Hati ialah raja.
Inilah fitrah kehidupan.
Hidup ini tidak selalunya indah. Walaupun mungkin poket kita dipenuhi dengan wang dan rakan-rakan di sekeliling pinggang, itu semua tidak lagi bermakna andai hati tidak tenang. Ada manusia, apabila diuji dengan secebis kesusahan, ia melenting menghambur kata-kata kesat menyalahkan semua insan serta tuhan. "Apa salah aku sehingga diuji dengan ujian seberat ini?" Mulutnya menzahirkan kebencian. Mengangkat diri ke makam tertinggi.
Firman Allah SWT,
Namun apabila tuhan mengujinya lalu membatasi rezekinya, lalu dia berkata, "Tuhanku telah menghinaku" (Al-Fajr, 16)
Insan itu lupa bahawa alam ini tidak sentiasa cerah. Selimut kegelapan malam pasti terbentang setelah matahari siang memancar terik. Dan begitu juga kehidupan kita. Andai segalanya indah dan mudah pasti kita akan bosan dan tidak merasakan nikmatnya sebuah kelapangan. Dan atas dugaan yang melanda, ramai manusia yang lupa diri, lupa tuhan, lupa akhirat. Tidak puas hati, tidak reda dengan masalah yang berlaku.
Mungkin kerana merasakan diri terlalu mulia dan suci untuk mendapat ujian sebegitu. Dan mulalah ia menyalahkan segalanya, hanya dirinya saja yang berada pada kebenaran. Namun sekiranya difikir-fikir kembali, sehingga bila emosi itu akan menyelesaikan masalah?
Oleh itu kehidupan mengajar kita bahawa 'kita adalah siapa kita'. Sekiranya kita inginkan bahagia, maka kebahagiaan pasti hadir. Sebuah kisah yang dipetik daripada buku "The 7 habits of Highly Effective People" oleh Stephen R. Covey – sebuah kisah tentang seorang banduan di zaman pemerintahan diktator Nazi. Dia seorang lelaki yang menjadi banduan dalam tahanan penyiksaan oleh askar nazi yang kejam.
Setiap hari dia diseksa, dipaksa berkerja keras serta tidak diberi makanan. Berbagai-bagai penyiksaan dikenakan. Namun apa yang pelik adalah dia tidak pernah merungut, bahkan sentiasa tersenyum. Seolah-olah bahagia.Apabila ditanyakan mengapa ia masih bahagia lalu ia menjawab, "Askar nazi telah menguasai jasadku, oleh itu aku takkan serahkan hatiku kepada mereka. Hati ini milik aku dan aku inginkan hati ini sentiasa bahagia"
Begitulah jua kita. Bahagia itu dicipta dan dipelihara. Berhentilah daripada menyalahkan keadaan, takdir serta kesilapan insan. Sebaliknya marilah kita melihat kedalam diri sendiri, mungkin kita yang lupa dan alpa lantas masalah ini tiba. Andainya kehidupan ini sempit, maka bergeraklah kepada tempat yang lebih luas. Biarkanlah apa yang telah terjadi, masalah yang telah berlaku. Andainya sesuatu telah hilang daripada kita, maka ciptalah ia!
Allah telah mengajar kita dalm Quran,
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sebelum mereka mengubah diri mereka sendiri" (Ar-ra'd, 11)
Ya, kita adalah siapa yang kita ingin jadi. Kuncinya perubahan. Dan perubahan itu bermula dengan berfikiran positif. Sentiasa positif walaupun berlaku apa-apa dugaan. Masam manis kehidupan ini adalah fitrah. Hidup ini ibarat roda, adakalanya kita berada di atas dan kadangkala kita berada di bawah. Masalah itu penyeri kehidupan yang akan menjadikan kita lebih menghargai sebuah ketenangan. Sekiranya manusia menghidangkan limau masam kepada kita, maka buatlah air limau manis yang menyegarkan. Hidup ini indah. Masam itu manis.
Cuba perhatikan manusia di sekeliling kita, berapa banyak kes-kes pergaduhan berlaku di kalangan mereka yang bersaudara, juga yang bersahabat baik. Ataupun yang lebih teruk lagi, suami isteri bertengkar sehingga kadang-kadang pinggang mangkuk yang tidak bersalah terbang ke sana sini. Bagi mereka yang tinggal di rumah teres, adakalanya mempunyai pengalaman menyaksikan pergaduhan sebegini, kerana rumah kita dan jiran hanya dipisahkan oleh sekeping dinding batu yang tidak sampai semeter pun.
