-->
Memaparkan catatan dengan label APAM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label APAM. Papar semua catatan
Assalamualaikum,

Hari ini saya buatkan Apam Eno Beras untuk sarapan pagi. Sayang, bila ada lebihan nasi lepas makan malam tadi masih berbaki. Nak goreng untuk anak-anak pun sikit sangat, tak lepas sepinggan jadi saya perapkan untuk buat Apam Beras Eno je. Resipi saya ambil dari blog yatiememories. Terima kasih yatie...saya kongsikan di blog ini pula ye. 

Oleh kerana aktiviti memerap adunan apam ini dilakukan seawal 4.30pagi maka tak adalah gambar step by step pada entry kali ini. Selepas perap saya terus tidur dan bangun semula kejutkan anak-anak ke sekolah. Dah memang tak sempatlah nak ambil gambar lepas tu. Hanya gambar akhir dah tersusun diatas daun pisang dan ditaburi kelapa parut sahaja yang ada dibawah ini.

Jom try buat apam eno beras...makin sedap lepas gaul dengan kelapa.

APAM ENO BERAS
Bahan-bahannya:
1 cawan nasi
1 ¼  cawan air
1 cawan gula pasir
2 cawan tepung beras
1 sudu kecil yis kering
1 paket kecil eno - (saya guna yang peket biru)

Cara-caranya:

1. Blender nasi dan air hingga hancur. Tambahkan gula, tepung beras dan yis. Blend sekali lagi hingga sebati.

2. Perapkan adunan tadi 4-5 jam.

3. Tambahkan pewarna jika suka, kacau perlahan. (saya tidak letak pewarna)

4. Tambahkan eno dan gaul sebati secara perlahan-lahan.

5. Masukkan dalam acuan kuih lompang yg telah di sapu sedikit minyak dan kukus selama lebih kurang 15 minit dengan api kuat. Setelah masak bolehlah dihidangkan dengan kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam.
Assalamualaikum, 

Lamanya saya tidak update blog. Mood kelaut betul lah semenjak dua menjak ini. Tetapi Alhamdulillah masih ada yang setia masuk ke blog ini walaupun dah dua minggu tidak update. Terima kasihlah saya ucapkan kepada semua.

Berbalik kepada entry, petang ini saya ingin kongsikan resipi apam mekar pandan yang resipi asalnya dari Ibu Fatmah Bahalwan tetapi saya ubah sedikit bahan-bahannya mengikut selera kerana saya agak kurang makan yang manis-manis. Lagipun air sprite/aiskrim soda tu pun dah manis rasanya. Resipi asalnya menggunakan 225gm gula pasir tetapi saya hanya gunakan 180gm.

Apam pandan saya memang mekar selepas dikukus...tetapi senyumannya agak malu-malu gitu. Mungkin sebab saya guna cawan kertas yang agak leper. 

Untuk dapatkan apam yang benar-benar mekar dari ini, pastikan kuatkan api dapur ketika mengukus, jangan lupa balut tudung kukusan dengan kain bersih dan ketika pukul adunan kena betul-betul gebu. Kalau dapat ikut semua langkah-langkah ini, pasti apam yang dihasilkan mekar setaman. Cubalah! 

APAM MEKAR PANDAN
180gm gula pasir
2 biji telur 
1 sudu teh ovelette
250gm tepung gandum
1 sudu teh baking powder
150ml air sprite atau aiskrim soda
1 sudu besar pandan emulco
.
Cara membuatnya :

1. Sediakan acuan apam dan alas dengan cawan kertas. Panaskan kukusan dengan api besar hingga beruap. 


2. Campur semua bahan menjadi satu, pukul selama 10 minit hingga adunan bercampur dan menjadi gebu.

3. Bahagikan kepada dua adunan dan masukkan pasta pandan kedalam satu bekas dan satu bekas lagi biarkan tanpa warna dan perasa.


4. Tuang adunan kedalam cawan kertas dan selang seli adunan pandan dan adunan biasa. Adunan perlu dituang hingga penuh cawan kertas agar apam berkembang mekar.


5. Kukus selama 20 menit dengan api besar. Jangan lupa bungkus penutup kukusan dengan kain untuk mengelak dari air menitis. Setelah masak bolehlah dihidangkan. 


Assalamualaikum,

Alhamdulillah hari ini kita dah melalui  2 Ramadhan 1437H dan semoga segalanya berjalan dengan lancar serta amalan puasa kita diterima, bukan sekadar lapar dan dahaga sahaja. InshaAllah pada bulan puasa ini Fiza's Cooking cuma akan siarkan entry blog pada waktu malam sahaja untuk menghormati bulan Ramadhan yang mulia.

Semoga dengan perkongsian yang tidak seberapa ini dapat memberi manafaat dalam menyediakan juadah berbuka ataupun bersahur untuk keluarga tercinta. Perkongsian pertama saya untuk bulan puasa tahun ini adalah Apam Beras yang resipinya telah banyak dicuba oleh blogger-blogger lain. Saya hanya tambahkan namanya sebagai Apam Beras Gebu Gebas, kerana apam ini amat lembut dan gebu serta enak sekali. Sangat sesuai untuk hidangan berbuka. 

