-->
Memaparkan catatan dengan label DONUT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DONUT. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 

Salam jumaat penghulu segala hari. Perkongsian resipi untuk petang ini adalah Donat Gebu. Enak dimakan begitu sahaja, disalut dengan gula kastor ataupun di hias dengan toping coklat. Ada banyak resipi donat dalam blog ini dan untuk langkah demi langkah cara membuatnya bolehlah klik dipautan INI 

Untuk resipinya bolehlah ikut dibawah ini. Selamat mencuba ye ;) 

DONAT GEBU 
Bahan-bahan
160gm tepung gandum 
2 sudu besar mentega
1 sudu teh serbuk penaik 
2 sudu besar gula pasir
1 ½ sudu teh yis
60ml susu segar 
1 biji telur 
½ sudu teh esen vanila

Hiasan : Coklat masakan secukupnya - cairkan (double boil)
Kacang badam cincang secukupnya

Cara membuat :

1. Dalam bekas, masukkan susu segar, yis dan gula. Biarkan hingga berbuih

2. Gunakan bekas yang lain, masukkan tepung. Buat lubang ditengah-tengahnya dan pecahkan telur. Masukkan juga esen vanila.

3. Seterusnya tuang campuran susu segar dan yis tadi kedalam tepung dan mulalah menguli. Masukkan juga mentega dan uli selama 15minit atau sehingga doh menjadi licin dan tidak melekat pada bekas.

4. Rehat doh selama 45 minit dan tutup bekas adunan dengan tuala dapur. Setelah cukup masa, keluarkan doh dan tumbuk untuk keluarkan angin.

5. Canai doh jangan terlalu nipis atau tebal. Terap menggunakan penerap donat dan rehatkan lagi dalam 30minit.

6. Goreng dalam api sederhana sehingga masak dan setelah sejuk salutkan dengan gula kastor atau boleh juga disalut dengan coklat masakan yang telah dicairkan. Boleh taburkan badam cincang.

Nota : Jika adunan lembik dan melekat pada tangan semasa menguli, tekapkan tangan anda pada tepung dan teruskan menguli.
Assalamualaikum,

Lama rasanya tak update blog, hari ni saya masukkanlah resipi Donat Gebu dan Lembut ataupun donat maizena@yunda yun yang dah lama terperap dalam draft. Untuk entry kali ini tidak ada langkah demi langkah ye sebab dah selalu saya letak pada entry donat dalam blog ini dan stepnya pun sama sahaja.

Resipi ini memang menghasilkan donat yang gebu serta lembut. Jika rasa adunan lembik dan melekat-lekat di jari semasa proses menguli, bolehlah tambahkan lagi tepung gandum dan uli hingga elastik membentuk tekstur doh yang dikehendaki.    

Saya suka menikmati donat yang digolek kedalam gula kastor tapi si bongsu pula suka celup kedalam nutella. Memang serasi betul gandingan nutella dengan donat gebu dan lembut ni..sedap. Jom lihat resipi.

DONAT GEBU DAN LEMBUT
500 gram tepung gandum
200 ml air suam       
75 gram margerin        
5 sudu makan gula pasir       
5 sudu makan susu tepung     
5 sudu makan tepung jagung     
2 biji telur
1 bungkus yis (11 gram)

Cara membuatnya:

1. Campurkan air dan yis di dalam gelas dan biarkan selama kira-kira 5 minit hingga berbuih.

2. Masukkan semua bahan kecuali kecuali margerin kedalam mangkuk besar. Masukkan juga larutan yis tadi dan kacau rata, kemudian baru masukkan margerin.

3. Uli hingga doh elastik dan tambahkan tepung gandum sedikit jika rasa masih terlalu lembik dan melekat di tangan.

4. Tutup doh menggunakan kain dan biarkan selama 30 menit hingga naik. 
Seterusnya bahagikan doh mengikut ukuran yang dikehendaki, bentuk dan bulatkan doh dan biarkan lagi doh naik selama 20 menit.

5. Tekan doh menjadi agak tipis, kemudian lubangkan bahagian tengahnya dengan telunjuk.Goreng donat menggunakan api kecil.

6. Angkat dan toskan donat dan setelah sejuk bolehlah digolek kedalam gula kastor ataupun boleh juga letakkan topping yang sesuai mengikut selera.