Kadang-kadang dalam kesibukan kita dalam kehidupan seharian membuatkan kita semakin cepat dalam solat berjemaah, semakin kurang quran dibuka, semakin sedikit masjid dijejaki. Oleh itu, semakin lama, kesibukan kita membuatkan kita terasa 'kering'. Dalam pencapaian kita menjadi orang-orang penting dalam sesuatu program, namun jauh di sudut hati, kita merasa ada sesuatu yang tidak kena. Sesuatu yang menggusarkan hati, yang menghilangkan ketenangan abadi.
Kadang-kadang apabila kita dalam keadaan 'down' menjadikan kita sering mudah melenting, sikit punya hal pun nak marah. Muka masam selalu. Situasi ini adalah normal bagi kita seorang manusia yang tidak pernah sempurna. Saya dan kamu; sama sahaja, pernah mengalami situasi sebegini. Oleh kerana keadaan ini tidak dapat dielakkan, lari daripada segala amanah bukanlah satu penyelesaiaan terbaik.
Persoalan utamanya ialah; bagaimana kita mengahadapinya.
Pertamanya, saya ingin mengingatkan diri sendiri yang terlalu lemah dan kemudian ingin menasihatkan para pembaca sekalian. Bahawa apabila diri terasa 'down', apabila mood semakin tak baik, itulah petandanya kita semakin mengabaikan amal ibadat seharian kita. Mungkin ketika peperiksaan, solat 5 waktu sehari semalam di masjid, quran seringkali dibaca, solat sunat tak pernah tinggal, qiamullail semakin kerap.. Tapi bila cuti, masa rileks-rileks, semua itu semakin berkurangan.
Marilah kita tanyakan kepada diri masing-masing, adakah hubungan kita dengan Allah semakin baik ketika musim cuti jika dibandingkan ketika musim peperiksaan? Sekiranya semakin baik, tahniah. Sekiranya semakin buruk, marilah kita sama-sama beristighfar dan kembali kepada Allah. Sesunggunnya fitrah manusia yang lemah pasti kembali kepada penciptanya, ketika mana mereka berada dalam keadaan tersempit. Dan apabila keadaan semakin baik, mereka melupakan penciptanya.
Apabila diri terasa 'down', bukalah quran, bacalah ia dengan penuh penghayatan, satu per satu perkataan dengan memahami setiap maknanya. Pasti akan ketemui jalan keluar, hati yang tenang, jiwa yang lapang dan pemikiran yang matang. Bacalah ia ketika kamu bersendirian mahupun ketika bersama kawan.
Apabila diri terasa 'down', berwuduklah dengan air segar, kemudian solat sunat bersujud menghadap pencipta yang Esa. Mohonlah kepadaNya yang mencipta segalanya, yang lebih memahami setiap masalah kita. Lamakanlah sujud itu, air mata itu biarkan ia mengalir perlahan. Tanda kita masih setia kepada tuhan.
Apabila diri terasa 'down', keluarlah berjalan di kawasan-kawasan yang tenang, di tepi-tepi sungai, tasik-tasik. Ataupun keluar makan bersama kawan, sembang-sembang, gelak ketawa sebentar. Ambillah masa sendirian untuk muhasabah kembali, dapatkan mood yang baik agar kita tidak lupa siapa diri kita. Bertenanglah, jangan paksa diri dengan sentiasa berkerja dan bertugas, kerana hakikatnya kita bukan robot. Tetapi hanya manusia yang ada 'limit'nya.
Apabila diri terasa 'down', come on bro.. rilekslah~ hehe
Terkenang "Malaysian Idol". Dan dalam masa beberapa detik itu lakaran memori lalu menyerbu benak fikiranku. Tiba-tiba hati kecilku berbisik, "mengapa artis seringkali dijadikan idola?"
Puas saya berfikir, di mana nilainya seorang artis yang terkinja-kinja di atas pentas. Di mana baiknya artis yang kehidupannya berkiblatkan Barat. Mempromosikan pakaian mendedahkan aurat, akhlak murahan yang gedik tidak bertempat, kisah-kisah cinta jalanan yang tidak layak disandarkan kepada cinta yang suci.
Memang meluat melihat adengan-adengan filem Melayu(khususnya) yang tiada nilai di sisi agama. Apakah tidak ada lagi rasa malu dalam hati, sehingga sanggup bergurau senda, bertepuk bahu, bersentuh tangan dengan lelaki dan perempuan yang bukan muhrim? Kononnya hanya berlakon atas tiket kebebasan asasi dan kemajuan, tetapi inilah sebenarnya yang dikatakan dengan kehancuran. Entah di mana hilangnya maruah, sehingga sanggup melelongkan harga diri di televisyen-televisyen, akhbar-akhbar dan majalah-majalah.
