Nuffnang Ads

Agoda Ads

Showing posts with label Adam Faris. Show all posts
Showing posts with label Adam Faris. Show all posts

Friday, November 22, 2019

Faris VS UPSR


Saya ingat lagi bagaimana Faris menangis teresak-esak ketika diminta menulis impiannya, mendapat 6A dalam satu program sekolah, sedangkan dia tahu itu bukan keupayaannya.

Saya menenangkannya dan menyatakan itu adalah sebahagian doa. Maka, tulis saja. Sejak itu, saya perbanyakkan membaca al-Quran, berdoa dan bersedekah atas namanya.

Saya ingat lagi bagaimana Abahnya meluahkan rasa 'frust' kepada guru kelas, tentang mata pelajaran Bahasa Melayu (Penulisan) yang ketika itu hanya mendapat gred E. Sedangkan Abahnya seorang wartawan dan Mamanya juga boleh menulis.

Kami bermula semula dari kosong. Menulis satu perkataaan. Kemudian dua perkataan. Kemudian tiga perkataan dan seterusnya dia mula boleh mencantum lebih banyak perkataan dan menulis satu ayat dan seterusnya karangan.

Saya ingat lagi bagaimana dia tertekan apabila cuba menyelesaikan segala soalan Matematik, bila mana masih tidak mahir menghafal sifir, formula dan memahami kehendak soalan.

Kami perbanyakkan membuat latihan. Kami fokus kepada kertas 2. Kami sama-sama mencari kata kunci dan memahami kehendak soalan. Kami belajar banyak perkara penting dari E-book cikgu Fadli. Cara cepat jawab kertas 1 dan cara curi markah di kertas 2, pada minggu-minggu akhir menjelang peperiksaan.

Saya ingat lagi bagaimana Faris berusaha untuk hadir ke sekolah setiap hari, kelas tambahan, program-program Tahun 6 anjuran sekolah dan tuisyen setiap hujung minggu walau nampak sangat keletihan.

Tanpa rasa jemu saya menghantar dan mengambilnya dari setiap kelas dan program. Saya lihat dia akan berusaha menyiapkan segala latihan yang diberikan oleh guru-guru. Saya atau suami terus berada di sisi, menemaninya menyiapkan latihan.


Melihat peningkatan markah dari satu ujian
ke ujian yang lain ni pun dah sangat bersyukur...

Saya ingat lagi bagaimana dia sedih dan tangannya menggigil setiap kali hendak menyerahkan markah kertas ujian yang masih gagal kepada saya.

Saya tak pernah marah, malah mengucapkan tahniah dan selalu memberinya pujian kerana berjaya menambah markah dari gagal kepada lulus minimum.

Saya ingat lagi bagaimana dengan linangan air mata dia menyatakan, bahawa dia hanya mampu menjanjikan boleh lulus minimum semua mata pelajaran, yakni gred D saja. Ini janjinya ketika hampir minggu peperiksaan.

Saya memeluk dan menepuk-nepuk bahunya. Saya katakan, bahawa apa jua keputusannya saya akan sedia terima dan sayanginya. Saya menjadi saksi atas segala usaha kerasnya.

Adam Faris bukan pelajar kelas hadapan. Dia hanya pelajar biasa yang suka melukis komik dan membina model bangunan dan kenderaan daripada Lego atau kayu. Itu kemahiran dan minatnya.

Di mata saya, dia sangat cemerlang dan kreatif dalam bidang yang diminati, biarpun hanya saya yang menjadi 'tukang soraknya'.

Saya ingat lagi bagaimana dia gembira dapat meninggalkan satu persatu kelas tambahan anjuran sekolah, apabila keputusannya mula mencapai tahap lulus minimum.

Ketika ini, saya turut tersenyum bangga.

Saya ingat lagi bagaimana dia gembira apabila menunjukkan markah lulus ujian-ujiannya walaupun ia hanya gred D.

Saya terus memberikannya pujian dan galakan tanpa henti.

Dan saya ingat lagi bagaimana wajahnya tersenyum lega dan bangga semalam, selepas memaklumkan bahawa dia LULUS semua mata pelajaran, seperti yang dijanjikan kepada saya.

Malah saya menitiskan air mata, kerana dia tidak beri semua gred D... tetapi keputusannya sangat-sangat baik dari itu.

Bermula dengan gred 4D dan 2E, pada awal tahun. Gred ini menyebabkan dia wajib hadir kelas tambahan untuk Bahasa Melayu dan Matematik.

Saya meneliti satu persatu gred di dalam slip keputusan UPSRnya semalam... Alhamdulillah, syukur sangat... semuanya lulus.




Saya yakin tak ada ibu bapa yang berkongsi kisah 'kejayaan' seperti ini semalam. Tapi hari ini, saya nak kongsi, betapa bangganya saya dan suami melihat 'kejayaan' Faris mengubah gred bukan setakat lulus minimum seperti yang dijanjikan, malah dia mampu beri lebih baik dari itu.

Semalam, saya memeluknya dengan bangga, seperti dia mendapat 6A.

Semalam, saya mengucapkan tahniah setiap masa kepadanya, seperti dia mendapat 6A.

