-->
Memaparkan catatan dengan label KUIH MUIH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KUIH MUIH. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 

Apa khabar pembaca blog fizalgk dan rakan-rakan sekelian. Suka tak makan gorengan cucur...tak kiralah cucur sayur, cucur udang ataupun cucur yang manis seperti cekodok pisang. Pasti ramai yang suka..betul tak? Kecualilah yang tengah diet tu...ada yang elak dari makan benda bergoreng. Tapi tak salah nak makan sesekali dan kalau buat cucur dirumah kita boleh control penggunaan minyak dengan menggunakan minyak jagung untuk menggoreng. 

Ada tips sederhana sebenarnya untuk mengelakkan cucur daripada berminyak iaitu jangan goreng cucur dengan api yang kecil kerana cucur akan menyerap minyak dan jika api dapur terlalu kuat, cucur cepat hangit diluar dan tidak masak didalam. Yang bagusnya goreng cucur menggunakan api sederhana panas dan ketika diangkat masukkan kedalam penapis yang di lapik tisu dapur supaya lebihan minyak diserap.

Baiklah...jom kita lihat resipi cucur siput yang saya sediakan dibawah ini. Boleh je tukarkan dengan makanan laut lain untuk resipi ni. 
CUCUR SIPUT RANGUP
200gm isi siput - (saya guna isi siput kabung)
½ kilogram tepung gandum
2 cawan air
1 biji telur
1 paket (11gm) yis mauripan - dilarutkan dalam ½ cawan air suam 
1 sudu kecil garam
sedikit serbuk kunyit
200gm taugeh
1 pokok daun bawang
2 biji cili merah - dihiris nipis
Minyak secukupnya untuk menggoreng

Cara membuatnya:

1. Larutkan yis kedalam air suam, biarkan seketika hingga agak berbuih.

2. Potong daun bawang, cili merah dan cili padi. Masukkan kedalam mangkuk bersama taugeh yang telah dibersihkan dan isi siput.


3. Masukkan tepung gandum.


4. Masukkan pula serbuk kunyit, garam dan kacau rata. 

5. Pecahkan telur kedalam campuran tersebut dan masukkan larutan yis tadi bersama dua cawan air.

6. Gaul hingga sebati dan masukkan sayur-sayuran. Perapkan sebentar hingga adunan nampak berbuih.

7. Panaskan minyak masak dan gunakan api sederhana untuk menggoreng cucur didalam minyak yang banyak. 

8. Goreng hingga kuning keemasan dan angkat untuk toskan minyak.
Assalamualaikum, 

Salam jumaat penghulu segala hari. Perkongsian resipi untuk petang ini adalah Donat Gebu. Enak dimakan begitu sahaja, disalut dengan gula kastor ataupun di hias dengan toping coklat. Ada banyak resipi donat dalam blog ini dan untuk langkah demi langkah cara membuatnya bolehlah klik dipautan INI 

Untuk resipinya bolehlah ikut dibawah ini. Selamat mencuba ye ;) 

DONAT GEBU 
Bahan-bahan
160gm tepung gandum 
2 sudu besar mentega
1 sudu teh serbuk penaik 
2 sudu besar gula pasir
1 ½ sudu teh yis
60ml susu segar 
1 biji telur 
½ sudu teh esen vanila

Hiasan : Coklat masakan secukupnya - cairkan (double boil)
Kacang badam cincang secukupnya

Cara membuat :

1. Dalam bekas, masukkan susu segar, yis dan gula. Biarkan hingga berbuih

2. Gunakan bekas yang lain, masukkan tepung. Buat lubang ditengah-tengahnya dan pecahkan telur. Masukkan juga esen vanila.

3. Seterusnya tuang campuran susu segar dan yis tadi kedalam tepung dan mulalah menguli. Masukkan juga mentega dan uli selama 15minit atau sehingga doh menjadi licin dan tidak melekat pada bekas.

4. Rehat doh selama 45 minit dan tutup bekas adunan dengan tuala dapur. Setelah cukup masa, keluarkan doh dan tumbuk untuk keluarkan angin.

5. Canai doh jangan terlalu nipis atau tebal. Terap menggunakan penerap donat dan rehatkan lagi dalam 30minit.

6. Goreng dalam api sederhana sehingga masak dan setelah sejuk salutkan dengan gula kastor atau boleh juga disalut dengan coklat masakan yang telah dicairkan. Boleh taburkan badam cincang.

