Nuffnang Ads

Agoda Ads

Showing posts with label Dalam Kenangan. Show all posts
Showing posts with label Dalam Kenangan. Show all posts

Sunday, May 03, 2020

Impian Sendiri vs Impian Ayah

Terbaca status kak Deqmah Anja tentang impian zaman sekolahnya yang jauh terpesong dengan apa yang dilakukan sekarang ni. Boleh baca di sini https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3545680345447405&id=100000164221115

Betulkan? Kadang-kadang impian kita tak tercapai kerana Allah dah aturkan sebaik-baik jalan buat kita. Jalan yang lebih baik untuk kita lalui, daripada apa yang kita idamkan.

Saya renung semula perjalanan saya, dalam pendidikan formal...

SPM - Akaun dan Perdagangan.

Arwah ayah mahu saya ikut abang sulung dan kakak nombor lima saya yang belajar dan bekerja dalam bidang perakaunan.

Namun, nombor bukanlah minat saya. Matematik, Akaun, atau apa saja subjek yang melibatkan nombor, bukan 'makanan' saya.

Sejak sekolah menengah, saya lebih cenderung pada Sastera. Saya suka baca buku-buku Sastera. Penulisan Arena Wati, A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Keris Mas antara nama-nama yang selalu jadi perhatian saya ketika itu.

Masa sekolah menengah, Cikgu Mastura Mohamad banyak asah bakat penulisan saya. Baik karangan, puisi, pantun... Saya banyak sertai pertandingan puisi, walaupun saya di kelas Akaun. Terima kasih cikgu, sayang cikgu ketat-ketat. 🥰

Saya suka menyusun perkataan. Masa tu kamus adalah rakan paling akrab dengan saya. Ya, saya sangat suka kamus, sampai sekarang.

Sejak usia remaja saya banyak hadiri bengkel penulisan. Saya juga suka menghantar puisi dan cerpen di majalah atau akhbar. Disiarkan atau tidak, itu perkara nombor dua.

Matrik - Komunikasi Massa

Selepas SPM, Komunikasi Massa adalah pilihan pertama saya. Akaun... saya letak sebagai pilihan kelima. Dah tentulah arwah ayah tak tahu masa saya isi borang UPU tu.

Masa saya dapat kursus Kewartawanan, saya sebenarnya sangat gembira sebab itu memang apa yang saya nak. Sebaliknya arwah ayah turun naik pejabat ITM (ketika itu masih ITM)... buat rayuan agar saya dapat tukar ke kursus Perakaunan.

Melihatkan arwah ayah turun naik pejabat, saya jadi serba salah. Sama ada nak teruskan dengan tawaran yang saya terima atau ikut arwah ayah untuk tukar kursus.

Sampailah satu hari, arwah ayah tanya... "betul ke nak ambil Masscom?" Saya senyap seribu bahasa. Air mata bergenang, sama ada nak teruskan impian sendiri atau tunaikan impian arwah ayah.

"Kalau rasa itu pilihan terbaik... tak apalah ayah izinkan..." Mencurah-curah air mata saya masa tu, bila arwah ayah dah bagi izin. Saya tahu arwah ayah berat hati. Dalam masa yang sama, saya rasa bersyukur, arwah ayah izinkan saya belajar bidang yang saya minat.

Masa tu, kursus Komunikasi Massa ni tidaklah sepopular sekarang. Mungkin juga arwah ayah fikir, bidang kerja perakaunan lebih banyak peluang berbanding Masscom.

Ijazah - Komunikasi Massa (Kewartawanan)

Disebabkan minat sangat pada penulisan, jadi saya memilih bidang Kewartawanan berbanding empat lagi bidang pilihan lain. Masa tu ada bidang Pengiklanan, Perhubungan Awam, Penerbitan dan Penyiaran.


Alhamdulillah, saya tamat pendidikan formal dengan apa yang saya minat. Walaupun tidak lagi berada dalam bidang kewartawanan, saya masih lagi menulis secara santai di media sosial.

Saya seronok bila dapat merasa menjadi wartawan dan menulis untuk orang ramai, baik di media cetak mahupun digital.

Saya juga sangat gembira, apabila dapat berkongsi pengalaman dengan bekas-bekas pelajar kewartawanan IKIP dulu (sekarang Kolej Yayasan Pahang).

Saya masih menulis, agar ada perkongsian saya yang memberi manfaat pada orang lain. Menerima mesej ucapan terima kasih daripada orang yang baca perkongsian saya pun dah cukup membahagiakan.

Moga apa jua penulisan baik yang saya kongsikan selama ini, ada juga pahala yang mengalir buat arwah ayah dan mak, yang reda dengan pilihan saya, serta semua guru-guru penulisan saya...

Nah, impian juga bakal dapat kita realisasikan, jika kita benar-benar berusaha untuk mendapatkannya. Kan?

Alhamdulillah atas segala pengalaman dan nikmat hidup hingga hari ini. Semoga Allah sentiasa kasih pada arwah ayah dan mak saya. Al-Fatihah (dengan bacaan).

Impian tak salah. Pengalaman hidup jua yang akan mematangkan...
#pendidikanformal
#kewartawanan
#pengalamanhidup


Marvel Maths: sesuai untuk anak-anak yang takut dengan subjek Matematik, terutamanya nombor besar.

Sifirlicious: Memuatkan 9 kaedah mahir sifir. Bukan semua anak boleh menghafal, jadi ajar mereka BINA SIFIR. 

Modul Pantas Matematik: Merangkumi topik Pecahan, Perpuluhan dan Peratus. Ketiga-tiga topik ini sangat penting dalam Matematik. 

Pecutan UPSR: Calon UPSR akan diajar cara mudah menjawab Kertas 1 dan cara 'mencuri markah' dalam Kertas 2. 

Mathzier: Tuisyen online Matematik Tahun 4, 5 dan 6 bersama Cikgu Fadli. Langgan setiap bulan atau pilih topik yang anak lemah. 

Klik t.me/celikmatematik untuk link pembelian. 

Monday, February 10, 2020

10 Iktibar Dari Perjalanan Akhir Abam Bocey

Cuaca di Gombak sepanjang hari ni sangat mendung dan agak sejuk dari pagi, berbanding semalam.

Mendapat perkhabaran pula yang Abam Bocey telah pergi menemui Ya Khaliq, menambahkan lagi rasa sayu. Demam dan sakit kepala tu asbab. Perginya cukup mudah, dalam tidur saja.

Seperti mana pemergian Pak Yus Jambu, pemergian Abam Bocey juga meninggalkan banyak kisah yang boleh diambil iktibar oleh saya dan kita semua.

