
Daun bawang
Daun sup
Jus limau ( jika suka sup masam)

Cara penyediaan :

1. Tumis halia, bawang putih, cilipadi dan bawang merah hingga wangi.
2. Kemudian masukkan air dan renih sehingga mendidih.

3. Masukkan pula kentang dan masak sehingga kentang agak empuk.
4. Masukkan isi ikan satu persatu ke dalam kuah sup.


3. Bila mendidih masukkan sos tiram, sos sotong/ikan, lada sulah dan garam. 

4. Sesuaikan rasanya. Jika suka sup masam boleh letak jus limau.

5. Hidangkan dengan menabur daun bawang dan daun ketumbar.

Assalamualaikum, 

Sehari dua ni selsema melanda dan di tambah pula dengan cuaca tak menentu. Bila siang hari cuaca panas terik di sini dan waktu malam pula sejuk dengan angin bertiup kencang. Malam ini saya cuba membuat rasam iaitu sejenis sup herba yang berasal dari Selatan India.

Mengikut carian di google, rasam dikenali juga sebagai 'Indian Clarified Herbal Consomme’ atau 'sup herba yang terbaik'. Rasam dipercayai sesuai untuk merawat sejuk-sejuk badan, demam selsema yang ringan dan juga batuk yang disebabkan kepanasan serta elok untuk sistem penghadaman.

Baiklah di sini saya sertakan resepi rasam yang saya ambil dari FB Chef Arm. Jika ada yang ingin mencuba bolehlah ikut resepi di bawah ni.
RASAM 
Sumber : Chef Arm - FB

Bahan-bahan
3 sudu besar Asam Jawa (Tambah dengan 1 liter air, di tapis)
2 sudu besar serbuk lada hitam
1/4 sudu teh serbuk kunyit (saya tambah)
garam secukup rasa

Bahan A
6 ulas bawang putih - di ketuk dan kopek kulitnya
3 sudu besar jintan manis - di tumbuk kasar

Bahan B
1 biji bawang merah - di hiris
6 biji cili kering 
1 biji tomato - di potong baji
1 tangkai daun kari
3 sudu besar minyak masak
Cara memasak:

1. Panaskan minyak, masukkan bahan A dan tumis hingga wangi.

2. Masukkan kesemua bahan B dan kacau hingga semua sebati dan naik bau.
3. Masukkan 1 liter air asam jawa dan serbuk lada hitam. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula.
4. Renihkan rasam hingga masak dan hidangkan panas dengan nasi.


Assalamualaikum,

Sup bebola daging ringkas ni di buat khas untuk anak ke 3 yang demam panas sejak semalam dan hilang selera makan. Doktor juga nasihatkan agar kurangkan pengambilan makanan berminyak dan bergoreng dalam seminggu ini. Jadi sup ini sesuai sangat di hidangkan dengan nasi yang di masak lembik sedikit untuk makan malam ini.

Resipinya sangat ringkas kerana saya gunakan bebola daging yang telah siap di jual. Itu sahaja yang sempat dan ada di dalam peti sejuk di rumah.


SUP BEBOLA DAGING 
Bahan-bahan
3 ulas bawang merah - di mayang
2 ulas bawang putih - di mayang 
1/2 inci halia - di ketuk sedikit
1 bungkus sup bunjut - adabi
sebungkus bebola daging - keluaran Ramly
air secukupnya
1 kiub daging/ayam atau ikan bilis
1 batang lobak merah saiz sederhana - di potong 
2 biji kentang - di potong 
garam 
Cara membuatnya:

1. Panaskan sedikit minyak di dalam periuk, tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi. Masukkan air dan sup bunjut, kacau hingga mesra.

2. Seterusnya masukkan bebola daging, lobak merah dan kentang. Renihkan hingga mendidih dan masukkan kiub daging atau ayam. 
3. Suaikan rasa dan hidangkan dengan menabur daun bawang, daun sup dan sedikit bawang goreng.

Assalamualaikum, 

Malam tadi saya masak stew daging untuk bersahur, sesuai dengan selera anak-anak. Ada yang nak makan nasi dan ada yang cuma berselera menjamah roti. Jadi stew ini sesuai di gandingkan dengan keduanya. Aroma stew daging ini ketika sedang di masak benar-benar membuka selera dan ternyata rasanya juga lazat sekali.

Resepinya di ambil dari buku masakan Chef Idola saya, iaitu Chef Hanieliza. Izinkan saya berkongsi sekali lagi di sini untuk rujukan di masa depan dan bagi sesiapa yang ingin mencubanya.   

STEW DAGING 
Bahan A
500gm daging -di basuh dan toskan
400gm kentang - di potong dadu
1 batang lobak merah - di potong dadu
2 batang saderi - di Potong pendek
5 biji tomato - di potong dadu
1 sudu makan rempah sup
1 sudu makan lada hitam 

1 sudu makan tepung jagung di bancuh dengan 1/2 cawan air
2 sudu makan minyak masak
Air secukupnya
garam secukup rasa
1/2 biji capsicum hijau
Bahan B (di hiris)
1 labu bawang besar holland 
1 1/2 inci halia 
3 ulas bawang putih.
capsicium hijau 
Cara membuatnya:-

1. Panaskan minyak, kemudian tumiskan halia dan bawang putih hingga layu dan wangi.

2. Masukkan daging, kentang, serbuk rempah sup, lobak merah, daun saderi, lada hitam dan air. Masak sehingga semuanya lembut.