Nota : Jika adunan lembik dan melekat pada tangan semasa menguli, tekapkan tangan anda pada tepung dan teruskan menguli.
Assalamualaikum, 

Salam petang jumaat, penghulu segala hari. perkongsian hari ini adalah bingka serikaya. Resipi bingka ini perkongsian dari rakan blogger iaitu yatie memories dan resipi asal dari kak Fida - MyR. Tentang rasa bingka ini, hmm memang sangat enak dan sesuai dengan selera. Adunannya tidak letak gula dan rasa manis-manis buah bingka ini hanya bersumberkan dari serikaya yang menjadi bahan utama dalam resipi ini. 

Memang rugi sesiapa yang tidak mencubanya. Resipi asal letak 1 sudu besar mentega yang telah dicairkan tetapi saya terlupa pula nak cairkan mentega terlebih dahulu tetapi alhamdulillah menjadi juga. Kalau nak gantikan mentega dengan minyak masak pun boleh juga. Baiklah, saya kongsikan sekali lagi resipi Bingka serikaya dibawah ini dan selamat mencuba ye ;) 
BINGKA SERIKAYA
Saiz loyang (8in x 8in) 

Bahan-bahan 
1 tin kaya (480gm) 
4 biji telur
200 ml santan pekat - guna santan kotak 
200 ml susu cair
1 sudu kecil esen vanilla
1 sudu besar minyak/mentega cair
180 gm tepung gandum - diayak
Sedikit pewarna kuning (atau hijau jika mengguna kaya pandan) 

Cara membuatnya:

1. Campur semua bahan kecuali tepung dan pewarna dan kacau hingga sebati.

2. Masukkan tepung serta pewarna dan kacau lagi hingga adunan sebati. 



3. Tuang adunan ke dalam loyang/acuan bergris, tabur bijan jika suka.

4. Bakar pada suhu 180C selama 30min atau hingga bingka kelihatan garing. Sejukkan bingka, potong dan sajikan. Bingka ini juga enak dimakan ketika suam.

Assalamualaikum, 

Selalunya saya lebih cenderung masak menu dari utara tetapi perkongsian petang ini adalah sejenis hidangan manis dari negeri cik siti wan kembang iaitu kuih lompat tikam. Kalau di Langkawi memang setakat ini saya belum jumpa orang jual kuih ini. Bila dah teringin nak makan kenalah buat sendiri. Lagipun nak buat kuih ini sangat mudah cuma agak renyahlah sedikit.

Bagi yang ingin cuba buat sendiri kuih lompat tikam resipi ada dibawah ni. Maaf tiada langkah demi langkah yang disediakan kerana gambar dan resipi ini saya shoot untuk Majalah Saji Ogos lalu. Jom layan resipi :)  
KUIH LOMPAT TIKAM
Bahagian Hijau
2 cawan tepung beras 
1 sudu kecil air kapur 
1 cawan air daun pandan (campur sikit dengan pewarna hijau) 
4 cawan air
Campurkan semua bahan dan kacau atas api sehingga berkilat dan meletup-letup. Adunan ni mesti masak betul agar tidak berair dan mudah basi. Masukkan ke dalam loyang dan sejukkan. 

Bahagian Putih
Santan pekat dari sebiji kelapa
¼  sudu teh garam
2 sudu besar tepung jagung untuk memekatkan. 
Sebatikan santan dengan garam dan masak atas api.  Bila dah menggelegak, masukkan bancuhan tepung jagung dan kacau hingga kuah jadi pekat.

Pulut Merah
2 cawan beras pulut - dibersihkan 
3 sudu minyak masak 
sedikit garam dan beberapa titis pewarna merah
Campurkan semua bahan dan masak pulut macam biasa.

Air Gula
4 keping gula melaka 
2 helai daun pandan 
air secukupnya 

Masakkan semua bahan dan pastikan air gula tersebut agak pekat
Cara menghidang lompat tikam, campurkan semuanya dan hidangkan dengan air gula.

