-->
Memaparkan catatan dengan label MEE. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MEE. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 

Hari ini saya ingin berkongsi rahsia kelazatan mee goreng mamak yang sedap. Resipi asal saya cuba dari perkongsian mamak haji dan rahsia kesedapan mee goreng mamak ini terletak kepada kombinasi pes pedas dan pes manis. Pastikan anda sediakan kedua-dua jenis pes ini terlebih dahulu sebelum mula menggoreng mee.
MEE GORENG MAMAK (Goreng untuk sepinggan)
1 cekak mee kuning
Sedikit taugeh.
1 batang sayur sawi - ketuk batang sawi dan dipotong sepanjang 1 inci
1 biji telur
¼ bahagian bawang sederhana besar - dihiris memanjang.
2 ulas bawang putih - diketuk dan dihiris.
1 sudu kecil kicap cair - untuk tambah kemasinan mee

Hiasan :
Hirisan cili merah / limau nipis / bawang goreng 

Cara menggoreng 

1. Bila kuali panas masukkan 2 sudu besar minyak masak, hirisan bawang putih dan dikuti dengan hirisan bawang besar. Kacau hingga harum.
2. Masukkan pula pes/rencah yang anda telah sediakan (di sini anda kena adjust campuran pes secukup rasa - Tidak terlalu masin, tidak terlalu pedas sangat dan tidak terlalu manis).

3. Masukkan cucur udang, tauhu goreng, ubi kentang rebus dan sayur sawi. Bila sawi layu masukkan mee dengan segera. Titiskan kicap cair. 
4. Goncang kuali dengan api sedikit keras. Kalau anda mahu basah tambahkan sedikit air atau pes/perencah. Kalau kering biarkan dia. Pada masa ini anda perlu tentukan api dapur jika nak mee basah kecilkan api dapur, kalau suka mee agak kering kuatkan api dapur. 

5. Bila mee sudah mulai masak. Kecilkan api dan tepikan mee anda dan kosong ruang tengah kuali. Titiskan sedikit minyak dan pecah masukkan sebiji telur. Tutup telur dengan mee dan biarkan dalam 30 saat. 
6. Kuatkan kembali api dapur dan kacau mee dan telur dengan cepat. Gorengan cuma 30 saat saja. Keseluruhan gorengan ini cuma 3-4 minit.
7. Hidangkanlah mee goreng mamak dengan daun bawang+sup/ cili dan akhir sekali taburkan sedikit kacang tanah goreng.

RESIPI PES
PES PEDAS
½ kg kacang tanah.
150 gm cili kering - goreng jangan sampai hangus - agak garing.
100 gm udang kering geragau direndam 5-10 minit, bersihkan dan ditos.
1 genggam kacang dhal (paruppu).
4 ulas bawang putih.
100 gm sotong kering direndam dan dikisar halus. (tidak goreng).

Cara Penyediaan
1. Goreng bahan-bahan di atas dengan aturan bawang putih, kacang tanah, paruppu, cili kering, akhir sekali udang kering geragau/udang kepal. dengan minyak masak. Sejukkan dan kisar halus bersama sotong kering dan air kesemua bahan-bahan tadi.
2. Tumiskan kisaran di atas dengan sedikit minyak sehingga pecah minyak (minyak akan timbul di atas permukaan) dengan masukkan sekali bahan-bahan ini:
- 3 sudu besar gula.
- 2 Sudu besar sos cili.
- 2 Sudu besar sos tomato.
- sedikit air asam jawa, dan garam.

Rasa kepedasan pes anda, sekiranya pes anda rasa pedas sangat boleh tambahkan gula lagi. Cuba dapatkan rasa pes yang anda sukai. Garam perlu teliti kerana bila kita gunakan kita tak mahu mee goreng masin. Kadang-kala mee memang bubuh garam. Garam sebenarnya untuk ketahanan pes itu dari rosak sama seperti air asam jawa. Pes atas boleh digunakan untuk 1 kg mee kuning. Pes ini perlu testing untuk sepingan mee untuk dapatkan nisbah yg tepat.