Jika kisah Pak Yus dulu, hidupnya sebatang kara. Menumpang kasih rakan-rakan pelawak yang lain tetapi seorang yang sangat pemurah dan dermawan.

Perjalanan terakhir Abam Bocey, lebih kurang sama dengan Pak Yus Jambu.

Melihat gambar rakan-rakan yang memenuhi masjid ketika solat jenazah Abam Bocey, membuatkan hati bertambah hiba dan pilu.

Perginya cukup mudah, malah segala urusan sepanjang pengebumian juga dipermudahkan. Ramai yang turut hadir memenuhi ruang masjid serta di tanah perkuburan.


10 kebaikan ini dikongsikan oleh ahli keluarganya sendiri, rakan sekumpulan dan mereka yang pernah bekerja secara langsung dengannya. Iktibar yang dapat kita ambil dari pemergian Abam Bocey.

1. Abam menjadi sangat kuat dan sabar apabila diuji dengan kesempitan hidup - orang yang tetap sabar apabila diuji, Allah akan meninggikan darjatnya.

2. Abam sangat memuliakan ibunya serta memikul tanggungjawab menjaga ibu dan adik-beradiknya. Memandangkan dia merupakan anak lelaki pertama dalam keluarga.

3. Mencari rezeki bagi menampung kehidupan yang lebih baik untuk ibu, isteri dan adik beradiknya.

4. Sangat baik dan tidak berkira langsung dengan ibu, isteri dan adik beradiknya.

5. Menguruskan perkahwinan adik beradiknya terlebih dahulu. Sebaik semua sudah berkahwin, barulah dia mendirikan rumah tangga.

6. Seorang yang baik hati, pemaaf dan suka memberikan nasihat yang baik kepada rakan-rakan serta memudahkan urusan orang lain.

7. Sentiasa mengambil ruang dan peluang untuk mendampingi para Ustaz.

8. Tak pernah menolak program dakwah, walau macam mana penat sekali pun.

9. Berhajat mengikut Ustaz Ebit Lew untuk melakukan dakwah di jalanan dan berniat memberi makan.

10. Selain bersedekah kepada ahli keluarga sendiri, Abam juga banyak bersedekah kepada anak yatim dan mereka yang memerlukan.

Malah pelbagai kisah yang baik-baik diceritakan oleh orang sekelilingnya.

Bayangkan perjalanan akhirnya bukan sahaja dihadiri oleh para penggiat seni, malah turut dihadiri oleh para asatizah.

Kita mungkin bersedih dan menangisi pemergian Abam, namun 'di dunia sana', saya percaya Abam sedang bergembira menikmati segala kebaikan yang telah dilakukan sepanjang hidupnya.

Selamat jalan Abam... kami juga akan menyusul. Terima kasih kerana telah menghiburkan kami. Sungguh, pemergianmu dicemburui.

"Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu"

Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan
19 Januari 1988 - 10 Februari 2020

Al-fatihah (dengan bacaan)

Bagaimana perjalanan akhir kita nanti?

Tuesday, March 26, 2019

1 Dibawa Bersama, 6 Tinggal di Dunia

* Maaf, status ini agak panjang *
Kredit gambar: Shahrol Al Farouque

Semalam, 25 Mac, hari yang sangat suram bagi saya. Seawal subuh mendapat perkhabaran, sahabat sekolah menengah telah kembali dijemput Ilahi. Apabila mendapat tahu, arwah akan dikebumikan berdekatan dengan kawasan rumah, terus saya bersiap. Dengan harapan dapat melihatnya buat kali terakhir.

Saya menunggu sejak jam 1.20 petang, di surau Blok B, PPR Batu Muda. Lebih kurang jam 3.30 petang, jenazah tiba dan diletakkan di satu ruang di dalam surau. Sebaik itu juga, hujan turun dengan lebatnya, selebat tangisan kami.

Arwah sahabat saya meninggalkan enam orang anak, tiga lelaki dan tiga perempuan berusia, 13, 11, 8, 6, 3 dan 1 tahun lebih. Mereka masih kecil. Anak-anak arwah semuanya berkulit putih, sangat cantik dan comel.

Melihat anaknya yang keempat (perempuan, usia enam tahun) menangis, membuatkan saya turut sedih. Dia mendakap erat ibu saudaranya, seolah tidak mahu dilepaskan. Dia faham, Mamanya sudah tiada. Bengkak dan merah matanya. Mungkin menangis dari awal subuh semalam.

Anak nombor lima (lelaki, usia tiga tahun), memegang mainan, asyik dalam dunianya sendiri. Mungkin pelik melihat ramai orang tetapi dia tidak faham. Anak nombor enam (lelaki, usia 1 tahun lebih), lena tidurnya sepanjang menunggu jenazah Mamanya di surau.

Anak sulung (perempuan, usia 13 tahun) dan anak kedua (perempuan, 11 tahun), difahamkan berada di hospital untuk mandikan jenazah Mama mereka. Bertuah sahabat saya ini, kerana anak-anaknya mengambil tanggungjawab, untuk berbakti buat kali terakhir kepada Mama mereka.

Anak nombor tiga? Entah yang mana satu, saya masih tercari-cari. Katanya lelaki. Berusia lapan tahun. Terdengar orang kata, dia tak mahu dekat dengan jenazah Mamanya. Pasti dia sedih sangat.

Ketika kafan di selak sedikit di bahagian muka, terasa sebak. Makin lama makin kuat tangisan daripada kami yang hadir. Lebih-lebih lagi apabila anak-anak arwah bergilir-gilir menciumnya. Semua anaknya kecuali si nombor tiga.

"Ada lagi kawan-kawan yang nak cium arwah?" Tanya salah seorang ahli keluarga arwah. Saya segera bergerak ke sebelah kanan arwah, menunggu giliran untuk mengucupnya.

Sebaik duduk di kanan arwah, terasa lemah segala anggota badan. Terasa sayu hati. Tidak sudah-sudah saya menyalahkan diri sendiri kerana tidak berkesempatan bertemu ketika hayatnya.

Ya Allah, tak sangka dalam keadaan begini saya bertemu dengan sahabat saya buat kali terakhir. Apa yang saya lakukan selama ini sehingga tidak sempat bertemu sahabat saya. Sibuk sangatkah saya?

"Sahabat, insya-Allah syahid milikmu," bisik saya dengan air mata yang ditahan.

Saya mengucup kedua-dua belah matanya. Sejuk. Wajahnya sangat tenang, seolah sedang tidur lena. Syukur, kerana Allah izinkan saya bertemunya, walau bukan dalam keadaan yang saya mahu.

