BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Makanan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Makanan. Papar semua catatan

Rabu, November 25, 2015

Daging Lembu Sebagai Salah Satu Bekalan Protein Negara

25 NOVEMBER 2015: Saya melihat krisis bekalan daging sebagai satu masalah yang sepatutnya boleh diatasi. Perancangannya mungkin memakan jangka panjang, tetapi apabila fasa tertentu sudah berjaya dicapai. Masalah peningkatan perbelanjaan atau harga bekalan protein dalam negara boleh diatasi.

SUMBER ASAS MANUSIA: Makanan > Bekalan Protein > Daging

1. Adalah satu usaha pelik apabila kerajaan perlu mengimport daging dari luar apabila kerajaan boleh menggunakan kuasa yang ada untuk mewajibkan penternakan lembu supaya nisbah sekurang-kurangnya 1 ekor lembu untuk 7 keluarga bagi setiap 3-5 hari. Agama Islam, Hari Raya Korban secara tidak langsung telah mengajar kita tentang pengurusan asas sumber bekalan daging ini.

1 lembu : 7 keluarga : 3 hari ; pertimbangkan untuk eskport / perindustrian
1 lembu : 7 keluarga : 4 hari ; pertimbangkan untuk eksport / perindustrian
1 lembu : 7 keluarga : 5 hari ; keperluan asas dipenuhi

Keperluan yang paling optimum ialah 4 hari, 1 ekor lembu untuk 7 keluarga.

2. Penternakan lembu boleh meningkatkan kadar karbon dioksida dalam udara. Kajian ini pernah dilakukan oleh saintis dari luar negara. Pokok-pokok yang mempunyai kadar resapan karbon dioksida paling tinggi perlu diutamakan, dipilih dan ditanam di sekitar ladang-ladang penternakan lembu. Terdapat satu lagi kajian yang menunjukkan peningkatan karbon dioksida dalam atmosfera menpercepatkan lagi perkembangan hutan-hutan hujan tropika.

3. Diplomasi kalah-menang tidak sepatutnya wujud. Kerajaan yang kuat adalah kerajaan yang boleh berdikari. Mereka tidak perlu bergantung dengan negara lain untuk mencukupkan bekalan makanan. Jika disebabkan sudah ada usaha untuk import daging dari luar negara, maka negara perlu kurangkan bilangan penternak daging, maka pandangan ini tidak menguntungkan negara. Kerajaan perlu wujudkan sumber makanan yang lebih daripada cukup. Walaupun wujud perjanjian melibatkan import-eksport daging dengan negara luar, kerajaan perlu menyediakan bekalan daging yang cukup. Sekiranya diplomasi terputus, negara tidak terjejas. Sekiranya negara pakatan mengalami kekacauan atau apa-apa keadaan yang menghalang import-eksport sumber daging, sumber bekalan daging di negara juga tidak akan terjejas.

4. Sumber protein negara bukan sahaja terhad kepada lembu tetapi juga haiwan-haiwan ternak yang lain seperti kambing, biri-biri, rusa, unta, ayam, burung ostrich, itik dan sebagainya. Sumber asas makanan yang tinggi akan menjamin kehidupan yang menyenangkan rakyat. Rakyat perlu makanan untuk terus hidup. Apabila perut kenyang, rakyat senang.

5. Sumber makanan, sumber air, tempat tinggal, pakaian, sumber tenaga elektrik, pengangkutan, kemudahan komunikasi, pendidikan, kesihatan dan keselamatan adalah antara perkara terpenting dalam sesebuah negara. Apabila sesebuah negara berdaya kuat untuk menjana kesemua sumber ini dengan sendiri, negara itu akan bebas daripada masalah ekonomi.

Selasa, April 09, 2013

Gula-Gula Tingz Sekat Gigi Cepat Rosak

‘Tingz’ sekat gigi cepat rosak
2013-04-07 08:55 Disediakan oleh Berita Harian


Salah satu perisa yang ditawarkan syarikat pengeluar manisan bebas gula.

