Showing posts with label EP. Show all posts
Showing posts with label EP. Show all posts

Tuesday, August 12, 2008

Proses rakaman CD-bahagian satu

Spyz di dalam bahagian komen menanyakan tentang pembikinan Cd Mabok Kepayang. Ada telah ditulis sebelum ini di label Dewangga Sakti dalam studio. Kali ini aku akan cuba tulis daripada sudut dan perasaan yang berbeza.
Kita cuba melihat kepada tajuk dan huraikan beberapa persoalan yang mungkin akan ditanya. Ada yang berpendapat lagu-lagu kami bukan seperti lagu tradisional biasa.Kami akui kerana kami sedang bereksperimen dengan memasukkan stail dan rentak muzik tradisional yang biasa kami mainkan seperti inang,joget, dan sedikit pengaruh keroncong (Kembali Menchari).Banyak lagi lagu yang akan didasarkan kepada rentak muzik lain seperti asli,zapin dan stail yang kami fikir sesuai. Muzik kita juga banyak mengambil pelbagai pengaruh dan telah mengalami proses asimilisasi ke dalam apa yang kita panggil muzik Melayu. Seperti kata Sinaganaga, muzik kita 'cross-over' sifatnya.Kita menyerap pengaruh-pengaruh ini dan menjadikannya bersifat Melayu (yang tidak terdapat di tempat lain).Misalnya joget ada pengaruh Portugis.Jika diteliti lagu-lagu inang seperti mempunyai persamaan dengan muzik China.Begitu juga zapin yang awalnya dibawa dan dikembangkan pedagang Arab.Dalam contoh ini,flamenco (di Sepanyol) berkembang menjadi seni yang bersifat Sepanyol dan tidak sama dengan pengaruh asalnya bila diperkenalkan oleh Orang Arab ketika zaman Andalusia.
Berbalik kepada cerita asal.
Kita lihat tajuk-tajuknya dulu. Tajuk-tajuk ini kami tidak rancang asalnya.Dia datang dengan sendiri.
1)Prelude - ini adalah duet di antara gambus dan violin .Bahagian keyboard di belakang instrumen ini digunakan untuk menjadikannya lebih atmosferik.Asalnya Prelude ini merupakan takseem (improvisasi) untuk lagu Selembar kaseh.Memandangkan terlalu panjang,ia dipisahkan tetapi menggunakan skala yang sama. Kiranya Prelude ini adalah permulaan kepada Selembar Kaseh dan mesti bersatu di dalam persembahan.Asalnya Prelude ini hanya gambus sahaja dan setelah Norman menyertai kumpulan, violin disatukan dengan gambus. Kami agak gembira kerana sejak penubuhan menjadi keinginan kami ingin berkolaborasi dengan violin dan akhirnya seorang penyelamat tiba pada tahun 2006.Dia sudah muncul pada tahun 2005 tetapi agak malu-malu.
2)Selembar Kaseh- lagu ini asalnya dimain menggunakan tabla (dimainkan oleh bekas anggota kumpulan -Azmi) dan senikatanya berkisarkan tentang ibu. Sekali dengar mungkin tak dapat tangkap,jadi kena dengar sehingga akhir lagu. Dibuat awal tahun 2006.Tiada penambahan dan dimainkan seperti pertama kali dibuat kecuali penggunaan perkusi.
3)Belayar ke Pulau Jauh (Untuk Mencipta Rekod dunia)- Asalnya hanya line bass dan violin ditambah gendang sunda. Itu ketika kami berlatih di sebuah studio di Sri Gombak awal April 2007 sebelum kami ke Chengdu,China.Kemudian aku membuat 'la la la' di improvisasi bass dan violin tersebut. Lagu itu tidak siap sehingga bulan Ogos(tahun yang sama). Ketika di Chengdu, la la la di verse kedua muncul.Pertama kali dimainkan di Alliance Francaise ,lagu ini masih belum siap sepenuhnya.Cuma la la la itu yang ditekankan. Pertama kali dirakam pun masih ada yang tertinggal.Improvisasi gitar solo di tengah dilakukan beberapa bulan selepas rakaman pertama dilakukan dan 'la la la' dinyanyikan beramai-ramai secara tidak seimbang untuk menerangkan kemeriahan dan kegembiraan akhirnya.
Tajuk pula asalnya hanya Belayar. Kemudian aku melakarkan cerita ke dalam bentuk tulisan (boleh rujuk entri pada tahun lepas) .Kemudian tajuk menjadi Belayar ke Pulau Jauh. Selepas itu muktamad menjadi Belayar ke Pulau Jauh (untuk mencipta rekod dunia). Ada watak anak-anak kapal,nahkoda,serangan jerung,pari-pari dan elemen magis di dalam story line lagu ini.Lagu ini menjadi lagu wajib kami di setiap persembahan.Amat jarang kami tidak memainkan lagu ini.
4) Kembali Menchari
Ini lagu lama pada tahun 2001. Di antara lagu-lagu awal Dewangga Sakti. Asal tajuk Jalan Kembali.Disesuaikan semula setelah senikata baru dibuat pada tahun 2006. Lagu ini mengalami transformasi yang banyak kerana asalnya dimainkan bersama-sama alatan gamelan. Di latihan dan rakaman yang awal(demo),ada gitar solo di permulaan lagu.
5) Tertinggal Kapal Angkasa
Lagu ini dibuat penghujung 2007 dengan penekanan asalnya kepada akordian. Irwan yang baru membeli akordian (dan cuba-cuba bermain) telah melakukan improvisasi di satu sesi latihan hujung minggu. Asal tajuknya Joget Spanco Angkasa. Kenapa jadi spanco? Ini adalah kata-kata yang keluar daripada mulut badut kumpulan. Kononnya spanish + flamenco = spanco! Dirakam secara 'guide track' dulu oleh gambus,violin dan darbuka. Setelah itu, satu storyline juga dibuat untuk menyenangkan lagu ini kerana ianya instrumental.Watak Pak Abdul dicipta. Dan latarnya masa hadapan.
Watak-watak yang kami cipta ini imajinasi kami. Kami mahu bila kita mendengar boleh datang perasaan gembira,sedih dan adakalanya bergelak ketawa mengetahui tajuk dan ceritanya. Ada di antara watak-watak ini kami akan bawa ke lagu-lagu yang seterusnya (album penuh nanti). :)
Nanti kami akan bercerita tentang proses merakam Cd ini di Studio Purple Sound pula.
Mungkin pendengar-pendengar ada idea lain tentang lagu-lagu ini?