Assalamualaikum, 


Sekarang ni tengah viral keria gula melaka tapi saya sendiri pun belum berkesempatan untuk cuba membuatnya. Bila tengok ramai teman di media sosial berkongsi gambar keria gula melaka buatan masing-masing memang teringin sangat nak try tetapi belum ada kesempatan buat masa ini. 

Hari ini saya ingin berkongsi kuih yang dihasilkan dengan keledek juga iaitu Donat keledek ungu. Resipi dan gambar ini sebenarnya pernah disiarkan bersama 5 lagi resipi minum petang buatan saya dalam Majalah Saji Keluaran Disember 2016.

Untuk yang tidak berkesempatan membeli majalah keluaran Disember tu mulai hari ini saya akan kongsikan resipinya satu persatu didalam blog ini tetapi ada yang sempat saya ambil gambar step by step dan ada pula yang hanya sempat shoot gambar final sahaja. 

Jom kita lihat resipi dan cara membuatnya :) 

DONAT KELEDEK UNGU
Bahan-bahan
125gm keledek ungu - Kukus dan lenyek
275gm tepung protein tinggi
1 sudu teh yis
50gm  gula pasir
1 biji kuning telur
110ml air suam
2 sudu besar margerin

Cara Membuatnya:

1. Campur tepung protein tinggi, ubi ungu, yis, gula, dan kuning telur. Kacau  rata dan uli sambil di tuang air sedikit demi sedikit.
2. Masukkan margerin dan teruskan menguli hingga hingga doh menjadi elastik.
3. Rehatkan doh selama 30 menit dan bolehlah ditimbang kira-kira 30gm tiap satu. Bulatkan adunan dan buat lubang ditengahnya. Boleh juga guna acuan donat.
4. Rehatkan lagi adunan selama lebih kurang 20minit. Panaskan minyak dan goreng dengan api kecil hingga masak. Tabur gula icing ataupun boleh juga hiaskan dengan coklat dan kekacang.



Resipi ini pernah disiarkan dalam Majalah Saji edisi Disember 2016

Assalamualaikum, 

Donat memang kesukaan anak-anak saya tak kiralah di letak topping atau cukup ditabur dengan gula icing sahaja. Membuatnya pula tidaklah sesukar mana, apalagi jika guna resipi asas seperti donat kampung ini. Ianya tidak menggunakan telur tetapi tetap naik gebu. Bahan-bahan yang digunakan pun semua ada didalam dapur rumah kita.

Dalam cuaca panas macam sekarang ini adunan senang naik kalau diperap, tetapi jika ingin mempercepatkan proses doh mengembang, boleh juga letakkan mangkuk yang berisi adunan yang telah diuli dan tutupkan dengan kain di atas oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu  tetapi telah dimatikan apinya. Ini hanyalah cadangan, tetapi jika perapkan pada suhu ruang pun ok juga, dan donat tetap menjadi. 

Nak cuba buat resipi donat kampung yang simple ini sendiri dirumah? Jom kita lihat resipinya :) 

DONAT KAMPUNG  
Bahan-bahan
250gm tepung gandum
1 sudu besar gula pasir
1 sudu besar susu tepung
125ml air sejuk dari petiais
1 sudu besar marjerin
1/2 sudu teh yis + 1/4 sudu teh gula pasir + 1 sudu besar air suam, campur kesemuanya dan biar sampai berbuih.

Cara membuatnya:

1. Campur tepung,gula pasir,susu tepung,bancuhan yis yang telah berbuih dan air sambil di uli. Masukkan marjerin kemudian uli lagi selama lebih kurang 15minit iaitu sehingga adunan kenyal dan tidak lekat ditangan.

2. Masukkan adunan kedalam mangkuk besar dan tutup dengan kain atau plastik agar adunan mengembang.

3. Supaya adunan cepat naik dan cantik mengembang, boleh juga letakkan mangkuk yang berisi adunan tadi di atas oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu tetapi telah dimatikan apinya selama 20minit. 

4. Setelah itu keluarkan doh dan tekan-tekan untuk mengeluarkan angin. Perapkan lagi adunan selama lebih kurang 30minit dan bolehlah diterap dengan acuan donat. 

5. Biarkan lagi selama lebihkurang 10 minit dan bolehlah digoreng. 

6. Setelah masak dan disejukkan, ayak gula icing keatas donat dan bolehlah dinikmati.  


Assalamualaikum, 

Salam pagi isnin dan selamat memulakan kerja bagi yang bercuti hari minggu semalam. Hari ini sekolah pun dah mula buka seperti biasa, dan rutin berputar lagi. 

