-->
Memaparkan catatan dengan label KARI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KARI. Papar semua catatan
Assalamualaikum,

Lamanya saya tidak bersiaran dan blog terbiar tanpa sebarang update. Bukan disengajakan tetapi kesihatan ibu saya yang tidak mengizinkan disamping kerja-kerja ubahsuai dapur serta ruang tamu di rumah kecil saya membuatkan mood berblogging tidak datang-datang. Hari-hari saya masak untuk keluarga dan anak-anak cuma tidak berkesempatan untuk ambil gambar dan berkongsi dalam blog. Hari ini bila saya buka semula draft dalam blog, rupanya masih ada lagi resipi dan gambar yang belum diupdate sekian lama tersimpan.

Baiklah untuk tidak membuang masa...saya kongsikan resipi kari udang mangga muda tanpa santan yang saya dah masak lamaaa dulu sebagai penyeri untuk entry hari ini setelah sekian lama menyepikan diri.
KARI UDANG MANGGA MUDA TANPA SANTAN
Bahan-bahan 
½ Kilogram udang segar
1 inci kulit kayu manis 
3 kuntum bunga cengkih 
1 sudu teh biji sawi
2 ulas bawang putih - ditumbuk lumat(pes)
1 labu bawang besar - dimayang 
1 biji mangga muda - di kupas dan potong halus 
5 tangkai cili hijau - dibelah 
1 biji tomato 
1 sudu besar serbuk kunyit
3 sudu besar serbuk cili 
 ½ sudu besar serbuk ketumbar 
Garam secukup rasa
minyak untuk menumis

Cara membuatnya : 

1. Panaskan kuali berisi minyak, tumis kulit kayu manis, biji sawi dan bunga cengkih hingga wangi. Masukkan bawang besar dan kacau. Setelah itu masukkan cili hijau dan kacau lagi sehingga layu. 

2. Masukkan serbuk kunyit, serbuk cili dan kacau hingga pecah minyak. Masukkan pula pes bawang putih dan daun kari. Masukkan juga mangga muda dan tomato sambil dikacau.

3. Selepas itu bolehlah masukkan udang dan biarkan mendidih sambil dikacau perlahan-lahan. 

4. Masukkan juga serbuk ketumbar dan masak lagi hingga terbit minyak dan renihkan. 

5. Perasakan dengan garam dan gula(jika suka) dan setelah kuah pekat mendidih, matikan api dapur serta tabur daun ketumbar. Bolehlah dihidangkan.
Assalamualaikum,

Masih bercerita tentang Majlis pelancaran Baba's Versus 1001 Rasa pada 12hb Oktober yang lalu. Setiap tetamu yang hadir diberi buah tangan istimewa berupa Apron dan rempah ratus keluaran syarikat Baba products (M) Sdn Bhd iaitu seperti rempah briyani, serbuk kurma mix, serbuk kari daging  dan serbuk kari ikan.

Saya memang pengguna setia rempah ratus keluaran baba's sebelum ini dan rempah ratus yang diberi itu melengkapkan satu masakan hidangan tengahari untuk keluarga sebaik sahaja saya tiba dirumah. Untuk resipi Kari ikan boleh klik diSINI dan resipi pajeri nenas utara klik diSINI
NASI BRIYANI 
Bahan A
3/4 cawan minyak sapi
6 sudu besar biji gajus | 3 sudu besar kismis 
1 labu bawang besar - dihiris | 1 biji tomato di potong dadu | 5 sudu besar kisaran bawang putih & halia(pes)

Bahan B
½ ekor ayam dipotong sederhana 
3 sudu besar rempah briyani baba's 
6 cawan beras basmathi (1 KG) - dibasuh dan toskan 
6 cawan air (1450ml)
Garam secukup rasa
2 - 3 helai saffron
4 sudu besar hirisan daun pudina
4 sudu besar hirisan daun ketumbar 

Cara memasak :