Setelah bosan menonton TV, saya ambil pula sebuah akhbar tempatan di bawah meja tetamu. Saya selak satu per satu mukasurat, satu per satu gambar-gambar artis Melayu terpampang di laman kertas tersebut. Seorang lelaki dengan rambut berwarna perang, panjang mencecah bahu menunjukkan gaya 'otai' sambil memakai baju melayu bersongket. Di sebelahnya ada seorang perempuan turut sama bergaya. Dalam mukasurat lain pula, kelihatan manusia-manusia gedik bersalaman lelaki dan perempuan sambil mengucapkan ucapan hari raya dan kemaafan.
"Inilah gaya hidup yang ingin diterapkan dalam masyarakat aku", saya bermonolog sendirian. Terfikir, sedangkan isu-isu kebejatan akhlak semakin membinasa merosak institusi kemasyarakatan, dan pelbagai usaha telah dilakukan oleh banyak pihak termasuk pemimpin negara dalam ucapan-ucapannya. Dalam masa yang sama racun terus dihidang kepada pesakit-pesakit kronik.
Bukan ingin mengangkat martabat diri, mengatakan akulah yang paling soleh dan baik. Bukan juga ingin mengatakan diri ini sempurna dan tidak ada cacat cela. Namun jiwa ini sedih melihat masyarakat melayu tercinta hidup dipimpin Barat yang binasa dan membinasakan. Apa dikata putih, maka putihlah ia, biarpun pada hakikatnya ia hitam legam. Semakin buta daripada melihat keindahan islam.
Sekiranya idola itu bermaksud 'berhala' semata-mata, maka saya setuju artis ialah idola. Dan sebagai seorang muslim, kita hidup tidak menjadikan berhala sebagai ikutan dan contoh tauladan. Qudwah hasanah atau contoh yang baik letaknya pada orang beriman, khususnya lelaki pemimpin sekalian umat - rasulullah SAW. Akhlaknya sempurna, peribadinya menawan hati, bersifat halus, sensitif, berani, gagah, tegas, berhikmah dan segala sifat baik. Inilah yang harus kita jadikan contoh ikutan, bukan manusia-manusia duta Barat yang mempromosikan gaya hidup kotor dan hina.
Apabila ini tidak jelas, alhasil dilihatnya muda mudi tersalah tafsir erti cinta yang sebenar. Cinta murahan tidak berharga. Sekadar bertemu ketika menunggu bas, berkenalan, saling behubung, sering keluar bersama, makan bersama, pegang tangan, jalan sama-sama,"Rindu awak, love you", datang orang ketiga terjadi cinta tiga segi, dan akhirnya berkahwin. Hasilnya, pergaduhan, tidak sefahaman, cintanya luput dihakis dosa-dosa silam yang masih digalas hingga kini. Kesian.. kesian.
Ha.. inilah 'kemajuan' yang dilaung-laung oleh Barat. Nak ikut?
"Oh.. itulah artis nek"
Ketika saya berada di zaman persekolahan dahulu, seringkali saya lihat pelajar-pelajar yang baik-baik belaka. Pakaian menutup aurat, tudung labuh bagi yang perempuan dan sentiasa berkopiah bagi yang lelaki. Maklumlah, sekolah agama lah dikatakan. Semuanya akhawat pemalu, menundukkan pandangan dan jika bertembung dengan lelaki, pasti mengelak sejauh mungkin.. Sehingga saya kadang-kadang jadi pelik, seolah-olah saya ni berbahaya.
"Baiknya pelajar-pelajar itu", hati saya sering berbisik.
Jujur saya katakan bahawa saya benar-benar kagum dengan akhlak pelajar-pelajar sekolah itu.
Suatu petang ketika saya sedang membuka halaman friendster saya (yang telah saya delete sekarang), saya terkejut dan terkedu.. menyaksikan satu fenomena yang jauh dari pemikiran akal waras saya. Dengan biji mata ini saya terlihat pelajar-pelajar solehah itu telah hilang tutup kepalanya dan bergambar-gambar dengan lelaki. Hati ini mengucap melihat dia yang saya kenali sebagai rakan sekolah yang amat pemalu, bertudung labuh, pijak semut tak mati- tiba-tiba telah bertukar 180 darjah. Totally changed.
Dada sebak, hampir menitis air mata, bukan kerana bersedih dengan dia tetapi sayu mengenangkan nasib umat islam yang semakin hilang identiti dan pegangan. Hati ini semakin sayu melihat pula kawan-kawan lain yang hanyut di alam remaja. Berpasang-pasangan, bergaya taiko dan bergaul bebas. Satu persatu muka-muka yang saya kenali itu saya tatap di laman-laman internet, satu persatu kenangan-kenangan nostalgia zaman lalu terukir kembali di minda. Aduhai, amatlah sedih hati ini.