London: Ibu bapa sering memberitahu anak-anak bahawa memakan terlalu banyak gula-gula menyebabkan gigi cepat reput.

Alternatif bebas gula ialah aspartame - sejenis pemanis tiruan kontroversi yang diluluskan untuk penggunaan dalam makanan dan minuman tetapi menyebabkan kebimbangan potensi kesan sampingan.

Kini sebuah syarikat melancarkan pelbagai manisan bebas gula yang dikatakan bukan hanya 100 peratus semula jadi, namun mengandungi bahan aktif menyekat gigi rosak.

‘Bebas gula’

Gula-gula Tingz keluaran Peppersmith, yang digelar ‘bebas gula dan bagus untuk gigi’ ada perasa termasuk strawberi, vanila, oren dan limau mandarin.

Manisan kecil berbentuk bulat dibuat 100 peratus dengan xylitol, bahan semula jadi yang diperoleh dari pokok birch iaitu polipol atau gula alkohol.

Bahan itu rasanya sama dengan gula namun memiliki 40 peratus kurang kalori dan rendah GI, yang diluluskan secara meluas industri perubatan sebagai ejen bantuan menentang kerosakan gigi.

Di laman web mereka, Peppersmith berkata keupayaan xylitol untuk mengurangkan plak dan kerosakan gigi ditunjukkan dalam ‘beratus-ratus kajian klinikal dan lapangan.’

Ia mengurangkan bakteria berbahaya dalam mulut kepada 90 peratus, kata mereka.

“Ketika ini, manisan mengandungi xylitol diluluskan lebih 15 persatuan pergigian utama di seluruh dunia, termasuk Yayasan Kesihatan Pergigian British dan FDI (Persekutuan Pergigian Antarabangsa),” kata mereka.

Ada bukti di tempat lain untuk menyokong penggunaan preskripsi xylitol. Di Sweden dan Finland, kanak-kanak di sekolah diberikan gula-gula mengandungi xylitol untuk melindungi gigi mereka selepas makan.

Justeru, bagaimana ia berkesan? Di laman web mereka, Peppersmith menggariskan proses itu secara terperinci. Mereka berkata, kerosakan gigi bermula dengan bakteria dalam mulut digelar Streptococcus Mutans.

“Bakteria ini membentuk plak yang melekat pada gigi dan menyebabkannya rosak. Apabila anda makan, gula dalam makanan memberi bakteria itu tenaga dan mereka membiak dan mula menghasilkan asid.

“Apabila pH dalam mulut akhirnya menurun di bawah pH 5.5, permukaan enamel gigi mula larut. Proses sama berlaku setiap kali selepas snek atau makan dan jika ia berterusan, pada akhirnya gigi rosak. - AGENSI

Tabiat makan ikan boleh panjang umur

Tabiat makan ikan boleh panjang umur
2013-04-07 08:55 Disediakan oleh Berita Harian


Washington: Mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas serta mengamalkan makan ikan mampu memanjangkan usia sekurang-kurangnya dua tahun.

Ini berbanding mereka yang tidak mengambil asid lemak omega-3 yang biasanya didapati dalam makanan laut, kata satu kajian Amerika Syarikat.

Mereka yang memiliki tahap asid lemak omega-3 lebih tinggi juga secara keseluruhan mengurangkan sebanyak 27 peratus risiko kematian lebih awal.

Ia juga mengurangkan sehingga 35 peratus risiko mati akibat sakit jantung berbanding rakan mereka yang mempunyai tahap darah lebih rendah.

Penyelidikan diketuai saintis di Sekolah Kesihatan Harvard dan disiarkan Annals of Internal Medicine.

Ketika kaji selidik lain menunjukkan kaitan antara asid lemak omega-3 dan merendahkan risiko penyakit jantung, kajian terbaru memeriksa rekod orang lebih tua untuk menentukan sebarang kaitan antara makan ikan dan risiko kematian.