Semalam, saya memuji segala usaha dan penat lelahnya, seperti dia mendapat 6A.

Semalam, kami meraikannya dengan cara kami seperti dia mendapat 6A.

Saya tidak mahu membandingkan Faris dengan Alisya, apatah lagi dengan anak orang lain kerana saya tahu keupayaan dan kebolehannya dalam akademik.

Dia seorang yang unik dan kreatif dalam bidang yang diminatinya.

Tahniah Faris, walaupun jalan yang kita lalui sedikit jauh dan berliku, Mama dan Abah sangat bangga. Moga lebih banyak kejayaan yang dikecapi selepas ini. Insya-Allah...

Maka benarlah, usah disisih anak yang tidak cemerlang akademik, sebaliknya terus berada di sisi, menyokong, membimbing dan menghargai setiap usahanya.

💞 Alhamdulillah... 💞

Pada saya, Faris 'lulus bergaya'!

Thursday, January 31, 2019

Beli Gula Je...

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Saya singgah di kedai untuk membeli gula, selepas mengambil Faris dari sekolah.

"Mama nak beli gula ni. Faris nak ikut atau tunggu dalam kereta," tanya saya sebelum keluar dari kereta.

"Nak ikutlah. Ayies nak beli air... haus."

"Eh tak payahlah... Mama nak beli gula je... Ayies kalau masuk kedai kang macam-macam air manis Ayies nak beli."

"Ha oklah... Ayies tunggu dalam kereta je..."

Saya keluar dan tunggu Faris kunci pintu kereta dari dalam.

Masuk kedai terus ke rak gula. Ambil dan bayar di kaunter. Kemudian terus menuju ke kereta.

"Hah, ni apa ni? Gula ada, roti ada, susu lagi... hah ni apa... cucur bilis pun ada? Kata nak beli gula je?" katanya sambil menyelak-yelak plastik barang yang saya letak di kerusi sebelah pemandu.

"Nak buat macam mana, semua nak ikut balik..." jawab saya tergelak, sambil terus memandu.

"Ugh!"

Nora Karim
Pelik eh, kenapa barang lain pun nak ikut balik? 😅

Friday, January 04, 2019

💖 Terima Kasih Faris 💖

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Semalam ibu jari kanan saya luka, sebab alah pada serbuk pencuci. Sakitnya bukan main lagi.

Berdenyut-denyut.

Dari awal pagi dah menahan sakit bila buat kerja-kerja rumah. Tak tahan sangat rasanya.

Saya tangguh masak lauk untuk tengah hari. Terfikir nak beli nasi ayam je untuk Faris lepas ambil dia dari sekolah nanti.

Di sekolah, saya baru perasan ibu jari yang luka tu dah berdarah. Sakit jangan cakap.

Nampak luka sikit je, tapi...
dia punya denyut tak boleh tahan.

"Faris nak makan nasi ayam atau nasi kukus ayam berempah?" tanya saya sebaik Faris masuk kereta.

"Mama tak masak lagi?"

"Belum, jari Mama sakit ni. Ingat petang sikit baru Mama masak," saya tunjuk ibu jari yang luka. Terus Faris capai tisu di depannya, dan lap darah yang keluar.

"Nak beli nasi ayam ke?"

"Tak payahlah. Ayies masak je lah."

"Nak masak? Nak masak apa?"

"Ayam kunyit dengan telur dadar."

Sampai je rumah dia terus mandi dan solat Zohor. Lepas tu masuk dapur. Pakai apron.

Boleh katakan semuanya dia yang buat. Saya cuma pantau dan tolong sikit-sikit.


"Macam ni rupanya penat masak," tiba-tiba dia bersuara, sambil duduk mengelap peluh di bangku biru.

"Ha, tau pun... ni baru sikit ni. So, lain kali jangan cakap 'lauk ni je ada?', 'tak de kuah ke?', 'lauk ni Ayies tak suka'. Apa yang Mama masak, makan je."

Dia tersingih.

Garu kepala.

"Mana Ayies tau macam ni penatnya. Kurang-kurang macam lari satu padang."

Saya tergelak. Penat sangat bunyinya tu.

"Tapi terima kasih tau, sebab tolong Mama masak ni. Walaupun penat baru balik sekolahkan... Tapi hari ni, insyaAllah banyak pahala Ayies dapat. Pahala tolong Mama. Pahala masak untuk semua orang. Nampak sedap ni, bau pun dah buat rasa lapar."

Dia nampak excited nak saya rasa masakannya. Mukanya yang tadi nampak letih dan penat, dah mula berseri-seri. Mata pun dah bersinar-sinar bila diberi pujian dan apresiasi.

Anak-anak ni sangat suka bila dipuji. Maka janganlah kedekut, beri mereka pujian. Pujian akan membuatkan mood anak-anak bertambah baik.

Lepas puji, saya pujuk dia untuk masuk tuisyen, terus setuju tau! Nampak tak?!

Belajar sesuatu? 😉

Nora Karim
Pujian tak perlukan belanja besar pun, yang penting ikhlas.


Monday, March 05, 2018

Gotcha, Faris!