Dah lama tak update blog, kan...jadi hari ini bolehlah kita sama-sama berkongsi resipi untuk dicuba. Sebenarnya roti kentang guna doh donat ini saya buat masa cuti sekolah minggu lepas untuk anak bujang bawa balik keasrama setelah cuti berakhir. Resipinya saya ambil dari blog Yatie memories...terimakasih ye yatie :) Saya Buat dua adunan...satu adunan saya buat donat dan satu adunan lagi ni saya bentukkan menjadi bun. Tekstur rotinya...benar-benar lembut dan puas makan. 

Saya hanya menggunakan tangan untuk menguli, cuma adunannya agak lembik dan melekat di tangan sedikit ketika menguli tapi percayalah, memang berbaloi mencuba kerana rotinya memang mantap dan lembuutt sangat. 

ROTI KENTANG DARI DOH DONAT 
Bahan-Bahan
500 gram tepung gandum (saya guna tepung protin tinggi)
200 gram kentang yang telah direbus - dilenyek
4 sudu besar susu tepung
1 biji telur (dipukul sedikit)
200 ml air suam
3 sudu besar marjerin
3 sudu besar gula
2 sudu teh yis
sedikit bijan

Bahan B - Dipukul (untuk disapukan atas roti) 
1 biji telur
1/2 cawan susu segar
beberapa titis madu

Caranya.

1. Masukkan semua bahan (kecuali bijan) dalam bekas adunan dan uli hingga tidak melekat pada tangan. Jika menguli dengan tangan, masukkan air sedikit demi sedikit dan pastikan Doh betul-betul lembut. Uli selama 8 hingga 10 minit. 
2. Kemudian perap doh dan tutup bekas adunan dengan plastic wrap dan biar doh naik dua kali ganda. Masa perapan lebih kurang 40 minit atau 1jam.

3. Selepas itu tumbuk-tumbukkan doh bagi mengeluarkan angin. bahagi doh pada beberapa bahagian kecil dan susun didalam loyang. Biarkan adunan naik  dua kali ganda.
4. Panaskan oven pada suhu 170'c dan sapu permukaan doh tadi dengan bahan B, taburkan sedikit bijan. Bakar didalam oven selama 15 - 20minit dan sapukan dengan mentega sebaik sahaja roti keluar dari oven.

Assalamualaikum, 

Selamat berhari minggu dan dah sarapan atau belum? Sedap juga kalau bersarapan dengan kuih atau hidangan yang kita sediakan sendiri di rumah ye. Resepi donut yang saya ingin kongsikan hari ni sesuai sekali di sediakan untuk keluarga bersarapan pagi atau minum petang sebab walaupun di biarkan hingga keesokkan harinya donut resepi ini tetap lagi lembut dan sedap.

Seperti biasa saya sediakan langkah demi langkah cara membuatnya dan di harap membantu kepada yang baru nak belajar buat donut khususnya anak-anak yang sedang cuti sekolah yang ingin mencuba.

Jom kita lihat :)
DONUT - Step by Step
160gm tepung gandum (saya guna superfine)
2sudu besar mentega
1sudu teh baking powder
2sudu besar gula
1 1/2sudu teh yis
60ml susu segar
1biji telur
1/2 sudu teh vanilla

Cara membuatnya :

1. Di dalam sebuah bekas : Masukkan susu segar, yis dan gula. Biarkan hingga berbuih.

2. Di dalam bekas yang lain, masukkan tepung. Buat lubang di tengah-tengahnya dan pecahkan telur. Masukkan juga esen vanilla.
3. Seterusnya tuang campuran susu segar dan yis tadi kedalam tepung dan mulalah menguli . Masukkan juga mentega dan uli selama 15 minit atau sehingga doh menjadi licin dan tidak melekat pada bekas. Jika adunan lembik dan melekat pada tangan, tekapkan tangan anda pada tepung dan terus menguli.
4. Rehatkan doh selama 45minit dan tutup bekas adunan dengan tuala dapur. Setelah cukup masa, keluarkan doh dan tumbuk untuk keluarkan angin.
5. Canai doh jangan terlalu nipis atau tebal. Terap menggunakan penerap donut dan rehatkan lagi dalam 30minit.

6. Goreng dalam api sederhana hingga masak dan setelah sejuk, salutkan dengan gula kastor atau boleh juga salutkan dengan coklat masakan yang telah di cairkan.