-->
Memaparkan catatan dengan label MINUMAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MINUMAN. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 

Kontroversi betul tajuk entry hari ni. Ada pula ye kelapa muda imitasi? Selalunya kita dengar telur atau beras tiruan berlegar dipasaran dan menimbulkan keresahan pengguna. Hihihi...jangan risau, kelapa tiruan@imitasi ni sebenarnya dibuat dari bahan-bahan yang selamat. Sedap pulak tu. Sekali pandang macam isi kelapa muda yang asli kan? 

Idea untuk membuat isi kelapa muda imitasi ini datang setelah melihat teman-teman di group masakan dari Indonesia yang begitu kreatif sekali mempelbagaikan resipi dessert. Bahan utama dalam resipi ini adalah serbuk Nutrijell. Di Malaysia setakat ini memang saya belum pernah berjumpa jenama tersebut, atau mungkin juga cuma di Langkawi tidak ada. Jadi saya cuba tukarkan dengan serbuk jeli Kristal keluaran Nona. Wahh...hasilnya memang menjadi dan sempat saya hidangkan untuk keluarga berbuka tadi.

Nak cuba buat sendiri dirumah? Jom kita lihat resipinya :)  
ISI KELAPA MUDA TIRUAN@IMITASI 
Bahan-bahan
1 bungkus serbuk jeli Kristal - Saya guna jenama Nona (10gm)
500ml air 
200ml santan 
3 sudu makan gula pasir  

Cara membuatnya: 

1. Campur santan dan air kedalam periuk dan kacau hingga rata.
2. Jerang periuk diatas dapur sambil dikacau perlahan, masukkan gula pasir.
3. Masukkan pula serbuk jeli dan kacau hingga mendidih dan angkat. 
4. Tuang kedalam loyang, tunggu sehingga wapnya hilang. Masukkan kedalam peti sejuk.

5. Setelah menjadi, kaup jeli isi kelapa tiruan dengan sudu ataupun penutup botol.
6. Sedia dihidangkan mengikut selera. Jika saya, hanya buat sirap pandan dan masukkan isi kelapa muda tersebut tersebut.   
Assalamualaikum, 

Dalam cuaca yang panas dan kering macam sekarang memang sedap kalau dapat makan yang sejuk-sejuk macam timun betik bersagu ni. Kalau di Langkawi, timun betik memang ada dijual pada musim sekarang iaitu musim menuai tembikai tempatan dan kedua tanaman ini ditanam berselang-seli. Buah tembikai Langkawi saiznya agak kecil tapi rasanya memang manis. Tetapi hari ini saya ingin bercerita tentang timun betik salah satu daripada keluarga melon.

Buah timun betik ni harum baunya seakan-akan buah tembikai susu ketika telah masak tetapi rasanya sedikit tawar. Jadi kita harus campurkan dengan gula melaka ketika menghidangkan dengan santan dan saya tambahkan juga sagu yang telah dimasak sehingga jernih.

Tanaman ini tidak bermusim sebenarnya tetapi hanya popular dan dijual pada musim panas. Tetapi jangan risau kalau anda tak dapat mencari timun betik, kerana hidangan ini juga boleh digantikan dengan buah tembikai susu. Cubalah...semangkuk memang tak cukup dibuatnya dalam musim panas begini. Segar...  
TIMUN BETIK BERSAGU
Bahan-bahan
1 biji timun betik yang masak (bersaiz kecil) - Boleh gantikan dengan tembikai susu
1 cawan sagu - saya gunakan yang warna hijau
½ cawan gula melaka
½ cawan air 
1 cawan santan dimasak dengan ½ sudu teh garam

Cara membuat :

1. Campurkan gula melaka dan air serta renihkan sehingga larut dan mendidih. Ketepikan seketika dan biarkan menjadi sejuk.
2. Didalam periuk, didihkan 6 cawan air dan masukkan sagu. Kacau sehingga sagu lembut dan jernih. Masukkan kedalam penapis dan lalukan dengan air. Ketepikan seketika.
 3. Sediakan gelas atau mangkuk dan masukkan ais kiub. 
3. Seterusnya scoop isi timun betik ataupun potong kiub dan masukkan kedalam gelas tersebut.
5. Campurkan sirap gula melaka, santan dan sagu. Hidangkan sejuk.
Assalamualaikum,

Pernah minum jus avocado? Kalau di Indonesia memang jus ini banyak di jual dan mudah di dapati, tetapi di Malaysia boleh di katakan sukar juga. Jika di Langkawi sebiji buah avocado yang kecil itu sahaja saya beli dengan harga RM 5.00. 