PES MANIS
½ kg ubi keledek oren - dibuang kulit dan rebus dan lenyek.
3 ulas bawang putih - goreng hingga layu
5 ulas bawang merah - goreng hingga layu
½ cawan air - larutkan dengan 2 sudu besar asam jawa
4 cawan air
sedikit bijan sebagai di sangai - saya tambah
5 sudu besar gula
garam secukup rasa

Cara Penyediaan
1. Kisar bawang putih dan bawang bersama dengan dengan ubi lenyek tadi dan tuang kedalam periuk.
2. Masukkan 4 cawan air dan masak hingga mendidih. Kecilkan api dapur, masukkan air asam jawa kedalam kuah yang sedang mendidih.
3. Masukkan gula dan garam secukup rasa. Tabur bijan dan matikan api dapur.

Assalamualaikum,

Minggu ini memang saya akan review secara ringkas resipi-resipi dari buku Menu Hari-Hari dan petang ini resipi yang terpilih adalah Mee Ketam. Hmm sedapnya mee ketam untuk hidangan dipetang atau malam hari. Apalagi kalau gunakan ketam yang segar, pasti kuahnya lebih manis dan sedap. 

Silalah cuba resipi dibawah ini dan jangan lupa dapatkan buku Menu Hari-Hari yang mengandungi 100 jenis resipi di kedai-kedai buku terpilih seperti Popular Bookstore, MPH, Kinokuniya (sekadar menyebut beberapa nama). Untuk pembelian secara online boleh klik link dibawah ini. 

MEE KETAM 
500gm mee kuning - dicelur dan tuskan 
2 ekor ketam - rebus dengan 4 cawan air
4 sudu besar cili kisar 
3 sudu besar sos tomato 
3 sudu besar sos cili 
1 pokok sayur sawi - dipotong dan celur sebentar 
1 cawan tauge -dicelur sebentar 
1 biji telur rebus - dibelah 2
2 sudu besar minyak masak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

Bahan dikisar
3 biji bawang merah 
2 ulas bawang putih
2 sudu besar udang kering 
½ inci halia
3 keping biskut marie - untuk pekatkan kuah 

Cara membuat :

1. Kuah : Rebus ketam hingga masak dan angkat dari air rebusan.

2. Tumis cili kisar hingga garingdan masukkan bahan kisar. Kacau hingga naik bau dan pecah minyak.

3. Masukkan air rebusan ketam dan biarkan kuah mendidih. Jika inginkan kuah lebih boleh tambahkan air lagi.

4. Masukkan pula garam dan gula secukup rasa dan renihkan kuah hingga benar-benar sebati dan masak sepenuhnya.

5. Untuk menghidangkannya : Bubuh mee, tauge sawi dan telur rebus kedalam mangkuk. Tuang kuah keatasnya dan hidangkan bersama ketam. 

Bagi pembaca blog yang ingin memiliki buku resipi menu hari-hari bolehlah dapatkan di kedai buku terpilih ataupun pembelian secara online di link ini: Karangkraf / bookjannah.com /malaysia.kinokuniya.com / mphonline.com . Sungguh mudah, semua urusan dihujung jari anda.

Dapatkan sekarang dipasaran!
Assalamualaikum, 

Kue teow goreng simple ini saya buat sebagai sarapan pagi untuk anak-anak pagi ini. Semua ada dirumah kerana cuti sekolah dan ini buatkan saya bersemangat untuk memasak kerana ada yang akan habiskan. 

Untuk sarapan pagi ini, si bongsu ada request kue teow kerang, tetapi saya gantikan dengan udang kerana tidak ada stock kerang segar di pasar. Yang banyak dijual hanya kerang frozen yang isinya liat dan agak tawar kerana mungkin telah lama terendam didalam air.

KUE TEOW GORENG SIMPLE
Bahan-bahan
500gm kue teow - dileraikan 
segenggam taugeh 
3 ulas bawang putih - diketuk dan cincang 
5 tangkai daun kucai - di potong kira-kira 1 inci 
segenggam udang
1 biji telur
2 sudu besar cili kisar

BAHAN SOS (di satukan kedalam mangkuk dan di kacau)
2 sudu besar sos tiram 
4 sudu besar kicap pekat 
2 sudu besar kicap cair
2 sudu besar sos tomato
1/4 cawan air 

Cara memasak :

1. Panaskan kuali, masukkan 1 1/2 sudu besar minyak masak, tumis bawang putih hingga wangi dan terus masukkan udang. Kacau sebentar, dan masukkan cili kisar serta bahan sos. 


2. Bila bahan sos kelihatan mendidih sedikit, masukkan kue teow dan kacau rata.

3. Masukkan juga taugeh dan daun kucai dan  kacau lagi hingga bercampur.

4. Ketepikan kue teow dan masukkan 1/2 sudu lagi minyak masak di dalam kuali. Pecahkan telur dan kacau hingga bercampur dengan kue teow tadi. Lakukan dengan pantas. 

