-->
Memaparkan catatan dengan label LAKSA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label LAKSA. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 


Dah lama tak buat laksa. Kalau teringin pun saya makan di luar, tetapi...tak puas rasanya dan tak boleh ulang-ulang makan. Ada berbagai versi laksa ni dan yang saya buat semalam adalah laksa utara yang ada sedikit kelainan iaitu masukkan sedikit isi ikan tenggiri masam yang di goreng dan tumbuk halus kedalam kuahnya. Soal rasa...memang sedap sangat dan ada kelainan dari kuah laksa yang saya buat sebelum ini. 

Seperti biasa, ketika menghidang laksa...masukkan juga hirisan timun, pucuk gajus@pucuk putat, hirisan bawang besar atau hirisan cilipadi jika suka. Jika telur rebus pula saya suka telur yang agak separuh masak (tidak terlalu keras).

Baiklah jom cuba masak laksa utara. Kali ini resipi saya ambil dari FB Cheff Is. Bagi yang ingin mencuba resipinya ada dibawah ini tapi saya dah ubah sedikit jumlah bahan-bahannya kerana hanya buat 1/2 Kg ikan sahaja, iaitu separuh dari resipi asal.


LAKSA UTARA
1/2 Kilogram ikan sardin (saya guna ikan kembung)
6 keping asam gelugur 
1/2 genggam daun kesum 
1 kuntum bunga kantan - dibelah 4
Garam dan gula secukup rasa
serbuk perasa - jika suka 
1 ketul ikan tenggiri masam - digoreng, asingkan tulang dan tumbuk hingga halus

Bahan Kisar 
20 tangkai cili kering - digunting, rebus dan toskan
1 inci belacan 
4 labu bawang besar  

Cara membuatnya :

1. Siang ikan, cuci bersih dan rebus dengan 2 keping asam gelugur. Setelah itu kisar dan tapis tulangnya. 

2. Siapkan juga bawang besar, belacan dan cili kering. Kisar hingga halus.

3. Masukkan isi ikan yang ditapis kedalam periuk beserta cili kisar tadi.

4. Seterusnya masukkan baki 4 keping asam gelugur, daun kesum, bunga kantan, garam dan gula@serbuk perasa secukupnya.


5.  Akhir sekali masukkan isi ikan tenggiri masam dan masak kuah hingga mendidih. Bolehlah dihidangkan bersama laksa yang siap direbus berserta ulam-ulaman.

Assalamualaikum, 

Petang-petang hari begini sedap kalau dapat semangkuk laksa siam kuah lemak, dan kalau saya suka yang pedas-pedas gitu. Sebenarnya laksa siam dalam entry blog kali ini dah agak lama juga saya buat dan perancangan awal untuk makan-makan sahaja, bukan untuk entry blog. Tetapi bila dah makan dan anak-anak puji sedap, saya terus ambil gambar sekadar yang ada untuk kongsikan bersama resipi disini.

Jom try buat...resipinya ada dibawah ini.
LAKSA SIAM KUAH LEMAK
Sumber : myresipi.com

Bahan-bahan ( sajian 8-10 org )
1 paket laksa kering - saya guna laksa jenis halus
1 kg ikan kembung - rebus dan asingkan isi
8 cawan santan
8-10 helai daun limau purut - carik-carikkan
½ labu bawang besar - potong lapan tiap satunya
2 keping asam gelugur - saya tambah

Bahan kisar
Isi ikan yg diasingkan tadi
10 - 13 tangkai cili padi merah
1 sudu teh lada hitam
2 inci kunyit hidup
2 inci lengkuas
2 batang serai
1 inci halia

Bahan ulam  :
Kacang panjang - dipotong nipis-nipis
Timun - diracik 
kobis - mayang halus
taugeh 

Cara-cara:

1. Rendam laksa kering hingga agak lembut, seterusnya rebus sebentar dan  toskan. Ketepikan seketika.

 2. Rendam laksa kering hingga agak lembut, seterusnya rebus sebentar dan  toskan. Ketepikan seketika.

 3. Cuci bersih ulaman dan racik halus.

4. Untuk kuah, masukkan bahan kisar,  santan dan bawang besar kedalam periuk dan masak dengan api sederhana. Bila mendidih, masukkan daun limau purut yang dicarik-carikkan tadi. 