1. Panaskan minyak sapi didalam periuk dan tumiskan semua bahan A sehingga naik aroma (dalam 2 minit)

2. Masukkan daging ayam dan masak dengan api sederhana (dalam 5 minit)

3. Gaulkan rempah briyani babas dengan beras basmathi dan kacau dengan perlahan iaitu kira-kira 2 minit.

4. Masak nasi tersebut didalam periuk nasi dan tambahkan garam dan air.

5. Tambahkan saffron sebelum nasi masak sepenuhnya, hiasi dengan daun pudina dan ketumbar dan hidangkan.


AYAM MASAK KURMA
Bahan A (untuk menumis)
2 sudu besar minyak sapi
½ inci kulit kayu manis | 1 bunga lawang | 2 bunga cengkih |2 buah pelaga

Bahan B
1 labu bawang besar - di mayang 
1 tangkai daun kari 
1 biji tomato - di potong empat 
Bahan Kisar : 4 ulas bawang putih + 4cm halia = jadikan pes

Bahan C
 ½ ekor ayam - dipotong 
1 paket serbuk kurma Baba's - 25gm
Garam secukup rasa
2 cawan air 
2 biji kentang - dipotong empat 
½ cawan santan pekat 

Cara Memasak :

1. Tumiskan bahan A dalam minyak sapi hingga wangi dan masukkan semua bahan B. Kacau dalam 5 minit.

2. Masukkan pula ayam,serbuk kurma Baba's, garam dan sedikit air. Kacau lagi hingga sebati (kira-kira 5 minit)

3. Tambahkan kentang dan air selebihnya, tutup periuk dan biarkan masak selama lebih kurang 15minit.

4. Setelah kuah mendidih dan ayam serta kentang empuk, masukkan santan kedalam periuk  dan renihkan selama lebih kurang 2 minit. Perasakan dengan garam dan bolehlah dihidangkan. 


AYAM BAKAR BEREMPAH
Resipi asal : Chef Hanieliza
Bahan
1/2 ekor ayam 
2 sudu besar rempah kari (Saya guna rempah kari daging Baba's)
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar serbuk lada hitam
garam secukup rasa

Bahan dikisar halus
1 labu bawang besar 
3 ulas bawang putih 
2 inci halia 

Cara Membuat :
1. Bersihkan ayam dan basuh. Tuskan sehingga kering.
2. Masukkan semua bahan dalam mangkuk dan gaul rata.
3. Perapkan selama 2 jam atau lebih.
4. Gunakan pemanggang jaib atau kuali non-stik bakar ayam selama 20 minit sambil balikkan sekali sekala.
5. Hidangkan dengan sos lada hitam atau sos cili.

Tips :

Boleh bakar dalam oven pada suhu 180'C selama 20 hingga 30 minit. Susunkan ayam atas jaring untuk dapatkan garing kedua-dua belah bahagian (tidak perlu pusingkan ayam).
Assalamualaikum, 

Entry kari lagi hari ini. Memang kalau orang utara sinonim sangat dengan masakan kari dalam menu sehari-hari. Tak ada istilah jemu asalkan kita bijak dan kreatif merampai bahan-bahan yang digunakan.  Kali ini saya masak Kari Ayam dengan Rebung. Rebung yang digunakan adalah rebung madu yang saya beli di pasar dan telah siap direbus, jadi ia bebas dari bau yang kurang enak. Saya memang elakkan dari membeli rebung jeruk yang baunya agak menyengat kerana  ia mematikan selera.

Kalau suka kuah yang lebih pekat dan agak lemak bolehlah tambahkan 1 sudu besar kerisik didalam masakan ini tetapi saya tak masukkan kerisik kali ini kerana kehabisan stok. Walaupun begitu rasanya tetap juga enak. 