5. Biarkan sebentar diatas api dapur dan angkat. Hidangkan dengan cili jeruk sebagai pelengkap rasa.

Assalamualaikum, 

Dah lama tak pekena mee sizzling buatan sendiri dan yang ini pun entry tertunggak sebenarnya. Saya masak minggu lepas, tapi tak update dalam blog. 

Ada yang bertanya, bagaimana menjaga hot plate yang sering berkarat dan terpaksa dicuci lagi sebelum digunakan untuk memasak. Dari pengalaman sendiri, walaupun dah bertahun-tahun menyimpan hot plate didalam stor, InshaAllah ia bebas karat kerana sebelum menyimpan saya akan panaskan hot plate atas api dapur hingga benar-benar kering (selepas dicuci bersih), seterusnya sapu minyak masak di permukaannya ketika masih panas. Setelah sejuk bolehlah disimpan seperti biasa. Cubalah dan lihat hasilnya.

Baiklah untuk entry petang ini, saya kongsikan resipi mee sizzling dan tak perlu tunggu ada hot plate terlebih dahulu untuk mencubanya. Guna kuali biasa di rumah pun tak ada masalah.   

MEE SIZZLING
Bahan-bahan
2 gulung yee mee
3 ulas bawang putih - dicincang halus
1/2 inci halia - dicincang halus
150 gm isi ayam - dipotong dadu
6 kuntum cendawan shitake - di rendam hingga lembut dan hiris
4 tangkai cili kering - di potong sepanjang 1 inci

Bahan kuah
4 sudu besar sos tiram
3 sudu kicap cair
3 sudu besar kicap pekat
1 sudu teh serbuk lada hitam
1/2 sudu teh minyak bijan
2 sudu besar tepung jagung
minyak untuk menumis
4 cawan air

Cara membuatnya:

1. Tumis bawang putih, halia dan cili kering hingga wangi. Masukkan isi ayam, dan masak hingga agak empuk.

2. Masukkan bahan sos iaitu sos tiram, kicap cair dan  kicap pekat sambil dikacau. Seterusnya masukkan 4 cawan air.

3. Renihkan kuah hingga mendidih dan masukkan serbuk lada hitam. Seterusnya masukkan cendawan shitake dan pastikan kuah tersebut secukup rasa. 

4. Setelah itu masukkan air tepung jagung untuk memekatkan kuah. Kacau hingga sebati dan akhir sekali masukkan minyak bijan dan matikan api dapur.

5. Untuk menghidangkan mee sizzling : Masukkan segulung yee mee kedalam hot plate bersama dengan sayur sawi dan pecahkan sebiji telur. Tuang kuah secukupnya dan biarkan mendidih (sizzle). Bila mee lembut serta telur separuh masak, angkat hotplate dan bolehlah dihidangkan.


Assalamualaikum, 


Sehari dua ini memang mudah nak dapatkan bekalan ketam segar di pasar basah Langkawi. Alhamdulillah, didalam cuaca hujan tak menentu pun bekalan makanan laut masih boleh didapati. Cadangan asalnya saya nak masak mee kuah udang, tetapi tiada pula udang segar jadi gantikanlah dengan ketam.

Ketamnya pun boleh tahan juga dan banyak isi. Memang sedap meratah sambil hirup kuah mee yang pedas-pedas manis bercampur air rebusan ketam dan udang kering kisar.

Nak membuatnya pun taklah sesukar mana dan sekejap sahaja dah siap. Jom lihat resipi yang saya sediakan. 

MEE KUAH KETAM
Bahan-bahan
½  kilogram ketam 
3 sudu besar sos cili 
3 sudu besar sos tomato 
1 sudu besar sos tiram 
2 sudu besar kicap cair 
1 kiub ikan bilis 
½  sudu teh gula

Bahan Kisar 
10 tangkai cili kering 
2 labu bawang besar 
2 ulas bawang putih 
3 sudu makan udang kering 

Bahan celur
3 batang sawi 
secekak taugeh 
1 bungkus mee kuning 

Bahan Hiasan
Daun sup, daun bawang, tauhu goreng, bawang goreng, limau kasturi & cili merah

Cara membuatnya : 