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Semalam ketika saya hendak masak, saya perasan ada air sirap tumpah dalam peti ais. Bila angkat botol-botol cili dan bawang, ada air sirap menitik. Botol juga melekit.

Lalu saya cuma basuh dan lap botol-botol tersebut, kerana menyangkakan hanya botol-botol itu saja yang terkena air sirap.

Pagi ini, terasa hendak angkat semua barang yang ada dalam peti ais.

Itu dia...



Habis bertakung air sirap di bahagian paling bawah peti ais. Dinding-dinding peti ais juga habis melekit.

"Ya Allah, siapa punya kerja ni?" bisik saya. Sedang saya kemas peti ais, Alisya datang. 
 
"Mama buat apa ni?" pelik melihat saya mengeluarkan semua barang yang ada dalam peti ais.

"Siapa yang tumpahkan air sirap ni?" tanya saya padanya. 
 
Saya ada dua anak, Faris dan Alisya. Jadi, salah seorang dari merekalah yang perlu bertanggjawab.

"Alisya tak buat. Kejap Alisya tanya abang," lalu dia berlari ke ruang tamu.

"Abang, abang tumpahkan air sirap dalam peti ais eh?" Suaranya kedengaran sampai ke dapur.

"Mana ada..." jawab si abang.

"Alisya tak buat. Kalau Alisya tak buat, abanglah buat," marahnya. Mula serkap jarang.

"Faris, tak buatlah...," suaranya sedikit tinggi. Tidak puas hati dituduh si adik.

Tidak lama kemudian, mereka ke dapur. Berdiri di sebelah kiri saya. Sambil merenung air sirap yang bertakung. Dua-dua buat muka tidak bersalah.

"Siapa yang tumpahkan air ni?" soal saya.

"Bukan Alisya..." Alisya tetap dengan jawapannya.

"Bukan Faris..." Faris juga tidak mengaku.

"Habis siapa? Mama buat?" tanya saya lagi.

"Abah kot," jawab Faris. Abah yang bekerja luar kawasan kena tuduh. Tak pasal-pasal. Sambil membuat pelbagai andaian, bagaimana abah tumpahkan air itu.

Faris cerita A-Z macam mana air itu tertumpah. Tapi dia sebut abah sebagai pesalah.

Terus saya tergelak.

Pesalah dikenalpasti!


Nora Karim
Salah satu tip hendak tahu anak berbohong, bila dia bersungguh-sungguh menuduh orang lain, atas kesalahan yang dibuat. Gotcha, Faris!


Sunday, January 28, 2018

Ibubapa, Jom Jadi Pendengar Yang Baik

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

27 Januari. Jam 6.55 petang.

Belum pun sempat saya masuk ke dalam rumah...

"Mama ada beli minyak Asmak tak? Ayies dah batuk makin teruk ni..." kata Faris. Sekali-sekala terdengar batuknya.

"Ma, tadi seronok Ma kelas tarian Alisya. Tengok ni, cikgu ajar macam ni," sambil tunjukkan step tarian Inang dan Zapin, yang baru diajar oleh gurunya di sekolah.

Bukan main seronok, jadi antara yang terpilih.

Allahuakbar, berebut-rebut Faris dan Alisya nak cerita apa yang berlaku pada mereka hari ini.

Kepala saya sakit. Barangkali banyak input yang saya terima dari bengkel penulisan yang saya sertai.

Dah nama bengkel penulisan, kenalah menulis 😅

Atau mungkin juga kerana menghadap kesesakan lalu lintas di MRR2 dalam perjalanan balik tadi.

Faris dah ambil tempat di hadapan TV. Menyambung tontonannya yang tergendala, kerana menyambut saya yang baru pulang.

Alisya terus membontoti saya. Saya ke dapur, ikut. Saya ke bilik, ikut. Saya masuk bilik air, dia siap pesan jangan lama-lama sebab hendak sambung tunjuk step tariannya.


Saya solat Maghrib, dia tunggu. Elok saya beri salam, terus menderu-deru cerita sehariannya di sekolah diceritakan kepada saya.

Menghadiri bengkel dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang cukup memenatkan.

Otak letih.

Badan lesu.

Kalau boleh rasa nak berkurung dalam bilik. Kunci. Rehat.

Tapi...

Sedaya upaya saya mendengar dengan tekun cerita anak-anak. Menunjukkan rasa teruja dan simpati. Memuji dan memujuk mana yang perlu.

Tuan Speaker, Zamri Mohamad.

Selesai semua cerita, Alisya tanya...

"Kelas Mama tadi best ke?"

Saya senyum.

Angguk.

Sambil sapu minyak angin di dahi.

"Mesti Mama penatkan? Kenapa Mama tak rehat dulu baru cakap dengan Alisya. Alisya turun bawahlah," katanya setelah selesai ceritakan semua aktivitinya di sekolah tadi.

Lalu, adalah sedikit ruang saya memicit kepala.


Luang masa dengar cerita anak, biarpun penat. Cerita mereka umpama berita terkini. Jika disuruh cerita 'nanti'. Cerita itu sudah pun basi...