Nak try masak Kari ayam dengan rebung? Jom tengok resipi dan bahan-bahan yang digunakan :) 

KARI AYAM DENGAN REBUNG 
Bahan-bahan
Ayam - Sebelah bahagian (Dipotong)
1 bungkus kecil serbuk kari daging/ayam - larutkan dengan sedikit air
1 sudu besar serbuk cili 
2 tangkai daun kari 
200gm rebung madu - siap direbus
1 keping asam gelugur@keping  
1 cawan santan 
2 mangkuk air 
Garam dan gula secukup rasa 
Minyak masak secukupnya untuk menumis

Bahan Tumis 
1 inci kulit kayu manis 
1 kuntum bunga lawang 
3 biji buah pelaga 

Bahan ditumbuk/kisar
1 labu bawang besar 
3 ulas bawang putih 
1 inci halia

Cara membuatnya :

1. Panaskan api dapur, tuang minyak kedalam kuali dan tumis kulit kayu manis, buga lawang serta buah pelaga serta bahan-bahan yang ditumbuk. Kacau hingga berbau wangi dan bertukar kekuningan.

2. Masukkan pula daun kari, serbuk cili beserta rempah kari dan renihkan dengan api perlahan sehingga pecah minyak dan rempah benar-benar masak.

3.  Setelah itu masukkan ayam dan kacau sebati hingga bersalut dengan rempah. Masak sebentar hingga ayam agak kecut.
4. Tambahkan air dan biarkan hingga mendidih barulah masukkan santan. 

5. Masukkan juga rebung, asam keping dan perasakan dengan garam dan gula. Renihkan lagi hingga kuah agak pekat dan pecah minyak bolehlah matikan api dapur. 
Assalamualaikum, 

Kari ikan memang menu yang tak jemu-jemu orang dalam rumah ni request. Tiap minggu memang kena ada kari ikan. Paling sedap kalau lebihan kari ikan dipanaskan (perangat) hingga pekat dan cicah dengan roti benggali. Kena pula dengan secawan kopi pekat, kan. Memang heaven sangat.

Kalau kita tengok resipi kari ikan ni lebih kurang sahaja bahan-bahan yang digunakan setiap orang. tapi kenapa agaknya rasa kari yang kita buat tak menepati citarasa dan sesedap mak kita kat kampung buat. Sebenarnya selain dari isu airtangan orang yang masak ada yang lebih penting menjadi kunci kesedapan kari ikan iaitu teknik memasak. 

Tipsnya adalah ketika menumis, pastikan guna minyak yang banyak tapi janganlah terlampau banyak macam kita nak goreng ikan tu. Istilah banyak tu maksudnya cukup dan sesuai untuk menumis segala bawang dan rempah. Untuk kesihatan gunalah minyak jagung ye. 

Pastikan guna api perlahan sehingga rempah pecah minyak dan setelah itu barulah tambahkan air dan santan. Selepas masukkan santan kenalah pula kacau sesekali sampai kuah kari mendidih untuk pastikan santan tidak pecah minyak (terpisah dari kuah). Setelah kuah mendidih barulah masukkan isi ikan dan renih hingga kari masak.

Kalau style mak kita di kampung memang guna kelapa parut untuk buat kari. Selalunya asam jawa diramas sekali dengan kelapa parut dan perah untuk mendapatkan santan nya. Cara ini juga menghasilkan kari yang enak dan menghilangkan hanyir ikan yang dimasak, tetapi kalau guna santan kotak pun tak ada masalah dan tetap juga sedap.

Untuk rasa kari yang lebih sedap, masaklah sehari sebelum dihidangkan sebab rasa rempah dan santan akan menjadi lebih sebati. Bila dipanaskan kuah akan menjadi pekat dan rasa kari akan lebih sedap lagi.

Jom tengok resipi kari ikan siakap simple dan sedap yang saya sediakan dibawah ini. Maaflah gambar resipi agak sendu sikit dan pencahayaan pun tak cantik. Tak apalah yang penting ilmunya...ye tak? :) 
KARI IKAN SIAKAP YANG SIMPLE DAN SEDAP
Bahan-bahannya
1 ekor ikan siakap saiz sederhana - dipotong dan bersihkan
2 peket kecil rempah kari ikan + 1 sudu besar serbuk cili (saya guna BABA'S)
1/2 sudu besar asam jawa diramas dengan 2 mangkuk air (ambil jusnya)
3 pelepah daun kari
2 biji cili hijau - dipotong 1 inci
2 sudu teh halba campur
10 biji kacang bendi
2 biji tomato - dibelah 4
1 cawan santan