Di sisi kanan arwah, diletakkan arwah anaknya yang ketujuh. Ya, anak ketujuh. Sahabat saya sedang hamil anak ketujuhnya. Lima bulan usia kandungannya. Tetapi disebabkan komplikasi dan tumpah darah, dia dan anaknya tidak dapat diselamatkan.

Bukankah baik pengakhirannya?
Bukankah syahid pemergiannya?
Bukankah syurga tempatnya?
Insya-Allah, itulah sebaik-baik tempat untuk sahabat saya ini.

Saya ternampak seorang budak lelaki berbaju Melayu biru gelap. Duduk sedikit jauh dari jenazah. Tersedu-sedu. Setiap kali air mata menitik dari tabir matanya, dia segera mengelap dengan belakang tapak tangannya. Tidak ada setitik air mata pun yang dibiarkan mengalir di pipi. Dalam sedunya, ada seseorang yang memujuk, agar dia mencium Mamanya.

"Oh, inilah anak nombor tiga arwah," bisik saya.

Melihat anak kecil ini, saya turut menangis. Besarnya ujian kamu duhai anak. Kehilangan orang yang paling kamu sayang, paling kamu harapkan, pada usia ini. Saya kehilangan ibu saya pada usia 26 tahun, itu pun sudah cukup perit bagi saya. Inikan pula anak-anak ini.

Lama dipujuk, dia tetap menggeleng tanda tidak mahu mencium Mamanya. Makin dipujuk, makin laju air matanya jatuh. Saya yang memerhati turut laju menangis. Dalam hati, saya turut berdoa agar anak itu mencium Mamanya buat kali terakhir.

Sebaik bacaan Yasin dan tahlil selesai dibaca, tiba-tiba anak ini bangun dan menghampiri Mamanya, didekatkan hujung hidungnya dengan hujung hidung Mamanya. Kemudian dia terus menjauh. Ya Allah, momen ini... sangat sedih.  Moga anak-anak ini menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, berjaya di dunia dan akhirat serta bermanfaat pada ummah.

Di dunia, arwah menjaga enam anaknya, kini di sana dia ditemani seorang anak syurga. Izzatul, selamat jalan. Semoga Allah menempatkanmu di salah satu taman syurga milik-Nya. Insya-Allah kita ketemu nanti.

Izzatul Ismail
12.07.1980-25.03.2019



Nora Karim
Juga bakal menyusul.

Monday, March 11, 2019

Kisah 13 Tahun Lalu

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

13 tahun lalu, saya pernah meminta izin daripada Mak Lang, Khalsom Bibi Sarbat Khan dan Pak Lang saya, untuk menangguhkan majlis nikah dan sanding.

Ketika itu, mak saya dalam keadaan yang sangat kritikal. Menghuni ICU berbulan lamanya. Saya juga hampir setiap hari berulang dan bergilir dengan adik beradik yang lain menjaga mak di hospital.

7 Mac 2006, apabila mendapat khabaran mak telah meninggal dunia, saya terus ke hospital semula setelah baru bertukar shift dengan abang sulung saya. Saya bersama abang sulung menguruskan jenazah mak di hospital.

Di bilik mandikan jenazah, saya rasa tenang melihat mak. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya tubuh badan mak tak perlu lagi ditebuk dan dimasukkan pelbagai wayar.

Memandikan jenazah mak, merupakan perkara yang tidak dapat saya lupakan hingga ke hari ini. Ya, 13 tahun telah berlalu. Namun saya masih ingat dengan jelas.

Perginya mak bersama doa-doa untuk anaknya,
Perginya mak bersama redup pandangan matanya,
Perginya mak bersama lembut belaiannya,
Perginya mak bersama hangat pelukannya,
Perginya mak bersama manis senyumnya,
Perginya mak bersama gelak tawanya,
Perginya mak bersama sedap air tangannya,
Perginya mak bersama indah nasihatnya,
Perginya mak bersama...
Rindu yang sukar untuk diungkap.


Bagaimana dengan majlis nikah dan perkahwinan saya? Ia tetap berlangsung, pada hari keempat (11 Mac), setelah tiga hari berturut-turut majlis tahlil untuk arwah mak.

Kini,
13 tahun menanggung beban merindui mak.
Dan,
13 tahun bersama cinta hati saya.

Baiknya Allah, digantikan kehilangan mak dengan kehadiran suami.


Selamat hari ulangtahun perkahwinan yang ke-13 encik suami.

Nora Karim
Berbahagialah, jika kamu masih ada ibu dan ayah. Berbaktilah kepada mereka.

Artikel berkaitan:
Genap 10 Tahun Pemergian Mak

Saturday, June 10, 2017

Shea Rasol Dalam Kenangan

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Sepatutnya kita tidak cemburu pada mereka yang punya rumah banglo, yang punya kereta mewah, yang punya harta yang banyak, yang punya nama dan pangkat, yang punya perniagaan yang berjaya dan lain-lain kemewahan dunia.

Tapi sebenarnya, kita perlu cemburu pada mereka yang dijemput Ilahi ketika mengerjakan Haji atau Umrah di Mekah, ketika sujud dalam solat, ketika sedang membacakan Kalamullah (membaca Al-Quran), ketika membuat amal kebaikan, ketika dalam mempertahankan Islam (peperangan), ketika sedang bermusafir...

Apa lagi yang meninggal dunia pada hari Jumaat (penghulu segala hari) dan dalam bulan yang paling mulia, iaitu Ramadan. Shea Rasol sungguh saya cemburu!

Usianya baru 29 tahun, meninggal dunia kerana urachal cancer, pada 9 Jun 2017 (Jumaat) bersamaan 14 Ramadan 1438H.


Innalillahi wa innailaihorojiun... ? Moga Allah juga mengambil nyawa kita dalam keadaan yang baik... Amin.

Ini adalah blog Shea, mana tahu ada ilmu yang bermanfaat buat anda jika membacanya, maka akan jadi pahala berterusan buat Shea di sana.

Salam takziah buat Farah Farzana Rasol dan keluarga, atas pemergian adik tersayang. Moga Allah ampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan bersama para solihin.


Juga impikan kematian yang baik, walau tahu diri banyak dosa.

Monday, March 07, 2016

Genap 10 Tahun Pemergian Mak...

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Gambar raya tahun 2005

Hari ni genap 10 tahun pemergian Mak saya... Pemergian seorang insan yang sangat-sangat dirindui. 10 tahun lalu, ketika Mak sakit, saya berulang dari tempat kerja (Bukit Jalil/Seri Kembangan - HUKM) setiap hari (waktu lunch) ke hospital menjenguk Mak. 