Ingin sahaja saya tanyakan mereka… perubahan jenis apa yang mereka amalkan di sekolah dahulu?
Langkah Pertama Yang Tersilap
Perjalanan beribu batu bermula dengan satu langkah pertama. Seolah-olah satu langkah yang akan melakar peta perjalanan yang akan datang. Langkah pertama inilah yang telah dilakarkan oleh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam buku "Munthalaq", sebagai langkah awal yang amat penting. Sekiranya silap, maka akan sesat. Inilah yang dikatakan sebagai "niat".
Saya mengajak para pembaca sekalian berfikir…
"Mengapa aku berjubah,berkopiah?"
"Mengapa aku bertudung labuh?"
Allah. Jawapan yang cukup mudah untuk dilafaz dengan mulut. Tetapi adakah benar ia berputik di jiwa. Atau lidah hanya lancar mengatakan "kerana Allah" tetapi hati mengatakannya kerana peraturan, keadaan, 'title' sekolah agama, atau lebih teruk agar dikatakan pelajar baik, alim soleh.
Niat yang ikhlas untuk mengamalkan islam adalah penentu sejauh mana kita akan beriman di mana sahaja kita berada. Jika tidak, identiti soleh dan solehah itu hanyalah topeng cantik yang hanya dipakai ketika berada di sekolah. Topeng itu dipakainya secara terpaksa dalam keadaan tersempit, dan akan mencampakkannya setelah dirasakan perlu iaitu setelah diri bebas dari belenggu peraturan sekolah.
Perubahan Yang Kita Inginkan
Hidayah Allah sering menyapa dan menyentuh lembut jiwa, lantaran itulah kita masih rasa bersalah ketika melakukan dosa. Kita semua ingin berubah kepada kebaikan. Saya yakin. Dan perubahan yang kita inginkan adalah perubahan yang kekal dan berterusan, yang membentuk peribadi menjadi muslim dan muslimah sejati.
Firman Allah,
"Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk kembali kepada kami, pasti kami akan tunjukkan jalan-jalan kami" (Al-ankabuut, 69)
Kunci pertama dalam melakukan perubahan yang kekal adalah sentiasa bersungguh-sungguh dalam bertaubat. Ini dimulakan dengan niat untuk berubah, seperti yang telah saya tuliskan di atas sebagai langkah pertama. Oleh itu marilah kita membetulkan kembali tujuan kita menjadi baik, bukan kerana manusia, tetapi pencipta manusia.
Daripada Penjenayah kepada Ahli Ibadah
Kisah ini sering saya bangkitkan dalam kata-kata dan tulisan. Sebuah kisah seorang lelaki yang istiqamah dalam perubahan. Fudhail bin Iyadh terkenal dengan sifat buruknya sebagai penyamun jalan yang digeruni. Sehingga laluan tersebut dinamakan 'jalan Fudhail' dan ramai muslimin takut kepadanya.
Suatu hari ia terlihat seorang wanita dan terpikat kepadanya. Naluri lelakinya itu mendorong Fudhail untuk mengikuti perempuan tersebut hingga ke rumahnya. Malam itu ketika ia sedang memanjat dinding rumah wanita tersebut, ia terdengar satu bacaan yang menyentak jiwanya, yang keluar daripada bibir wanita solehah tersebut.
"Belumkah tiba waktunya untuk orang-orang beriman untuk tunduk hatinya mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun..." (Al-Hadid, 16)
Ayat suci quran ini menyambar jiwanya. Bergetar seluruh badan dan hatinya. Dalam keadaan menggigil keinsafan itu bibirnya menyebut ikhlas, "Ya, telah tiba waktunya sekarang wahai tuhanku, telah tiba waktunya sekarang..". Ia lantas pulang namun hari telah gelap, ia singgah dahulu di suatu reruntuhan. Di sana ia terlihat sekumpulan musafir.
"Ayuh, kita berangkat", sebahagian mereka berkata. Yang lain menjawab, "Jangan, lebih baik tunggu sehingga pagi kerana malam-malam sebegini Fudhail sedang menjalankan aksinya". Tiba-tiba muncul bayangan satu tubuh dari kegelapan. "Akulah Fudhail, dan aku telah bertaubat".
Akhirnya Fudhail memanjatkan doa kepada Allah agar menizinkannya tinggal di Mekah dan di sana dia menuntut ilmu dan menjadi ulama' yang faqih dalam hadith. Fudhail digelar 'ibadul haramain' (Orang yang beribadat di Mekah dan Madinah). Itulah kisah ringkas seorang lelaki yang istiqamah dalam perubahannya.