Bahan tumbuk/ hiris halus:
1 inci halia
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar

Cara-caranya :

1. Masukkan serbuk rempah kari bersama 1 sudu besar serbuk cili kedalam mangkuk kecil. Larutkan dengan sedikit air (pes agak pekat jangan terlampau cair)

2. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk dan halba campur hingga bangkit bau. Guna minyak yang agak banyak untuk menumis dan untuk kesihatan sebaiknya gunalah minyak jagung.
3. Masukkan pula pes rempah kari, daun kari dan cili hijau. perlahankan api dapur dan renih hingga rempah pecah minyak dan benar-benar masak.
4. Seteruskan masukkan air asam jawa dan santan, masak hingga mendidih.
5. Masukkan ikan, garam dan sedikit serbuk perasa(jika suka). Biarkan mendidih. Setelah itu masukkan pula kacang bendi dan tomato dan masak lagi hingga kacang bendi empuk. 


6. Setelah masak bolehlah dihidangkan dengan nasi putih ataupun enak juga digandingkan bersama roti.
Assalamualaikum,

Antara menu kegemaran saya adalah Kari Hijau Ayam ala Thai. Kalau buat untuk berbuka saya akan simpan untuk bersahur. Semakin di panaskan makin sedap rasanya kerana menyatu dengan rempah.

Dalam entry ini juga saya masukkan resipi pes kari hijau yang memang mudah disediakan. Kalau buat banyak pes ini boleh disimpan lama didalam peti sejuk dengan syarat bekas simpanan hendaklah benar-benar kering. Kalau nak tumis dahulu sebelum simpan pun boleh juga. Selain dari di rampai menjadi kari hijau bersama ayam, saya juga masak bersama udang dan ketam. 

Jom tengok resipi dibawah ni...maaflah ye bulan ramadhan ni tak sempat saya nak shoot step by step seperti entry hari biasa.

KARI HIJAU AYAM
500gm ayam - di potong kecil 
1 cawan santan kelapa
2 sudu besar pes kari hijau 
2 sudu besar sos ikan 
4 helai daun limau purut - dibuang uratnya
1/2 cawan terung pipit
1 sudu besar gula
3 tangkai daun kemangi 
1 cawan air

Cara memasak :

1. Panaskan minyak, tuang separuh dari santan dan pes kari hijau kedalam periuk dan masak sambil dikacau selalu menggunakan api sederhana.

2. Masukkan ayam dan kacau perlahan agar bersalut dengan rempah kari hijau yang ditumis tadi. Bila ayam separuh masak, masukkan pula baki santan dan 1 cawan air.

3. Renihkan selama 10minit sehingga ayam masak sepenuhnya dan masukkan terung pipit. Masukkan juga sos ikan dan gula pasir. Kari hijau sepatutnya mempunyai kombinasi rasa pedas,masin dan manis. 


4. Akhir sekali masukkan hirisan cili merah(saya tak letak sebab dah habis stok) dan daun limaupurut. Biarkan mendidih seketika dan masukkan pula daun kemangi. Matikan api dapur dan bolehlah dihidangkan.


PES KARI HIJAU
100gm cili besar hijau
16 tangkai cili padi hijau
50gm daun ketumbar
3 batang serai - dipotong pendek
1/2 inci lengkuas - dihiris nipis
1 biji limau purut  - diambil kulitnya sahaja
2 helai daun limau purut - dibuang tulang tengahnya 
10 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
2 sudu teh belacan
2 sudu teh garam

Bahan B - Kisar Halus
1 1/2 sudu teh biji jintan putih
1 sudu besar ketumbar
1 sudu besar lada hitam

Cara membuatnya :

1. Kisar kering bahan B hingga hancur dan halus. Ketepikan seketika.

2. Kisar bahan keras iaitu serai dan lengkuas terlebih dahulu hingga hancur. Masukkan pula daun ketumbar, cilipadi hijau, cili hijau dan serbuk rempah (bahan B) yang telah dikisar tadi bersama garam dan kisar lagi hingga hancur.