Assalamualaikum,

Selamat berhujung minggu untuk semua pembaca yang sudi masuk ke blog ini. Kalau tak kemana-mana hari ini apa kata buat cream puff untuk minum petang dengan keluarga. Tak susah sebenarnya nak buat creampuff ini dan rasanya pun sedap. Anak-anak pasti suka.

Untuk Resipi creampuff saya kali ini tidak disertakan langkah demi langkah cara membuatnya tetapi boleh rujuk ke entry Creampuff jagung yang saya buat sebelum ini. Sila KLIK disini ya.

Ok jom kita tengok resipi cream puff dibawah ni.

CREAM PUFF
Bahan untuk kulit
300gm tepung gandum
250gm mentega
4 cawan air
4 biji telur
2 sudu teh esen vanila

Cara membuatnya :
1. Siapkan Loyang dengan menyapu majerin dan alaskan kertas kek. Ketepikan seketika.

2. Masak air bersama mentega sehingga larut kemudian masukkan tepung. Kacau sehingga adunan tidak melekat di periuk. Angkat dan sejukkan.

3. Masukkan telur dan putar sehingga sebati adunan tersebut. Masukkan dalam piping beg yang telah dipasang nozel untuk cream puff dan paipkan pada Loyang.  Bakar selama 30 minit dengan suhu 200c atau bergantung pada oven masing-masing.

4. Apabila kekuningan bolehlah diangkat dan disejukkan. Seterusnya belah cream puff, Masukkan krim kedalam nozel berasingan dan picit krim kedalam kulit cream puff.

BAHAN UNTUK INTI
400ml susu segar.
3 sudu besar tepung kastad
2 sudu besar tepung gandum
6 sudu besar gula
2 biji telur
sedikit garam
1 sudu besar mentega.

Cara membuatnya :

1. Masak kesemuanya dengan api sederhana sambil dikacau sehingga pekat dan kemudian sejukkan seketika.


2. Masukkan dalam piping beg dan picitkan inti kedalam belahan kulit puff tadi.



3. Ayak nipis gula icing keatas cream puff dan hidangkan.
Assalamualaikum,

Kuih lompang pandan sedap di gandingkan dengan kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam. Haruman aroma pandannya juga sungguh memikat selera. Jom ngopi dengan lompang pandan petang ni. Maaf ye hari ni tak dapat menulis panjang sebab sibuk seharian di tempat kerja. 

Langsung saja kita tengok resipi lompang pandan dibawah ni ye :)  

LOMPANG PANDAN
Bahan-bahannya:
1 ½ cawan tepung beras
¾ cawan gula halus
2 cawan air
5 helai daun pandan
sedikit pewarna hijau
1 sudu teh air kapur
1 sudu teh tepung jagung
Kelapa parut putih secukupya
Secubit garam

Cara membuatnya :

1.Kisar daun pandan dan tapis.

2.Satukan air pandan, pewarna hijau,tepung gandum,gula,tepung jagung  dan air kapur.Kacau sehingga sebati dan tapis.

3.Panaskan pengukus dan kukus acuan lompang sekejap.Jangan lupa sapukan acuan dengan sedikit minyak masak agar senang untuk keluarkan kuih nanti.

4.Masukkan adunan ke dalam jag dan tuangkan ke dalam acuan sehingga hampir penuh.

5.Kukus selama 15-20 minit sehingga terbentuk lubang di tengah-tengah lompang.


6.Sejukkan kuih sebelum keluarkan dari acuan. Kukus kelapa parut sekejap dan gaulkan dengan sedikit garam. Hidang kuih lompang dengan kelapa parut.
Assalamualaikum, 

Karipap pusing yang ranggup ni sedap dijadikan teman ngeteh dipetang hari. Nampak macam rumit nak buat...yelah dengan tekstur berlapis-lapis tu kan, tapi sebenarnya mudah sahaja asalkan ikut resipi yang diberikan. Maaf resipi ini tidak ada langkah demi langkah penyediaan kerana gambar ini shoot untuk Majalah Saji keluaran Ogos sebelum ini. Saya sedang dalam proses memasukkan resipi-resipi yang belum pernah disiarkan ke dalam blog sementara mood berblogging dah mula datang ni. 