5. Perasakan dengan garam dan gula@serbuk perasa secukupnya serta masukkan juga asam gelugur.

6. Renih kuah hingga kuah benar-benar masak dan secukup rasa, bolehlah matikan api dapur dan hidangkan bersama laksa dan ulam-ulaman.
Assalamualaikum, 

Bila cuti sekolah bermula. maka akan adalah permintaan dari anak-anak teringin nak makan itu dan ini. Salah satu menu yang rating permintaan paling tinggi adalah asam laksa. Ada perbezaan ke Asam laksa dengan laksa biasa? Secara peribadi, saya lebih suka asam laksa kerana rasa kuahnya yang sangat lazat ditambah pula dengan bahan sampingan iaitu hirisan nenas dan petis yang melengkapkan dan melazatkan lagi laksa ini. 

Hmm tengah bercerita pun dah kecur liur ni, hehehe. Jom layan resipi dan gambar asam laksa yang saya sediakan ini. Sekadar memenuhi permintaan orang dalam rumah ini...nak makan banyak pun kesihatan tidak mengizinkan. Tiba-tiba sahaja gastrik datang kembali setelah sekian lama sembuh. Agaknya kerana waktu makan yang tidak menentu dan harapnya segeralah sembuh sebelum bulan Ramadhan al mubarak menjelang tiba. Semoga kita semua juga diberikan kesihatan yang baik untuk menjalani ibadah puasa pada tahun ini dan berpeluang bertemu bulan mulia yang hanya datang sekali setahun.

Jom kita lihat resepi Asam laksa Sedap dan langkah demi langkah penyediaannya. Mungkin ada yang ingin buat sendiri dirumah :)  

ASAM LAKSA SEDAP
Bahan-bahan
Sebungkus laksa kering - direndam dan rebus hingga lembut. Toskan

Bahan Kisar
15 tangkai cili kering 
10 ulas bawang merah
1 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
2 batang serai
1 inci belacan

Bahan untuk Kuah 
500gm ikan kembung 
1 tangkai bunga kantan
5 tangkai daun kesum 
garam dan gula secukup rasa
1 cawan jus asam jawa 
3 keping asam gelugur

Bahan sampingan
Telur rebus
Nenas - dihiris
bawang besar - dimayang 
cili besar
cili padi
Timun - dihiris
daun salad 
petis 

Cara membuatnya :

1. Bersihkan ikan kembung dan rebus hingga masak. Keluarkan ikan dari periuk dan asingkan isi ikan dari tulang. Kisar pula tulang dengan sedikit air dan tapis patinya kedalam periuk berisi air rebusan ikan tadi.

2. Kisar semua bahan A hingga halus dan tuang kedalam air rebusan ikan dan tambah air lagi mengikut kepekatan kuah yang di kehendaki.
3. Masukkan bunga kantan, daun kesum dan asam gelugur. Masak sebentar.
4. Seterusnya lenyek isi ikan tadi (jangan halus sangat) dengan garfu dan tuang kedalam periuk.
5. Akhir sekali masukkan jus asam jawa beserta garam dan gula secukup rasa. Masak hingga mendidih dan kecilkan api dapur. Biarkan kuah direnih hingga 1 jam dan pastikan kuah secukup rasa. Kuah Asam laksa seharusnya lebih dominan dengan rasa masam.
6. Akhir sekali bolehlah dihidangkan dengan laksa dan ulam-ulaman. Jangan lupa masukkan juga petis untuk rasa yang lebih lazat.

Assalamualaikum, 

Wah...laksa gorenglah pulak sarapan pagi ni. Ini semua sebab sayang nak buang laksa yang masih berbaki. Kan dua hari lepas saya buatkan laksa lemak...bila tak habis tu, saya masukkanlah  kedalam peti sejuk. Jadi pagi ni acah-acah sarapan pagi di jepun lah pulak, makan udon goreng. 

Kepada sesiapa yang tak pernah masak laksa goreng ni, cubalah sekali. Serius sedap tau...kenyal-kenyal gitu. Bahan-bahan sos untuk menggorengnya tu macam biasa kita guna untuk goreng bihun atau mee juga. Jom kita tengok bahan-bahan dan cara menggorengnya..lain kali kalau ada laksa yang tak habis jangan dibuang, sayang tau. Tukarkan kepada laksa goreng.  

