-->
Memaparkan catatan dengan label MENU RAMADHAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MENU RAMADHAN. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 

Ikan parang memang enak di masak asam pedas. Walaupun tulangnya banyak, tetapi isinya yang manis memang sesuai sangat di masak begini atau sesuai juga di masak kuah laksa. Kalau ada anak kecil yang makan bersama, pastikan kita mengasingkan tulang-tulang ikan ini terlebih dahulu takutnya tercekik pula nanti.

Ada berbagai versi asam pedas yang boleh kita masak. Boleh di tumis atau di rebus sahaja, tetapi kali ini saya menumis bahan kisar terlebih dahulu. Sedap bau aroma bahan kisar yang di kacau hingga pecah minyak di atas dapur. Usah risau Jika anda menjaga kesihatan kerana boleh saja menggunakan minyak sayuran atau minyak zaitun untuk menumis.

Resipi asam pedasnya pula seperti biasa. Jom kita lihat bahan-bahannya...
  
ASAM PEDAS IKAN PARANG 
Bahan-bahan 
1 ekor ikan parang - di bersihkan
2 keping asam gelugur
3 tangkai daun kesum
1 biji tomato - di belah empat 
1 batang serai - di ketuk 
5 biji kacang bendi 
sedikit minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa 
1 kiub ikan bilis

Bahan Kisar 
7 tangkai cili kering - rebus hingga lembut dan toskan 
5 tangkai cili padi 
1/2 inci kunyit hidup
1/2  inci belacan
3 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih 


Cara memasak:

1. Panaskan minyak, tumis bahan-bahan kisar dan serai sambil di kacau hingga wangi dan pecah minyak.

2. Masukkan air secukupnya.

3. Seterusnya masukkan kacang bendi, tomato,daun kesum, asam gelugur serta isi ikan. Renih sehingga mendidih.

4. Masukkan pula kiub ikan bilis serta garam dan gula secukup rasa.

5. Masaklah hingga mendidih dan secukup rasa lalu matikan api dapur.

Assalamualaikum,

Sedar tak sedar hari ini dah 6 Ramadhan 1436H. Sekejap sahaja masa berlalu. Bagi surirumah yang bekerja ataupun sepenuh masa, tiap hari ligat memikir apa yang akan di sediakan untuk hidangan berbuka dan bersahur untuk keluarga. Kalau tiap hari beli di Bazaar Ramadhan pun jemu juga. Sekurang-kurangnya adalah hasil air tangan sendiri walaupun sejenis kuih yang mudah-mudah.

Hari ini saya ingin berkongsi kuih lengat pisang. Pernah dengar tak nama kuih ni? Bukan pengat ye, tapi lengat (dalam loghat kedah) bermaksud kukus. Rasanya yang lemak-lemak manis memang sesuai untuk berbuka. Kuih ni selalu ibu buatkan sejak zaman saya kanak-kanak dulu dan sekarang menjadi kegemaran anak-anak saya juga.

Bagi yang ingin mencuba resepi kuih ni, jom kita lihat bahan-bahannya.

KUIH LENGAT PISANG 
Bahan A  
2 cawan tepung beras
1 kotak santan - 200ml
3 kotak air - di sukat menggunakan kotak santan tadi 
1/2 sudu teh garam 

Bahan B (Di lecek)  
1 1/4 cawan gula kastor 
1 cawan pisang  

Bahan C  
1 biji pisang - di hiris (untuk taburkan keatas adunan) 

Cara membuatnya :

1. Sediakan loyang dengan menyapu sedikit minyak ataupun lapik dengan plastik untuk memudahkan kuih di keluarkan  nanti. 

2. Campur semua bahan A di dalam sebuah mangkuk besar.

3. Kacau hingga larut dan tapis kedalam periuk. Masukkan juga bahan B, iaitu pisang yang telah di lecek dengan gula.

4. Masak sebentar di atas api yang kecil sambil di kacau hingga terasa berat atau pekat sedikit dan matikan api.

5. Tuang adunan kedalam loyang, tabur hirisan pisang dan kukus adunan selama 30minit atau sehingga masak.

Assalamualaikum,


Alhamdulillah kita di beri kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan pada 2015 yang bermula esok hari dan semoga kita di panjangkan usia.  Sedih bila teringatkan ada dua orang sahabat baik saya yang bersama-sama menjalankan ibadah puasa tahun lepas tetapi tidak ada pada tahun ini kerana telah kembali kerahmatullah. Tiap yang hidup pasti merasai mati dan kita juga tidak terkecuali dan akan menyusul nanti.

InshaAllah tahun ini saya akan cuba sedaya upaya update blog dan berkongsi resipi mudah untuk sahur atau berbuka puasa. Cuma saya tidak dapat kongsikan langkah demi langkah bagi setiap resipi sepanjang sebulan ini kerana ia mengambil waktu untuk shoot gambar sedangkan masa terbatas dan harus di seimbangkan antara waktu di pejabat, di rumah dan sebolehnya tiap dari kita pastilah ingin menambah amalan di bulan ini.

Baiklah resipi pertama ini sangat mudah dan main rebus sahaja tetapi rasanya memang sedap dan sesuai untuk sahur atau berbuka puasa. Pasti ramai yang dah tau masak tetapi saya ingin kongsikan juga di sini. 

ASAM REBUS IKAN DENGAN NANAS

ASAM REBUS IKAN DENGAN NANAS
Bahan A - Kisar
10 tangkai cili kering - di potong dan rebus hingga lembut serta toskan.
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan 
2 cm kunyit hidup 
2 cm halia 
4 cawan air

Bahan B
1 ekor ikan saiz sederhana - di potong (saya guna ikan mayong)
1 cawan isi nanas yang di hiris nipis
2 biji timun kecil - di potong serong 
1/2 cawan air  asam jawa 
garam dan gula secukup rasa

Cara memasak

1. Masukkan bahan yang di kisar dan air ke dalam periuk. 

2. Renih dan masukkan pula air asam jawa.

3. Seterusnya masukkan isi ikan satu persatu dan biarkan mendidih.

4. Masukkan pula isi nenas dan timun sambil di renih lagi dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

5. Matikan api dapur dan bolehlah di hidangkan dengan nasi panas.