Jom layan gambar dan resipi karipap pusing dibawah ini dan selamat mencuba :) 
KARIPAP PUSING
Doh untuk kulit
Bahan A
600 gm tepung gandum
50 gm gula
250ml air
1 ½  sudu kecil garam
1 biji telur
2 sudu besar tepung beras
2 sudu besar tepung jagung

Bahan B
400 gm tepung gandum
250 gm marjerin

Cara membuatnya :
1. Campurkan semua bahan A. Gaul hingga sebati hingga tak melekat di tangan dan bulatkan angaran 40gm berat tiap satunya, ketepikan seketika.

2. Gaul pula bahan B sebati sehingga boleh dikepal tetapi jangan terlalu lembut.Bulatkan anggaran berat 35gm.

3. Gelek bahan A masukkan bahan B di dalam nya, tutup dan bulatkan bersama-sama. Canai kali pertama hingga ketebalan lebih kurang 0.4cm kemudian gulung dari arah memanjang. Canai lagi sekali dan gulung lagi.

4. Potong kepada 4 bahagian, canai bentuk bulat dan tekapkan pada acuan karipap, letak inti dan tutup doh serta kelim.

INTI
5 biji kentang
200g ayam cincang
setangkai daun kari
2 ½  sudu besar rempah kari ayam - bancuh dgn sedikit air
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya :
1.Kentang dikupas dan potong dadu, ketepikan seketika.


2. Kisar bawang besar dan bawang putih. Tumiskan bahan-bahan tersebut dan juga daun kari hingga naik bau. Masukkan pes kari dan kacau rata. Kemudian masukkan kentang, ayam, air dan garam secukup rasa. Rebus sehingga kentang empuk dan isi ayam masak serta air kering. tutup api dapur dan sedia untuk digunakan.
Assalamualaikum,

Hari ini saya buatkan Apam Eno Beras untuk sarapan pagi. Sayang, bila ada lebihan nasi lepas makan malam tadi masih berbaki. Nak goreng untuk anak-anak pun sikit sangat, tak lepas sepinggan jadi saya perapkan untuk buat Apam Beras Eno je. Resipi saya ambil dari blog yatiememories. Terima kasih yatie...saya kongsikan di blog ini pula ye. 

Oleh kerana aktiviti memerap adunan apam ini dilakukan seawal 4.30pagi maka tak adalah gambar step by step pada entry kali ini. Selepas perap saya terus tidur dan bangun semula kejutkan anak-anak ke sekolah. Dah memang tak sempatlah nak ambil gambar lepas tu. Hanya gambar akhir dah tersusun diatas daun pisang dan ditaburi kelapa parut sahaja yang ada dibawah ini.

Jom try buat apam eno beras...makin sedap lepas gaul dengan kelapa.

APAM ENO BERAS
Bahan-bahannya:
1 cawan nasi
1 ¼  cawan air
1 cawan gula pasir
2 cawan tepung beras
1 sudu kecil yis kering
1 paket kecil eno - (saya guna yang peket biru)

Cara-caranya:

1. Blender nasi dan air hingga hancur. Tambahkan gula, tepung beras dan yis. Blend sekali lagi hingga sebati.

2. Perapkan adunan tadi 4-5 jam.

3. Tambahkan pewarna jika suka, kacau perlahan. (saya tidak letak pewarna)

4. Tambahkan eno dan gaul sebati secara perlahan-lahan.

5. Masukkan dalam acuan kuih lompang yg telah di sapu sedikit minyak dan kukus selama lebih kurang 15 minit dengan api kuat. Setelah masak bolehlah dihidangkan dengan kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam.
Assalamualaikum,

Salam jumaat penghulu segala hari. Hari ini perkongsian resipi  bingka ubi kayu gula merah yang bagi saya sungguh lazat dan lembut . Yang paling saya suka sekali rasanya juga kurang manis kerana menggunakan gula merah sepenuhnya yang dicairkan bersama ½ cawan air. 

Untuk ubi kayu parut pula saya tidak perah airnya dan terus sahaja timbang sebaik sahaja selesai proses  memarut.  

Kalau nak cuba buat bingka ubi kayu gula merah yang sedap ini bolehlah lihat resipi dan langkah demi langkah yang saya sediakan dibawah.