Penyelidik melakukan imbasan terhadap data 16 tahun membabitkan 2,700 orang dewasa berusia 65 tahun dan lebih tua.

Responden kajian tidak mengambil makanan tambahan minyak ikan, bagi mengelak kekeliruan pengambilan makanan tambahan dan perbezaan diet. - AGENSI

Rabu, Julai 18, 2012

Hukum Makan Belangkas - Halal Atau Haram?

Adakah belangkas halal dimakan atau haram dimakan? 
Menurut Ustaz Azhar Idrus, halal makan belangkas dengan telurnya kerana ia binatang laut dan tidak boleh hidup di darat kerana bernafas menggunakan insang seperti ikan. Hanya naik sekejap ke darat.
 
RUJUKAN: Soal Jawab Ustaz Azhar Idrus (Original) Facebook


Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa tiada nas qati’e yang mengharamkan manusia memakan belangkas. Pakar Haiwan Hidupan Air menyatakan bahawa belangkas adalah haiwan yang hidup di laut dalam dan hanya naik ke pantai untuk bertelur. Ia adalah sejenis haiwan satu alam yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar dan ia tidak boleh kekal hidup di darat kerana bernafas menggunakan insang.
    
Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama’ yang menyatakan bahawa haiwan yang tinggal di dalam laut semata-mata dan tidak boleh hidup tanpa air adalah halal dimakan, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan daging/isi dan telur belangkas adalah diharuskan.

RUJUKAN: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-memakan-dagingisi-belangkas-dan-telurnya

Hukum Makan Ikan Buntal - Halal atau Haram?

Apakah hukum memakan ikan buntal yang telah dibuang racunnya?
Hukum memakan ikan buntal yang dibuang racunnya adalah harus.

RUJUKAN: http://kemusykilan.islamgrid.gov.my


Fakta Penting Mengenai Hidangan Ikan Buntal
  • Chef perlu memiliki lesen khas untuk membersih dan menghidangkan ikan buntal.
  • Hati dan ovari ikan buntal merupakan antara organ yang paling berbahaya.

HUKUM MEMAKAN IKAN BUNTAL

BARU-baru ini, masyarakat nelayan di Terengganu dikejutkan dengan berita kematian seorang tekong dan keracunan teruk empat awak-awak kapal gara-gara memakan kari ikan buntal di perairan Dungun.

Pelik tetapi benar. Difahamkan, kebanyakan pelaut biasa memakan ikan buntal walaupun spesis itu beracun kerana mendakwa tahu cara untuk membuang bisanya.

Pun begitu, sedalam manakah pengetahuan mereka mengenai bisa haiwan vertebrat (bertulang belakang) kedua paling berbahaya kepada manusia selepas katak emas beracun (Phyllobates terribilis) dari Pantai Pasifik Colombia itu?

Racun pada ikan tersebut bukan sahaja mampu melumpuhkan urat saraf malah boleh membunuh jika kita tidak berhati-hati. Untuk memegangnya disaran memakai sarung tangan tebal bagi mengelak keracunan atau digigit ikan tersebut.

Ikan buntal atau nama saintifiknya, Tetraodontidae mempunyai empat gigi besar, tertanam pada 'gusi' atas dan bawah yang digunakan untuk menghancurkan cengkerang mangsanya seperti krustasia, moluska dan cacing merah.

Kulit dan organ dalamannya seperti ovari, hati, usus, tisu otot dan darah pula mengandungi neurotoksin dipanggil tetrodotoksin yang membawa maut kepada manusia. Racun tersebut melumpuhkan otot mangsa dalam keadaan sedar dan akhirnya mati akibat asfiksia.


Hidangan eksotik

Walaupun pakar mengesahkan racun yang terdapat dalam seekor ikan buntal boleh membunuh kira-kira 30 orang dewasa, ia tetap menjadi salah satu hidangan tradisi istimewa di Jepun dan Korea, masing-masing dikenali sebagai fugu serta bok-uh.