Kesimpulan
Islam itu berpasak pada kefahaman, bukan pada ikutan semata-mata. Kita pasti menjalankan suruhan Allah dengan bersungguh andai faham mengapa kita melakukannya. Islam bukan agama bermuka-muka, tetapi ia adalah agama yang menuntut kita untuk masuk ke dalamnya dengan sepenuhnya. Totally muslim. Fahamilah islam, insyaallah perubahan itu pasti kekal, malah tempiasnya pasti dirasakan oleh orang sekeliling.
Ayuh, jadikan Ramadhan tahun ini sebagai langkah pertama.
Entah mengapa sejak akhir-akhir ini, saya selalu terbayangkan kamu semua akan tertanya-tanya tentang blog ini. Apa tujuan sebenarnya saya menulis? Ke mana hala tuju blog saya? Mengapa ada cerita-cerita yang nampak seperti tidak serius sedangkan mesejnya islamik?
Baiklah pembaca yang saya hormati.
Dalam menaip sesuatu, saya cuba sedaya upaya meraikan semua pembaca. Saya sedar bahawa tulisan tidak semestinya sentiasa serius, mahupun sentiasa berjenaka. Oleh itu saya mengambil jalan pertengahan. Jika isu yang saya kupas berbentuk isu semasa yang perlu ditekankan, maka saya akan menulis secara terus dan serius. Bahasa juga tidak berbunga-bunga.
Tetapi jika topik yang saya bincangkan berbentuk pandangan peribadi, motivasi dan cerita pengajaran, maka saya akan menggunakan gaya penulisan bersahaja. Mungkin terdapat penggunaan kata "Aku", "amek kau" dan sebagainya.. Mungkin juga penulisan saya sengaja taipkan dengan berbentuk retorik atau terlalu berseni. Inilah cara saya menulis dan menaipkan sesuatu agar meraikan semua tetamu saya, tentunya kamu semua adalah tetamu terhormat saya.
Apa-apapun.. saya menulis untuk islam.
Moga penulisan ini bermanfaat.
Seorang muslim adalah manusia yang paling berbangga dengan keislamannya dan mempunyai 'izzah' atau kehebatan yang tiada tara bandingnya di kalangan makhluk bergelar insan. Semua ini adalah kerana kita berhubung terus dengan Allah, tuhan seluruh manusia. Jika Allah bertakhta di hati, maka sifat penghambaan sesama manusia terhapus terkikis dari hati lantas menjadikannya singa yang mengaum kuat menentang kezaliman.
Firman Allah S.A.W,
"Orang yang dipenjara ialah orang terpenjara hatinya dari Rabbnya, orang yang ditawan ialah orang yang tertawan oleh hawa nafsunya"
Diceritakan keberadaannya di dalam penjara mengubah penjara menjadi kelas-kelas ilmu agama dan melahirkan ramai faqih agamawan yang terdiri daripada banduan-banduan. Sehingga ada banduan yang enggan dibebaskan hanya kerana ingin bersama dengan Imam Ibn Taimiyyah.
Jeriji penjara tidak menjadikannya lemah, lantas termenung sendirian melayan hati yang duka lara. Jeriji besi tidak memenjarakannya daripada memiliki kemuliaan sebagai seorang muslim. Ia proaktif, ia tekad dengan kalimah syahadahnya. Penjara sempit juga tidak menghalangnya daripada berhenti menulis kitab-kitab dan mendidik jiwa-jiwa agar kembali kepada fitrah yang suci, islam.
Inilah contoh muslim yang i'zzah dengan keislamannya.
Kehebatan muslim juga tidak terletak pada labuhnya jubah, besarnya lilitan serban atau betimbun-timbunnya kitab para ulama' di rak buku. Tidak juga pada kepetahan kata-kata, mahupun pada banyaknya mesyuarat-mesyuarat besar. Tetapi kehebatan muslim itu terletak pada madrasah malamnya. Iaitu pada solat malamnya (qiamullail). Kerana ini adalah jana kuasa iman yang paling utama.
Waktu malam adalah amat berharga, maka janganlah mengisinya dengan perkara sia-sia. Bangunlah hai jiwa yang suci tatkala mata-mata terlelap lena. Pasti kamu akan temui satu alunan irama ketenangan mengalir di setiap pembuluh darahmu dan menyelit antara tulang dan dagingmu. Pasti kamu akan rasai kekuatan sebagai seorang muslim.