Wednesday, January 24, 2018

'Telefon OPPO' Alisya

Bismillahirahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Seingat saya, sejak berhenti kerja dan menjadi surirumah sepenuh masa, saya jarang sekali beri Faris dan Alisya gajet, termasuk permainan video game.

Dalam tempoh enam tahun saya menjadi surirumah sepenuh masa, saya hanya memberi gajet jika merasakan ada keperluan, seperti menyiapkan kerja sekolah dan menonton video origami atas pantauan saya.

Jika tujuannya untuk bermain online games... memang boleh dikira dengan jari. Hanya beberapa kali saja saya beri keizinan bermain online games. Itupun dengan had masa 15-30 minit sahaja. Sekali dua saya izinkan juga main games sampai habis bateri.

Hari ni Alisya tunjuk saya gambar ni. 

Katanya, "cantik tak OPPO Alisya?" sambil menunjukan helaian kertas yang saya potong dari buku tulis sekolah mereka tahun lepas.

"Tengok ni, canggih Ma...," dengan terujanya dia menunjukkan pada saya aplikasi-aplikasi yang ada di 'telefonnya'.

Banyak apps ni... :p

Saya seperti biasalah, apa yang anak-anak tunjuk saya turut excited. "Amboi, bukan main canggih lagi ni!", jawab saya.

"Boleh Mama pinjam sekejap?" sambung saya sambil belek-belek 'telefonnya'.

"Puteri ni apa?" soal saya.

"Itu game la Ma... Game princess," jawabnya.

"Tengok ni... Alisya dah ada Facebook dengan Twitter, nanti Mama kawan dengan Alisya tau," sambungnya lagi. (Baca sebagai follow)

"Ok... boleh! Eh ada travel ni. Ni bolehlah nak pergi mana-mana?" tanya saya.

"Ok Ma nak pergi mana?" sambil dia keluarkan helaian kertas yang dilukis aplikasi dan masukkan helaian Google beserta keypad

Tak ikut 'QWERTY'... :p

"Em... Jepunlah", jawab saya. Sambil jari-jari kecilnya seolah menaip keypad yang dilukisnya.

"Ok, boleh Ma... ada tiket murah. Nanti kita pergi," kemudian dia tinggalkan saya yang masih berminat hendak membelek 'telefonnya'.

"Cuba call Mama, tengok canggih mana telefon Alisya," saja saya test dia.

"Kejap...", sambil tukarkan helaian lain yang ada senarai contact

Jangan main-main ada list contact tau... ^_^

"Wah, senarai contact pun ada!" saya tergelak sendiri. Ditekan kotak yang dilukis dan tertera perkataan Mama.

"Hello Ma, Mama sihat?" tanyanya sambil ditekup 'telefon kertas' itu di telinganya, dan berpaling daripada memandang saya, seolah-olah saya tidak berada di situ.

Dan 'drama' itu terus berlaku.

Rasa macam nak menangis pun ada. Kadang-kadang rasa kejamnya saya, sebab tak berikan mereka gajet seperti kanak-kanak lain. Tapi sebenarnya, saya lebih suka bila Faris dan Alisya kreatif seperti apa yang dibuat untuk hasilkan 'telefon OPPOnya" itu.

Faris tukang design telefon itu atas permintaan Alisya dan Alisya tukang lukis semua 'aplikasi telefon OPPO' miliknya.

Itukan namanya kolaborasi... Kan? >_<


Rasa kejam, tapi suka idea kreatif mereka.

Monday, November 06, 2017

Bila Abah Naik Helikopter...

Bismillahirahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,


Encik suami ditugaskan ke Pulau Pinang untuk tinjauan banjir, naik helikopter.

Faris tanya, "Abahkan gayat... macam mana Abah naik helikopter tu?"

"Abah kerja. Kenalah pergi juga," kata saya.

Faris jawab, "kalau nanti Ayies kena kerja naik helikopter, Ayies berhenti kerjalah Ma... tak berani Ayies!"

😂😂😂

Kelakarlah Faris ni!

Yang Alisya pula bila saya tunjuk gambar ni, dia kata... "aduh... kenapa Abah tak ajak, Alisya nak naik helikopter juga!"

Nampak tak dua beradik ni memang sangat berbeza, seorang terlebih berani yang seorang lagi, penakut ya amat! 

***

Sama-sama kita doakan agar banjir di Pulau Pinang segera surut. Nampak teruk juga banjir kali ni.

Buat rakan-rakan yang ada di Pulau Pinang, saya doakan anda baik-baik saja, jaga diri, jaga kesihatan... moga Allah permudahkan segala urusan anda di sana.


Nora Karim 
Takut juga nak naik helikopter. 😄 

Monday, June 19, 2017

Bicara Dengan Anak: Kaabah Ada Dua

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah, 

Bagaimana agaknya puasa kita selama 24 hari ni. Moga puasa dan amalan-amalan kita sepanjang Ramadan diterima Allah. InsyaAllah, Amin... Sedih pula bila Ramadan semakin meninggalkan kita.

Ni saya nak kongsikan perbualan saya dengan Adam Faris tentang Kaabah. Satu pagi selepas sahur, Faris tanya saya...



Faris: Mama, Kaabah ada satu je kan?

Saya: Kaabah ada dua.