Sebenarnya rasa buah avocado ini setelah di buat jus sangat enak dan segar sekali. Apalagi jika di hidangkan dengan coklat coklat cair seperti coklat hershey..Hmm sedap, tapi yang paling penting khasiatnya sangat banyak untuk kesihatan. 

Kadang-kadang bila kita jumpa buah ini di supermarket, tak tahu bagaimana cara untuk memilihnya kerana ia agak asing bagi surirumah di Malaysia ni. Saya kongsikan di sini tips untuk memilih buah avocado yang baik dan semoga  bermanafaat :)

1. Jika teringin membeli avokado, pastikan anda memilih buah yang kulitnya berwarna gelap kerana ia sudah boleh dimakan. 

2. Pilih avokado yang disusun di bahagian paling hadapan. 

3. Jangan cucuk atau picit avokado menggunakan hujung jari, sebaliknya jika anda ingin mengetahui isinya sudah lembut, anda boleh mengepal avokado dengan tapak tangan. 

4. Avocado enak dijadikan jus, salad atau dimakan dengan manisan. 

5. Isi avokado juga boleh dijadikan sos atau bahan pemekat dalam kuah. 


JUS AVOCADO 
Bahan-bahan 
1 biji buah avocado yang masak 
1 cawan susu segar
4 sudu besar susu pekat
Sedikit coklat cair (Hershey's)
Ais Kiub secukupnya

Cara-cara

1. Keluarkan isi buah avocado yang telah masak ranum dengan sudu dan masukkan ke dalam blender.

2. Masukkan susu segar,susu pekat dan ais kiub. Kisarlah hingga halus. (Semakin lama, jus akan menjadi bertambah pekat). Tambah air jika jus terlalu pekat

3. Tuangkan jus dan hiaskan dengan coklat cair di atas (tambah rasa). Sedia untuk dihidangkan.

Assalamualaikum, 


Antara variasi jus yang enak di nikmati di musim panas adalah Jus Buah Naga. Di samping menghilangkan dahaga, khasiatnya juga sangat banyak di dalam kesihatan tubuh dan menurut info yang saya ambil dari carian di google, antaranya adalah...
  • Dapat meningkatkan daya ketahanan tubuh
  • Mengurangkan metabolisme badan.
  • Membantu sistem penghadaman dan peredaran darah.
  • Mengurangkan tekanan emosi.
  • Meneutralkan toksik dalam darah.
  • Mencegah kanser usus. 
  • Mencegah kandungan kolesterol tinggi.
  • Menurunkan kadar lemak.
Setelah berkongsi kebaikan yang terdapat di dalam buah ini, apa kata kita melihat resepi yang mudah menggunakan buah ini.

Sebelum itu sama-samalah kita berdoa agar misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dapat di rungkai dengan segera dan keluarga penumpang lebih tabah menghadapi ujian ini. Semua rakyat Malaysia ikut bersedih dengan insiden yang tidak di sangka ini.
JUS BUAH NAGA 
1 biji buah naga (yang isinya merah) 
1 tin air Aiskrim Soda   
Susu Pekat - 5-6 sudu 
Ais kiub secukupnya
Air sejuk (dari peti ais secukupnya) - Jika jus terlalu pekat
Cara membuatnya:

1. Kupas buah naga dan potong kiub.

2. Masukkan kedalam blender dan kisar bersama ais aiskrim soda, susu pekat dan ais kiub hingga hancur.
3. Tuang ke dalam gelas dan suaikan rasa. Jika jus tersebut terlalu pekat bolehlah di tambah sedikit air. Masukkan juga ais kiub ketika menghidangkannya untuk rasa yang lebih hebat.

Assalamualaikum,

Cuaca panas nampaknya masih berlarutan di Malaysia dan ini membuatkan tubuh kekurangan air dan memerlukan minuman yang menyegarkan setelah sibuk dengan aktiviti harian.

Salah satu minuman kegemaran saya jika berkunjung ke restoran mamak adalah mango lassi. Rasa Segar sangat dapat menyedut minuman yang satu ini. Selalunya saya singgah ke situ untuk menghilangkan dahaga setelah selesai dari jogging selepas waktu kerja. Itupun kalau boleh di panggil jogginglah...lebih tepat lagi cuma berjalan kaki selama satu jam. Selain dari minum mango lassi ni, kadang-kadang terbabas juga dengan roti canai atau nasi lemak di restoran mamak tu...habis tu macamana nak kurus? Sia-sia je berjalan kaki tadi. Takpe...takpe...esok masih ada. Selalunya macam tulah saya nak 'cover' dari rasa bersalah, setelah dua keping roti canai selamat masuk ke perut.