Qiamullail berkait rapat dengan iman yang mendalam. Dan ketahuilah wahai sahabatku, persoalan keimanan adalah persoalan pokok dalam kehidupan muslim. Iman ibarat kehidupan bagi seorang muslim. Maka barang siapa meremehkan persoalan keimanan, bererti dia meremehkan kehidupannya. Tidak ada makna hidup tanpa iman.
Iman juga adalah asas yang meneguhkan kaki kita dalam jalan dakwah. Tiadalah maknanya pergerakan islam yang sibuk merangka program besar-besaran yang mengumpul seluruh umat islam, namun hati penggerak-penggeraknya kering dari merasai kemanisan iman. Aduhai, alangkah malangnya apabila ini terjadi. Oleh itu marilah kita menjadikan peningkatan iman adalah agenda utama kita dalam kehidupan seharian. Itulah kekuatan yang sering dilalaikan, Iman yang mendalam.
-Wallahu'alam-
Antara sedar atau tidak, kita hidup untuk mati. Mati yang pasti, yang mana selepasnya akan ada kehidupan yang kekal abadi. Adapun hidup di dunia ini hanyalah persinggahan yang sementara, sebelum kita kembali berangkat menuju destinasi yang pasti.
Orang yang bijak adalah mereka yang telah memilih cara kematian. Dengan itu dia mempersiapkan diri dengan bekalan-bekalan dan amalan untuk menghadap kematiannya, berusaha sedaya upaya untuk merealisasikannya, kerana dia inginkan cara kematian yang tersendiri. Manakala orang yang tidak menetapkan cara kematiannya, tetap akan mati jua. Kita semua akan mati suatu hari nanti. Persoalannya, bagaimanakah yang dikatakan dengan memilih cara kematian.
Insan melakar sejarah dengan darah
Selepas satu peperangan ketika zaman rasulullah, Nabi Muhammad berjumpa para sahabat untuk mengagih-agihkan ‘ghanimah’ (harta rampasan perang). Kemudian Rasulullah berjumpa dengan seorang badwi dan menyerahkan sebahagian harta tersebut. Berkata badwi itu, “Apa ini rasulullah? Aku bukan berperang untuk ini (harta), tetapi aku berperang untuk anak panah tembus di sini”, seraya menunjukkan tepat di lehernya.
Rasulullah kemudiannya berkata kepada sahabat lain, “Sekiranya dia ikhlas berkata demikian, pasti Allah akan memberikan apa yang ia mahukan”. Diceritakan, selepas satu peperangan setelah beberapa ketika, ramai para sahabat yang gugur syahid. Mayat-mayat suci para syuhada’ dikumpulkan untuk disolat dan ditanam. Dengan kuasa Allah yang maha Esa, rasulullah dan sahabat menjumpai mayat arab badwi tersebut dengan sebatang anak panah tepat tertembus di lehernya, tepat pada bahagian yang ditunjukkan pada tempoh hari.
Subhanallah, seorang arab badwi yang berasal dari kampung, telah memilih cara kematiannya dan berusaha kearahnya. Dengan niat yang suci, ia mendapat anugerah ilahi; gugur sebagai shahid dalam keadaan yang dipilih. Dia telah memilih cara kematiannya.
Sejarah terus berjalan dengan melakarkan lembaran-lembaran baru catatan kehidupan pejuang agama Allah yang ikhlas. Zaman demi zaman berabad-abad telah berlalu, kesucian agama Islam terpelihara sehingga zaman seterusnya. Tetap jua ada insan yang memegang erat janji Allah dan membenarkannya. Mereka menjadi pemegang panji-panji dakwah yang mengibarkannya ke serata dunia, sehingga hati-hati yang suci berkumpul bersama mereka, dan bersama-sama memperjuangkan agama yang suci ini. Maka akhirnya, mereka reda kepada Allah, dan Allah reda kepada mereka. Hidup mulia atau mati sebagai syuhada’.
Suatu ketika di zaman 90’an seorang rijal bangkit menjadi ‘helang Hamas’. Siapa yang tidak kenal Doktor Abdul Aziz Rantisi. Susuk tubuhnya yang serius dan tenang menzahirkan apa yang terpendam dalam hatinya. Tatkala pemimpin-pemimpin Arab kecut dan takut kepada Rejim zionis, jiwa insan mulia ini berkobar-kobar menentang thaghut dan kejahatan. Dia tidak takut, ibarat helang yang terbang tinggi ke angkasa, memimpin gerakan jihad Hamas dan sehingga digelar ‘soqrul Hamas’ (Helang Hamas). Walaupun dibantai, dipenjara, ditekan oleh tangan-tangan kotor zionis, dia tetap teguh berdiri menentang kezaliman dan menegakkan panji-panji Allah.