Sebagai hidangan eksotik yang bermusim (November hingga Februari), pelanggan perlu bersedia untuk membelanjakan kira-kira RM150 hingga RM1,000 bagi sepinggan fugu.

Fugu adalah perkataan Jepun bagi ikan buntal dan hidangan yang diperbuat daripada daging ikan buntal termasuk spesis Takifugu, Lagocephalus atau Sphoeroides dan ikan landak genus Diodon.

Disebabkan racun ikan buntal boleh membawa maut jika salah cara penyediaannya, fugu dianggap sebagai antara makanan Jepun yang paling terkenal dan berbahaya.

"Tukang masak fugu perlu melalui latihan ekstrem untuk mempelajari seni persediaannya tanpa membiarkan toksin berbahaya pada organ dalaman ikan terkena pada dagingnya.

"Di Jepun, kerajaan mengeluarkan lesen khas kepada tukang masak serta restoran yang menyediakan hidangan berkenaan,'' kata Master Chef, Ricky Kamiishi, Chef Eksekutif Jepun di Restoran Iketeru, Hotel Hilton Kuala Lumpur.

Mempunyai pengalaman hampir 15 tahun dalam seni penyediaan fugu, Kamiishi cukup berkemahiran dalam memastikan setiap ikan yang disiang 100 peratus bebas racun untuk hidangan para pelanggan.

Namun, terdapat sesetengah chef tidak bertanggung jawab sengaja meninggalkan sedikit toksin pada daging ikan untuk memberi 'kejutan' kepada pelanggan tanpa membunuh mereka.

Kamiishi menjelaskan, cara menyiang fugu perlu dibuat dengan teliti mengikut bahagian ikan tersebut yang akan dimasak secara berasingan.

Kebanyakan isinya boleh dimakan, kecuali insang, kepala, gigi, pipi dan permukaan kulit fugu yang mesti dikikis dengan alat khas.

"Apabila fugu dipotong dan dibersihkan dengan selamat, ia dipotong halus (2 atau 3 milimeter) menggunakan pisau khas dipanggil 'hiki' untuk menyediakan fugu sashimi atau tessa.

"Tessa dihidang seperti lukisan blok kayu yang indah berbentuk bunga kekwa, iaitu bunga kematian masyarakat Jepun,'' ujarnya.

Ia dihidang bersama kulit fugu yang dihiris halus bersama sashimi atau kepingan fugu mentah. Isi selebihnya dimasak dalam periuk panas di buat sup menggunakan daging fugu, tauhu, cendawan shitake dan sayuran mentah.

Sup berkenaan akan dimasak sehingga pekat dengan menambah bahan-bahan baru dan digunakan untuk menyediakan hidangan zousui atau bubur nasi.


Haram atau halal?

Dalam pada itu, menilai dari sudut agama, Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir, berkata, secara umumnya, ikan dianggap sebagai bangkai laut dan hukumnya harus dimakan.

Pun begitu, hukum agama jelas mengkategorikan ikan buntal sebagai binatang beracun yang haram dimakan sekiranya masih mempunyai sifat beracun yang membawa mudarat kepada manusia.

"Ikan buntal haram dimakan bukan kerana zatnya ( contoh: haiwan berpenyakit) tetapi disebabkan sifatnya yang berbahaya kepada manusia.

"Tetapi jika sifatnya yang kotor dan berbisa itu dibuang, hukumnya harus atau halal dimakan, sama seperti kebanyakan bangkai laut (hidupan marin) lain,'' jelas beliau.


Penangan ikan beracun fugu. Ikan buntal di Jepun biasanya disediakan dalam hidang sashimi.
Sumber: KOSMO!

RASA berdenyut pada bibir selepas menjamah merupakan keistimewaan makanan laut itu. Penggemar ikan bertoksik fugu atau dikenali juga sebagai buntal itu menyatakan kesan tersebut disebabkan oleh kandungan neurotoksin yang tinggi dalam ikan 'pembunuh' kegemaran ramai tersebut.