Baiklah, sesuai dengan cuaca panas yang menyengat sekarang ni, saya ingin berkongsi resepi minuman mango lassi yang sangat mudah...bagi yang ingin mencubanya. Sangat segar di nikmati dan sihat juga kerana di campurkan dengan yogurt. Jom kita lihat resepinya... :)
MANGO LASSI
1 biji buah mangga masak - di kupas dan potong kiub
1 cawan yogurt (saya guna perisa mangga)
1/2 cawan susu cair 
4 sudu besar gula 
ais kiub secukupnya - dalam 1 cawan

Cara membuatnya:

1. Kupas buah mangga dan potong kiub.

2. Masukkan isi buah mangga tadi, yogurt, susu, gula dan ais kiub ke dalam blender. 
3. Kisar hingga halus iaitu dalam 2 minit.

4. Tuang ke dalam gelas, dan bolehlah di hidangkan. Boleh juga di tambah sedikit ais kiub jika lassi tersebut agak pekat.

Memang sedap dan segar...cubalah. 

Assalamualaikum,

Pernah makan atau dengar buah timun betik? Saya berani cakap, mesti ramai yang tidak mengetahui kewujudan buah yang satu ini terutama sekali generasi baru. Jangan kata orang lain...anak-anak saya sendiri pun tidak mengenalinya. Buah ini jarang-jarang jumpa di jual dan saya juga dah lupa bila kali terakhir saya menjamahnya.

Untungnya hari minggu lalu saya lihat ada peniaga di pasar basah menjual dua bakul besar buah ini. Terus saya membelinya untuk tunjuk kepada anak-anak dan memperkenalkan rasa buah yang dijadikan 'dessert' oleh nenek mereka dahulu. Kegemaran saya ketika kecil dulu ni.

Buah yang wangi dan lembut ini ibu hidangkan bersama santan yang di masak dengan sedikit garam dan di curahkan pula dengan air gula merah...masukkan juga sedikit ais, hmmm...memang 'layanlah' terutama sekali waktu cuaca panas atau ketika berbuka puasa.Hanya orang yang pernah merasainya tahu bagaimana rasa buah ini. Cuma, tak banyak menu yang boleh di pelbagaikan  dengan buah timun betik dan selalunya di hidangkan dengan air gula merah dan santan seperti cendol sahaja.
Gambar di bawah ni saya ambil di pasar ketika hari pertama membeli buah ini. Ketika itu buahnya masih keras dan bewarna hijau gelap. 
Bila saya bawa balik ke rumah dan simpan selama dua hari....buahnya 
bertukar menjadi merekah, gebu dan mengeluarkan bau yang harum. Itu 
tandanya ia sudah masak ranum sepenuhnya.
Hmmm...bila dah ranum begini, saya pun potong dan hidangkan dengan santan dan gula merah. Kat bawah ni ada resepi ringkas pada sesiapa yang ingin mencuba. 
TIMUN BETIK BERSANTAN 
Bahan-bahan 
Sebiji timun betik yang ranum 
200gm gula merah / boleh juga gunakan gula pasir
3 cawan air 
500ml santan 
secubit garam 
ais kiub secukupnya 

Cara menyediakannya:

1.Kupas dan buang kulit luar timun betik. Potong kiub kecil-kecil dan ketepikan seketika.

2. Sementara itu masak gula merah dengan 3 cawan air hingga hancur dan tapiskan. Jumlah gula ini boleh di ubah suai mengikut selera. Biarkan air gula sejuk sebentar sebelum di hidangkan.

3. Masak juga santan dengan secubit garam, sebentar sahaja. Ada sesetengah orang tidak masak santan ini tetapi perahkan kelapa parut dengan air panas. Bagi saya lebih suka masak sebentar.

4. Bila semua sudah siap, bolehlah hidangkan timun betik ini dengan menuang  santan, air gula merah dan ais kiub. Hmm...sedap di nikmati dalam cuaca panas. 

Assalamualaikum,

Petang semalam ketika ke pasar basah, seperti biasa saya menjenguk di gerai makcik yang menjual ulam-ulaman kampung kerana selalunya ulam atau sayuran kampung yang susah di dapati ada di jual di situ. Kebetulan pula ada di jual kelopak-kelopak roselle yang masih segar dan saya beli 1/2 kg dengan harga RM 3.00 untuk di jadikan jus.