Setelah keluar dari penjara beberapa kali, dalam satu ceramah umum, dengan semangat yang berapi-api, Dr. abdul aziz rantisi mengangkat sepucuk senapang dan berkata “Inilah jalannya! Inilah jalannya! Inilah jalannya!”. Sambil diikuti dengan laungan takbir bergema oleh pengikut Hamas yang ikhlas jiwanya memperjuangkan Islam. Israel menjadi takut, dengan jasad insan ini. Kerana tiap katanya membakar semangat jihad para muslimin, memimpin mereka kepada keagungan islam dan ketinggian jiwa sebagai pejuang agama.
“Kita semua akan mati. Ia sama sahaja. Tidak kira sama ada dengan sakit jantung atau apathche, saya pilih apathche.” Selepas beberapa lama, ia kembali kepada tuhannya dalam keadaan yag diingininya. Shahid dengan peluru apathce. Ya, insan ini telah memilih cara kematiannya, dan telah berusaha keras untuk mendapatkannya. Dan Allah memberikannya. Satu kematian yang melahirkan rijal-rijal yang sejati selepasnya. Kematian yang membawa rahmat kepada kebangkitan Islam.
Hidup untuk islam dan hidup dengan islam
Kita akan menjadi singa dalam gerakan-gerakan islam dengan syarat mempunyai muasofat(criteria) sebagai seorang pejuang agama yang sejati. Kunci utama kehebatan seorang muslim adalah “Ikhlas”. Kerana ikhlas, Abu bakar sanggup menyerahkan seluruh hartanya kepada islam. Kerana Ikhlas, sahabat sanggup meninggalkan keluarga, isteri, rumah, dan segalanya tatkala laungan jihad berkumandang. Kerana ikhlas, seorang hamba lemah menjadi askar di barisan utama dalam peperangan.
Sebuah kisah menggetarkan hati, seorang sahabat bernama khabab bin arad sanggup dipanggang sehingga air-air lemaknya jatuh memadamkan api. Kesiksaan yang tiadak terperi sakitnya. Kemudian, dia menemui rasulullah dan berkata denga lemah lembut, “Ya rasulullah, bilakah pertolongan Allah akan tiba?”. Jawab rasulullah, “Umat sebelum kamu ada yang dibelah dari kepala hingga terbelah dua, ada yang disikat dagingnya hingga terpisah dari tulang-tulang. Engkau seorang yang tergesa-gesa”. (Susunan ayat ini mengikut apa yang saya ingat)
Apa kuncinya kehebatan mereka? Ikhlas. Ikhlas hidup untuk allah.
Sebagai seorang da’ie, kita buka sahaja hidup untuk islam, tetapi hidup dengan islam. Ya, ghayah(matlamat) kita adalah Allah dan kita hidup dengan menerapkan segala isi kandungan islam dalam kehidupan. Dari bangun tidur, makan, minum, berkerja, berumah tangga, tidur, semuanya islam. Islam adalah cara kehidupan kita. Tidak kira zaman apapun sekarang, di mana tercampak sekalipun kita, dan siapapun kita, kita laungkan kalimah syahadah dan membawa panji Islam ke serata dunia.
Teori memilih cara kematian
Kita boleh merancang cara kematian sama ada mulia atau hina. Ya, memang benar Allah yang mentaqdirkan segalanya, tapi takdir Allah adalah berdasarkan amali kita. Merancang kematian dengan tingkah laku dan amali. Apa yang kita lakukan akan mendapat pahala atau dosa. Seorang yang inginkan mati shahid, mestilah hidup sebagai ‘shahid’. Seorang yang ingin mati dalam islam, mestilah hidup dalam islam. Tidak mungkin seorang yang berapi-api melaungkan “aku hidup untuk islam” tetapi segala tingkahlakunya tiada beza dengan yang bukan islam. Tidak mungkin sama sekali.
“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu katakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Sangatlah dibenci di sisi Allah, jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan” (As-soff, 2-3)
Apa yang kita lakukan akan menentukan cara pengakhiran kehidupan kita di dunia. Adapun mereka yang langsung tidak merancang cara kematiannya, amali dan perlakuannya akan menentukan sendiri. Sama sahaja jika kita merancang atau tidak, kita akan mati. Berhati-hatilah dalam meniti hari-hari yang mendatang, penuhilah ia dengan amal soleh dan tinggalkan maksiat.