1. Cuci bersih ketam dan masukkan kedalam periuk. Rebus hingga mendidih dan toskan. Tapis dan simpan air rebusan untuk dimasukkan kedalam kuah.
2. Panaskan minyak masak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak.
3. Setelah itu masukkan air rebusan ketam yang telah disimpan tadi.
4. Masukkan pula sos cili, tomato, sos tiram, kicap cair, gula dan kiub ikan bilis. suaikan rasa kuah. Jika kurang masin bolehlah ditambah sedikit garam. Renih kuah hingga mendidih dan benar-benar masak serta secukup rasa.
5. Masukkan mee kuning(siap celur) kedalam mangkuk, hidangkan bersama sawi & taugeh celur, bawang goreng, daun bawang, hirisan tahu goreng serta daun sup. Masukkan juga kuah mee bersama ketam dan perahkan limau kasturi. 
Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu untuk semua pembaca blog yang sudi masuk kesini. Sarapan apa agaknya hari ini? Kalau saya cukup sepinggan kue tiaw goreng daging sebagai pembuka hari. Walapupun hari minggu, jadual hari ini padat dengan urusan-urusan luar dan memerlukan saya keluar awal dari rumah. Hmm...tak bolehlah nak bersantai-santai walaupun bercuti.

Bagi yang ingin mencuba resipi kue tiau goreng daging, resipinya ada dibawah ini. Resipi simple sahaja tetapi saya suka dengan rasa dagingnya yang telah diperap terlebih dahulu. Gandingkan pula dengan cili jeruk...hmm, memang sedap. Jom cuba :) 

KUE TIAW GORENG DAGING 
Bahan-bahan
500gm kue tiaw
300gm taugeh
4 ulas bawang putih - dicincang 
3 sudu besar kicap cair
2 sudu besar kicap pekat
1 sudu besar cili kisar
4 tangkai daun kucai

DIPERAP
200gm daging - dihiris nipis
1 sudu teh halia - dicincang 
1 ½ besar tepung jagung 
1 sudu teh minyak bijan
1 sudu besar kicap cair
½ sudu teh serbuk lada hitam

Cara membuatnya :

1. Perap daging dengan halia yang dicincang, tepung jagung, kicap cair, minyak bijan dan serbuk lada hitam selama lebih kurang 20minit.


2. Panaskan kuali, masukkan minyak sedikit sahaja. Masukkan kue tiaw dan kacau dengan cepat. Masukkan juga ½ sudu teh kicap pekat dan ½ sudu teh kicap cair. Kacau hingga sebati dan angkat kue tiaw, masukkan kedalam pinggan. Ketepikan seketika.
3. Panaskan kuali kembali, masukkan kira-kira 1 ½ sudu besar minyak. Masukkan daging yang telah diperap dan cili kisar, kacau hingga wangi. Masukkan pula 1½  sudu besar kicap pekat,  2½  sudu besar kicap cair dan kacau lagi sehingga daging masak.

4. Masukkan daun kucai, kue tiaw dan taugeh. Kacau dengan cepat hingga semua bercampur. Suaikan rasa, dan bolehlah dihidangkan.
Assalamualaikum,

Selamat berhujung minggu dan beristirehat dengan keluarga tercinta untuk semua pembaca blog ini. Hari ini semua anak-anak ada di rumah jadi saya bersemangat untuk memasak. Dalam ramai-ramai tu ada yang requested kue teow goreng...dah lama mama tak masak kue teow katanya. Yang betulnya kalau mama masak di rumah ni selalu taruh banyak lauk sebab itu puas makan. Kalau kat kedai lauk ciput je dan tak boleh ulang-ulang tambah kue teow macam kat rumah. Itu kaedahnya :D

Alhamdulillah saya dah selesai masak dua bungkus kue teow goreng sedap sebagai makan malam hari ini. Iye ke sedap kue teow goreng resipi ni? Bagi saya dan keluarga memang menepati citarasa tak tahulah pulak pembaca di luar sana. Cuma malam ni macam kurang lengkap sikit sebab tak ada cili jeruk. Kalau nak cuba masak bolehlah 'usha-usha' resipi di bawah ni ;)

KUE TEOW GORENG SEDAP
Bahan-bahan 
500gm kue teow
3 ulas bawang putih - di cincang 
1 cawan udang 
1 cawan kerang - siap di kopek
2 ketul fish cake - di potong nipis 
secekak daun kucai - potong pendek (lebih kurang 1 inci)
2 cawan taugeh
2 biji telur
2 sudu besar minyak masak - untuk menumis

SOS (satukan dalam satu mangkuk)
1 sudu besar cili kisar
½ sudu besar kicap pekat 
2 sudu besar kicap manis 
1 sudu besar kicap cair
1 sudu besar sos cili 

Cara memasak:

1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih hingga berbau wangi dan masukkan pes cili sambil di kacau.
2. Masukkan pula sos, kerang, fish cake dan udang sambil di kacau lagi.
3. Seterusnya masukkan kue teow dan kacau lagi hingga beberapa minit.

