Showing posts with label persembahan. Show all posts
Showing posts with label persembahan. Show all posts

Saturday, August 11, 2012

Persembahan sana sini sinun

Beberapa persembahan dipenuhi sepanjang Jun dan Julai. Di antaranya penampilan di Malaysia Hari Ini(MHI) TV3 pada penghujung Jun. (Kali terakhir kami di MHI pada tahun 2008)
Seminggu selepas itu kami terlibat dengan Malam Puisi Riong Edisi Khas sempena sambutan ulang tahun ke-55 Berita Harian di Tasik Titiwangsa.
Kemudian kami juga dijemput untuk memeriahkan pertandingan lagu jalanan anjuran Roketkini di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) yang mana kami bermain di sebelah petang.

Saturday, May 21, 2011

A Map of Trengganu

Awang Goneng melancarkan buku terbarunya,A Map of Trengganu iaitu sambungan kepada Growing Up in Trengganu. Sebuah buku yang sarat dengan kisah masa lampau negeri pantai timur itu di samping catatan kisah hidup penulis sendiri.
Baca catatan penulis di sini .
Kami juga dijemput untuk memeriahkan majlis pelancaran tersebut yang diadakan di RA Fine Arts yang baru berpindah ke Solaris Dutamas,Jalan Duta.

Sunday, February 27, 2011

Readings from Readings


Cerita lanjut tentang Resonant Rhythm (kolaborasi bersama Apple Hill) akan diceritakan nanti.
Buat sementara, kami akan bercerita tentang persembahan di pelancaran buku Readings from Readings ,sebuah antologi tulisan ramai penulis yang diselenggara oleh Sharon Bakar dan Bernice Chauly. Lebih lanjut tentang buku tersebut boleh dibaca di blog Sharon.
Kami pernah bermain di program Readings kelolaan Sharon pada tahun 2008 ,ketika kami baru sahaja mengeluarkan CD pertama kami iaitu Mabok Kepayang. Perkenalan dengan Sharon Bakar pula ketika kami mengadakan persembahan di PDDP sempena pesta buku pada tahun yang sama (program naungan Raja Ahmad daripada RA Fine Arts).
Bercerita berkenaan program malam tadi (Jumaat, 25 Feb 2011),itu adalah penampilan pertama kami di Black Box,MAP, Solaris Dutamas. Kami bermain tiga lagu di pembukaan majlis. Kemudian diikuti dengan pembacaan karya oleh penulis-penulis yang terlibat di dalam buku tersebut. The Panda Head Curry juga menyerikan majlis dengan lagu-lagu mereka.
Penghujung acara ketika jam sudah menghampiri 12 tengah malam, kami menutup acara dengan memainkan dua lagi lagu .Lagu pertama hanya improvisasi yang rasanya menjangkau sepuluh minit(kami harap ada yang merakam improvisasi ini kerana semuanya adalah spontan) dan diakhiri dengan lagu Joget Johor Sport Club.
Seperkara lagi,sesuatu yang jarang berlaku bila kami hanya muncul bertiga malam tadi disebabkan tiga ahli lagi terikat dengan komitmen lain.
Tahniah kepada Sharon Bakar, Bernice Chauly dan penulis-penulis yang terlibat di dalam buku ini.

Wednesday, February 02, 2011

Resonant Rhythm- Dewangga Sakti & Apple Hill Showcase


Masuk percuma!
9 Feb 2011, Rabu, 8:30malam
Tempat: The Actors Studio @ Lot 10, Roof Top,Level 8, Lot 10 Shopping Centre, KL
Tempah tiket anda di ahds2011@gmail.com (Nyatakan nama & berapa tempahan tiket)
MASUK PERCUMA! Tiket terhad ! 198 tempat duduk sahaja!
APPLE HILL merupakan sebuah kuartet klasikal dari US & persembahan ini mendapat dokongan daripada Kedutaan Amerika Syarikat.
Berkenaan Apple Hill di sini

Saturday, January 08, 2011

2011

Selamat tahun baru semua.