 

LAKSA GORENG 
Bahan-bahan
Laksa yang telah siap di rebus - anggaran 300gm 
minyak untuk menumis
2 ulas bawang putih - dicincang 
2 sudu besar cili kisar 
100gm udang - dikopek kulit dan buang urat dibelakangnya
1 sudu besar bijan - goreng sebentar tanpa minyak 

Sayuran : Saya guna lobak merah - dihiris seperti bilah mancis, daun bawang dan sayur tau miu (boleh gantikan dengan taugeh)

Bahan sos
1/4 cawan air
1 sudu besar sos tiram 
1/2 sudu besar kicap pekat 
3 sudu besar kicap manis 
1 sudu besar kicap cair
sedikit serbuk perasa - jika suka

Cara memasak:

1. Panaskan minyak didalam kuali, tumis bawang putih hingga naik bau. Masukkan cili kisar sambil dikacau. 
 2. Masukkan udang, lobak merah dan daun bawang dan kacau lagi sebentar sahaja. Seterusnya masukkan laksa dan kacau hingga sebati.
3. Tuang pula bahan sos dan air dan kacau lagi hingga semua bahan bersalut dengan laksa. 
4. Tabur sayur tau miu dan kacau lagi. Jika tak ada sayur ini gantikan dengan taugeh.
5. Setelah secukup rasa, matikan api dapur dan masukkan laksa goreng kedalam pinggan. Tabur bijan goreng dan sedap juga dihidangkan dengan cili jeruk. 
Assalamualaikum, 

Cuti umum selama dua hari berturut-turut ditambah dengan cuti hujung minggu sehingga 27hb Disember ini memberikan kesempatan yang cukup untuk menghabiskan masa ke destinasi percutian bersama keluarga, membeli belah keperluan persekolahan anak-anak dan ada juga yang mengambil kesempatan untuk melangsungkan perkahwinan. Walau apapun yang kita lakukan yang penting ikatan dengan keluarga dan anak-anak makin terjalin erat.

Bila bercuti begini ada sahajalah yang nak di masak di dapur. Sebagai penggemar laksa, saya ada masakkan laksa kuah lemak sebagai menu istimewa hari ini. Laksa lemak saya ini berbeza sedikit dengan laksa lemak ala Thai yang kuahnya agak kekuningan kerana saya suka pedas dan masukkan lebih cili kering ketika mengisar bahan-bahannya untuk menghasilkan kuahnya. Jika anda kurang suka, boleh kurangkan jumlah cili kering yang digunakan. Ada juga yang padankan laksa kuah lemak ini dengan laksa jenis halus tetapi saya lebih suka laksa jenis biasa.

Rasa laksa kuah lemak ini memang sedap sekali dan anak-anak saya amat menyukainya. Kalau Ingin mencuba bolehlah ikut resipi di bawah ini.

LAKSA KUAH LEMAK 
Bahan A 
500gm ikan kembung - di rebus
6 keping asam gelugur
1 kuntum bunga kantan 
5 tangkai daun kesum 
Garam secukup rasa
2 sudu besar minyak masak - untuk menumis
1 cawan santan pekat 
1 bungkus laksa direndam dan rebus hingga lembut - Toskan

Bahan B (Dikisar)
2 labu bawang besar 
10 tangkai cili kering - kurangkan sedikit jika suka warna kuah kekuningan
 ½ sudu teh serbuk kunyit 
2 sudu besar rempah kari ikan 
1 inci lengkuas
2 batang serai 
1/2 inci belacan 
2 sudu besar udang kering 

Bahan ulaman 
1 biji timun 
Telur rebus 
cili padi 
Daun salad/daun selom
limau nipis
Cara memasak :

1. Asingkan isi ikan yang telah di rebus dan ketepikan seketika. Kisar tulangnya menggunakan air rebusan tersebut serta tapis. Air tersebut akan digunakan sebagai kuah laksa nanti

2. Panaskan minyak dalam periuk dan tuang bahan kisar, masak hingga pecah minyak .
3. Masukkan air rebusan yang telah di tapis tadi kedalam bahan kisar dan kacau hingga larut. Masukkan juga isi ikan yang telah diasingkan tadi kedalam kuah laksa. 
4. Seterusnya masukkan daun kesom, bunga kantan, asam keping dan perasakan dengan garam secukup rasa.

5.Masak hingga kuah sehingga mendidih dan akhir sekali masukkan santan serta renihkan.
6. Setelah kuah benar-benar masak dan secukup rasa, padamkan api dapur dan hidangkan bersama laksa dan ulam-ulaman.

Assalamualaikum, 

Selamat berhujung minggu untuk semua pembaca blog. Petang-petang begini sedap makan laksa kan..nak-nak pula laksa yang dimasak sendiri. Boleh letak bahan-bahan secukup rasa dan kalau saya suka pedas.