Faris: Aik, satu je la Mama... Yang ni kan. Yang Abah pergi hari tu... (sambil tunjuk gambar Kaabah yang ada di ruang tamu, rumah pusaka arwah Mak dan Ayah saya)

Saya: Ada dua. Satu dekat bumi. Dekat Mekah. Yang nilah (tunjuk gambar yang sama) Satu lagi dekat langit.



Faris: (hahahahaha) Kelakar la Mama ni. Macam mana orang nak pergi Kaabah yang dekat langit tu?!? Kena naik pakai baju angkasawan agaknya...

Bersungguh dia gelak, ingat saya buat lawak. Saya sengih je...

Saya: Siapa kata Kaabah dekat langit tu untuk manusia?

Faris: Dah, habis tu untuk siapa?

Saya: Kaabah dekat langit tu untuk Malaikat. Namanya Baitul Makmur. Yang ni dipanggil Baitullah.

Faris: Malaikat pun kena pusing-pusing? (baca sebagai Tawaf).

Saya: Ha ah. Sama je macam kita Tawaf tu.

Faris: Kenapa Malaikat pun kena pusing-pusing? 

Saya: Selagi belum Kiamat, selagi tu la Malaikat akan Tawaf. Sama je macam kita.

Faris: Ramai ke Malaikat pusing-pusing?


Masa sekolah Tadika di Melaka dulu Faris pernah buat lakonan Tawaf Kaabah. Dia ingat sampai sekarang.

Saya: Yang Mama baca, sehari ada 70,000 Malaikat akan Tawaf dekat Baitul Makmur dalam SEHARI.

Faris: SEHARI? Betul ke Mama ni? Ramai betul!

Saya: Ye sehari 70,000 Malaikat. 70,000 Malaikat yang dah Tawaf hari ni, takkan datang dah esok. Esoknya 70,000 Malaikat lain. Esok lagi 70,000 lagi Malaikat lain. Subhanallah... Hebat Allah!

Faris: Biar betul! Takkan ramai macam tu?

Saya: Wallahua'lam... tapi itulah yang Mama baca. Kalau ikut ceramah Ustaz Wadi Annuar pula, contohlah kalau ada orang meninggal dunia, nanti turun Malaikat dengan pasukan dia yang ramai untuk uruskan jenazah tu... kalau orang yang meninggal tu baik, Malaikat dengan pasukan tu akan bawa wangian dari Syurga. Kalau orang yang meninggal tu tak baik Malaikat akan bawa bau busuk dari Neraka... Na'uzubillahi min zalik...

Faris: Takkanlah, biasa kalau orang meninggal, oranglah yang uruskan. Ada ke Malaikat?

Saya: Manusia uruskan jasad... itulah yang kita nampak bila orang meninggal, kita mandikan, kita kafankan, kita solatkan, kita kebumikan. Tapi Malaikat yang ramai turun tu, uruskan roh orang yang meninggal tu...

Faris: Ooo patutlah dalam cerita Ultraman tu... bla... bla... bla... bla...

Mama dia tak sanggup nak dengar. Ada ke dia kaitkan dengan Ultraman! Allah! Dan soalan terus-menerus dari Faris... sampai ke sudah... yang pasti semuanya pasal imaginasi dia. Sampai masuk macam-macam superhero bagai. Saya pula yang pening. Sabar je lah! 

Saya: Ok... dah la tu. Pergi Subuh, lepas tu tidur! 


Faris kalau tanya soalan memang tak boleh fokus, sampai Mamanya pun jadi tak fokus.

Thursday, May 25, 2017

Beza Perwatakan Anak

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Isnin lepas, balik dari mengaji Faris beritahu saya bulan puasa nanti nak pergi masjid hari-hari.



Saya: InsyaAllah, cuti sekolah panjang bolehlah solat Terawih dekat masjid. Faris dengan Alisya pun dah besar. Sebelum ni Mama Terawih dekat rumah je.

Faris: Er... kawan Ayies cakap, bulan puasa dekat masjid ada BANYAK MAKANAN! Boleh makan banyak-banyak. Sampai kenyang!

😱😱😱

Saya: La... Mama ingat nak solat Terawih berjemaah. Makan yang difikirnya?

😂😂😂

Sebelum ni saya pernah tanya, "mana best?! Mengaji dengan Mama ke mengaji dengan Ustazah?"

Faris jawab, "mestilah mengaji dengan Ustazah, sebab ada MAKANAN"

Saya tak tahu pula dekat kelas mengaji tu ada makanan. Patutlah bila saya suruh makan dulu sebelum pergi mengaji dia tak nak. Rupanya ada kudap-kudapan. Balik dari mengaji baru dia makan nasi.

Tapi ok jugalah, kalau mengaji dengan saya tak boleh marah sikit, berjurai-jurai air mata. Lepas tu cuti berminggu-minggu sebab kena marah!

😅😅😅


Perwatakan Faris dan Alisya sangat berbeza. Betullah cakap orang, ramai mana pun anak, bukan semuanya serupa, biarpun keluarnya dari rahim yang sama.

Faris orangnya lembut, jiwanya sensitif.