BINGKA UBI KAYU GULA MERAH
600gm ubi kayu - diparut
1 kotak santan (200ml) - Dicampur dengan sedikit air menjadi 1 cawan metrik
1 cawan gula merah  - Cairkan dengan 1/2 cawan air dan tapis
30gm mentega - cairkan
1 biji telur - dipukul ringan
secubit garam


Cara membuatnya :


1. Panaskan oven pada suhu 180'c kira-kira 10minit sebelum membakar bengkang.

2. Parut ubi kayu dan timbang sebelum masukkan kedalam mangkuk besar. Tuang air gula merah kedalam mangkuk tersebut diikuti oleh telur, garam  dan mentega cair

3. Kacau campuran ubi kayu parut dan bahan-bahan tersebut hingga bercampur rata.

4. Sapu 1/2 sudu besar mentega didasar dan bahagian tepi loyang dan panaskan sebentar. Seterusnya tuang adunan kedalam loyang  

5. Bakar kira-kira 1 jam atau sehingga masak dan setelah bengkang sejuk bolehlah dipotong dan hidangkan.

Assalamualaikum, 

Bila anak-anak semua berkumpul, sebagai ibu bersemangat sangat rasanya nak sediakan makan minum kerana apa yang dihidangkan pasti mendapat sambutan. Kuih@Bingka Bakar Jagung ini saya sediakan sebagai sarapan pagi tadi. Sedapnya alahai...dah lama tak buat kuih ini dan seingat saya kali terakhir saya buat dulu pada bulan ramadhan tahun lepas. Punyalah lama sampai nak jumpa bulan ramadhan sekali lagi..kan.

Bagi yang belum pernah buat kuih@bingka bakar jagung ni janganlah takut pula untuk mencuba bila melihat adunan kuih ini agak cair. InshaAllah pasti menjadi ...cuma pastikan anda kenal dengan suhu oven masing-masing.

Anak sulung saya pula suka sangat makan bingka ini selepas disejukkan didalam petiais kerana katanya rasa bingka ini lebih sedap seakan-akan puding. Pendek kata memang kuih@bingka bakar jagung ini sedap walaupun dihidangkan panas ataupun sejuk.

KUIH@BINGKA BAKAR JAGUNG
Sumber : Zana08 - MyResepi

Bahan-bahan
1 cawan tepung gandum
1 cawan santan
1 cawan susu sejat
3/4 cawan gula
2 biji telur
2 sudu mentega - cairkan 
1 tin jagung manis krim
sedikit pewarna kuning
1 sudu teh esen vanila
sedikit bijan 

Cara membuatnya :

1. Blend semua bahan hingga sebati kecuali jagung dan bijan.

2. Masukkan jagung dan "blender" sebentar sahaja.

3. Tuangkan dalam loyang dan taburkan bijan jika suka.

4. Bakar pada suhu 180 C selama 1 jam atau sehingga masak. Untuk mendapatkan permukaan atas yang berkerak setkan kepada api atas sahaja pada 10minit terakhir.

Assalamualaikum. 

Selamat berhujung minggu untuk semua pembaca yang sudi singgah diblog ini mecari resipi. Dah sarapan atau belum? Sesekali bersarapan dengan kuih muih hasil airtangan sendiri memang sedap, kan. Hari ini saya hidangkan kuih kasui labu untuk keluarga. Resipinya memang mudah diikuti dan saya sukat menggunakan cawan metrik, jadi memang cepat prosesnya tak perlu keluarkan penimbang semua tu.

Jom try buat untuk keluarga. Resipi ada dibawah ini. :) 

KASUI LABU
Sumber : Kak Besar / Dapur mamasya 

Bahan-bahan
1 cawan tepung gandum 
1 cawan tepung ubi 
1 cawan labu manis dilecek 
2/3 cawan gula pasir 
2 cawan santan 
1/2 sudu teh garam 
1/2 sudu teh air kapur 
1 cawan kelapa parut secubit garam untuk salutan 

Cara: 

1.Panaskan pengukus hingga mendidih. 

2.Gaul rata semua bahan dan cara yang paling mudah adalah blender hingga bahan halus dan tidak berketul-ketul.

3.Sapu minyak pada loyang 10", curahkan adunan ke dalamnya.Kukus selama 25-30 minit, atau hingga masak.- Saya guna loyang bulat 8inci.