Mengikut carian di google, roselle di perkenalkan di Asia Tenggara melalui Malaysia sejak lebih dari tiga abad yang lalu dan di Malaysia roselle di kenali sebagai asam paya, asam kumbang atau asam susur oleh penduduk tempatan. Di India Barat pula ia di sebut sebagai Jamaican sorrel. Di Afrika, biji roselle di makan kerana di percayai mengandungi minyak-minyak tertentu. Manakala di Sudan, Roselle di proses untuk di jadikan minuman tradisional yang di namakan karkadeh iaitu minuman kebangsaan mereka.

Roselle kaya dengan antioksida (flavonoid dan antosianin), vitamin A, B dan C. kelopaknya digunakan untuk merawat jangkitan kencing, sembelit, menurunkan tekanan darah dan paras kolesterol. 

Banyak kebaikan jus ni ya...Tapi bagi saya, rasanya yang masam dan lazat seakan-akan jus ribena tu buatkan rasa ketagihan dan tak cukup segelas :D. Jom kita lihat bagaimana caranya untuk membuat jus yang mudah ni...

JUS ROSELLE 
Bahan-bahan 

20-25 kuntum kelopak Roselle 
2.5 liter air 
1 hingga 1.5 cawan gula - mengikut rasa (anda boleh gantikan dengan madu atau gula batu)
(bermula dengan 1 cawan gula, jika merancang untuk menambah ais kemudian bolehlah tambahkan kandungan gula)


Cara membuatnya:

1. Kopek kelopak roselle dan tanggalkan biji benih di dalamnya.

2. Masukkan kelopak roselle yang siap di kopek , gula dan air dalam periuk besar dan rebus selama 15-20 minit.

4. Masak hingga mendidih dan sebati. Hidangkan panas atau sejuk dengan ketulan ais.



Assalamualaikum,

Jom cuba minuman untuk menghilangkan dahaga tengahari ni iaitu jus buah kedondong, atau sebelah utara ni orang memanggilnya buah amra. Buah ini saya beli di pasar basah petang semalam dan tujuannya untuk di makan begitu sahaja dengan kuah rojak. Hari ini saya bertukar fikiran dan menjadikannya jus yang enak sekali. Teringat ketika zaman persekolahan dulu, suka benar saya dengan jus ni. Ketika itu buah kedondong mudah di dapati kerana terdapat dua pohon besar di hadapan rumah ibu dan selalunya berbuah lebat. Jika sekarang, ada ketikanya sahaja saya menjumpai buah ini di pasar basah atau pasar malam.

Selain enak di jadikan jus dengan asam boi, buah kedondong juga di masak pajeri atau di jadikan kerabu. Tapi, hari ini saya ingin berkongsi resepinya dalam bentuk jus. Saya guna resepi yang sama juga dengan resepi jus limau kasturi asam boi yang ada dalam blog ini. Jom kita lihat :)

JUS KEDONDONG ASAM BOI 

Bahan-bahannya
10 biji buah kedondong - (di belah empat, jika buah yang agak tua potong dan keluarkan empulurnya)
1 1/2 cawan air
1/2 cawan gula pasir 
5 biji asam boi - warna putih 
3 biji asam boi - warna merah (untuk hiasan)

Cara membuatnya:

1. Masukkan buah kedondong, air, gula dan asam boi putih kedalam blender dan kisar hingga halus. Saya kisar sekali dengan kulit buah kedondong, tanpa mengupasnya. 


2. Tapis dan tuangkan ke dalam gelas. Masukkan ais kiub dan taburkan asam boi merah untuk mendapatkan warna yang cantik dan rasa yang lebih sedap. Sedia untuk di hidangkan...walaupun ringkas, minuman ini memang sedap dan menghilangkan dahaga. :)








Assalamualaikum, 

Nyaman rasanya petang yang panas dan kering begini minum papaya & orange smoothie. Sejuk dan segarnya sampai ke tekak, dan yang penting minuman ini menyihatkan.

Sekadar berkongsi info, betik kaya dengan vitamin A, C dan juga kalium. Selain itu terdapat kalsium, besi, tiamin, riboflavin dan niasin dalam betik. Jumlah kalorinya sangat rendah. Kesemua nutrien yang terdapat di dalam sebiji buah betik dapat mengurangkan risiko kanser, penyakit jantung dan strok. Buah oren dan yogurt juga tak kurang hebatnya dan berkhasiat untuk kesihatan tubuh.