Juga bergilir dengan adik-beradik lain untuk menjaga Mak. Walaupun waktu itu, Mak tidak sedar, dan kami bukanlah boleh sewenang-wenangnya keluar masuk ICU, di mana Mak ditempatkan. Tapi, kami yang menjaga, tetap setia menanti khabaran baik dari doktor di luar wad ICU.

Saya ingat lagi, ketika Mak sakit, saya juga sedang dalam proses menyiapkan barang-barang hantaran, dan door gift untuk majlis perkahwinan saya. Jika bukan giliran saya menjaga Mak, saya akan berurusan dengan person in charge untuk katering, make up, pelamin dan lain-lain perkara yang saya perlu selesaikan. Masa sangat-sangat terhad. 

Jika giliran saya menjaga Mak, saya bawa bersama peralatan untuk membuat door gift saya. Bentang tikar, di ruang menunggu berdekatan wad ICU sambil menyiapkan apa yang patut. Hati ni, hanya Allah yang tahu.

Walaupun beberapa kali juga, saya berbincang dengan adik beradik yang lain serta Pakcik dan Makcik untuk menangguhkan perkahwinan, namun mereka tetap memujuk saya untuk meneruskan. Memandangkan segalanya telahpun siap ditempah dan kad juga telah diedarkan. Saya akur dan berharap agar Mak sedar dan dapat bersama-sama saya di majlis perkahwinan saya nanti. Besar harapan saya agar Mak sedar dan sihat seperti biasa.

Tapi tarikh ini, 7 Mac tahun 2006 (ketika itu giliran abang sulung menjaga Mak di ICU, HUKM), seawal pagi kami mendapat khabaran dari abang sulung bahawa Mak telah meninggal dunia. Entah apa perasaan saya ketika itu... saya bergegas ke hospital. Sedang adik beradik yang lain diberikan tugasan masing-masing. Ada yang ditugaskan untuk maklumkan kepada jiran-jiran, ada yang kena telefon saudara mara, ada yang kena panggil orang masjid dan macam-macam lagi.

Saya ke hospital untuk selesaikan prosedur tuntutan jenazah Mak bersama abang sulung saya... Ketika sampai di hospital, kebetulan jenazah Mak hendak dimandikan. Saya masuk ke dalam bilik mandikan jenazah, bersama seorang pembantu hospital dan abang sulung saya. Suasana ketika itu, terasa sangat sayu... melihatkan susuk tubuh Mak terbaring kaku. Lama saya merenung wajah Mak...  Wajah yang sangat-sangat saya rindui...
 
Masa ni sebelum Mak dipindahkan ke ICU...
Saya pegang jari jemari Mak... Sejuk! Sambil tu saya renung juga kaki kanan Mak yang telah dipotong. Sedih! Kaki Mak yang telah dipotong tu, kami tanam di sebelah pusara Ayah. Ingat lagi ketika Mak sedar lepas kakinya dipotong, Mak tak bercakap pun dengan kami adik beradik. Merajuk! Tapi bila giliran saya jaga Mak, saya beritahu Mak, "kaki Mak tu kami tanam kat sebelah pusara ayah..." Tak lama tu Mak senyum. Lalu saya suapkan makan dan pujuk Mak agar redha...

Tak sangka ketika itu saya berada dalam bilik untuk mandikan jenazah Mak. Muka Mak nampak tenang saja. Seolah hilang segala kesakitan yang ditanggungnya sepanjang berada di ICU.

Dalam hati saya bisikkan, "Mak, ini khidmat bakti Nora yang terakhir untuk Mak sebagai anak... Nora mandikan Mak yea... Terima kasih sebab Mak dah bersusah payah besarkan Nora, moga Mak halalkan segalanya buat kami adik beradik."

Bila menyapu air di wajah Mak... 
"wajah inilah yang sering dirindui setiap kali berjauhan".
Bila meratakan air di bahu dan dadanya, 
"di bahu dan dada inilah tempat menumpang jika aku kesedihan".
Bila meratakan air ke tangan dan jari-jemarinya, 
"tangan dan jari inilah yang sentiasa mengusap dan menyuapkan aku makan".
Bila meratakan air ke perutnya, 
"dalam perut inilah aku menumpang selama 9 bulan 10 hari".
Bila meratakan air ke kakinya, 
"kaki inilah yang meriba aku ketika kecil".

Sebak... Memang sebak.

Walaupun air mata sentiasa meleleh ketika saya mandikan Mak, tapi saya bersyukur dan lega kerana saya adalah salah orang anak yang Allah pilih untuk mandi dan kafankan jenazah Mak ketika itu. 

Mandikan jenazah Mak... memang perkara yang tak dapat saya lupakan sampai hari ini.

Alhamdulillah segalanya di permudahkan Allah, dari mandi, kafan, disembahyangkan dan dikebumikan... Semuanya mudah... Memang ramai yang datang melihat Mak buat kali terakhir. 

Ketika majlis pertunangan, Mak pun
dah tak berapa sihat...
Kemudian, bermulalah tahlil tiga malam. Dan hari yang keempat pemergian Mak adalah hari pernikahan saya... Ya, saya nikah pada hari keempat pemergian Mak. Tak tahulah apa perasaan saya ketika itu... tahun sebelumnya (2005) dua minggu sebelum majlis pertunangan saya, Ayah saya telah pergi dan tahun berikutnya Mak pula. Pun begitu saya tetap bersyukur kerana Mak masih ada ketika saya bertunang.

Majlis nikah saya berlangsung dengan serba sederhana, saya termasuk adik beradik lain, gagah menyorokkan kesedihan di hadapan tetamu yang hadir. Mujur ada Pakcik dan Makcik yang bertindak sebagai "ibu bapa" kami pada majlis tersebut, malah sampai sekarang, merekalah tempat kami mengadu dan menumpang kasih.

Genap 10 tahun hari ni... Moga Allah ampunkan dosa-dosa Mak dan Ayah saya. Moga mereka tenang di sana dan sentiasa dalam lindungan Allah S.W.T. 

Al-Fatihah.

Dari anakmu yang sentiasa merindui... (T_T)

Artikel berkaitan:

1. Doakan Ibubapa - apa yang seorang anak perlu lakukan untuk ibu/bapa yang telah meninggal dunia.
2. Perbezaan Antara Ilmu dan Harta - nasihat arwah Ayah pada saya...
3. Ibu... Rakan Paling Akrab - mengenang jasa ibu pada kita.
 