Beberapa persembahan awam sudah dirancang pada tahun ini ,dimulai dengan yang pertama pada 23 Januari bertempat di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC ) untuk program hari terbuka mereka di Sentul. Program mereka bermula 10 pagi sehingga 7 malam dan kami akan bermain di lobi pada jam 1:30 tengahari. Masuk adalah percuma. Banyak persembahan lain di beberapa pentas di situ.
Bulan Februari dan Mac juga kami terlibat dengan dua persembahan awam yang akan kami maklumkan nanti.

Tuesday, July 27, 2010

Meniti Zaman


Setelah empat bulan,akhirnya kami dapat mengadakan persembahan dengan kesemua ahli hadir. Yang ditunggu dan dirindu,ahli termuda yang dipaksa berhijrah ke Kuantan akhirnya pulang mengadakan persembahan.

Minggu lepas ,kami dijemput mengadakan persembahan sempena pelancaran buku karya Tan Sri Ramli Ngah Talib,bekas MB Perak. Buku tersebut merupakan catatan tentang hidupnya sejak kecil yang ditulis dengan agak terperinci dan menarik. Banyak catatan tentang sejarah Perak dan sudah tentunya Pasir Salak yang menyimpan banyak sejarah tanahair dengan perjuangan Dato' Maharajalela dan Dato' Sagor. Dato' Sagor merupakan moyang daripada sebelah bapa beliau dan sudah tentu catatan sebegini dinanti-nantikan kerana seperti yang kita tahu tidak ramai tokoh Malaysia yang menulis tentang riwayat hidup mereka. Jika ada pun,tulisannya terlalu umum.

Banyak cerita tentang kisah silam masyarakat Melayu ketika zaman Jepun dan Inggeris diceritakan. Cerita-cerita di kampung yang sudah pasti hanya menjadi nostalgia pada masa sekarang.

Buku ini diterbitkan oleh RA Fine Arts dan mengandungi 319 mukasurat dan sudah mula dijual. Ia dilancarkan di Bilik Kuala Lumpur,PDDP.

Tuesday, June 15, 2010

PDDP lagi


Hujung minggu lepas,kami terlibat membuat persembahan di majlis konvokesyen KLMU (Universiti Metropolitan Kuala Lumpur --dahulu dikenali sebagai Kolej Teknologi Cosmopoint) di PDDP. Ini kali kelima kami mengiringi graduan KLMU menerima skrol mereka dan kali ini jumlah graduannya paling banyak seramai 1700 orang. Kali pertama kami terlibat pada tahun 2005 dan terus menerus setiap tahun selepas itu pada tahun 2006,2008,2009 dan kini 2010 (tahun 2007 ditukar tahun 2008).
Masih jelas di ingatan pada tahun 2005 ,majlis ini diadakan di Dewan CAC,UIAM. Tahun selepasnya juga di situ. Selepas itu di Dewan MCA ,Jalan Ampang. Dua tahun terakhir ini diadakan di dewan PDDP.
Kali pertama kami terlibat bergandingan bersama gamelan UIA. Begitu juga di tahun kedua. Tahun seterusnya hanya kami sahaja yang mengiringi keseluruhan graduan. Jika diteliti komposisi ahli,hanya dua orang sahaja yang kekal bermain sejak 2005,menunjukkan perubahan anggota sejak 2005.
Begitu lama masa sudah berlalu.
Untuk edisi kali ini,dua ahli terikat dengan komitmen lain menyebabkan mereka tidak dapat menyertai kami. Maka seorang ahli undangan dipanggil menyertai kami. Zan yang merupakan teman kami dijemput untuk bermain bass untuk majlis ini. Zan yang kebiasaannya bermain di kumpulan-kumpulan batu sekitar KL menyahut cabaran untuk bermain muzik tradisional.
Terima kasih juga kami ucapkan kepada Azrul dan seluruh warga kerja KLMU yang menjemput kami .