3. Seterusnya masukkan daun limau purut, kulit buah limau purut, bawang merah, bawang putih dan juga belacan kedalam blender dan kisar hingga halus.

4. Maka siaplah pes kari hijau dan boleh digunakan untuk menumis.
Assalamualaikum, 

Sekarang musim mangga muda disini dan sejak masuk kerja selepas habis tempoh cuti dua hari lepas, ada sekotak besar mangga muda yang dihantar oleh teman saya tergeletak di penjuru 'pantry' pejabat. Alhamdulillah, rezeki tak perlu nak susah payah cari kat pasar dah. Tapi staff kat pejabat ni dah puas menyicah mangga tu dengan kuah rojak, masih banyak berbaki. 

Sudahnya saya bawa balik kerumah beberapa biji dan malam tadi terhasil lah dalca mangga muda. Sedap sangat cicah dengan capati untuk sarapan pagi ni. Nak buat dalca mangga muda ni pun simple sahaja. Tak banyak bahan yang digunakan. Selain daripada digandingkan dengan roti ataupun capati, dalca mangga muda ini juga sesuai dimakan dengan nasi. 

Nak cuba masak dalca mangga muda ni dirumah? Jom kita lihat resipinya.
DALCA MANGGA MUDA
Bahan-bahan
250gm kacang dal
1 biji mangga muda - dikupas dan potong dadu 
2 labu bawang besar - dimayang 
2 tangkai cili hijau - di belah 
1 biji tomato - di dadu 
1 sudu besar serbuk kunyit 
1 sudu besar serbuk cili 
garam secukup rasa

Bahan Tumisan (B)
1 sudu teh biji sawi 
1 sudu teh jintan putih 
8 tangkai cili kering 
2 ulas bawang putih - di ketuk
2 tangkai daun kari 
5 sudu besar minyak masak

Cara membuatnya :

1. Rebus kacang dal hingga lembut, tambahkan lagi air jika kering.

2. Masukkan mangga muda, bawang besar, cili hijau dan tomato kedalam rebusan kacang dal sambil dikacau sesekali. 

3. Setelah itu masukkan serbuk cili dan serbuk kunyit. Masak lagi hingga kacang dal benar-benar lembut sambil dilenyek dengan senduk agar mangga muda  dan kacang dal hancur. Perasakan dengan garam.

4. Didalam kuali lain panaskan minyak masak dan tumis semua bahan-bahan B dan setelah berbau wangi, garing dan kekuningan, tuang bahan tumisan termasuk minyak kedalam periuk berisi kacang dal tadi. 


5. Kacau hingga bercampur dan bolehlah dihidangkan.

Assalamualaikum, 

Hari ini kita berkongsi resipi Kari Ayam Nyonya pula. Resipi asalnya saya ambil di SINI dan jujurnya saya belum pernah merasa kari ayam nyonya sebelum ini. Apa yang boleh saya katakan bau harum masakan ni memenuhi ruang dapur terutama sekali ketika menumis rempah yang dikisar dan rasanya sungguh lazat sekali. Saya gandingkan dengan nasi minyak serta sambal udang aroma wangi iaitu entry saya sebelum ini.

Untuk resipi nasi minyak tu inshaAllah kalau tak ada aral esok saya masukkan. Hari ni kita layan resipi Kari ayam nyonya dahulu...jom. 

KARI AYAM NYONYA
Bahan-bahan :
1 ekor ayam - (saya hanya gunakan 1/2 ekor ayam) 
3 biji kentang -  dipotong baji 
200ml santan pekat (lebihkan santan jika suka rasa lemak)
1 tangkai daun kari 
garam dan gula secukup rasa

Bahan tumis
1 bunga lawang 
1 bunga cengkih
1 inci kulit kayu manis
5 sudu besar minyak masak
1 ½ cawan air

Rempah / dikisar 
3 ulas bawang putih
18 ulas bawang merah
12 tangkai cili kering (rendam dalam air panas dan tapis bijinya)
1 inci kunyit hidup
1 sudu besar biji ketumbar 
1 sudu teh jintan manis 
1 sudu teh jintan putih
1/2 inci belacan - dibakar sebentar 
1 batang serai


Cara membuatnya : 

1. Panaskan kuali, masukkan minyak masak dan tumis kulit kayu manis, bunga lawang  dan bunga cengkih. Masukkan pula rempah kisar dan kacau hingga pecah minyak.