Resipi Laksa asam ikan sardin tin ini memang simple dan cepat di masak. Kuahnya memang sedap dan secukup rasa. Resipi asalnya dari teman FB saya iaitu Nor Sue Ella tapi saya ubahsuai sedikit dengan menambah isi udang kertas yang di kisar halus. Tapi kalau tak letak isi udang pun memang dah sedap dan yang penting cepat di sediakan.

Nak cuba? Jom cari bahan-bahan.

LAKSA ASAM IKAN SARDIN TIN
Bahan-bahan
1 peket laksa kering di rendam 1 jam - rebus hingga empuk dan toskan
Secekak daun kesum
2 kuntum bunga kantan
8 keping asam gelugur
Garam secukup rasa

Bahan kuah  
1 tin besar sardin - ambil sosnya sekali  
1 labu bawang besar  
1/2 inci belacan  
8 tangkai cili kering   
4 cwn air + 6 cawan lagi
1 cawan isi udang - di kisar (saya guna udang kertas)

Bahan sampingan
Timun - dihiris seperti mancis
Bawang besar - dihiris nipis
Telur rebus
Hirisan cili padi
Limau nipis/limau kasturi

Cara menyediakan :

1. Semua bahan kuah dikisar halus dan tuang kedalam periuk.
 2. Lebihan sisa bahan kisar dalam blender di tambah dengan 6 cawan air dan curah dalam periuk. Masukkan juga isi udang yang telah di kisar halus.
2. Masukan pula daun kesum, bunga kantan, 8 keping asam gelugur dan garam secukup rasa.
3. Bila dah menggelegak dan secukup rasa bolehlah di matikan api dapur. Ikut kepekatan kuah yang anda suka dan hidangkan laksa dengan bahan-bahan sampingan yang lain.

Assalamualaikum,

Laksa Sarawak adalah salah satu daripada variasi aneka jenis laksa yang ada di Malaysia dan kuahnya dinikmati bersama bihun yang dicelur. Bukan dengan laksa beras atau laksa kering yang perlu direbus terlebih dahulu seperti di Utara Semenanjung Malaysia ni. 

Dah lebih dua minggu rasanya pes segera laksa Sarawak pemberian adik angkat saya, Rossella El Alisur tak terusik dan baru semalam saya cuba membuatnya, kebetulan pula bahan-bahan sampingan memang ada dalam petisejuk. 

Sebelum saya memasak Laksa Sarawak menggunakan pes segera ini, Rossella ada beritahu yang aroma pes Laksa sarawak yang dimasaknya sebelum ini sangat kuat dengan rempah ratus sedangkan dia memasak ikut aturan yang tertulis di pek. Hmmm..saya masak menggunakan pes yang sama tetapi ikut cara di blog Dayang Jack dan rasanya Alhamdulillah, sedap :). Mungkin kerana penggunaan pes, jumlah air dan santan yang lebih seimbang.

Baiklah, jom kita lihat resipinya...

LAKSA SARAWAK 
Bahan-bahan
200gm pes segera laksa Sarawak
Isi ayam secukupnya - direbus dan dicarik halus
1/2 kilo udang basah 
1 bungkus bihun - direndam dan dicelur
4 biji telur -  didadarkan dan hiris halus
2 batang serai - diketuk
250ml santan pekat
Garam dan gula secukup rasa
Taugeh - dicelur
sedikit daun ketumbar - diracik
limau kasturi secukupnya - dibelah dua

Cara memasak :

1. Sediakan 2 liter air dalam periuk. Jerangkan. Kemudian masukkan daging ayam dan udang yang sudah dibersihkan bersama serai. Rebus hingga masak dan toskan. 
2. Air rebusan tadi jangan dibuang. Sebaliknya masukkan pes laksa dan kacau menggunakan api perlahan. (Boleh tambah air jika perlu).


2. Masukkan santan dan perasakan dengan garam dan sedikit gula.

3. Masukkan bihun ke dalam mangkuk, letakkan bahan-bahan seperti taugeh, telur, daun ketumbar, isi ayam dan telur. Telur tersebut didadar, gulung serta hiris halus. 



4. Seterusnya tuangkan kuah laksa kedalam mangkuk bihun dan perahkan dengan limau kasturi. Hidangkan panas-panas. Untuk menyedapkan lagi rasanya, masukkan sedikit sambal udang kering.