Friday, January 22, 2016

Dalam Kenangan: Adik Ajmal

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Jika ada yang terlihat akan entri saya tentang adik Ajmal sebelum ini... Saya cuma nak memanjangkan informasi bahawa adik Ajmal telah kembali ke rahmatullah pada 21 Januari 2016, jam 11.45 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat anak syurga ini. 

Ketika The Telekung Project giat menjalankan kutipan dana segera bagi membolehkan pihak hospital menjalankan pembedahan pemindahan hati di India, adik Ajmal dalam keadaan yang sangat kritikal. 

Berbekalkan doa agar Allah mencukupkan dana supaya pembedahan adik Ajmal dapat dilakukan segera. Namun ini semua aturan Allah, Dia telah menggerakkan hati-hati kita untuk membantu... Pun begitu, cukup masanya Dia "panggil" adik Ajmal untuk "pulang".

Biarpun sedih dengan berita ini, namun inilah yang terbaik kehendak Allah. Buat ibu dan ayah adik Ajmal, moga kalian tabah dengan ujian ini. Moga Allah bekalkan kekuatan, ketabahan dan meningkatkan darjat di sisiNya. 

Pada semua yang telah membaca entri saya tentang adik Ajmal sebelum ini dan telah memberikan sumbangan, moga Allah melimpahkan rezeki dan memberikan kesihatan kepada anda semua. Terima kasih banyak-banyak di atas keprihatinan anda. Hanya Allah yang akan membalas jasa baik anda semua.

 

Adik Muhammad Ajmal Nawfal b. Muhd Riza
19/1/2015 - 21/1/2016
(Penyakit: Kegagalan fungsi hati)
Al-Fatihah

Saturday, January 24, 2015

Kisah Di Sebalik Lemak Labu

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah, 

Dah duduk rumah pusaka arwah mak dan ayah ni... macam-macam perkara dok teringat. Dulu, masa zaman remaja saya, kalau time masak lemak labu, memang la buat saya malas.

Bukan apa, nak buang kulit labu tu memang la saya tak suka. Sebab saya pernah luka terkena pisau masa nak buang kulit labu tu...

Seingat saya dalam sebulan tu ada la 3-4 kali arwah mak akan masak lemak labu. Saya pun musykil la kenapa arwah mak suka masak lemak lakbu. Bila saya tanya, mak kata... "abang zaini suka makan lemak labu ni... kuah-kuah ni habis dihirupnya..."

Ye la, betul abang saya memang suka makan masak lemak labu ni... sebab tu arwah mak suka masak...

Rasanya setiap ibu akan ingat/tahu apa makanan kegemaran setiap seorang dari anaknya... Walaupun ada 10 orang anak... Agak-agaknya kita ingat tak makanan kegemaran mak kita yang cuma seorang tu?!

Sekarang ni saya duduk Gombak, saya pula yang dok mengingat makanan kesukaan kakak, abang dan adik saya... Biasanya kalau kita masak lauk yang orang di rumah suka makan, InsyaAllah habis lauk tu dimakan... Tak gitu?!

Jom cuba masak lemak labu yang super simple ni...


Bahan-bahan:
1/2 biji labu (buang kulit, potong kecil dan bersihkan)
1-2 batang serai
1 kotak santan/susu cair
2 - 2 1/2 cawan air
Sedikit garam

Cara membuatnya:
1. Masukkan semua bahan kecuali garam ke dalam periuk. Masak dengan api sederhana.
2. Apabila mendidih masukkan garam secukup rasa. Masak sehingga labu empuk.
3. Biarkan mendidih seketika dan sedia untuk dihidang.


* Kalau perah santan dari kelapa parut lagi sedap rasanya... Selamat mencuba! (^_^)

Tuesday, November 25, 2014

"Eni... Angkat Kain Jemuran..." (^_^)y

Bismillahirrahmannirrahim 
Assalamualaikum dan salam ziarah,


Pembukaan cuti sekolah ni, saya dan anak-anak duduk di rumah pusaka arwah mak dan ayah. Sementara encik hubby kena bertugas di PWTC, untuk persidangan UMNO sehingga 30 November ni.

Cuaca di Gombak sekarang ni pun tak boleh diagak... sekejap panas terik, tak lama lepas tu hujan selebat-lebatnya. Semalam pun hujan... maka banyaklah kain yang masih belum kering. Selain baju saya, Faris dan Alisya, ada juga baju kakak, abang serta adik saya. Memang banyaklah!

Seawal pagi saya dah ampai semua baju di pagar... semua baju saya letakkan di tempat yang kena matahari. Pintu dan sliding door, saya buka seluas-luasnya agar saya boleh pantau keadaan cuaca dari dalam rumah. :p Sementara masak, saya pesan juga pada Faris, kalau hujan cepat-cepat panggil saya.

Selesai masak, saya pun duduk di ruang tamu... Nampak mendung ni. Saya pun keluar dan angkat baju yang dah kering. Mana yang masih basah, saya biarkan dulu, walaupun matahari sekejap ada... sekejap tak de.

Agak-agak dah setengah jam saya keluar semula, mana baju yang kering saya angkat... baju yang masih basah saya terbalikkan (macam terbalikkan sate kat bara api... :p ). Kemudian saya masuk rumah... tak lama lepas tu keluar lagi dan terbalikkan lagi baju-baju tu.

Terdetik di hati... "Eh sama macam ayah buat dulu..." lepas tu saya tergelak sendiri. Kalau nak tahu, arwah ayah saya dulu, itulah kerjanya lepas dia pencen. Sekejap-sekejap dia akan keluar dan terbalik-terbalikkan baju di ampaian... saya dengan arwah mak selalu gelak bila ayah buat macam tu... Sebab rasa pelik, kenapa nak diterbalik-terbalikan baju tu kan...! Tapi tak sangka, hari ni saya buat benda yang sama macam arwah ayah  buat dulu... Dan sekarang saya gelakkan diri sendiri... :p


Nota kaki: Moga arwah mak dan ayah saya tenang saja di sana. Al-Fatihah. 

* * *

Berminat untuk menjana pendapatan dengan Tupperware Brands? 
Hubungi/SMS/Whatsapp Nora 0193441384 atau Kamarul 0126526556.


Thursday, August 21, 2014

Meraikan Rakan-rakan Arwah Ayah dan Mak

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam 25 Syawal,

Jiran-jiran saya di Gombak adalah rakan-rakan arwah ayah dan mak saya... yang rata-ratanya dah tak berapa sihat... Teringat dulu masa arwah ayah menghembuskan nafas terakhir lewat malam, pakcik Zali, pakcik Rahim, pakcik Halim, pakcik Sujono, pakcik Omar, arwah pakcik Mat datang menguruskan jenazah arwah ayah... 