Banyak betul khasiat papaya & orange smoothie ni kan. Bagaimana pula dengan rasanya? Apa yang boleh saya katakan...rasanya memang lazat sekali dan ada umphh. 


PAPAYA & ORANGE SMOOTHIE
2 cawan betik di kupas, buang bijinya dan potong kiub.
1 cawan jus oren 
1/2 biji buah oren sunkist 
1 cawan yoghurt
2 sudu gula
6-8 ketul ais kiub


Cara membuat:-

1. Campurkan semuanya di dalam blender, dan kisar halus.


2. Jika smoothie terlalu pekat, masukkan sedikit air sejuk dari peti ais atau beberapa ketul ais kiub...hidangkan segera.


Slurpppp, ahhh...segarnya. Jangan tenung lama-lama, cubalah buat sendiri di rumah ya. ;)


Assalamualaikum & selamat berhari minggu.

Cuaca panas dan membahang sekali di bumi Langkawi hari ini. Terasa pedih kulit wajah ketika keluar dari rumah waktu tengahari begini dan tekak pula sentiasa kering dan dahaga. Jika minum yang manis-manis maka dahaganya makin bertambah pula, maka saya kisar ulam pegaga dan limau kasturi untuk di jadikan jus dan masukkan sedikit ais kiub untuk menghilangkan dahaga dan panas badan.

Menurut carian di google, pegaga kaya dengan pelbagai zat makanan seperti protein, gentian, zat besi, vitamin A dan C. Amalan memakan daun pegaga dipercai boleh mengekalkan awet muda serta mengelakkan masalah kegemukan.

Di Malaysia, pegaga amat popular di kalangan 3 kaum utama negara iaitu Melayu, Cina dan India. Bagi kaum melayu, ia dimakan secara segar sebagai ulam, bagi kaum Cina digunakan sebagai minuman penyejuk badan, manakala bagi kaum India, digunakan sebagai tonik kecerdasan minda.

Banyak sekali kebaikan pegaga rupanya ye :). Jadi mulai hari ini, jika ke pasar jangan lupa beli juga pegaga untuk di jadikan jus kesihatan. Rasanya jusnya seakan-akan air tebu dan bertambah sedap lagi bila di kisar bersama limau kasturi.
JUS PEGAGA LIMAU KASTURI
Bahan-bahan
secekak daun pegaga - cuci bersih 
2 Sudu besar gula
2 biji limau kasturi 
sedikit ais kiub

Cara membuatnya :

1. Cuci bersih pegaga, dan sebaiknya guna sekali dengan akarnya.

2. Masukkan pegaga, gula pasir dan limau kasturi kedalam blender. Kisar limau beserta kulitnya juga, tetapi buang biji-biji limau tersebut.


3. Tapis jus yang telah di kisar kedalam gelas dan masukkan beberapa ketul aiskiub dan sedia untuk di nikmati.

Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin berkongsi minuman jus tembikai laici. Dalam cuaca panas begini memang sesuai mengambil minuman jus buah-buahan dan sebaiknya di sediakan sendiri kerana kita boleh mengawal kandungan gula. Kandungan vitamin C dan beta-karotena dalam tembikai mampu mencegah penyakit jantung. Tembikai juga mempunyai sumber lycopene yang membantu dalam mengurangkan risiko kanser prostat, payudara, endometrium, paru-paru dan kanser kolon.

Saya bukannya pakar pemakanan tetapi suka berkongsi kebaikan dari makanan yang di ambil terutamanya untuk  manafaat kesihatan bersama :).

Baiklah, jus tembikai laici ini sangat mudah di sediakan dan benar-benar puas di nikmati dan menghilangkan dahaga. Saya ambil resepi ini dari buku masakan karangkraf, tetapi saya tidak memasukkan gula kerana bagi selera saya sirap laici dan rasa manis asli dari tembikai sudah cukup membuatkan minuman ini manis dan sedap.

Jom kita lihat resepinya :)

JUS TEMBIKAI LAICI 
Bahan A
1/2 biji buah tembikai - ambil isinya
4 sudu makan gula 
50ml air sejuk
isi laici

Bahan B
sirap laici dalam tin 
1/2 sudu teh sirap ros 


Cara membuat:

1. Kisar tembikai, gula, buah laici dan air hingga halus.



2. Masukkan ke dalam jag dan masukkan bahan B. Kacau sebati dan sejukkan dalam peti ais.

3. Sedia untuk di nikmati.




Assalamualaikum,

Salam hari jumaat. Bagaimana cuaca di tempat anda hari ni? Di Langkawi sehari dua ini panas terik, angin bertiup kencang dan suhu mencapai hingga 33'C, tapi waktu malam menjelang pagi pula bertukar menjadi sejuk. Dalam cuaca begini, selalunya mudah terasa dahaga dan ingin minuman yang sejuk dan segar.