* PDDP- Pusat Dagangan Dunia Putra

Friday, April 23, 2010

PADAT

Aktiviti kami pada tahun ini baru sahaja menemui titik mula yang aktif. Sunyi daripada persembahan di awal tahun ,kami sudah mula bergerak semula meski tidak lah terlalu aktif seperti kumpulan lain.
Baru-baru ini kami menyerikan persembahan di pameran solo kedua Sasterawan Negara,Datuk Dr A Samad Said di Balai Seni Lukis Negara. Pameran bertajuk 'Kata Luhur' itu memuatkan lakaran dan lukisan Pak Samad yang akan dipamerkan di sana selama sebulan. Turut membuat persembahan yg juga sempena hari lahir Pak Samad itu adalah Meor Yusof Azidin, Taheera,Rahmat Haron,Rahimidin Zahari dan Space Gambus Experiment.
Dua hari lepas, kami terlibat membuat persembahan selingan di pertandingan akhir debat sekolah-sekolah Malaysia yang berlangsung di kampus lama kami di Gombak. Ini kali ketiga kami terlibat untuk acara yang sama.
Rakaman album pula sudah disambung semula beberapa minggu lepas di UK Perdana.
Sementara itu,kami juga terlibat dengan pelancaran dan perasmian Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) yang akan berlangsung di Stadium Malawati,Shah Alam pada 5 Mei jam 8 malam. Majlis ini akan disempurnakan Tuanku Sultan Selangor dan masuk adalah percuma.
Kami dijemput oleh budayawan ,Dr Siti Zainon yang secara berjenaka memanggil kami dari Kesultanan Gombak. Baca catatan beliau di sini.
Pementasan ini bertajuk 'Mestika Hati' yang disusun di dalam bentuk teater oleh Abg Ladin Nuawi dan memakan masa selama 30-35 minit. Kumpulan lain yang terlibat di dalam Mestika Hati -Dendang Anak, Kanak-kanak Bingkas Kebayan, Kumpulan Keroncong Arif Lukisan,Kertung Orang Asli Batu 12 Gombak, Kumpulan Cempuling, Kompang,Gondang 9 dan lain-lain lagi.
Lagu tema Mestika Hati pula dicipta oleh Adinda Amiro.
Moga-moga tahun ini perjalanan kami makin bersemarak dan terus konsisten.
Salam hormat.
Catatan Jln Gombak: Kami ingin mengucapkan selamat bertugas kpd ahli termuda kami yang memulakan tugas di Kuantan pada bulan ini

Thursday, December 24, 2009

Sepang GoldCoast







Baru-baru ini kami ke Sepang GoldCoast untuk menghadiri pelancaran logo Selangor Shines anjuran Tourism Selangor untuk promosi pelancongan di negeri Selangor. Majlis dirasmikan oleh YB Elizabeth Wong. Persembahan selepas perasmian ketika tetamu semua menikmati juadah tengahari.
Resort ini (Eh boleh panggil resort kah?) terletak di Bagan Lalang di dalam daerah Sepang. Pertama kali juga kami mendengar nama ini. Sepang Goldcoast amat menarik,(masih di dalam pembinaan)cuma pantainya berselut dan sukar mahu dipastikan adakah ia sesuai untuk mandi-manda. Kebetulan tengahari itu, air surut dan setelah selesai persembahan dan menikmati steambot hidangan tengahari, kami ke pantai di dalam keadaan cuaca yang amat terik. Seorang ahli hampir terjatuh ke dalam lumpur ketika kami ingin mengambil gambar (perhatikan kesan tapak kaki di dalam lumpur).
Kehadiran hanya tiga orang dengan seorang pemain akordion jemputan, Lan. Pagi-pagi lagi kami sudah bertolak dengan jarak perjalanan yang amat jauh. Perjalanan seperti ingin ke KLIA dan kami termasuk jalan-jalan kampung yang mengelirukan.
Setelah selesai semuanya ,di dalam perjalanan pulang kami sempat singgah minum petang di sebuah kawasan baru di sebuah kampung yang kami pun tidak pasti.
Apa-apa pun,ini satu pengalaman baru ke Sepang. Perjalanan yang jauh tetapi menyeronokkan dengan melihat kawasan-kawasan yang masih terpelihara alam sekitarnya di samping melihat papantanda projek perumahan yang murah. (Abdul Raof sudah bercadang membeli rumah di Sepang dan bekerja di KLIA selepas ini)
--Terima kasih kepada Amri di atas jemputan ini