4. Sejukkan kuih kasui tersebut dan keluarkan dari loyang dan bolehlah dipotong. 


5. Setelah itu gaulkan dengan kelapa parut dan bolehlah dihidangkan. 

Assalamualaikum, 


Bingka telur ni saya buat untuk minum petang dengan keluarga pada hari minggu yang lepas. Idea nak buat bingka ni timbul bila melihat rimbunan daun pandan yang menjadi-jadi dibelakang rumah ibu dan tidak terurus. Bimbang juga jika makin dibiarkan jadi sarang makhluk berbisa...apalagi dimusim panas begini. Jadinya saya potong daun pandan, separuhnya saya simpul dan jadikan sebagai 'air freshner' dalam kereta, dalam almari pakaian dan separuhnya lagi simpan untuk buat kuih bingka telur.

Bila gunakan pati sebenar dari daun pandan yang dikisar buatkan bau wangi semerbak memenuhi dapur sampai ke ruang tamu ketika membakar bingka ini. Resipi bingka telur ini pula saya ambil disini dan dah ramai blogger yang mencubanya serta dah banyak berlegar di media sosial.

Bagi yang ingin mencubanya...saya kongsikan sekali lagi resipi di bawah ni. Jom lihat step by step tutorial yang saya sediakan.
BINGKA TELUR
Bahan-bahan
6 biji telur
2 cawan air daun pandan (atau 2 cawan air + pewarna kuning)
2 kotak santan (200ml x 2) atau santan pekat
3 cawan tepung gandum
2 cawan gula
1 sudu teh garam
4 sudu mentega -cairkan

Cara-cara

1. Gunting daun pandan secukupnya dan masukkan kedalam blender bersama 2 cawan air. Kisar hingga halus dan tapis.


2. Masukkan air pati pandan yang ditapis tadi kedalam blender bersih. Pecahkan telur kedalam mangkuk dan masukkan juga kedalam blender tersebut.


3. Masukkan juga gula pasir, tepung, garam, mentega cair dan santan kedalam blender dan kisar hingga halus dan tidak berketul.


4. Seterusnya masukkan 1 sudu minyak masak kedalam loyang, lengserkan  dan masukkan loyang kedalam oven. Bila loyang sudah panas, tuang adunan yang dikisar tadi dan masak dengan api atas dan bawah sehingga perang. Saya setkan oven pada suhu 180'c dan bakar selama 1 1/2 jam.


Assalamualaikum,

Hari ini cuti umum sempena Deepavali, tetapi tak keluar kemana-mana kerana cuaca mendung dan hujan di Langkawi. Lagipun anak-anak yang tinggal di asrama pulang bercuti, maka riuhlah suasana di rumah. Anak yang sulung minta dibuatkan puding roti untuk minum petang, dan kebetulan lebihan roti masih ada didapur. Cukup guna 6 keping roti, maka terhasil lah Puding Roti Cheese.

Sedapnya alahai kerana saya masukkan separuh dari parutan keju kedalam adunan puding ini dan separuh keju parut lagi ditabur atas puding sebelum membakarnya.

Untuk resipi ini saya bakar didalam muffin tin tetapi boleh juga bakar terus kedalam loyang dan dipotong ketika menghidang.

Jom lihat resipi puding roti cheese...mungkin boleh cuba membuatnya sepanjang cuti sempena cuti deepavali ini.

PUDING ROTI CHEESE
6 keping roti putih - di gunting atau carik-carikkan
400ml susu segar/cair
4 biji telur 
100gm gula pasir
100gm keju cheddar
50gm mentega
1 sudu teh esen vanilla
kismis secukupnya

Cara membuatnya ;

1. Gunting roti dan masukkan kedalam loyang, tabur kismis keatasnya. Saya guna loyang muffin dan lengserkan dengan mentega terlebih dahulu untuk mengelak dari puding melekat di loyang.
2. Panaskan susu segar bersama mentega hingga mentega cair. Matikan api dapur.
3. Didalam bekas lain campur telur, gula esen vanilla dan sebahagian daripada keju parut.