Ingin cuba untuk hidangan berbuka esok? Jom kita lihat resipinya :) 
APAM BERAS GEBU GEBAS
Sumber : Hazila

Bahan Bahan 
1 cawan nasi 
2 cawan tepung beras 
1 cawan gula pasir 
1 3/4 cawan air 
1 sudu kecil yis segera 
1 peket kecil ENO 
Acuan apam 
Sedikit minyak masak 


Cara membuat :

1. Kisar nasi dengan air hingga halus.  


2. Kemudian masukkan tepung beras, gula dan yis. Kisar lagi hingga sebati.

2. Perap adunan lebih kurang 3-4 jam. Kemudian masukkan serbuk ENO dan kacau perlahan-lahan hingga sebati dan biarkan seketika.


3. Panaskan kukusan dengan API BESAR. Tutup tudung periuk dengan tuala dapur.

4. Sapukan sedikit minyak masak di dalam acuan apam supaya senang untuk keluarkan apam nanti. 

5. Tuang adunan apam ke dalam acuan 3/4 penuh. Letakkan di dalam periuk pengukus.

6. Setkan masa selama 15 MINIT, jangan buka penutup periuk sebelum 15 MINIT habis. 


7. Selepas 15 minit, buka penutup pengukus, keluarkan apam dan biarkan ia sejuk sebentar sebelum keluarkan dari acuan.
Assalamualaikum, 

Dah lama berhajat nak buat apam nasi tapi tak kesampaian. Selalunya lebihan nasi saya gorengkan untuk sarapan pagi kerana anak-anak suka. Tapi pagi ini nasi sejuk yang berbaki selepas makan malam tadi saya tukarkan menjadi apam nasi. Sedapnya alahai...dah lama tak makan apam nasi yang gebu gebas digaul dengan kelapa parut. 

Resipinya saya ambil dari blog yatie memories. Terima kasih yatie dan izinkan saya kongsikan resipi disini pula ye. Kepada yang ingin mencuba, bolehlah ikut resipi dibawah ini. Memang menjadi dan gebu, apamnya :) 
APAM NASI
Bahan-bahannya 
2 cawan nasi
2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras
1 1/2 cawan gula pasir
2 1/2 cawan air
2 sudu kecil yis (mauripan)
Kelapa parut dengan sedikit garam

Cara membuatnya: 

1. Kisar nasi dan air sehingga hancur (masukkan air sedikit-sedikit dan kisar sampai halus).
2. Setelah hancur, campur gula ke dalamnya dan kisar lagi sehingga sebati.

3. Di dalam bekas lain,satukan tepung gandum,tepung beras dan yis.
Selepas itu,masukkan bahan cecair tadi ke dalam bekas tepung. Kacau sehingga sebati. Jika suka bolehlah masukkan sedikit warna kegemaran.
4. Perap selama 3 jam.Panaskan pengukus dan balut penutupnya dengan kain.
Sapukan sedikit minyak pada acuan kecil.
5. Masukkan kedalam acuan kecil dan kukus selama 15 minit.Hidang bersama kelapa yg telah di gaul dengan sedikit garam atau enak dimakan begitu saja.


Assalamualaikum...selamat berhari minggu :)

Ceria je pagi ni kan..maklumlah bercuti dan tidak kelam kabut untuk ke tempat kerja serta mengharungi trafic jam seperti hari-hari biasa tu. Boleh sakit jantung dan darah tinggi di buatnya bila bergegas ke pejabat sedangkan aliran trafik sesak atau bertembung dengan pemandu yang memandu seperti jalanraya milik dia seorang :). Maklumlah rumah saya ini berdekatan dengan pasar basah...pagi-pagi memang sesak bila nak ke pejabat. Jika terlewat sedikit memang makan hatilah jawabnya..apa lagi jika mengejar jam punch card. Memang sesak nafas di buatnya :D.

Baiklah...pagi ini kita santai-santai aja sambil breakfast apam beras. Ada lagi baki nasi sejuk lebihan makan malam dan dari di biarkan rosak, eloklah di kitar menjadi sarapan pagi. Nak buat nasi goreng pun jemu juga kan..jomlah kita lihat rupa apam nasi yang saya buat ni. Sedap di makan dengan kelapa parut.

APAM BERAS
Sumber : cha@myresepi.com

Bahan-bahan ( Untuk 5 orang )
2 cawan nasi
2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras
1 cawan brown sugar
3/4 cawan gula
2 1/2 cawan air
1 sudu kecil yis (mauripan)
kelapa parut dgn sedikit garam
Cara-cara

1. Kisar nasi dan air menggunakan blender sehingga hancur.

2. Setelah hancur,campur brown sugar dan gula ke dalamnya dan kisar lagi sehingga sebati.

3. Di dalam bekas lain,satukan tepung gandum,tepung beras dan yis.

4. Selepas itu,masukkan bahan cecair tadi ke dlm bekas tepung. Kacau sehingga sebati.


5. Perap selama 3 jam dan warnakan dengan warna pilihan.


6. Masukkan dlm acuan kecil dan kukus selama 15 minit.


7. Bila sudah masak, hidang bersama kelapa yg telah di gaul dengan sedikit garam
Assalamualaikum.

Apam pisang ini saya buat untuk mempelbagaikan resepi apam yang sedia ada. Ada berbagai versi apam pisang dan kali ini saya tertarik dengan resepi yang satu ini setelah berkunjung ke rahelblogspot.com.