Tuesday, December 22, 2009

XMedia Lab,Kungfu Panda & Pullman






Sekitar persembahan makan malam di konferen animasi antarabangsa anjuran XMedia Lab yang diadakan di Pullman Lakeside Resort,Putrajaya dua minggu lepas. Antara yg hadir adalah John Wayne Stevenson, salah seorang daripada dua orang pengarah filem Kungfu Panda.
(Foto terakhir-bersama John yang berbaju putih)


Monday, November 23, 2009

MuKIM

Jumaat lepas, kami memeriahkan sesi minum petang Konferen Kesusasteraan Asia Pasifik yang berlangsung di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MuKIM) atau lebih dikenali sebagai Islamic Arts Museum Malaysia(IAMM). Persembahan ringkas selama tiga puluh minit diikuti sesi bacaan puisi daripada peserta antaranya dari Iran, Malaysia dan negara-negara lain.
Wahyun dan Raof juga kemudiannya mengiringi sesi impromptu gerak tari Dr Zulkifli.
Sesi juga dihadiri oleh bekas Rektor UIAM, Prof Kamal Hassan yang turut membaca puisi dipetik daripada terjemahan puisi Iqbal.

*Terima kasih kepada Dr Faridah dan Alumni UIAM kerana menjemput kami membuat persembahan sempena majlis tersebut

Thursday, September 03, 2009

Jayaputra

"Kau ada bawa duit?",Abdul Raof bertanya.
Aku mengangguk seraya menghulurkan duit RM1.60 untuk membayar tol di Mines.
"Aku lupa bawa dompet",kata Abdul Raof. Ini bermakna hari ini dia menjadi orang tak bernegara. Segala MyKad,Lesen memandu semua tak ada. Jika dijumpai mata-mata ,pasti akan dicukai.
Hari itu kami tiba agak lewat kerana jalan amat sesak. Semua orang berpusu-pusu keluar untuk pulang berbuka. Huja pula lebat menambahkan lagi kesesakan. Kami tiba jam 7:10 malam setelah dua jam perjalanan.
Tiga lagi ahli juga sudah sampai. Seorang ahli lagi tidak dapat hadir. Sistem bunyi sudah tersedia.
Sebelum itu, anggota termuda menelefon memberitahu menteri sudah ada. Malah bukan sahaja menteri ,Misbun ,Jalani dan Razif Sidek juga ada di situ. Hattan juga ada. Eh! Apa dia buat dekat sini?
Kami segera ke gerai-gerai yang menyediakan juadah berbuka. Air hujan menjadi perisa tambahan kepada makanan dan minuman kami. Selepas solat, kami membuat persembahan dan berhenti beberapa kali untuk memberi laluan kepada penganjur membuat pengumuman dan solat isyak. Kami tamat sepenuhnya pada jam 9:40malam.
Ini pertama kali kami bermain di Kompleks Kerajaan di sini. Tatkala sampai ke sini, kami seperti sampai ke sebuah negara lain. Bentuk bangunan yang asing dengan nama kawasan berbahasa Inggeris. Ada suatu kawasan itu kami rasakan seolah-olah berada di dalam filem alien.
Setelah tamat dan menghabiskan masa di kedai sekitar Mydin, kami pulang. Di pertengahan jalan keluar daripada kota ini, ada sekatan jalan raya. Mujurlah tidak diperiksa lesen atau MyKad Abdul Raof. Jika tidak,nampaknya kereta beliau akan dipandu makhluk asing dan dibawa ke balai. (Mungkin mereka terpedaya melihat raut wajah bersih Pak Abdul memakai kemas Baju Melayu )