Alisya orangnya garang, jiwanya tegas.

Faris jenis yang sempoi, lurus, dia malas fikir yang rumit.

Alisya jenis yang berwawasan, rajin fikir (mungkin sebab dia suka baca buku).

Kalau nak fahamkan Faris, kena lukis... sebab dia jenis visualize.

Kalau nak fahamkan Alisya, boleh cakap je sebab dia pendengar yang baik.

Faris kalau borak dengan dia, jangan fikir akan sampai matlamat cerita. Sebab dia kurang fokus, sebaliknya banyak soalan-soalan yang tak berkenaan dia akan tanya.

Sebaliknya kalau borak dengan Alisya, matlamat cerita tu InsyaAllah sampai. Sebab dia fokus. Dia tanya soalan, tapi soalan tu memang berkaitan.

Bagi Faris terapi untuknya adalah makanan, origami, Lego (atau apa-apa mainan yang boleh dibina/dipasang) dan komik.

Terapi untuk Alisya pula adalah buku cerita, buku nota dan pen/pensil sebab dia suka melukis dan menulis nota, selain minat utamanya membaca.

Nampak tak? Sangat berbezakan? Anak-anak anda bagaimana? Disebabkan perbezaan sifat dan perwatakan inilah yang menjadikan ibu bapa perlu peka dalam memastikan emosi anak-anak terjaga. Jangan sampai ada yang rasa seperti disisihkan.

Nora Karim
Seorang yang pemalu. Siapa percaya? 

* Faris 10 tahun : Alisya 7 tahun *



https://goo.gl/JzYaNV

Saturday, March 18, 2017

"Abah, Doa Dapat Adik Tau!"

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Dua hari lepas masa ambil Faris dari sekolah hujan selebat-lebatnya. Terus saya cakap pada anak-anak;

Saya: Waktu hujan macam ni, elok doa apa yang kita nak. Sebab waktu hujan, waktu mustajab doa...

Alisya: Mustajab tu apa?

Saya: Mustajab tu maksudnya, kalau kita doa, Allah tak tolak... Allah akan bagi apa yang kita nak...

Faris: Allah bagi terus? Kalau minta sekarang terus dapat ke apa?

Saya: Kalau Allah izin kita dapat terus... kita dapat la teruslah... tapi kalau tak dapat terus, maknanya Allah simpan dulu. Nanti bila masa dah sesuai Allah bagi.

Alisya: Masa hujan je ke boleh doa?

Faris: Bila-bila pun boleh doa...

Saya: Ha ah, bila-bila pun boleh... cumanya kalau kena waktu dan tempat mustajab, lagi bagus. Macam masa hujan ni, masa hari Jumaat, depan Kaabah... (tak sempat habis...)

Alisya: Eh depan Kaabah? Abah nak pergi Kaabah kan? Boleh la suruh abah doa... Ma, pinjam telefon. Nak mesej abah.

Saya pun bagi je la phone, sebab saya tengah drive. Perbualan pasal doa tadi habis dekat situ... Esoknya baru saya tengok apa yang Alisya mesej ke abahnya... ?



Pandai dia kirim doa kat abah dia... 😂😂😂 guling-guling saya gelak... minta doa nak 'bayi' tau... sebab dia nak adik. Tu dia minta adik oklahkan... Hari tu dia minta kakak, mana pula saya nak cari kakak untuk dia! 😂

*Alisya belum pandai apply tanda baca, so kalau dia taip mesej, memang sederet gitu je... ?* 😜



https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=331&url=5813

Saturday, May 07, 2016

Buku Kanak-kanak: 40 Tokoh Islam

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Jika semalam saya dah kongsikan buku kegemaran Alisya, hari ni saya nak kongsikan buku kegemaran Adam Faris.

Buku 40 Tokoh Islam ni adalah antara buku yang Faris suka baca... https://goo.gl/OGdY2f

Penyebab Faris suka baca buku ni adalah kerana dia sangat familiar dengan nama Ibnu Sina. Nama Ibnu Sina ni dulu adalah nama kelas sekolah agamanya di Melaka dulu.

Dia jadi excited bila baca tentang kepakaran Ibnu Sina. 
 
Faris: Alisya tau kenapa Ayies masuk kelas 1 Ibnu Sina dekat sekolah Melaka dulu?

Alisya: Tak tau. Kenapa?

Faris: Sebab Ayies pandai Matematik. Orang yang pandai Matematik je boleh masuk kelas 1 Ibnu Sina.

Alisya: Iye ke?! Bukan tu sebab nama sekolah agama ke?!

Faris: Iye, betul. Kalau 1 Khawarizmi sebab orang tu pandai pasal Matematik dengan mata sekali. Ayies mata tak pandai la.. tapi Matematik pandai. (Ceh... confident level memang tinggi ni... saya rasa nak pecah perut tahan gelak)



Alisya: Iye ke?! Kalau macam tu Alisya pun pandai Matematik la... sebab Alisya sekolah Pasti Ibnu Sina. Tapi Alisya baru pandai tambah dengan tolak je... (Aduh saya memang rasa nak guling-guling dah gelak)

Faris: Eh betul la tu... Alisya pandai tambah dengan tolak je, sebab tu Alisya sekolah Pasti Ibnu Sina je. Ayies lebih sikit.. pandai darab... (Abang dia memang kelentong habis adik dia..)