Kekebasan yang dialami individu selepas menjamu juadah eksotik itu bagaimanapun berpotensi mengakibatkan lumpuh dan masalah pernafasan.

Berdasarkan laporan Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (AS), ikan tersebut boleh mendorong kematian dalam tempoh empat hingga enam jam.

Walaupun 'mangsa' lumpuh sepenuhnya, mereka mungkin berada dalam keadaan sedar dan dalam kebanyakan kes mereka tahu apa yang sedang berlaku sebelum mati.

Biarpun penyebaran berita kematian akibat fugu kian meluas, pelanggan di Restoran Torafugu-tei di Tokyo tidak perlu khuatir.

Tukang masak restoran itu, Shigekazu Suzuki adalah antara tukang masak yang telah menjalani latihan khas dan mempunyai lesen bagi menghidangkan ikan pengundang maut itu.

"Tidak mudah bagi orang yang tiada lesen membersihkan buntal," kata Suzuki ketika ditemui di salah satu cawangan Torafugu-tei di bandar Ginza yang sedang sibuk mengeluarkan organ dalaman ikan itu yang bertoksik menggunakan pisau yang tajam.

"Saya tidak pernah makan bahagian ini kerana takut," tambahnya sambil menunjukkan ovari berwarna kuning cair yang merupakan salah satu bahagian ikan itu yang paling beracun yang kemudiannya dibuang ke dalam bekas besi berkunci.

Hati Ikan Buntal Merupakan Organ Bahaya

Menurut Suzuki, beliau mengambil masa kira-kira lima tahun untuk lulus peperiksaan lesen buntal yang melibatkan ujian bertulis dan praktikal tentang bagaimana memisahkan bahagian beracun dengan yang selamat dimakan.

Pengawalan ketat yang dijalankan telah mengurangkan jumlah kecelakaan akibat buntal. Tetapi laporan yang diterima membabitkan nelayan-nelayan yang mati selepas memakan ikan berbahaya itu terus meningkat.

Hati ikan fugu yang mesti dibuang dengan betul kerana ia sangat beracun. Malah, ada penggemar makanan laut itu, cuba melangkaui batas apabila meminta pihak restoran menghidangkan organ dalaman yang diharamkan. Terdapat tukang masak terpaksa memenuhi permintaan tersebut meskipun berisiko tinggi.

Pada Disember tahun lalu, kerajaan Tokyo membatalkan lesen seorang tukang masak di sebuah restoran dua bintang di Michelin selepas beliau menyajikan hati ikan buntal kepada pelanggan yang membuat permintaan khas. Pelanggan itu bagaimanapun sembuh selepas dimasukkan ke hospital untuk beberapa hari.

"Sesetengah orang berkeras untuk merasai bahagian yang berbahaya kerana menganggap rasanya lebih sedap. Ada kalanya mereka yang makan ikan buntal jatuh sakit namun majoriti individu seperti kami tidak mahu mengambil risiko," ujar Mahiro Shin, pelanggan Torafugu-tei yang berusia 33 tahun.

Set hidangan ikan buntal yang disediakan dalam periuk panas di Torafugu-tei berharga kira-kira 5,000 yen (RM200.50) dan boleh mencecah sehingga 10,000 yen (RM401.10) di restoran-restoran eksklusif di Tokyo.

"Ia memang sedikit mahal berbanding ikan biasa, tetapi kepuasan yang diperoleh itu amat berbaloi," ujar seorang penggemar fugu, Yoheri Watanebe.

Menurut Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Jepun, 17 orang jatuh sakit selepas menjamah isi ikan buntal sepanjang tahun lalu dengan salah seorang daripada mereka maut.

Rombakan peraturan

Di bawah sistem baharu, restoran-restoran di kawasan Metropolitan Tokyo yang menjadi kediaman untuk 13 juta orang hanya boleh menghidangkan buntal sekiranya mereka memiliki tukang masak yang telah menjalani latihan khas yang disediakan.