Konklusi
Mati itu pasti. Nafas kita pasti berhenti. Orang yang bijak sentiasa bersedia menghadapi mati, dengan amalan-amalan soleh; menghormati ibu bapa, akhlak yang baik, menghubung silaturahim, memperjuangkan islam, dan banyak melakukan ibadat. Siangnya ibarat kuda perang yang bengis bertenaga, malamnya ibarat rahib merindukan tuhan. Buat rakan seperjuanganku, yang mengenali diri ini atau tidak. Marilah kita sama-sama merancang cara kematian kita. Mati sebagai seorang shahid. Semoga Allah mengurniakannya kepada kita.
Apabila seseorang merasakan dirinya yang paling layak dalam melakukan sesuatu perkara, bermaksud ia telah tertipu dengan kejayaannya yang lalu. Kelebihan diri boleh menjadi kabus yang hitam, menggelapkan pandangan hati daripada sifat tawaddu' dan merendah diri. Jika semalam kita berjaya, belum tentu esok lusa hari kita.
Kadangkala kita berasa hebat kerana kita hidup dalam kelompok yang tiada kelebihan. Contohnya, seorang yang pandai bermain bola apabila tinggal bersama rakan-rakannya yang kaki bangku; sudah tentu dia akan hebat dalam bermain bola. Tetapi apabila dia pergi ke luar dan hidup bersama pemain-pemain bola professional, barulah ia tahu betapa tinggi langit dari bumi. Barulah ia tersentak betapa lemahnya dia dalam bermain bola.
Keluarlah dari duniamu, kamu akan mendapati bahawa kita tidaklah sehebat mana
Inilah antara sebab, mengapa kita berasa hebat. Kerana kita tinggal bersama mereka yang tidak hebat. Apabila kita
Belajarlah merendah diri, kita semua tidak hebat. Hanyalah hamba tuhan yang lemah. Berusahalah untuk menerima kekurangan diri walaupun ia amat pahit untuk ditelan. Ilmu yang kita dalami, kecantikan yang kita miliki, kejayaan yang kita alami, bukan milik kita. Bukan milik kita sama sekali. Janganlah tertipu dengan kelebihan diri yang akhirnya menjadikan kita seorang yang sombong dan bongkak, walaupun tidak terzahir pada riak wajah. Namun, kesombongan itu akan bercambah apabila kita sukar menerima kejayaan dan kehebatan orang lain. Yang kita fikirkan hanyalah.. "Aku yang paling layak".
Belajarlah merendah diri dengan menuai sifat taqwa di dasar hati. Usah mencari-cari peluang untuk menonjol dan menjadi popolar. Kemasyhuran adalah kehancuran seandainya ia dihadapi dengan sifat takabbur dan membesar diri. Belajarlah merendah diri, itulah sebenarnya kehebatan yang sering disalah erti.
Meninggalkan seribu satu kenangan manis
Yang hidup segar di sebalik lipatan nostalgia masa lalu
simpulan ukhuwwah yang terikat padu
mengheret diri kepada alam kesedihan yang dalam
Engkau telah pergi
Meninggalkan kami yang masih memerlukanmu
Bagaikan semalam kita berjumpa
Tapi hari ini engkau tiada
Pergilah saudaraku, esok lusa pasti..
kami pula akan menyusulmu.
Seluruh rakan, keluarga dan teman menyebut-nyebut kebaikan insan ini. Baik di sini ataupun di Malaysia. Bahkan penglibatannya dalam dakwah juga dirahsiakan kerana keikhlasan dan kematangan fikrah.
Sepanjang perkenalan dengannya tidak ternampak di mata akan keburukan akhlak, yang ada hanyalah seorang yang baik, mudah tersenyum, penghafal quran(jikatidak silap), mudah berurusan, memelihara hubungan dengan orang lain dan banyak lagi sifat-sifat baik.
Ciri-ciri kepimpinannya juga menyebabkan rakan satu batch (tahun 3 perubatan Cairo U) melatiknya menjadi ketua.
Bacalah message daripada ibunya setelah mendapat berita kematian anak kesayangannya;
Saya mendatang mesej YM dari Ummu Ammar lagi pagi ini:*Dipetik daripada amadanaksoleh.blogspot.com
"Bangunlah wahai mujahid dan mujahidah, teruskan perjuangan Ammar mudah-mudahan Allah menjemput Ammar yang disayangi untuk menguatkan semangat dan cinta kepada Islam dalam rangka mendidik dan berbakti."
Kata orang, harimau pergi meninggalkan jejak, manusia pergi meninggalkan nama.
Tapi, insan ini pergi bukan sekadar meninggalkan nama..
Tetapi meninggalkan semangat dakwah, contoh yang baik, kebaikan yang asli dan peringatan yang mendalam. Saya amat mencemburuinya.
Allahyarham 'Ammar Zulkifli.
-Al-fatihah-