Saya: Itu nama kelas dengan nama Pasti je lah, sempena nama orang hebat zaman Nabi SAW. Kalau belum pandai Matematik pun akan masuk kelas atau Pasti tu.. sebab nama je... Ibnu Sina bukan takat pandai tambah, tolak dengan darab je, tapi lebih daripada tu. Tau tak injection yang cucuk kat tangan tu? Tu Ibnu Sina la kenalkan... Peta tau peta? Ha... peta pun Ibnu Sina yang lukis...

Krik.... krikkk... krikkk...

Tak lama lepas tu Alisya jerit:
ABANG NI MENIPU JE TAU KAN?!

Guling-guling saya dengan Faris gelak...

Anak-anak saya bukanlah suka membaca sangat... Tapi disebabkan mereka tengok saya suka baca, dan ada pula buku warna-warni yang menarik macam ni, mereka pun suka. Dan kadang-kadang bila mereka dapat debat something yang macam ni memang seronok melayan...

Pendek kata, buku ni pun menarik untuk anak-anak belajar tentang Tokoh-tokoh Islam.

40 Tokoh Islam
Harga asal: RM28.00
Diskaun 50% hingga 9 Mei: RM14.00 saja!
Klik https://goo.gl/OGdY2f
Rugi tak beli...

Labur duit untuk ilmu, insyaAllah takkan rugi... :D

Sharing with love,
Nora Karim :*

Sunday, March 27, 2016

Makan Tangan Kananlah!

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,


Selalu kalau duduk di kedai makan, Alisya mesti marahkan Abang dia... Dia cakap, "kenapa Abang ni asyik makan dengan tangan kiri? Orang makan dengan tangan kananlah?"

Abang jawab, "ni tangan kananlah ni, Alisya duduk situ memanglah sebelah yang ni (sambil angkat tangan kirinya)"

Balas Alisya, "eh tak... Alisya makan tangan kanan... tengok Mama pun sama tangan kanan, (sebab saya duduk di sebelahnya) Abang je tangan kiri... eeii, cikgu cakap siapa makan dengan tangan kiri, dia sama dengan syaitan!"

"Betullah ni tangan kanan Ayies... Alisya duduk kat situ memanglah... ha tengok kalau Ayies pusing macam ni... (sambil pusingkan badan dan angkat tangan kiri dan kanannya) kan sama tangan Ayies macam Alisya tu!"

"Tak, Abang makan tangan kiri, kan Mama...?" (tak puas hati dengan jawapan Abangnya...)

"Betullah tu tangan kanan Abang, kalau Alisya duduk tempat Abang sekarang ni tangan ni la juga Alisya pakai untuk makan (sambil tunjuk tangan kanannya)".

"Ish Mama ni!!!" 

Terus Alisya masam muka, marah sebab dia ingat saya sebelahkan si Abang. Padahal dia yang tak faham konsep bila duduk berdepan... Tak pe lah slowly kamu bisa faham ya...

NK
Jenuh nak explain!

Wednesday, February 10, 2016

Cara Penjagaan Demam Campak

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Tak tahulah nak gelak ke apa... Hari Khamis lepas Faris cuti sebab sekolahnya ada event, dan murid-murid Tahap 1 direhatkan (cuti). Maka, dia main dengan anak jiran sebelah rumah saya ni, Marwan, umurnya 5 tahun.

Kebetulan saya pun tengah sidai kain. Nampaklah muka dan tangan Marwan ada bintik-bintik merah... Tapi saya ingatkan gatal-gatal biasa. Tak lama lepas tu dengar ayah Marwan tanya Faris:

http://www.newhealthadvisor.com/Chicken-Pox-Incubation-Period.html
Chicken pox @ demam campak
Ayah Marwan: Awak dah pernah kena chicken pox ke?

Faris: Hah? Entah. (sebab dia tak faham apa chicken pox tu)

Ayah Marwan: Marwan kena chicken pox tu. Kalau awak belum kena jangan main dengan Marwanlah... Nanti berjangkit.

Saya: Ooo... kena chicken pox ke? Kesiannya...

Ayah Marwan: Ha ah, dia dah pernah kena chicken pox ke (merujuk kepada Faris)?

Saya: Tak pernah lagi...

Tiba-tiba Faris menyampuk...

Faris: Tak tahu la... saya tak makan chicken pox tu sebab pedas...

Chicken pop ;p
Hahahahah terus saya tergelak! 

Saya: Chicken pox tu bukan makananlah, tu penyakit... 

Faris: Oh ye ke? Faris ingatkan ayam KFC. 

Oh ye la... KFC ada chicken pop! Nampak sedap pula chicken pop ni kan...? (^_^)

Faris dan Alisya buat masa ni belum pernah kena chicken pox... So, saya kongsikan tips redakan demam campak (chicken pox) yang saya baca, untuk panduan saya nanti atau ibu-ibu yang lain. 
 
