-->
Memaparkan catatan dengan label BINGKA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BINGKA. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 

Salam petang jumaat, penghulu segala hari. perkongsian hari ini adalah bingka serikaya. Resipi bingka ini perkongsian dari rakan blogger iaitu yatie memories dan resipi asal dari kak Fida - MyR. Tentang rasa bingka ini, hmm memang sangat enak dan sesuai dengan selera. Adunannya tidak letak gula dan rasa manis-manis buah bingka ini hanya bersumberkan dari serikaya yang menjadi bahan utama dalam resipi ini. 

Memang rugi sesiapa yang tidak mencubanya. Resipi asal letak 1 sudu besar mentega yang telah dicairkan tetapi saya terlupa pula nak cairkan mentega terlebih dahulu tetapi alhamdulillah menjadi juga. Kalau nak gantikan mentega dengan minyak masak pun boleh juga. Baiklah, saya kongsikan sekali lagi resipi Bingka serikaya dibawah ini dan selamat mencuba ye ;) 
BINGKA SERIKAYA
Saiz loyang (8in x 8in) 

Bahan-bahan 
1 tin kaya (480gm) 
4 biji telur
200 ml santan pekat - guna santan kotak 
200 ml susu cair
1 sudu kecil esen vanilla
1 sudu besar minyak/mentega cair
180 gm tepung gandum - diayak
Sedikit pewarna kuning (atau hijau jika mengguna kaya pandan) 

Cara membuatnya:

1. Campur semua bahan kecuali tepung dan pewarna dan kacau hingga sebati.

2. Masukkan tepung serta pewarna dan kacau lagi hingga adunan sebati. 



3. Tuang adunan ke dalam loyang/acuan bergris, tabur bijan jika suka.

4. Bakar pada suhu 180C selama 30min atau hingga bingka kelihatan garing. Sejukkan bingka, potong dan sajikan. Bingka ini juga enak dimakan ketika suam.

Assalamualaikum,

Salam jumaat penghulu segala hari. Hari ini perkongsian resipi  bingka ubi kayu gula merah yang bagi saya sungguh lazat dan lembut . Yang paling saya suka sekali rasanya juga kurang manis kerana menggunakan gula merah sepenuhnya yang dicairkan bersama ½ cawan air. 

Untuk ubi kayu parut pula saya tidak perah airnya dan terus sahaja timbang sebaik sahaja selesai proses  memarut.  

Kalau nak cuba buat bingka ubi kayu gula merah yang sedap ini bolehlah lihat resipi dan langkah demi langkah yang saya sediakan dibawah.

BINGKA UBI KAYU GULA MERAH
600gm ubi kayu - diparut
1 kotak santan (200ml) - Dicampur dengan sedikit air menjadi 1 cawan metrik
1 cawan gula merah  - Cairkan dengan 1/2 cawan air dan tapis
30gm mentega - cairkan
1 biji telur - dipukul ringan
secubit garam


Cara membuatnya :


1. Panaskan oven pada suhu 180'c kira-kira 10minit sebelum membakar bengkang.

2. Parut ubi kayu dan timbang sebelum masukkan kedalam mangkuk besar. Tuang air gula merah kedalam mangkuk tersebut diikuti oleh telur, garam  dan mentega cair

3. Kacau campuran ubi kayu parut dan bahan-bahan tersebut hingga bercampur rata.

4. Sapu 1/2 sudu besar mentega didasar dan bahagian tepi loyang dan panaskan sebentar. Seterusnya tuang adunan kedalam loyang  

5. Bakar kira-kira 1 jam atau sehingga masak dan setelah bengkang sejuk bolehlah dipotong dan hidangkan.

Assalamualaikum, 

Bila anak-anak semua berkumpul, sebagai ibu bersemangat sangat rasanya nak sediakan makan minum kerana apa yang dihidangkan pasti mendapat sambutan. Kuih@Bingka Bakar Jagung ini saya sediakan sebagai sarapan pagi tadi. Sedapnya alahai...dah lama tak buat kuih ini dan seingat saya kali terakhir saya buat dulu pada bulan ramadhan tahun lepas. Punyalah lama sampai nak jumpa bulan ramadhan sekali lagi..kan.

Bagi yang belum pernah buat kuih@bingka bakar jagung ni janganlah takut pula untuk mencuba bila melihat adunan kuih ini agak cair. InshaAllah pasti menjadi ...cuma pastikan anda kenal dengan suhu oven masing-masing.

Anak sulung saya pula suka sangat makan bingka ini selepas disejukkan didalam petiais kerana katanya rasa bingka ini lebih sedap seakan-akan puding. Pendek kata memang kuih@bingka bakar jagung ini sedap walaupun dihidangkan panas ataupun sejuk.