Monday, August 24, 2009

Hanyut di Sungai Pahang


"Abg rasa ahli-ahli politik ni berhenti berpolitik sekejap. Suruh mereka main muzik pulak. Anwar ada band, Nik Aziz pun ada band", begitu kata Roslan Madun ketika kami berbual disambut deraian ketawa oleh ahli kumpulan.
Ketika itu,kami baru habis mengadakan latihan bersama beliau untuk sebuah persembahan keesokan harinya. Mungkin sosok tubuhnya kita tak begitu kenali, tetapi lagu-lagu dendangannya banyak menjadi topik perbincangan dan kajian seperti Lemak Manis, Menghilir di Sungai Pahang, Tebang Tebu, Burung kenek-kenek, Wau wau pepeh dan banyak lagi. Banyak lagu-lagu ini hasil gubahannya bersama seorang lagi pengkaji muzik rakyat Pahang , Ariffin Said.
Bermula tiga puluh tahun lalu, beliau hanya suka-suka mengikut Ariffin Said. Daripada suka-suka menambahkan minat yang amat mendalam kepada beliau.
Kami sedang seronok berbual tiba-tiba Abdul Raof bertanya, " Bang, esok pakai baju apa? "
(Cis! potong stim betul lah Pak Abdul ni!)
Soalan tidak dijawab. Kami meneruskan perbualan.
"Lagu-lagu rakyat ni tak boleh terlalu sempurna. Dia mesti ada kotor sikit-sikit " , tambah beliau memberitahu inspirasi dan seterusnya proses pengumpulan lagu-lagu di dalam album beliau. Lagu-lagu rakyat ini diambil di merata tempat di Pahang. Ada juga hasil asli gubahannya sendiri. Pencipta lagu rakyat dahulukala adalah penglipur lara yang mahir pelbagai perkara. Setelah penat bercerita,mereka akan bergurindam,berpantun, menyanyi dan juga perkara-perkara lain.
Beliau juga memberitahu proses mencari lagu juga amat sukar kerana ada lagu-lagu yang tidak diingati lagi oleh orang-orang tua yang beliau temui. Maksudnya ada yang tidak lengkap. Proses dokumentasi tidak ada,hanya melalui tradisi lisan.
Sebelum itu kami sempat berlatih tiga lagu bersama beliau - Lemak Manis, Indung indung dan Menghilir Sungai Pahang. Lemak Manis kami biasa mainkan. Dua lagu lagi itu hanya dimainkan ketika latihan bersama beliau. Ternyata suaranya amat memukau dan alatan muzik menjadi sampingan sahaja.
Keesokan harinya kami memeriahkan acara pelancaran filem terbaru U-Wei Hj Shaari bertajuk Hanyut (berdasarkan novel Joseph Conrad - Almayer's Folly) di sebuah restoran di Jalan Aman, Restoran Basil Leaves. Selesai pelancaran, kami mengiringi Roslan Madun dengan dua buah lagu .Dimulai dengan Indung indung dan diikuti Menghilir di Sungai Pahang yang menyaksikan Duta Poland berdansa bersama-sama beberapa tetamu lain.
Kami meneruskan acara selepas itu memainkan lagu-lagu lain sambil tetamu menjamu selera.
(Dengar lagu Roslan Madun di sini )
Kredit gambar - Kakiempat (Facebook)

Wednesday, August 19, 2009

Instant Cafe

Sabtu lepas, kami hadir memeriahkan acara pembukaan Instant Cafe House of Arts and Ideas (CHAI) di Jalan Templer, PJ. Sudah agak lama tidak ke sana melalui Jalan Gasing ,tempat beberapa ahli pernah jamming di sana belasan tahun lepas (Studio Black Widow).
Tidak sukar mencari lokasi tetapi ahli termuda dengan penuh keyakinan telah tersalah arah ke Seksyen 14 dan tertinggal persembahan (ha ha).
Baca tentang CHAI di blog Sharon Bakar di sini
(Sayangnya,kami gagal membawa kamera!)