Pengambilan buah-buahan juga elok di amalkan untuk menghilangkan rasa dahaga dan menggantikan air yang keluar melalui peluh. Oleh kerana cuaca panas terik juga saya hanya mengizinkan anak-anak ke pantai pada waktu pagi atau selepas jam 5petang sahaja. Baiklah  sesuai dengan cuaca yang panas ini apa kata kita mencuba minuman punch apple sebagai penghilang dahaga... :)

PUNCH APPLE
1 biji epal hijau  - di buang kulit dan potong kiub
2 1/2 sudu makan susu pekat 
2 sudu makan susu cair 
1/2 tin air aiskrim soda
1 sudu makan gula
1 gelas air
sedikit pewarna hijau 
Beberapa ketulan ais

Cara membuat:

1. Kisar halus epal hijau bersama susu pekat , susu cair, pewarna hijau, air dan ketulan ais kiub.

2. Masukkan aiskrim soda bersama baki ais kiub tadi.

3. Kacau, hiaskan dengan beberapa ketul epal yang di potong kiub dan sedia untuk di hidangkan. 

Assalamualaikum... :)

Anda dahaga? Apa kata mencuba resepi Banana's Oreo smoothie? Selain dari sedap, minuman ini juga sangat berkhasiat kerana pisang dan susu segar yang saya kisar bersama dua scoop aiskrim vanilla, memberi tenaga dan mengandungi mineral serta vitamin yang tinggi.

Selain dari itu pisang juga amat berguna dalam melegakan stress. Setelah seharian penat bekerja dan ingin bersantai serta menghilangkan stress, minuman ini adalah pilihan yang tepat :)

Jom kita lihat resepi mudah ini... 


BANANA'S OREO SMOOTHIE
Bahan-bahan 
5 keping biskut oreo - di buang inti
4 ketul ais kiub
1 sudu teh serbuk milo
2 skop aiskrim vanilla 
2 biji pisang - saya guna pisang emas.
2 cawan susu segar 

Cara-cara:-

1. Blender biskut oreo, ais kiub, aiskrim vanilla, pisang dan susu.



2. Tuang kedalam gelas. Masukkan lagi beberapa ketul ais kiub, dan taburkan milo sebagai hiasan serta hidangkan.

  
Cuaca panas terik hari ini. Selongkar peti sejuk, masih ada baki nanas dan lemon. Maka terhasil lah pineapple lemonade juice. Segarnya..dan menghilangkan dahaga.

Nanas ni banyak kegunaan nya . Selain dari khasiat vitamin A, B1 dan bromelain (di gunakan untuk melembutkan daging) Ia juga mengandungi asid sitrik yang berkesan untuk menghilangkan lemak dan menguruskan badan. Haa....siapa nak diet dan kurus tu, amalkanlah minum jus ni ye :)

PINEAPPLE LEMONADE JUICE
Bahan-bahan
(4 hidangan)
3 cawan nanas di kupas dan potong kiub
1/2 cawan jus lemon
1 cawan air
1 cawan ais kiub
2 sudu besar gula (boleh tambah jika suka manis)

Cara-cara


1. Masukkan semua bahan kedalam blender, kecuali ais kiub. Blender sehingga halus.



2. Masukkan ais kiub dan blender lagi.



3. Hidangkan segera.










Panas-panas begini, apa kata kita minum sesuatu yang segar. Sejuk...aja masuk ke tekak. Resepi ini untuk segelas Jus, jika mau hasilkan satu jar untuk sekeluarga, sila gandakan bahan-bahan ye :)

JUS LIMAU KASTURI ASAM BOI
Bahan-bahan
3 biji limau kasturi 
3 biji asam boi warna putih
1/2 gelas air
2 sudu makan gula

Cara-caranya:
Buang biji limau, kisar limau kasturi tadi dengan kulit-kulitnya bersama1/2 gelas air dan 2sudu makan gula sampai halus.
Setelah selesai, tuangkan kedalam gelas, masukkan 3 biji asam boi dan ketulan ais secukupnya serta sebiji lagi potongan limau kasturi untuk hiasan.