KUIH@BINGKA BAKAR JAGUNG
Sumber : Zana08 - MyResepi

Bahan-bahan
1 cawan tepung gandum
1 cawan santan
1 cawan susu sejat
3/4 cawan gula
2 biji telur
2 sudu mentega - cairkan 
1 tin jagung manis krim
sedikit pewarna kuning
1 sudu teh esen vanila
sedikit bijan 

Cara membuatnya :

1. Blend semua bahan hingga sebati kecuali jagung dan bijan.

2. Masukkan jagung dan "blender" sebentar sahaja.

3. Tuangkan dalam loyang dan taburkan bijan jika suka.

4. Bakar pada suhu 180 C selama 1 jam atau sehingga masak. Untuk mendapatkan permukaan atas yang berkerak setkan kepada api atas sahaja pada 10minit terakhir.

Assalamualaikum, 


Bingka telur ni saya buat untuk minum petang dengan keluarga pada hari minggu yang lepas. Idea nak buat bingka ni timbul bila melihat rimbunan daun pandan yang menjadi-jadi dibelakang rumah ibu dan tidak terurus. Bimbang juga jika makin dibiarkan jadi sarang makhluk berbisa...apalagi dimusim panas begini. Jadinya saya potong daun pandan, separuhnya saya simpul dan jadikan sebagai 'air freshner' dalam kereta, dalam almari pakaian dan separuhnya lagi simpan untuk buat kuih bingka telur.

Bila gunakan pati sebenar dari daun pandan yang dikisar buatkan bau wangi semerbak memenuhi dapur sampai ke ruang tamu ketika membakar bingka ini. Resipi bingka telur ini pula saya ambil disini dan dah ramai blogger yang mencubanya serta dah banyak berlegar di media sosial.

Bagi yang ingin mencubanya...saya kongsikan sekali lagi resipi di bawah ni. Jom lihat step by step tutorial yang saya sediakan.
BINGKA TELUR
Bahan-bahan
6 biji telur
2 cawan air daun pandan (atau 2 cawan air + pewarna kuning)
2 kotak santan (200ml x 2) atau santan pekat
3 cawan tepung gandum
2 cawan gula
1 sudu teh garam
4 sudu mentega -cairkan

Cara-cara

1. Gunting daun pandan secukupnya dan masukkan kedalam blender bersama 2 cawan air. Kisar hingga halus dan tapis.


2. Masukkan air pati pandan yang ditapis tadi kedalam blender bersih. Pecahkan telur kedalam mangkuk dan masukkan juga kedalam blender tersebut.


3. Masukkan juga gula pasir, tepung, garam, mentega cair dan santan kedalam blender dan kisar hingga halus dan tidak berketul.


4. Seterusnya masukkan 1 sudu minyak masak kedalam loyang, lengserkan  dan masukkan loyang kedalam oven. Bila loyang sudah panas, tuang adunan yang dikisar tadi dan masak dengan api atas dan bawah sehingga perang. Saya setkan oven pada suhu 180'c dan bakar selama 1 1/2 jam.


Assalamualaikum,


Ramadan makin menghampiri dan bekalan kurma juga dah banyak membanjiri pasaran dengan berbagai jenis jenama serta gred dari negara-negara timur tengah. Setiap tahun permintaan kurma amat tinggi dari negara-negara islam termasuk Malaysia menjelang Ramadan kerana ia adalah makanan sunnah di samping mengandungi nutrien yang tinggi dan menyegarkan tubuh setelah seharian berpuasa.

Selain dari dimakan begitu sahaja atau dikisar bersama susu sebagai minuman menyegarkan, buah kurma juga boleh dipelbagaikan didalam masakan mengikut kreativiti dan salah satunya resipi yang ingin saya kongsikan hari ini adalah bengkang kurma lemak manis. Bagi yang ingin mencubanya bolehlah ikut resipi dibawah ini :) 

Resipi ini saya gunakan sukatan cawan metrik

BENGKANG KURMA LEMAK MANIS
Bahan-Bahan 
1 cawan tepung gandum 
1/2 cawan gula perang 
2 biji telur 
1/2 sudu teh garam halus 
1 sudu teh esen vanilla
1 tin susu cair 
1 1/2 cawan santan
6 biji kurma - untuk di kisar kedalam adunan
6 biji kurma - untuk ditabur di atas bengkang 

Cara membuatnya: 

1. Sukat gula perang dan tepung gandum. Ketepikan seketika


2. Masukkan tepung gandum bersama gula perang, santan, susu cair garam halus, esen vanilla dan telur kedalam blender.


3. Masukkan juga buah kurma yng telah dibuang bijinya terlebih dahulu. Kisar hingga adunan tidak berbintil.


4. Seterusnya tuang adunan kedalam periuk, masak sambil dikacau dengan api kecil sehingga adunan agak berat (pekat). Tuang kedalam loyang yang telah disapu minyak dan tabur baki kurma yang telah dibuang biji.