Wednesday, August 12, 2009

Konsert Opick di UIA










Opick membuat penampilan pertama di Malaysia dengan mengadakan konsert berskala sederhana di UIA minggu lepas. Walaupun sederhana, sambutannya amat menggalakkan dengan auditorium penuh. Program pada asalnya dijadualkan di dewan lebih besar tetapi ditukar saat-saat akhir kerana PM Najib mempunyai program di UIA.
Kebetulan pula persembahan beliau di malam Nisfu Syaaban ,malam jumaat. Malam penuh barokah.
Inisiatif AIKOL (Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws,UIAM) amat dialu-alukan dengan memanggil Opick (dari Indonesia) yang amat terkenal dengan lagu-lagu kerohanian (dia menyebutnya sebagai religi) atau boleh sahaja kita gelarkan nasyid tetapi di dalam konteks yang berbeza daripada Malaysia. Di saat nasyid di Malaysia sudah memasukkan pelabagai elemen yang sukar membezakan lagu nasyid dengan rentak R n B atau pop, lagu-lagu Opick amat bersahaja dan kedengaran cukup ikhlas. Vokalnya amat baik dan jika sahaja muzik tiada, vokalnya sahaja sudah amat kuat menarik khalayak.
Lagu-lagu sepertti Assalamualaikum (boleh tonton di sini ), Sedekah (di sini) atau Ketika Cinta Memanggil (yang menjadi lagu tema filem Perempuan Berkalong Sorba -juga dinyanyikan semula oleh Siti Nurhaliza) menjadi amat menyentuh perasaan. Opick juga bijak berkomunikasi dengan penonton dengan mengajak mereka berselawat dan menyanyi bersama.
Di majlis yang sama, kami juga diundang untuk memeriahkan malam tersebut dengan persembahan pembukaan . Majlis juga diserikan dengan Poetry Club,UIAM dan kumpulan Devotees.
(Terima kasih kepada seluruh AJK, Dr Iqbal dan AIKOL yang mengundang kami)

Wednesday, August 05, 2009

Opick

Opick (dari Indonesia) akan mengadakan persembahan esklusif di auditorium, UIA pada hari Khamis , 6 Ogos 2009, 9 malam. ( Dengar lagu Opick di sini )
Dewangga Sakti akan membuat persembahan pembukaan . Selain itu ,pemantun UIA Azree Ariffin juga akan membuat persembahan.
Tiket masuk RM15.
Maklumat lanjut ,sila berhubung dengan pejabat Kuliyyah Undang-Undang UIA (AIKOL) 03-6196 4282.

Monday, July 27, 2009

Frinjan 4.0

Frinjan 4.0 telah berlangsung dengan meriahnya di Dataran Shah Alam . (Lawati laman web Frinjan di sini)
Kami memeriahkan acara dengan empat buah lagu sebelum Jayzuan dan kemudian Mysticus menutup acara ini dengan penuh bergaya. Ketika kami selesai memulakan intro,jam sudah menunjukkan tepat jam 12 tengah malam.
Rasanya inilah pengunjung paling ramai setakat ini. Semoga program ini terus mendapat sokongan ramai. Tahniah kepada penggerak Frinjan seperti Zulhabri , Alina dan ramai lagi yang bertungkus lumus menjayakan program sebegini .
Kredit gambar: Diambil daripada facebook (Hariz Ruslan)

Monday, June 15, 2009

Shah Alam Shah

Sehari selepas showcase MASKARA, kami memeriahkan acara 'Warna' di Laman Budaya, Shah Alam di atas jemputan Zulfahmee daripada MBSA. Acara bermula jam 5 petang dan tamat dua jam kemudian. Di antara persembahan yang dapat disaksikan adalah kombo Majlis Perbandaran Klang (MPK), Faris (bekas gitaris Melissa) dan beberapa nama yang lain. Kami mengakhiri program tersebut dengan memainkan lima lagu.
Seminggu sebelum itu, kami juga ke Dataran Jam, Shah Alam untuk program Pekan Frinjan yang sudah memasuki edisi kedua.

Monday, June 08, 2009

MASKARA




Sabtu lepas telah berlangsung showcase Dewangga Sakti di program Maskara anjuran Sindiket Soljah di Rumah Pena. Kami akan menulis nanti.
Untuk sementara,baca ulasan para blogger ini dahulu. Terima kasih kepada yang hadir.

Birungu

Alkisahnyalah

Belogbaruaku

1November

Sinaganaga

Budakhijaugilew

psittacula

Lagakepala

Abgpit

Deansham

Kredit Foto: 1 dan 2 - 1November
Foto :3 -Firdaus

Friday, May 29, 2009

Showcase Dewangga Sakti di MASKARA 6 Jun

Tarikh: 6 Jun 2009
Sabtu
8:30malam
Tempat: Rumah Pena, Jalan DBP,KL
Datang beramai-ramai. Masuk percuma!