2. Masukkan ayam, kentang, daun kari dan kacau seketika. Seterusnya masukkan air, tutup kuali dan renihkan dengan menggunakan api dapur yang kecil hingga ayam dan kentang lembut.


3. Masukkan santan pekat dan renih lagi sehingga isi ayam lembut dan sebati dengan kuah. Jika kurang kuah bolehlah tambahkan sedikit lagi air.


4. Setelah benar-benar masak, matikan api dapur dan hidangkan dengan nasi. Sedap juga jika gandingkan dengan roti jala ataupun nasi minyak.

Assalamualaikum,

Amboi...sejak balik dari shooting dengan TV3 untuk rancangan tajaan Baba's sepi sahaja blog ni kan. Jadi hari ini saya masukkanlah resipi simple kari udang pisang muda, sejenis masakan kampung. Sebenarnya saya masak dan shoot dah lama cuma nak mengarang resipinya dan edit masuk ke blog punyalah bertangguh-tangguh.

Masa saya beli pisang muda ni dipasar ada seorang adik ni dalam usia pertengahan 20an macam tu tegur saya. Dia tanya apa rasanya pisang muda ni, macamana nak masak dan berbagai lagi pertanyaan. Saya bagi link dan pesan nanti tengok resipi di blog. Ada disediakan langkah demi langkah yang mudah. Dan....itu dah hampir sebulan dulu tau. Baru hari ni saya update resipi ni dalam blog dan harap dia membaca. Untuk yang tak pernah merasa isi pisang muda yang dimasak lemak ataupun masak kari, sebenarnya rasa isinya lemak-lemak dan tekstur seperti biji cempedak rebus ataupun ubi keledek macam tu lah. Kalau gandingkan dengan udang lagilah sedap.

Baiklah jom kita layan resipi Kari Udang Pisang Muda dibawah ni.

KARI UDANG PISANG MUDA
Bahan-bahan
300gm udang - saiz sederhana
3 biji pisang muda (saya guna pisang abu)  – di kupas kulitnya dan potong
2 labu bawang besar – dimayang
1 sudu teh halba campur
1 biji tomato - dicincang
3 tangkai cili hijau – dibelah dan potong dua
1/2  inci halia – ditumbuk
2 ulas bawang putih - ditumbuk
2 tangkai daun kari
1 cawan air asam jawa
3 sudu besar serbuk cili
2 sudu besar serbuk kunyit
air secukupnya - ikut kepekatan kuah yang diingini
Garam dan gula secukup rassa

Cara membuatnya :

1.       Panaskan minyak didalam kuali, tumis halba campur, daun kari, cili hijau, bawang besar dan kacau hingga wangi. Masukkan pula tomato dan kacau lagi.

2.       Setelah itu masukkan halia dan bawang putih. Jangan lupa masukkan juga  pisang muda kedalam bahan tumisan. Kacau lagi hingga semua bercampur.

3.       Masukkan serbuk kunyit, serbuk cili, air asam jawa serta  air secukupnya untuk kuah.

4.       Renihkan hingga pisang agak empuk barulah masukkan udang. Perasakan dengan garam dan dan setelah masak sepenuhnya bolehlah matikan api dapur dan hidangkan bersama nasi putih dan lauk-lauk yang lain.
Selamat berhujung minggu untuk semua pengunjung yang sudi masuk ke blog ini. Bagi yang bercuti dah rancang ke nak masak apa untuk keluarga? Kalau saya, alhamdulillah dah siap masak yang ringkas-ringkas je dan salah satu dari lauknya adalah Kari Ketam Tanpa Santan. Walaupun tak letak santan kari ini tetap sedap dan sudah tentu menyihatkan juga.  Kari ini juga saya tak letak serbuk kari tetapi hanya guna serbuk kunyit dan serbuk cili. 