4. Masukkan pula daun kucai dan taugeh sambil di kaup balik. Selalunya saya hanya masak sebentar sahaja sayuran sebelum masukkan telur kerana lebih suka sayur separuh masak dan lebih ranggup.
4. Akhir sekali masukkan telur dan kacau dengan cepat sebelum tutup api dapur.
5. Kue teow goreng ini sedap di hidangkan dengan cili jeruk.

Assalamualaikum,

Pernah dengar Mee racun yang popular di Batu pahat Johor? Sahabat baik saya masa belajar dulu orang Johor, selalu cerita tentang kesedapan mee racun yang katanya popular disana. Tapi jujurnya saya belum pernah rasa. Walaupun pernah sampai di Batu Pahat tetapi cuma singgah sebentar dan terikat dengan urusan kerja maka tak teringat pula untuk mencari lokasi kedai ini. Memang negeri Johor ni makanannya sedap-sedap belaka dan semuanya kena dengan selera saya sekeluarga. 

Baru-baru ini bila berborak dengan sahabat saya ni terkeluarlah cerita tentang mee racun sekali lagi. Teringin nak rasa jadi saya cuba masak di rumah. Fuh..rupanya memang sedap sangat mee ini. Resipi asal menggunakan tulang kambing tetapi susah nak cari tulang kambing disini, saya gantikan dengan tulang lembu. Rasa manis tulang yang di rebus di campur pula dengan udang dan kuah mee yang pedas dan secukup rasa tu memang membangkitkan selera. Nak tahu macamana sedapnya cubalah resipi ni :)

Bila google ada berbagai versi resipi mee racun tetapi saya cuba masak yang ini kerana bahan-bahannya agak mudah. Mungkin tak sehebat dengan yang di jual tu tapi yang ini pun rasanya dah terangkat dah! 

MEE RACUN 
Resipi asal : Che'iza - MyR
Bahan-bahan ( 5-6 orang )

600 g mee kuning
1/2 kg tulang kambing - saya guna tulang lembu
1/2 inci halia - di ketuk
Beberapa ekor udang
3-4 biji bawang merah dikisar
2-3 ulas bawang putih dikisar
4 sudu besar cili boh
5 sudu besar sos tomato
4 sudu besar sos cili
1 kiub ayam
1 sudu besar gula
sedikit garam
sedikit serbuk lada sulah
2 kelopak kobis (nak letak sawi pun boleh)
sebiji tomato (dipotong baji)

Cara-cara

1. Rebus tulang dengan halia hingga empuk.

2. Dalam kuali, tumis bahan kisar hingga kekuningan dan naik bau.
Masukkan cili boh, tumis hingga garing.
3. Masukkan air rebusan tulang, sos tomato, sos cili biar dan biarkan mendidih.
4. Masukkan udang, tulang, gula, kiub ayam, serbuk lada sulah dan garam secukup rasa, . Masak hingga kuah agak pekat masukkan kobis dan tomato.
5. Celur mee, masukkan kedalam mangkuk. Tuang kuah keatasnya dan tabur daun bawang serta bawang goreng. Sedia untuk dihidangkan.
Assalamualaikum,


Hujan dan mendung sahaja musim sekarang ni. Kalau tak awal pagi selalunya waktu malam memang hujan di Langkawi. Dalam cuaca sejuk begini perut selalu minta diisi dan masakan panas seperti sup memang menjadi pilihan. Sedap kan kalau boleh masak kue teow atau bihun celup sendiri di rumah. Kalau makan kat kedai sudah nak cari yang kena dengan selera. Kalau ada pun saya kurang berkenan dengan sup yang terlajak serbuk perasa atau kuah hitam terlebih kicap. 