Apam yang rahel buat di letak inti nutella, tetapi saya gantikan dengan sekaya kerana hanya itu yang ada di dapur pagi ini, dan apam yang saya buat juga tidaklah semekar seperti pemilik asal resepi kerana saya tidak mengunakan api yang terlalu besar ketika mengukus sebab bimbang inti sekaya yang saya letak itu mencair bila apam terlalu merekah.

Apa pun apam ini memang sedap dan gebu. Saya ingin berkongsi sekali lagi resepinya di sini :) 

APAM PISANG 
Sumber resepi : Rahel

Bahan-bahannya:-
120gm pisang ranum - dilenyek halus
100g gula pasir
150gm tepung naik sendiri
1/4 sudu teh serbuk penaik
1/4 sudu teh garam
1/2 sudu teh esen pisang atau boleh juga guna esen vanilla
1 biji telur B - dipukul sedikit
1 sudu besar minyak masak
50ml susu segar atau susu cair
sedikit pewarna kuning

coklat nutella untuk inti - saya gantikan dengan sekaya


Cara membuatnya:

1.Satukan semua bahan dalam mangkuk.Gaul sebati dengan whisk.


2.Tuangkan 1 sudu makan adunan ke dalam acuan,kemudian masukkan 1/2 
   sudu kecil inti, tuangkan lagi adunan di atasnya hingga 90% penuh.


3.Kukus apam selama 15 minit dengan api kuat.


Tips yang saya ambil dari Rahel : 

*panaskan air dalam periuk pengukus hingga betul2 mendidih baru
  masukkan apam & kukus.
*balut tudung periuk dengan kain/tuala bersih agar apam tidak ter-
  kena wap.

Assalamualaikum,

Salam pagi sabtu. Hari ini saya ingin berkongsi resepi apam pandan mauripan yang saya ambil dari blog puteri manja. Cukup mudah membuatnya dan tidak mengambil masa yang lama. Selepas selesai mengukus, apam ini ‘tersenyum’ seakan-akan apam mekar pula…dan saya hidangkan dengan kelapa parut sebagai sarapan pagi.

Boleh di cuba untuk mempelbagaikan resepi apam dan saya kongsikan sekali lagi resepinya di sini.

APAM PANDAN MAURIPAN 
sumber : puteri manja 

2 cawan tepung gandum 
1/2 cawan gula pasir
1/2 paket yeast atau mauripan (kira-kira 5gm)
250ml air suam 
sedikit pandan paste 
sedikit pewarna kegemaran 

Cara membuatnya :

1. Masukkan semua bahan di atas dalam satu bekas, kacau rata.

2. Bahagikan adunan kepada dua bahagian dan letakkan pandan paste dan satu lagi warna kesukaan.

3. Masukkan kedalam acuan yang di sapu minyak terdahulu dan biar naik sedikit dalam tempoh 15-20minit.

4. Setelah itu kukus selama 8-10minit , tunggu sejuk dan bolehlah di hidangkan dengan kelapa parut.
Assalamualaikum,

Resepi bolu kukus mambo ini saya ambil hasil resepi asal Ibu Fatmah Bahalwan. Jika di Malaysia, perkataan bolu itu lebih menjurus kepada apam kerana faktor perbedaan bahasa.

Resepi ini tidaklah sesukar mana dan sekali mencuba alhamdulillah menjadi, cuma kesilapan saya lakukan kerana menggunakan loyang besar. Jadi bolu ini sedikit mendatar tapi masih tetap sedap. Nanti jika ada kelapangan saya ingin mencuba lagi tapi menggunakan loyang yang bersesuaian untuk mendapatkan bolu yang lebih tebal dan cantik.

Sesiapa yang ingin mencuba bolehlah lihat resepi yang saya kongsikan sekali lagi di sini.

BOLU KUKUS MAMBO

bahan-bahan:
6 biji telur
2 butir kuning telur sahaja
250 gram gula
½ sudu kecil esen vanilla
½ sudu kecil garam
1 sudu kecil ovalette
175 ml santan pekat, masak
200 gm tepung gandum

 Cara membuat : 

1. Sapu mentega pada loyang, lapik dengan kertas..sapu mentega lagi dan tabur sedikit tepung.

2. Pukul telur, gula, ovellete dan esen vanilla sehingga kembang dan berkrim. Masukkan tepung yang di ayak secara beransur-ansur sambil di kacau.





3. Bahagikan adunan kepada empat bahagian dan masukkan perasa pandan, strawberry, lemon dan coklat.


4. Tuang adunan ke dalam loyang dan kukus selama 10minit selapis demi selapis sehingga lapis terakhir kukus selama 20 minit.

5. Angkat dari pengukus dan potong setelah sejuk.