Namun, pada ketika undang-undang itu rancak dijalankan, sekumpulan pemerhati dikejutkan dengan pengumuman badan penguatkuasa awal tahun ini yang membuat keputusan untuk melonggarkan syarat tersebut.

Kesannya, mulai Oktober tahun lalu, orang ramai dibenarkan membeli ikan buntal yang telah siap disiang atau dimasak termasuk pek sejuk beku dengan syarat kerja-kerja penyediaan dilakukan tukang masak berlesen. Namun, ikan yang tidak disiang akan terus diharamkan daripada menu di kesemua restoran tanpa lesen yang sah.

Badan penguatkuasa menyatakan perubahan peraturan itu adalah bagi menyesuaikannya dengan situasi semasa.


SUZUKI antara chef terkemuka Jepun yang mempunyai lesen membersihkan ikan buntal.

Sementara itu, pengguna di Tokyo telah lama membeli daging buntal dari kawasan lain menerusi internet. Kebanyakan tempahan datang dari lingkungan selatan Kyushu yang cukup terkenal dengan makanan tersebut.

Suzuki pula menyatakan beliau tidak bimbang tentang persaingan walaupun syarat baharu telah diperkenalkan.

"Disebabkan penukaran penguatkuasaan, lebih banyak restoran boleh menyediakan buntal bagi memudahkan orang ramai menikmati makanan tersebut sekali gus membentuk budaya memakan buntal dalam kalangan rakyat Jepun," ujar lelaki berusia 44 tahun itu kepada AFP.

"Sebagai tukang masak berlesen, saya akan terus menjaga keselamatan pelanggan dengan penuh cermat," tambahnya.

Ahad, Jun 17, 2012

Sejukkan Badan - Hilangkan Panas Badan

Air Barli Segar Penyejuk Badan dan Banyak Khasiat
Air barli segar dikatakan mampu menyejukkan badan. Khasiat barli dipercayai dapat menyejukkan badan, baik untuk melawaskan kencing dan meningkatkan kesihatan buah pinggang.Selain itu, barli juga dikesan boleh membantu merendahkan kolesterol, meredakan sembelit dan mencegah penyakit kanser.

Bijirin Barli kaya dengan khasiat pemakanan seperti fiber, vitamin dan mineral penting (Vitamin B3), thiamine ( Vitamin B1), selenium, iron, magnesium, zinc, phosphorus, copper dan niacin) serta sedikit lemak dan tidak mengandungi kolesterol seperti lain-lain bijirin.

Jika meminum air barli selalu diamalkan, ianya dapat mengurangkan risiko kencing manis, menyejukkan badan, memelihara buah pinggang, melawaskan kencing dan membantu untuk sistem penghadaman.

Air Gula Batu dan Buah Selayar
Gula Batu sebagai penyejuk badan. Berbeza dengan gula biasa, gula batu dikatakan mampu menyejukkan badan. Buah Kembang Semangkuk atau Buah Selayar juga boleh mengubati panas badan. Kombinasi gula batu dan buah selayar, apabila dibuat air minuman dikatakan juga dapat menyejukkan badan.

Rabu, Jun 06, 2012

Proses Sendiri Sisa Makanan Untuk Dijadikan Baja Dengan Mawes-PL

Mawes-PL yang menggunakan teknik pemanasan pantas berulangan membolehkan sisa-sisa makanan diproses menjadi baja atau makanan ikan dan seterusnya menghindari kehadiran makhluk perosak seperti tikus dan lipas selain dapat menghindari bau busuk. Sesuai digunakan di kantin-kantin dan juga di restoran. Menurut kajian, 60% atau tiga perlima daripada jumlah sampah yang dibuang di Malaysia ialah sisa makanan. Dengan menggunakan alat Mawes-PL untuk memproses semula sisa makanan, maka kebersihan di Malaysia boleh ditingkatkan sebanyak 60%.

Proses sendiri sisa organik anda
Oleh ADLAN JAAFAR
Sumber: KOSMO!