Merekalah yang telefonkan ambulan, carikan doktor, bila disahkan ayah meninggal, merekalah yang memberitahu apa yang patut kami adik-beradik buat... Dari report kematian di balai, dapatkan permit untuk kebumikan jenazah... menguruskan jenazah... Semuanya, sehinggalah ke pagi dan kemudian menguruskan tahlil malam pertama pemergian arwah ayah. Besarnya jasa mereka, rakan-rakan arwah ayah yang juga jiran-jiran saya sekarang. 

Kami adik-beradik tak dapat nak balas semua jasa mereka... namun, apa yang kami mampu kami akan buat... Jika ada jemputan kenduri dari rakan-rakan arwah ayah dan mak, InsyaAllah kami akan penuhi... Kalau saya ada masak lebih, saya akan panjangkan rezeki hari tu kepada mereka... Jika ada antara mereka yang sakit, maka kami akan ziarah...

Saya diberitahu oleh kakak saya yang jiran depan rumah saya, pakcik Sujono tak sihat... beberapa hari sebelum raya saya dapat berbual panjang dengan isterinya, makcik Mah. Seronok juga sekali sekala bertanyakan khabar.

Cerita Pagi Raya

Pagi raya hari tu, abang saya ajak encik hubby ziarah pakcik Sujono... Saya cakap pada abang saya, tunggu sekejap saya nak bungkuskan apa yang kami masak... Mula-mula abang saya dengan encik hubby cakap tak payah la... tapi saya kata tak pe la... bagi sikit... terus saya bungkuskan.

Tengah hari tu saya, kakak dan adik serta AF pula pergi ziarah pakcik Sujono... Sebab pakcik Sujono pesan pada abang dan encik hubby saya supaya kami datang ziarah.

Kami pun borak la dengan pakcik Sujono... Rasa lega bila tengok pakcik Sujono nampak kuat dan semakin sihat... Antara apa yang menyentuh hati saya, bila pakcik Sujono kata dia berhajat sangat nak makan kuah kacang. Katanya, bila isteri dan anaknya masak, kuah kacang tu tak menjadi... Lepas tu anaknya cakap, "tak pe la ayah... mungkin nanti adalah orang hantar kuah kacang. InsyaAllah ada rezeki ayah."

"Tup... Tup... Sampai kuah kacang tu... Apa lagi terus la pakcik makan! Tu la pakcik makan dulu tadi..." kata pakcik Sujono... Saya yang duduk berdepan dengannya rasa nak menitik air mata... Terus saya bangun dan buat-buat panggil anak-anak saya... (Ai lately memang hati tisu... huhu)

Allah gerakkan hati saya untuk bungkuskan kuah kacang yang Mak Lang saya buat... Walaupun abang dan encik hubby saya tak nak bawa apa-apa ke rumah pakcik Sujono pagi tu... Saya tetap bungkuskan dan paksa mereka tunggu. Alhamdulillah ada rezeki pakcik Sujono nak makan kuah kacang... Agaknya betullah... Apa yang kita tergerak nak buat... semuanya bersebab dan dengan izin Allah...

Saya doakan agar pakcik Sujono segera sembuh... Katanya, rindu nak ke surau... dah lebih 4 bulan tak ke surau sejak jatuh sakit... Pakcik Sujono juga adalah salah seorang saksi masa saya diakad nikahkan 8 tahun lalu...

Nota kaki: Salah satu amalan yang boleh kita lakukan jika ayah dan mak telah meninggal dunia, adalah ziarah dan menggembirakan hati rakan-rakan mereka... 

* * *
Berminat untuk menjana pendapatan dengan Tupperware Brands? 
Hubungi/SMS/Whatsapp Nora 0193441384 atau Kamarul 0126526556.


Tuesday, August 05, 2014

Pak Wan Dalam Kenangan

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Lewat petang tadi saya terbaca satu artikel tentang kemalangan maut di Kuantan... Satu ayat yang menarik perhatian saya adalah "pemandu bas kolej" yang maut, namanya Wan Mohd Shah Wan Ramli... Dalam kepala saya terfikir, ada dua kolej di Kuantan... satu Kolej IKIP tempat saya bekerja dulu dan Kolej Shahputra. 

Teringat akan Pak Wan, driver bas IKIP... Lalu saya mencari lagi info di merata tempat... Tidak lama kemudian, gambar sebuah bas IKIP yang terlibat kemalangan memenuhi timeline FB saya... Sah bas Kolej IKIP...!!! Terus saya Whatsapp Eiyta... untuk minta kepastian... Dalam hati, mengharapkan bukanlah Pak Wan... Namun Eiyta maklumkan, benar Pak Wan lah yang terlibat dengan kemalangan maut tu... Sedihnya rasa hati, namun Allah lebih menyayanginya...

Gambar dari FB Kuantan

Tak sangka begini akhiran hayat Pak Wan... digilis dengan tayar belakang bas yang biasa dipandunya... http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Lelakihancurkepaladigilistayarbas/m/mArticle

Pak Wan yang saya kenal, segak dan sangat murah dengan senyuman... Pak Wan adalah antara orang awal yang saya jumpa masa mula bekerja di IKIP... dan dialah antara orang yang sering 'menemani' saya bersarapan di cafe IKIP (maklumlah, masa mula-mula masuk kerja kita akan ambil masa untuk sebati dengan persekitaran... masa tu pun belum ada kawan... so seorang dirilah ketika bersarapan...)

Pak Wan pada saya bukanlah jenis yang banyak cakap... tapi bila dia start bercakap... kita akan rasa keakraban seperti seorang ayah...

Sedari mendapat berita tersebut, ramai students yang update status tentang kebaikan Pak Wan... Sekali sekala, buat saya menitis air mata... Saya boleh katakan Pak Wan adalah antara pemandu bas IKIP yang disayangi students. Pak Wan tak pernah berkira dengan sesiapa... walau hanya seorang student yg perlu dihantar ke hostel, Pak Wan tetap akan hantar... Baiknya hati Pak Wan...

Arwah Pak Wan (kanan)
Gambar dari FB IKIP International College

Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Pak Wan Mohd Shah Wan Ramli... Moga ditempatkan bersama para solihin... Sesungguhnya dariNya kita datang dan kepadaNya kita kembali...