4. Tuang susu suam tadi kedalam campuran telur dan kacau rata. Seterusnya tuang keatas roti yang telah diatus didalam loyang bersama kismis tadi.
5. Tabur lebihan keju keatas puding roti dan bakar dengan selama lebih kurang 40minit pada suhu 170'c atau sehingga puding masak. (Tiap oven berbeza, sila suaikan dengan oven anda)
6. Setelah masak dan sejuk, bolehlah hidangkan puding dengan aiskrim kegemaran.

Assalamualaikum,

Dah lama tak buat kuih koci. Teringin rasanya nak makan kuih yang lemak-lamak manis  ni. 6 tahun yang lepas ketika kerja di pejabat tidak sesibuk sekarang saya memang buat kuih koci untuk diletak di gerai lori bergerak berdekatan dengan rumah saya kerana ada permintaan. 

Alhamdulillah kuih koci memang mempunyai penggemar tersendiri dan setiap hari memang habis 100 biji kuih koci yang ditinggalkan.  Masa itu kalau ada tempahan untuk majlis-majlis pun saya terima. Tetapi saya mula berhenti membuat kuih yang satu ini kerana ada ketika agak sukar mendapat bekalan daun pisang serta kelapa untuk membuat inti. Ditambah pula dengan kerja di pejabat yang mula sibuk, maka nak tak nak saya tinggalkan bisnes kuih ini. Masa itu saya buat kuih koci biasa bukan pulut hitam macam resipi yang ingin saya kongsikan dibawah ini.

Resipi hari ini tidak disediakan step by step seperti selalu sebab saya dah pernah sediakan pada entry sebelum ini iaitu disini, bezanya resipi terdahulu tidak gunakan tepung pulut hitam.

Jom cuba buat kuih koci pulut hitam bersantan. Kredit kepada pemilik asal resipi Zalinzalina dan saya kongsikan pula disini.

KUIH KOCI PULUT HITAM BERSANTAN 
Bahan-bahan
2 cawan tepung pulut
2 sudu beras pulut hitam - dikisar halus dan ayak
sedikit garam
1 cawan air (Jangan tuang semuanya nanti lembik. Masukkan sikit demi sedikit hingga doh tak lekat tangan. Baki air tu dalam 3 sudu besar)
daun pisang secukupnya - potong 5inci x 5inci dan layur seketika

Cara membuatnya: 

1. Campurkan tepung pulut dan tepung beras pulut hitam serta garam didalam sebuah bekas. Kacau sebati kemudian masukkan air sedikit demi sedikit. Pastikan doh tak lekat ditangan dan teksturnya seperti doh buah melaka/onde-onde. Tutup sekejap dengan kain agar doh tidak keras.

2. Masak air didalam periuk hingga mendidih.

3. Ambil sedikit adunan tepung pulut tadi, bulatkan kemudian leper diatas tapak tangan tangan. Masukkan inti kelapa, tutup dan bulatkan balik. Buat sampai habis doh.

4. Masukkan doh-doh kuih koci ni kedalam air rebusan yang telah mendidih sehingga ia terapung lalu angkat dan toskan. (sama seperti buat onde-onde/buah melaka).

5. Masukkan pula kuih koci ni kedalam bekas berisi campuran santan dan tepung beras.

6. Guna sudu, ambil doh koci sekali dengan kuah santan pekat tadi letak atas daun pisang yang disapu minyak. Bungkus macam bantal atau nasi lemak pun boleh. Kemudian kukus sekejap dalam 7 minit untuk bagi aroma daun pisang dan bolehlah dihidangkan.

INTI KELAPA
1 biji kelapa parut 
1 ketul gula melaka
3/4 cawan gula pasir
1 sudu besar tepung gandum dibancuh dengan sedikit air sahaja
daun pandan disimpul

Caranya :

1. Masak gula melaka, 3/4 cawan gula pasir dan daun pandan dengan sedikit air hingga gula melaka hancur, kemudian tapiskan. Masukkan kelapa parut tadi.

2. Masak sekejap atas dapur, bila dah agak kering masukkan bancuhan tepung gandum. Kacau lagi hingga bercampur, kemudian sejukkan. Bulat-bulatkan inti tersebut.

KUAH SANTAN PEKAT
3 sudu besar tepung beras
3cawan santan pekat
sedikit garam
campurkan tepung beras kedalam santan pekat, kacau sebati dan masukkan garam. Masak adunan ni sehingga pekat, ketepikan seketika untuk proses seterusnya.