3. Kemudian masukkan bancuhan tepung jagung dan biarkan mendidih dan pekat.

4. Masukkan bawang besar dan tomato. Angkat dan hiaskan dengan capsicium hijau, sedia untuk di hidangkan.



Assalamualaikum,

Hujan terlalu lebat disini...dari petang membawa ke malam hari. Bila hujan dan sejuk-sejuk begini selalunya buatkan perut lapar. Oleh kerana anak-anak sudah kekenyangan menikmati burger selepas pulang dari kelas al quran tadi saya cuma masak ringkas untuk diri sendiri  dan abah mereka, iaitu nasi putih di gandingkan dengan ikan goreng gelama masin dan sup tembikai muda. Benar-benar membuka selera dalam hujan lebat begini. 

Pernah dengar sup tembikai muda? Di pasar basah di sini banyak di jual putik tembikai muda yang di bawa masuk dari selatan Thailand. Mungkin ada masakan masyarakat thai yang di campurkan dengan putik tembikai ini, tapi saya lebih suka memasaknya ala-ala sayur air dan mencampurkannya dengan udang hidup,ikan bilis dan lada hitam yang di tumbuk kasar. Sungguh enak rasanya..di makan dengan nasi panas. Jika tak ada putik tembikai, boleh juga gunakan separuh kulit tembikai biasa dan buangkan kulit keras di bahagian luarnya.

SUP TEMBIKAI MUDA
Bahan-bahan 
500gm tembikai muda (putik)
3 ulas bawang merah 
sedikit udang dan ikan bilis
2 ulas bawang putih
1 tangkai cili merah
1 kiub ikan bilis 
1 sudu besar lada hitam - di tumbuk kasar
4 cawan air 
Cara membuatnya:-

1. Kupas kulit tembikai dan potong dalam bentuk kiub, ketepikan.


2. Tuang sedikit minyak kedalam periuk, tumis bawang merah, bawang putih, lada hitam, cili merah, udang dan ikan bilis. Kacau rata hingga naik bau.

3. Masukkan air kedalam periuk beserta kiub ikan bilis. Kacau sebentar.


4. Masukkan pula isi tembikai kedalam kuah sup tadi dan renihkan hingga masak. Perasakan dengan garam dan sedia untuk di hidangkan.

Assalamualaikum,

Apa khabar agaknya malam ini ye? Jika saya di sini, sejuk je sepanjang hari kerana hujan dari siang tadi tidak berhenti membasahi bumi Langkawi. Bila sejuk-sejuk begini enak juga hirup sup yang panas di gandingkan dengan sepinggan nasi atau roti.

Selepas pulang dari kerja petang tadi saya memasak sup tulang untuk makan malam ni. Dah hampir seminggu tulang lembu yang saya beli di pasar terperuk di dalam peti sejuk maka hari ni terhasil lah sup tulang yang enak sekali. Resepinya saya ambil dari myresepi tapi saya ubah sedikit ikut selera menjadikannya ala-ala sup tulang Thai dengan memasukkan tomato, cili padi yang di ketuk dan perahkan limau kasturi.

Jom kita lihat resepinya...

SUP TULANG 
Sumber : nor_67 (My Resepi)

Bahan-bahan ( 4 - 5 org makan )

1 kg tulang lembu (lebih sedap jika digunakan tulang rusuk)
3 biji bawang merah - dimayang halus
1 ulas bawang putih - dimayang halus
2 inci halia diketuk
1 sup bunjut (sup tulang)
1 1/2 sudu besar lada hitam - ditumbuk
Bahan penumis :5 kuntum bunga cengkih, 3 biji buah pelaga, 1 btg kulit kayu manis dan 1 kuntum bunga lawang (saya gunakan yang ada di dalam sup bunjut - sup tulang tadi)
3 biji ubi kentang
garam dan gula secukup rasa
1 batang celery jika suka (saya tak guna)
1 kiub pati ayam
air
bawang goreng dan daun sup

Bahan saya tambah 
5 biji cili padi  - di ketuk
2 biji limau kasturi 
1 biji tomato 

Cara-cara

1. Bersihkan tulang dan masukkan kedalam periuk bersama air. Sukatan air mestilah sekali ganda lebih dari paras tulang. Masaklah sehingga daging 1/2 empuk. Jgn buka api terlalu kuat kerana ini akan menyebabkan daging di tulang akan menjadi keras dan liat. Sebaiknya gunakan api yg sederhana sahaja. Masukkan sedikit garam supaya isi daging menjadi lebih sedap.

2. Buang bahagian berminyak yg terdapat dipermukaan air rebusan tulang tersebut. Biarkan sehingga ia sejuk dan masukkan kedalam peti ais. Akan terdapat satu lapisan membeku dibhg atasnya dan bolehlah dibuang, manakala air rebusan yg dibahagian bawah itu dimasukkan kembali kedalam air rebusan tulang. Kaedah ini dapat menghalang mulut/bibir kita menjadi berminyak setelah makan sup tersebut. Kaedah ini juga boleh digunakan jika hendak memasak gulai tulang. (saya tidak gunakan kaedah ini kerana kesuntukan masa)

3. Masukkan sup bunjut, halia dan ubi kentang. Bolehlah ditambah air jika kuah kelihatan tidak mencukupi. Masukkan juga serbuk lada hitam dan kiub pati ayam.

4. Dalam kuali berasingan, panaskan sedikit minyak dan tumislah bahan penumis hingga wangi dan masukkan bawang merah dan bawang putih yg telah dimayang. Goreng sehingga bawang tersebut menjadi garing dan curahkan kesemuanya kedalam periuk rebusan tulang (termasuk minyak).

5. Masukkan celery jika ada dan masukkan garam dan gula mengikut cita rasa masing-masing. Masaklah sehingga ubi kentang dan daging empuk. Masukkan juga tomato yang di potong empat.

6. Hidangkan ke dalam mangkuk dan taburlah bawang goreng dan daun sup. Perahkan limau kasturi dan masukkan cili padi yang di ketuk untuk melazatkan lagi sup.