Nota kaki: Geram bila baca komen-komen keyboard warriors yang menyalahkan Pak Wan yang kononnya memandu lajulah, tak mengikut peraturan jalan rayalah... tak pakai seat beltlah... macam-macam!!! Anda tak kenal Pak Wan... dia adalah antara pemandu yang sangat berhemah... Kebanyakan students suka naik bas yang dipandunya... Apa yang jadi tu adalah ketentuan Allah... ajalnya memang dah sampai... dan kemalangan ini adalah asbab pemergiannya... Daripada menulis komen yang negatif, lebih baik kita sedekahkan Al-fatihah buatnya... Allah... :'(

Friday, November 22, 2013

Dalam Kenangan: Ahmad Ammar Ahmad Azam

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,


Tidak pernah mengenalinya, namun melihatkan semangat dan perjuangannya benar-benar meninggalkan kesan kepada saya... Saat ramai di antara kita masih lalai dengan dengan dunia, Allah kirimkan perjuangan hidup Ahmad Ammar untuk menyedarkan kita. Allahuakbar...! 

Innalillahi wa innailaihirojiun... Kamu antara insan berpilih Ahmad Ammar... Tenanglah kamu di sana... kerana kami pula akan menyusul... Al-Fatihah...


Keistimewaan Jenazah Ahmad Ammar Di Turki
Allahyarham Ahmad Ammar disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan menghadap Laut Golden Horn. Tanah perkuburan ini menempatkan lebih 60 jasad para sahabat nabi, auliya’, panglima Uthmaniyyah dan orang-orang kenamaan di sana. Namun Datuk Bandar telah memberi pengecualian kepada Ammar hingga allahyarham menjadi orang Malaysia pertama disemadikan di sini. Malah begitu ramai orang termasuk masyarakat setempat selain rakan satu universiti yang hadir ketika allahyarham disolatkan di Masjid Ayub Sultan, Istanbul seterusnya mengiringi jenazah Ammar ke kubur.


Ahmad Ammar Ahmad Azam
15 Feb 1993 - 2 Nov 2013
Jenazahnya disemadikan di sebelah pusara Abu Ayyub al-Ansari r.a

Pautan untuk bacaan lanjut:
Al-Fatihah: Ahmad Ammar Ahamd Azam

Wednesday, October 23, 2013

Speechless :-((


Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Gambar ini sangat-sangat menusuk hati keibuan saya... Setiap kali menatapnya dan membaca nukilan dari hati seorang ibu membuatkan air mata saya tidak berhenti mengalir... Moga Allah memberikan kekuatan dan ketabahan buat ibu ini serta ahli keluarganya... Eyna... anda memang seorang ibu yang hebat...! Tabahlah duhai kawan... :'(

Gambar dan nukilan dari FB Eyna Hfy

Adhry,
Sehari sudah adhry meninggalkan mama, abah.. abang aqeel dan kakak aryn..
Mama masih ingat saat pertama Adhry lahir ke dunia..
Kau hadir dengan senyuman... kau pergi juga dengan sebuah senyuman..

Maafkan mama andai ada kekurangan sepanjang 40 hari mama menjaga Adhry...
Mama redha dengan pemergian Adhry.. sesungguhnya Allah bersamamu sayang...

Adhry.. malam terakhir itu Adhry tenung mama tanpa kelip.. seperti hendak mengatakan sesuatu...
Tapi mama tak faham.... mama mintak Adhry tido.. dan mama teman Adhy disisi.. mama pesan pada Adhry.. "Tutup mata nak... mama ada disini.. Adhry tido ye.. jangan takut Allah ada bersama kita"..
Mama tak sangka itu ucapan terakhir mama pada Adhry..

Pagi itu selepas doktor kata Adhry tenat...hati mama gelisah.. tapi mama bisik dalam hati... jika itu yang terbaik untuk mu mama redha..
Mama tak sangka mandian pertama dan terakhir mama buat Adhry adalah mandi jenazah...

Dakapan terakhir dari mama buat Adhry selepas Adhry tidak bernyawa..
Jika semua itu mama tahu.. 40 hari mama akan peluk Adhry tanpa henti..

Adhry...
Mama perlukan masa untuk mulakan hidup mama tanpa Adhry..
Badan masih rasa mengigil... Di mana-mana di dalam rumah mama terbayang Adhry.... mama minta abah ubah perabot untuk hilangkan bayang2 mama pada Adhry.. mama minta abah tukar tempat tido dengan mama ... agar mama tidak terjaga malam dan mencari Adhry di sisi...

Tapi mama tipu... itu semua tak dapat hilangkan perasaan rindu mama pada Adhry..mama tewas dengan air mata ... mama tewas apabila mama terdengar alarm di telefon berbunyi tanda waktu menyusu Adhry setiap 3 jam...mama tewas bila mama melihat barang2 Adhry..Ya Allah berat sungguh dugaan mu kali ini buat kami...

Mama berdoa agar setiap apa yang Allah takdirkan ini membuatkan kami lebih dekat denganNya... agar berlipat ganda amalan akhirat kami... Insyallah.. Adhry Haqqi.. Adhry akan bertemu dengan abg Arish.. Kelak kita semua akan bertemu semula...ingatan mama dan abah buat Adhry dan Arish tidak pernah putus...

Tempat mu pasti disyurga nak.....
Yang merindu anak-anak mama,
Mama..


Nota kaki: Kuat juga penangan teknologi, bila saya juga turut merindui Adhry Haqqi... (Sebelum ini saya ada publish entri Baby Adhry Dalam Kenangan)
Innalillahiwa innailaihirojiun... Sedekahkan Al-Fatihah buat allahyarham baby Adhry Haqqi... Moga rohnya tenang di sana...Saya pasti dia sedang tersenyum bahagia... 
 

* * *
Berminat untuk menjana pendapatan dengan Tupperware Brands? 
Hubungi/SMS/Whatsapp Nora 0193441384 atau Kamarul 0126526556.


Monday, October 21, 2013

Baby Adhry Dalam Kenangan...

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah, 

Baby Adhry Haqqi
Gambar dari FB ibu baby Adhry

Baby comel ini singgahnya hanya sebentar bagi menggembirakan hati kedua ibu bapa, serta abang dan kakaknya... Setelah 13 hari di Nicu, Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, Perak, baby Adhry kembali kepada penciptaNya yang Maha Agung... (kami diberitahu tentang pemergian baby Adhry pada jam 9.30 pagi tadi, melalui Whatsapp group) Sesunguhnya beruntunglah kedua ibu bapanya, kerana baby Adhry pasti menunggu mereka di pintu syurga...