  1. Selalu ingatkan anak-anak untuk minum air suam dengan banyak bagi mengekalkan kelembapan tubuh badan. Kekeringan akan menyebabkan kegatalan teruk pada kulit. 
     
  2. Pakaikan baju yang berwarna cerah, longgar dan seeloknya daripada kapas, supaya kulit mudah bernafas. 
     
  3. Pastikan kuku jari anak-anak pendek dan bersih, bagi mengurangkan kesakitan jika mengaru. Pakaikan sarung tangan jika perlu. 
     
  4. Kerap mandikan anak-anak anda bagi menurunkan suhu panas badannya. Jangan gunakan sabun mandi, kerana ia akan menyebabkan kegatalan. Campurkan setengah cawan baking soda ke dalam air mandian anak-anak anda. Ia boleh mengurangkan kegatalan. 
     
  5. Elakkan makanan yang bergoreng dan gatal (terutamanya telur). 
     
  6. Kata orang tua-tua, jangan dedahkan anak-anak yang dijangkiti demam campak terkena hujan. Dikhuatiri akan meninggalkan parut yang besar. 
     
  7. Sapukan calamine lotion agar anak-anak berasa sejuk dan kurang rasa gatal. 

***

Monday, September 28, 2015

Muzium Negeri Terengganu

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Kami ni kan, kalau sampai di Marang, memang tak tahu apa nak dibuat. Encik hubby tak de kawan di Marang... Kalau kami balik ke Cerul, memang dari pagi sampai ke petang encik hubby bawa jumpa kawan-kawan dia. So, bila tak de nak jumpa siapa-siapa, kami pergi la melawat tempat-tempat menarik berhampiran.

Sehari sebelum Raya Aidiladha, encik hubby bawa kami pergi Muzium Negeri Terengganu... Faris dan Alisya la seronok sangat... Alisya walaupun demam layankan juga pergi berjalan-jalan. Cuma kadang-kadang dia minta didukung sebab dah penat berjalan.

Sebenarnya masa cuti macam nilah ramai orang ambil peluang untuk "Cuti-cuti Malaysia". Maklumlah hari biasa-biasa susah juga nak cutikan... Nak-nak kerja macam encik hubby saya yang kadang-kadang cuti kena beku disebabkan ada event besar melibatkan menteri.

Oh ya... kalau dah nama pun melawat muzium, mestilah tengok hasil-hasil tinggalan sejarah. Yang tak boleh nak layan tu bila Faris asyik la tanya macam-macam soalan pelik. Mama dia ni kalau tak sakit gigi, boleh la melayan. Ni nak layankan sakit gigi, layan soalan cepu mas lagi.. Aduhai! Mencabar betul rasanya... (T_T)


Saya: Faris ni la Batu Bersurat...

Faris: Batu Bersurat tu apa?!

Saya: Ni tengok... tulisan Jawi paling awal ni... Orang dulu tulis atas batu...

Faris: Kenapa susah-susah tulis atas batu?! Kertaskan ada mama... 

Saya: Dulu mana ada kertas... (*tepuk dahi*)

* * * * *

Faris: Macam mana pedang Jepun boleh ada kat kampung abah...?

Saya: Ye la dulu kita ni DIJAJAH orang Jepun... orang dulu-dulu mana ada pakai senapang hebat-hebat... pakai pedang je...

Faris: Kenapa Jepun GAJAHKAN kita?!

Saya: GAJAH apa pulak... JAJAHLAH... Jajah tu orang Jepun nak perintah tempat kita... (saya elak guna perkataan "takluk", kang lagi macam-macam dia tanya...)

Faris: MAJALAH?! Ooo, ambil gambar semua pedang ni masuk majalah... (T_T) Aduhai Faris... mama ni sakit gigi tau! Soalan-soalan lepas tu saya diamkan aja... Makin banyak di jawab, makin banyak soalannya... Kalau tak sakit gigi saya layankan je... Ni sebab sakit pun tak dapat nak tahan...

* * * * *

Bila tanya Faris dan Alisya apa yang paling best dekat muzium tu, kata mereka... Tempat yang paling best adalah di bahagian luar muzium. Di bahagian luar tu ada kolam ikan koi. Punyalah banyak ikan koi dalam tu... Ada pula jual makanan ikan... kami pun pakat beli dan bagi ikan makan... Seronoknya la Faris dan Alisya bila tengok ikan-ikan melompat dan berebut makanan. 

Anak-anakkan, aktiviti macam ni la mereka suka buat... kalau baca dan tengok barang-barang lama dalam muzium tu bukannya mereka faham pun...


Kepada mereka yang ingin melawat Muzium Negeri Terengganu, ini sedikit info tentangnya:

TIKET:
Kanak-kanak (7-15 tahun) - RM 2.00 (bawah 7 tahun percuma)
Dewasa (16 tahun ke atas) - RM 5.00

WAKTU OPERASI:
Sabtu - Khamis - 9.00 pagi - 5.00 petang
Jumaat - 9.00 pagi - 12.00 tengah hari, dibuka semula jam 3.00 - 5.00 petang


Nota kaki: Lepas ke Muzium dan bagi ikan makan, kami terus ke Pantai Batu Buruk... Nanti saya buat entri lain...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...