Bagi yang nak cuba masak dirumah bolehlah ikut resipi dibawah ini :) 

KARI KETAM TANPA SANTAN 
Bahan-bahan 
4 ekor ketam - dibersihkan 
4 tangkai cili hijau - di belah dan potong dua
2 pelepah daun kari 
3 tangkai daun bawang 
2 ulas bawang putih - ditumbuk kasar  
1/2 inci halia - ditumbuk kasar
1 labu bawang besar - dimayang halus 
3 sudu besar minyak masak untuk menumis
1/2 cawan air asam jawa
3 cawan air
1 sudu besar serbuk kunyit 
2 sudu besar serbuk cili (kalau suka pedas boleh letak lebih)
Garam secukup rasa

Cara membuatnya :

1. Tumis bawang putih, halia dan bawang besar dan kacau dengan sudip hingga berbau wangi.

2. Masukkan daun kari dan daun bawang sambil dikacau sebentar seterusnya masukkan ketam sambil dikacau dan balik-balikkan. Seterusnya masukkan air asam jawa dan serbuk kunyit serta serbuk cili.
3. Tuang air kedalam kuali dan renih kari hingga mendidih.

4. Perasakan kari dengan garam dan renih lagi hingga kuah agak pekat dan sebati dengan isi ketam.

5. Setelah kari masak bolehlah dihidangkan dengan nasi panas dan lauk pauk yang lain.

Assalamualaikum, 

Ada yang suka makan tak biji cempedak rebus atau lepas makan cempedak goreng yang masih panas-panas, turut makan bijinya juga. Siapa tu? Sayalah orangnya..hihihi. 

Kalau yang pernah makan mesti tahu bahawa biji cempedak sangat lemak dan sedap. Tapi ada juga yang tak makan biji cempedak ni kerana takut perut berangin. Bagi saya apapun kalau dimakan berlebih-lebih pasti mendatangkan mudarat. Setakat seketul dua tak jadi masalah...sambil makan sambil mengimbau kenangan masa kecil. Dulu saya selalu tertunggu-tunggu ibu rebus biji cempedak. Sedap...biji cempedak direbus dengan sedikit garam sampai lembut dan merekah buat kudapan dipetang hari. Memang seronok membesar sebagai budak kampung walaupun makanan tak semewah seperti anak-anak zaman sekarang.

Hari ni saya ingin berkongsi resipi kari udang biji cempedak yang saya masak minggu lepas kerana teringin. Sebelum digulaikan, rebus sebentar biji cempedak dan kupas nipis kulit luarnya. Resipi kari ni biasa sahaja macam kita masak selalu tu.

KARI UDANG BIJI CEMPEDAK
Bahan-bahan 
300gm udang hidup - di bersihkan
3 ulas bawang merah 
1 ulas bawang putih 
1 sudu teh halba campur
2 tangkai daun kari
1 kiub ikan bilis 
1 cawan santan 
2 cawan air 
1 bungkus serbuk kari ikan - bancuh dengan sedikit air, jadikan pes
2 tangkai cili besar
1 biji tomato 
minyak untuk menumis
20biji - biji cempedak, direbus hingga agak lembut dan kupas kulit luarnya

Cara memasak:

1. Panaskan minyak, tumis halba campur bersama bawang merah, bawang putih dan daun kari hingga berbau wangi.


2. Masukkan pula serbuk kari dan kacau hingga pecah minyak. Setelah itu masukkan pula air sambil dikacau.

3. Seterusnya masukkan biji cempedak dan renih sehingga lembut.

4. Masukkan santan bersama tomato, cili besar dan perasakan dengan kiub ikan bilis. Jika kurang masin masukkan sedikit garam.

5. Akhir sekali masukkan udang dan renih hingga masak.