SELAMA ini, Abdullah Hassan yang bekerja sebagai chef di Kelab Danau Golf, Bangi, Selangor perlu menyimpan sisa makanan sehingga menjangkau dua hari sebelum pihak berwajib datang untuk mengutip sampah tersebut.

Hasilnya, bau yang tidak menyenangkan daripada makanan yang bertindak balas dengan persekitaran mula menusuk hidung. Makhluk perosak seperti semut dan tikus berkeliaran umpama berpesta makanan.

Masalah boleh menjadi lebih parah apabila tiba musim cuti umum atau hari perayaan. Kehadiran ahli kelab yang ramai dan kontraktor mengutip sampah yang bercuti menyumbang masalah tersebut menjadi lebih kritikal.

Namun, itu semua sudah berlalu. Hal ini kerana setiap malam makanan yang dikumpul akan diproses dalam sebuah mesin menjadikan kuantiti sampah menjadi lebih sedikit, manakala bau busuk dan kotor sudah tiada lagi.

Selepas kerja pembersihan dapur dilakukan, saki-baki makanan yang dikumpul dibuang ke dalam sebuah kotak besi berukuran panjang 1.2 meter, kelebaran satu meter dan mempunyai ketinggian 1.1 meter.

“Cara menggunakannya mudah, hanya memerlukan empat langkah iaitu masukkan sampah, tekan butang mula, tunggu dan apabila siap, hasilnya dikeluarkan,” kata Abdullah yang bertanggungjawab menguruskan kotak besi itu.

Baru tiga bulan diperkenalkan di kelab golf itu, kotak besi yang dikenali sebagai Mawes-PL menggunakan teknologi dari Korea Selatan dalam memproses sisa makanan menjadi sejenis bahan yang boleh dijadikan baja atau makanan ikan.

Cara penggunaannya berdasarkan konsep ‘plug dan pergi’ iaitu pengguna hanya perlu menekan suis untuk memulakan proses dan ia dibiarkan sahaja sehingga selesai.

Bahan yang terhasil adalah dalam bentuk seakan-akan hampas kayu lembap berwarna hitam atau hitam kemerahan. Baunya pula seperti makanan proses yang baru lepas dimasak.

Bahan hasil tersebut digunakan oleh pihak kelab Danau-Golf menjadi baja organik di persekitaran padang golf tersebut. Mesin tersebut telah dapat menjimatkan kos pengambilan sampah dan kos membeli baja untuk pokok hiasan sekali gus menyelesaikan masalah sampah makanan berlonggok tidak dikutip.

Kata Pengarah Eksekutif Waste Engineering Solutions (Mawes), Noor Asmaraini Megat Hussain, Mawe-PL menggunakan konsep Rapid Heating (sistem pemanasan pantas) dalam proses kitar semula sisa makanan itu.

ASMARAINI menjelaskan Mawes-PL tidak melepaskan karbon, menjimatkan ruang penyimpanan dan sisa makanan boleh dijadikan baja.

Saki-baki makanan yang dimasukkan ke dalam mesin tersebut akan diproses dengan kaedah putaran bagi menyamarata bahan sambil dipanaskan sehingga suhu 100 darjah celsius.

Proses mengitar semula akan berhenti secara automatik apabila kuantiti air pada bahan buangan mencapai bacaan isipadu lima peratus atau mengikut masa yang ditetapkan pada jumlah masa tertentu.

Jika hasil bahan kitar semula tersebut mahu dijadikan makanan penternakan, ia sudah tentu tidak akan mendatangkan bahaya kepada haiwan kerana ia diproses pada suhu yang diperlukan supaya kuman dan bakteria jahat mati.

“Disebabkan menggunakan kaedah pemanasan, jika pengguna rajin mengasingkan saki-baki makanan pepejal dengan membuang bahan cecair, bahan boleh terhasil dengan lebih cepat,” terang wanita berusia 37 tahun itu.