Resepi Sambal Udang Kering 
Bahan-bahan
6 biji bawang merah - dikisar
2 ulas bawang putih - dikisar
sedikit belacan bakar - dikisar
segenggam udang kering - dikisar/ditumbuk halus
4-5 sudu makan cili kisar 
sedikit air asam jawa
garam dan gula

Cara memasak: 
Tumiskan bahan-bahan kisar dan cili kisar tadi hingga pecah minyak. Perasakan dengan garam dan gula dan masukkan air asam jawa. Kacau hingga pekat.
Assalamualaikum,

Laksa sambal sotong atau ada juga yang sebut laksa mambo memang sedap dan tak mungkin ditolak oleh penggemar laksa. Bayangkan kuah laksa yang sedap itu dinikmati pula dengan sambal tumis sotong. Pergh...memang nikmat sangat. 

Menurut cerita laksa sotong ni popular sesetengah tempat sebelah utara semenanjung Malaysia seperti di Tasek Gelugor, Seberang Perai dan Kulim. Laksanya sama sahaja dengan laksa Kedah atau laksa Penang, cuma bahan tambahan iaitu sambal sotong memang melazatkan lagi hidangan laksa ini. 

Jom kita intai resipi laksa sambal sotong ala fiza's cooking :)

LAKSA MAMBO SAMBAL SOTONG
Bahan A 
1 kg ikan kembung/sardin - Rebus dan asingkan tulang dan isinya
1 paket laksa - di rendam sebentar dan rebus hingga lembut serta toskan
1 kuntum bunga kantan - dibelah dua 
5 tangkai daun kesom 
Garam dan gula secukup rasa
4 keping asam gelugur
1/4 cawan air asam jawa

Bahan B - Kisar 
1 tin kecil sardin
1/2 inci belacan 
20 tangkai cili kering - Rebus hingga lembut dan toskan
10 ulas bawang merah 
2 labu bawang besar 

Bahan sampingan 
1 biji timun - di hiris seperti mancis
Pucuk gajus atau daun selom  - di racik halus 
telur rebus 
limau kasturi/limau nipis
cili padi - di hiris 
bawang besar - di mayang 

Cara memasak :

1. Rebus ikan sehingga masak dan toskan airnya. Asingkan isi dengan tulang dan kisar isi ikan tersebut. Gunakan air rebusan ikan semasa mengisar.
2. Tapis  bahan isi ikan yang telah dikisar tadi kedalam periuk dan masukkan bahan B kedalamnya.
3. Masukkan asam keping, air asam jawa, daun kesom, bunga kantan dan masak lagi hingga kuah pekat.  Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
4. Setelah kuah masak dan secukup rasa bolehlah dihidangkan dengan memasukkan laksa kedalam mangkuk beserta bahan sampingan dan curahkan kuah keatasnya. Akhir sekali letak sambal sotong untuk rasa yang lebih lazat.

RESEPI SAMBAL SOTONG KERING 
Bahan-bahan
50gm sotong kering (cumi-cumi) - di rebus hingga lembut dan sejatkan 

Bahan kisar
20biji cili kering 
5 ulas bawang merah 
1 ulas bawang putih 
1/2 inci belacan 

Air asam jawa, garam dan gula secukupnya

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga naik bau, masukkan air asam jawa dan kacau rata.

2. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Masukkan sotong kering yang telah di rebus tadi, kacau sebentar . Tambah sedikit air jika terlalu kering. 

Assalamualaikum,

Selamat menyambut hari deepavali untuk sahabat FB saya dan semua yang merayakannya. Hari ini cuti umum dan berehat di rumah, dapatlah masak menu yang menjadi kegemaran anak-anak iaitu laksa. Bezanya dari biasa, kali ini saya hidangkan bersama seekor ikan yang saya kukus terlebih dahulu. 

Seperti yang kita tahu, laksa ikan sekoq memang terkenal di utara, tetapi yang saya masak hari ini bukan dari resepi laksa ikan sekoq yang di jual tu. Lagipun ini adalah asam laksa yang terkenal di Penang, sengaja saya tambahkan ikan di atasnya mengikut permintaan anak-anak. Sedap meratah ikan sambil hirup kuah laksa. Bagi yang nak cuba, resepi ada di bawah ni. jom kita tengok langkah demi langkah. Mudah sahaja caranya.