5. Bakar pada suhu 180'c selama 45minit atau 1 jam (bergantung kepada kapasiti oven masing-masing). 

6. Setelah sejuk bolehlah dipotong dan hidangkan.
Assalamualaikum, 

Apa itu tepung suji? Ada yang pernah dengar tetapi belum pernah gunakannya dalam masakan. Hari ini saya ingin kongsikan bersama sedikit ilmu untuk yang belum tahu tentang tepung ini. Tepung suji terhasil daripada penyisihan kulit gandum ketika proses membuat tepung gandum. Warnanya sedikit keperangan dan berbutir-butir serta kadar proteinnya paling tinggi antara semua jenis tepung yang berasaskan gandum. Biasanya tepung ini digunakan untuk menghasilkan makaroni, spaghetti(berbagai jenis pasta), bijirin sarapan, puding, biskut dan juga kek.

Di samping itu tepung suji juga enak dibuat bingka. Kepada yang belum pernah mencuba rasa bingka suji, bolehlah ikut resipi ini. Rakan-rakan blogger telah ramai yang mencuba resipi yang sedap ini dan hari ini saya buat dan kongsikan pula diblog saya. 

BINGKA SUJI
Resipi asal : Jo's Deli & Bakery 

Bahan-bahan:
3 biji telur - Gred A
110gm gula kastor
160gm tepung suji
250ml santan pekat (saya campurkan santan kotak 200ml dengan 50ml air)
100ml jus pandan (kisar air dengan 6 helai daun pandan dan tapis)
1/4 sudu teh garam
340ml Air
90gm mentega
30gm tepung gandum - diayak

Cara membuatnya :

1. Gris loyang bersaiz 8 inci dengan mentega, ketepikan seketika.

2. Dalam mangkuk adunan, pukul telur dan gula sehingga gula larut. Tuang adunan tersebut kedalam periuk.
3. Masukkan tepung suji, santan, jus pandan, garam dan air kedalam adunan telur tadi.
4. Campurkan dan kacau sentiasa dengan spatula menggunakan api yang sederhana sehingga campuran menjadi pekat. Adunan sepatutnya menjadi seperti dalam gambar diatas ini.

5. Matikan api dapur, masukkan mentega dan tepung gandum. Kacau sehingga sebati dan tuangkan adunan ke dalam loyang yang disediakan.
7. Bakar dalam ketuhar yang bersuhu 190 ° C (375 ° F) selama 1 jam, sehingga perang keemasan.
8. Untuk 5 minit terakhir, set oven kepada api atas sahaja untuk mendapatkan kulit bingka yang perang keemasan serta rangup.

Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu untuk semua. Sarapan apa hari ini? Kalau saya disini cuma sempat sarapan baki bingka kacang hijau yang dibuat malam tadi sebagai alas perut kerana hari ini ada temujanji dengan klinik pergigian. Terpaksa lah keluar awal dari rumah kerana masa dah ditetapkan dalam kad rawatan.

Tak ada apa nak cerita panjang hari ni cuma nak beritahu, bingka kacang hijau yang resipinya saya cuba buat dari blog yatie ni memang sedap. Malam tadi sempat bawa untuk kerumah ibu dan dia pun puji sedap dan secukup rasa bingka ini.

Saya kongsikan sekali lagi resipinya dibawah ini bagi yang ingin mencubanya...

BINGKA KACANG HIJAU
sumber : yatiememories

Bahan-Bahan- (loyang 9x9 inci atau acuan pecah 8)

1 cawan gula pasir
2 cawan tepung gandum
1 cawan santan pekat
2 cawan air
2 sudu besar mentega/minyak sapi
3 biji telur
secubit garam
sedikit pewarna hijau dan perisa pandan
2 cawan kacang hijau yg telah di rebus- (bahagi dua)
bijan secukupnya

Cara-Cara:-

1. Satukan kesemua bahan bersama 1 cawan kacang hijau dan kisar hingga sebati.
2. Masukkan dalam periuk dan masak hingga sedikit pekat dan sentiasalah kacau guna spatula. Guna api yang sederhana sahaja.
3. Masukkan 1 cawan kacang hijau yang tidak di kisar tadi dan gaul rata.
4, Masukkan 1 sudu besar minyak dalam loyang dan oleskan rata. Boleh juga guna mentega.

5. Panaskan loyang dalam oven sebentar. Bila minyak/mentega telah panas, masukkan adunan tadi.
6. Taburkan bijan dan bakar pada suhu 180 C selama 1 jam 15 minit atau sehingga garing. Guna api atas dan bawah. Kalau nak garing lagi tambahkan masa dalam 5 minit guna api atas sahaja untuk permukaan kuih yang garing.