Bahan hasil kitar semula makanan boleh disimpan antara dua hingga tiga bulan. Julat hasil terbahagi pada dua bahagian iaitu berkualiti tinggi dan rendah.

Kualiti tinggi adalah untuk dijadikan makanan penternakan seperti ikan, manakala bahan yang dikategori sebagai kualiti rendah boleh dibuat baja atau dibuang begitu sahaja.

Ia bergantung kepada sisa makanan yang dibuang ke dalam Mawes-PL kerana untuk menjadikan makanan ikan, hanya produk makanan sahaja boleh dibuang tanpa dicampur dengan produk bukan organik bersama-sama.

“Setakat ini tiada masalah dijadikan baja tetapi untuk makanan ikan perlu mendapatkan pengesahan halal dan kandungan nutrien daripada pihak berwajib,” ujar Asmaraini lagi.

Berbanding proses membuat kompos secara tradisional yang menurut Asmaraini mengeluarkan gas karbon dioksida, Mawes-PL tidak membebaskan sebarang gas dan tidak menggunakan mikroorganisma.
SAMPAH organik seperti sisa makanan menyebabkan pembiakan makhluk perosak seperti tikus. - Gambar hiasan

Bahan buangan yang terhasil bagi setiap 100 kilogram yang diproses adalah air jernih dengan isipadu lebih kurang 500 mililiter atau sebotol air mineral berharga RM1.

Menariknya, hasil kitar semula makanan akan berkurangan sehingga 90 peratus berbanding kuantiti asal ketika dimasukkan ke dalam Mawes-PL.

Jika Mawes-PL yang berkapasiti 100 kilogram diproses pada kuantiti maksimum, hampas yang terhasil akan seberat lebih kurang 10 kilogram.

Jadi, ruang penyimpanan sampah sebelum ini luas boleh dikecilkan dan kawasan pembuangan sampah yang boleh bertahan 20 tahun turut dapat dimanfaat pada tujuan lain.

Hasil yang diproses oleh Kelab Danau Golf digunakan sebagai baja organik untuk tanaman sekitar kelab golf itu.

Asmaraini menyifatkan mesin Mawes-PL ringkas dan kurang bermasalah jika kerja-kerja penyelenggaraan dibuat secara berkala.

Terdapat tiga peringkat penyelenggaraan iaitu pemeriksaan bulanan, setiap enam bulan dan setahun sekali. Setiap bulan, pemeriksaan sistem supaya berjalan dengan lancar dibuat.

“Bahagian yang kerap rosak ialah spring apabila pengguna tidak mengasingkan bahan kitar semula dengan memasukkan semua jenis sampah,” kata Asmaraini menjelaskan kesan tidak mengagihkan bahan buangan.

Setiap enam bulan sekali mekanisme dan alat ganti diteliti manakala setahun sekali, minyak termo perlu ditambah kerana kebiasaannya kuantiti akan berkurangan. Ia tersejat akibat proses pemanasan.

Selain itu, Mawes-PL mempunyai sistem komputer dalaman yang merakam setiap proses dan bahan yang dilakukan mesin tersebut,

Data yang dirakam digunakan untuk mendiagnosis punca masalah ketika ia berlaku sebarang masalah jadi, kerja-kerja membaiki yang tepat dan efisien boleh dibuat.

Pasaran mesin Mawes-PL menyasarkan tempat-tempat seperti kondominium, pasar raya besar, hotel dan medan-medan selera. Lokasi tersebut terkenal sebagai antara kawasan yang menghasilkan banyak sisa makanan.

Hampir 60 peratus sampah yang dibuang oleh seluruh rakyat Malaysia terdiri daripada saki-baki makanan dan sebahagian kecil sahaja dikitar semula.

Selain itu, ia dibuang secara terus ke kawasan lapangan sampah. Pembuangan secara terbuka boleh memberi kesan rumah hijau dan merosakkan sistem pembentungan.

Sampah makanan juga boleh menggalakkan pembiakan makhluk perosak, menimbulkan bau busuk dan menyakitkan mata yang melihat.