Rakan blogger, mohon sedekahkan Al-Fatihah buat baby Adhry Haqqi... Semoga rohnya dicucuri rahmat... Mohon doakan juga ketabahan dan kekuatan buat ibunya Eyna Hfy yang masih lagi dalam pantang... (baby Adhry pergi pada usia sebulan lebih) Moga kekuatan itu akan segera menyembuhkan fizikal dan emosinya... Semestinya ada hikmah di sebalik semuanya... Tentu ada ganjaran buat mereka sekeluarga. Sesungguhnya apa yang dirancangkan oleh Allah itu lebih baik.

Untuk rekod: 
* Eyna Hfy, merupakan kenalan saya sewaktu sekolah menengah dulu...  
* Baby Adhry merupakan anak ketiga - lahir pada 12 September 2013
* Mengalami lung infection - kritikal dan dirawat di Nicu selama 13 hari
* Meninggal dunia pada 21 Oktober 2013.

Al-Fatihah 

* * *
Berminat untuk menjana pendapatan dengan Tupperware Brands? 
Hubungi/SMS/Whatsapp Nora 0193441384 atau Kamarul 0126526556.


Thursday, August 29, 2013

Biarpun Mak Ayah Tiada... Kami Tetap Ziarah...

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum & salam 22 Syawal,

Sejak dari arwah mak ayah saya ada lagi... Destinasi wajib kami pada hari raya pertama adalah ke Sentul, Semenyih dan Puchong. Kenapa tiga destinasi ni?!

Sentul adalah rumah arwah abang ayah saya... Arwah achik Salim... Adik beradik arwah ayah ramai... 13 orang semuanya... Arwah ayah saya adalah anak bongsu... Tapi kami hanya kenal arwah achik Salim dan arwah alang... Dan family kami sangat rapat dengan family arwah achik Salim... Sejak masing-masing kecil sehinggalah dah berumah tangga sekarang... Alhamdulillah ikatan itu bertambah erat...

Semenyih pula adalah rumah ayah angkat arwah ayah saya... Lama mereka kenal... Sejak arwah ayah berumahtangga... sehinggalah adanya kami adik beradik... Dari kecil lagi arwah ayah wajib membawa kami ke rumah ayah angkatnya ini, lebih-lebih lagi pada hari raya pertama... Telah menjadi kebiasaan, maka kami terus menziarahi atok dan nenek sehingga kini. 

Melihat mereka daripada kuat tubuh badan satu ketika dulu... sehinggalah sekarang... Terasa sayu pula... Sekarang ni, atok dan nenek tak berapa kuat lagi... tak berapa dengar... tak berapa nampak... tapi mereka tetap kenal kami adik beradik... Itu yang membuatkan saya rasa sayu... 

Antara dialog nenek dengan adik bongsu saya, Ashrap (Yap):

Nenek: Nenek dah tua dah... Tak kuat lagi... (katanya dengan loghat Jawa yang pekat... sambil senyum meleret...)

Yap: Eh kuat lagi la ni... Boleh duduk... borak-borak... (gurau adik saya)

Nenek: Sakit-sakit badan ni... dulu bawa getah tak de masalah... Sekarang tak boleh dah... 

Yap: Itu dulu... sekarang ni boleh rehat... Anak-anak pulak kerja... Jaga atok dengan nenek... Ni duduk lama-lama boleh ke?

Nenek: Sakit jugak... tapi jumpa orang boleh la... 

Saya yang duduk di hadapan mereka khusyuk mendengar... Tak boleh nak meyampuk sebab nenek tak berapa dengar, walaupun saya tanya berulang kali... 

Nenek: Korang adik beradik rajin datang tengok atok dengan nenek... Raya memang tak pernah tak datang... mesti datang...

Yap: Mesti la... wajib datang... tengok atok dengan nenek... 

Nenek: Ye la... ingat juga korang adik beradik pada atok... pada nenek... kalau arwah ayah dengan mak korang ada, selalu raya pertama juga datangnya... teringat nenek pada ayah dengan mak tu... (riak muka nenek sedih... saya pun sedih bila nenek cakap macam tu...)

Yap: Kalau tak dapat lama... kejap pun kami mesti datang nek... kalau tak dapat raya pertama... bila-bila pun kami akan sampai... Jenguk atok... nenek... 

Nenek: Bagus didikannya ayah dengan mak... Korang adik beradik ni... selalu datang jenguk atok dengan nenek... Raya mesti datang... tak boleh tidak... (Yap dah bergenang air mata... apa taknya... ayat itu je yang diulang... saya apatah lagi, laju je air mata mengalir...)

Saya ingat lagi macam mana bila kena marah dengan arwah ayah bila saya pernah menolak untuk ikut pergi beraya ke tiga destinasi ni... (maklum la masa tu dah meningkat remaja... rasa macam tak perlu ikut mak ayah beraya...) Tapi sekarang saya faham... Kami ziarah mereka (yang menjadi kesayangaan mak dan ayah ketika hidup mereka), secara tak langsung saya menggembirakan orang yang diziarah juga arwah ayah dan mak di sana... 

Destinasi ketiga kami adalah di Puchong... Rumah Pak Lang (adik arwah mak)... Pak Lang memang rapat dengan kami adik beradik... Malah Pak Lang dan Mak Lang jugalah yang menjadi tempat kami mengadu dan menumpang kasih, sejak ketiadaan mak dan ayah... 

Moga semuanya diberikan kesihatan dan dipanjangkan umur serta dilimpahkan rezeki oleh Allah... Moga kami adik beradik juga tidak lupa untuk terus menziarahi mereka yang menjadi kesayangan arwah mak dan ayah...


Nota kaki: Tiga perkara yang boleh seorang anak lakukan untuk arwah ibu bapa mereka.... iaitu, 1. sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka di sana... 2. sedekah atas nama mereka... dan yang ketiga, menziarahi saudara mara, rakan-rakan dan kenalan arwah... Moga Allah menempatkan kedua orang tua saya serta kedua ibu bapa mertua saya juga ibu bapa para blogger (yang telah kembali ke rahmatullah) bersama para solihin... Al-Fatihah... 

* * *


Tupperware Kiyter sedang merekrut ahli baru dalam team kami. 
Nikmati diskaun sehingga 25% sebagai ahli  
(atas barangan Tupperware, TupperChef, TupperClean, NatureCare, Nutrimetics, NanoNature) 
dengan yuran keahlian hanya RM70.00
Juga nikmati pelbagai lagi keistimewaan lain 
seperti komisen bulanan, peluang melancong dan kereta.

Call/SMS/Whatsapp: Nora: 0193441384 / Kamarul: 012-6526556
Jom Sertai Kami! ^_^

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...