Asam Laksa Ikan Sekoq
Bahan-bahan 
600gram ikan - saya guna ikan sardin/ikan curut
2 liter air
5 keping asam gelugur
5 tangkai daun kesum
1 bungkus laksa 
garam dan gula secukupnya
80ml jus asam jawa 
3 biji telur rebus

Bahan Kisar (B)
10 tangkai cili kering - rendam dengan air mendidih 
3 tangkai cili besar - merah
5cm kunyit hidup
3 batang serai
1 inci lengkuas
10 ulas bawang merah
1 inci belacan

Bahan sampingan (C)
2 labu bawang besar - di hiris bulat
2 tangkai cili besar - di mayang
beberapa tangkai daun pudina
seikat pucuk gajus - pilihan
Timun - di potong seperti mancis
1/2 nenas - di potong halus
Petis - Jika suka

Cara memasak:

1. Siang ikan dan bersihkan. Rebus hingga masak dan asingkan isinya dari tulang. saya kisar ikan hingga halus dan tapis untuk mengasingkan tulangnya.


2.Masukkan ke dalam periuk ikan yang di kisar tadi dan satukan dengan jus asam jawa beserta daun kesum. Masak dengan api sederhana.


 3. Kisar pula bahan B dan tuang ke dalam periuk kuah laksa. Masukkan asam keping serta garam dan gula secukup rasa. Rebuslah hingga mendidih dan masak sepenuhnya.

4. Untuk menyediakan ikan kukus, bersihkan ikan dan rendam sebentar dengan air asam & perahan limau nipis untuk menghilangkan bau hanyir. Lumur juga ikan dengan secubit garam sebelum mengukus untuk membangkitkan rasa.
5. Laksa kering tadi perlu di rendam terlebih dahulu sebelum di rebus hingga lembut dan toskan.

6. Apabila semuanya telah sedia, bolehlah di hidangkan dengan bahan sampingan.

Assalamualaikum,

Pasti ada yang bertanya apa uniknya laksa Kuala Perlis? sekali pandang kuahnya sama saja seperti laksa kedah dan Penang. Tetapi bagi yang belum tahu, laksa Kuala Perlis selalunya di nikmati dengan pulut udang atau kuih spera dan kombinasi antara salah satu dari kuih ini benar-benar memberi rasa yang unik pada laksa Perlis. 

Bagi yang pernah berkunjung ke Kuala Perlis iaitu pintu masuk melalui laut ke Pulau Langkawi pasti pernah merasai keenakkan laksa Perlis.Tempat yang sering saya kunjungi jika kesana adalah restoran Laksa Kak Su yang terkenal di kalangan pelancong dan penduduk tempatan. Dia gunakan laksa beras yang di hasilkan sendiri dan yang menariknya di setiap meja makan di sediakan sepinggan pulut udang untuk di nikmati bersama laksa.

Bagi yang belum tahu di Perlis juga, laksa di jual dan di nikmati ketika sarapan pagi, berbeza dari negeri-negeri lain. Unik kan? :)

Baiklah hari ini saya ingin berkongsi resepi laksa Kuala Perlis, tetapi berbeza sedikit dari resepi asal kerana saya hanya menggunakan laksa kering yang di rebus. Jika ada laksa beras pasti lebih sedap.Resepi ini hasil dari rujukan di Majalah Rasa dan teman-teman saya yang berasal dari sana.
LAKSA KUALA PERLIS 
1kg laksa beras - di rebus dan toskan (saya cuma guna laksa kering)
1kg ikan kembung - di bersihkan
1/2 kg ikan selayang - di bersihkan 
2 batang bunga kantan - di hiris
5 tangkai daun kesum
3 keping asam gelugur - saya masukkan 5 keping
3 liter air 
garam secukup rasa

BAHAN KISAR
250gm bawang besar
150gm cili kering - kurangkan jika tak tahan pedas
25gm belacan 
BAHAN HIASAN
8 biji telur - di rebus dan dibelah dua 
8 biji pulut udang - di potong dua
20gm cili padi - di potong
5 tangkai daun selom di hiris
1 biji timun di hiris seperti mancis

CARA MEMASAK:

1. Rebus ikan kembung dan selayang. Asingkan bahagian isi dan tulang ikan.
2. Isi ikan dikisar dan dimasukkan kedalam periuk yang berisi air. Kemudian kisar tulang ikan sehingga hancur, tapis dan masukkan ke dalam periuk yang sama.
3. Masukkan bahan kisar ke dalam rebusan ikan tadi.

4. Masukkan asam keping, bunga kantan, daun kesum dan perasakan. Biarkan mendidih dan angkat.
5. Masukkan laksa ke dalam mangkuk bersama bahan-bahan hiasan.

6. Akhir sekali tuangkan kuah ke atasnya dan sedia untuk di nikmati. Jangan lupa hidangkan bersama pulut udang.