Yang mudahnya masak sendiri di rumah. Boleh 'adjust' rasa ikut selera dan anak-anak pun boleh ulang-ulang makan. Susah nak cari resipi kue teow celup yang kena dengan selera, tetapi resipi yang saya cuba masak dari resipi blog DuniaCikguwan ni memang terbaik dan hampir-hampir sama dengan yang kita makan di luar. Saya cuma ubah sedikit cara memasaknya serta bahan-bahan. Terimakasih kepada pemilik asal resipi. Saya kongsikan resipinya sekali lagi disini bagi yang ingin mencubanya.

Jom lihat resipi... :)

KUE TEOW CELUP SEDAP
Bahan untuk supnya :

1/2 kg Tulang yang ada daging  
1/2 kg daging 
1 peket meatball 
4 ulas bawang putih- di ketuk 
4 ulas bawang merah -dimayang 
2 inci halia- di hiris nipis 
4 kuntum bunga cengkih 
1 inci kulit kayu manis 
3 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
1 batang celery - saya gantikan dengan batang daun sup
1/2 batang lobak putih- dipotong kasar 
1 batang serai -diketuk 
1 pohon pokok ketumbar -diketuk akarnya 
2 liter air

Perisa sup :  Sos ikan secukupnya, gula somtam, Kicap masin dan garam secukup rasa.
Cara memasak : 

1. Rebus daging dan tulang sehingga empuk. 

2. Panaskan minyak didalam kuali, tumis bawang merah, putih dan halia hingga wangi. Masukkan bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga dan kulit kayu manis dan kacau hingg agak garing.
3. Tuang bahan tumis kedalam periuk merebus daging tadi dan kacau. Masukkan batang pohon sup, akar ketumbar, lobak putih dan serai. 

4. Masak hingga menggelegak dan masukkan perisanya iaitu sos ikan, gula somtam, kicap dan meatball. Dah sedap rasanya boleh tutup api dan sejukkan. Saya masukkan juga garam secukup rasa.
5. Tapiskan supnya masuk dalam periuk lain. Keluarkan tulang, daging dan meatball. Panaskan semula sup sebelum menghidang. Basuh kue teow dan toskan.

6. Hidangkan dengan masukkan kue teow kedalam mangkuk, masukkan daging, tulang, meatball dan bahan sampingan lain seperti taugeh, daun ketumbar, kacang tanah, chili flakes dan limau nipis. Akhir sekali tuang kuah sup yang telah dipanaskan kedalam mangkuk.


Inilah gula somtam dan ada dijual di Langkawi dan negeri-negeri sempadan Thai. Kalau tak ada gula ini boleh juga gantikan dengan gula melaka.
Assalamualaikum, 

Asyik makan nasi je jemu juga ye. Sesekali makan tengahari dengan Mee Hailam seafood, letak pula banyak cili padi mesti membuka selera. Nak memasak mee hailam ni sangatlah mudah tapi kalau kita makan di luar harganya boleh tahan juga dan rasanya belum tentu sedap lagi. Jadi kalau ada masa tu baiknya masak sendiri, boleh letak lauk dan sayur banyak mengikut selera sendiri.

Jom lihat resipi Mee Hailam Seafood. Saya sediakan langkah demi langkahnya di bawah ni :)

MEE HAILAM SEAFOOD
Bahan A
500gm mee kuning - di celur dengan air mendidih dan toskan 
3 ulas bawang putih - di cincang
5 tangkai cili padi 
5 sudu besar sos tiram 
2 sudu besar kicap manis
1/2 sudu teh kiub ikan bilis - jika kurang masin 
sedikit lada sulah
800ml air 
minyak masak - untuk menumis

Bahan B
10 ekor udang - di kopek dan bersihkan 
4 ekor sotong - di potong 
1 biji tomato - di potong empat
1/2 batang lobak merah 
4 tangkai putik jagung 
bunga kubis secukupnya
1 sudu besar tepung jagung - larutkan dalam 1 sudu besar air 

Cara memasak:

1. Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga wangi dan masukkan udang. Kacau seketika dan masukkan air.

2. Masukkan pula sayur-sayuran, cili padi dan sotong. Renihkan sebentar.


3. Masukkan pula sos tiram, kicap manis dan kiub ikan bilis. Kacau hingga mendidih. 


4. Seterusnya masukkan bancuhan tepung jagung dan biarkan seketika hingga kuah menjadi pekat. Masukkan pula buah tomato dan matikan api dapur.

5. Hidangkan dengan memasukkan mee yang telah di celur ke dalam mangkuk dan tuang kuah ke atasnya. Tabur juga bawang goreng dan daun bawang.