Wednesday, July 02, 2008

Gadis cantek berkebaya biru di tepi tasik tersipu-sipu

Ada seorang teman lama menghantar sms menanyakan perihal kulit album. Dia bertanya adakah artis sensasi Malaya menjadi cover CD tersebut. Setelah aku berkata bahawa ianya bukan ,dia bertanya lagi siapakah model yang muncul di kulit album tersebut. Kalau bukan model tersebut,mungkin adiknya.
Eloklah aku rungkaikan misteri kulit album tersebut. Nama model yang disebut itu adalah Nur Suhaila Wagiman.Lulusan sebuah universiti luar negara dan sekarang menjadi model sambilan merangkap peguam di sebuah firma di Jalan Yap Kwan Seng. Berdarah kacukan.Ibu orang Melayu dan ayahnya orang Belanda.
Sebelum kamu jatuh hati (wahai sahabatku),ketahuilah bahawa gadis itu adalah manipulasi lukisan digital melalui sketch yang dibuat oleh saudara Apogee yang amat cemerlang. Lawati blog beliau di sini
Jadi dengan penjelasan ini,jangan kaitkan lagi Abg Syam dengan gosip ini. Mungkin benar dia jujur tetapi artis sensasi itu tidak pernah diminatinya. Bukankah dia sudah berkahwin serta punya anak yang comel dan mengusahakan kafe yang semakin menjadi tumpuan?
Oh! Ada lagi ulasan tentang CD di blog Krenmaut di sini dan blog Anuar di sini
Nota akhir daripada Penerbitan Lewat Senja: Belilah CD Dewangga Sakti dan warwarkan ke seluruh alam!sila rujuk ke notis di sebelah kiri!

Monday, June 09, 2008

T shirt Dewangga Sakti

Cetakan pertama t shirt Dewangga Sakti sempena EP
Model : Wah Yun Kua


Harga : RM25.00 (untuk penghantaran sila tambah RM5.00)


Pesanan melebihi lima helai akan diberikan diskaun ekslusif.


Design yang lain akan muncul selepas ini.

Friday, June 06, 2008

Mabok Kepayang CD

Album Title: Mabok Kepayang
Band: Dewangga Sakti
Genre: Traditional/Ethnic/Malay Folk/Experimental
Publisher : Penerbitan Lewat Senja
Price: RM15 (pls add RM3 for Pos Ekspress)
Release Date: 9 June 2008 (Malaysia)

(Singapore 7 June 2008)



CDs will be distributed through mail order (Pos Express), selected online shops, selected music stores and during live performance all over Malaysia (if possible!)
Online download will be available later
Official distribution label will be announced later upon negotiation and blood-drinking ceremony. You can also pre-order the CD from band members by sms these numbers :-

Zulkifli (KLCC,Taman Melati,Gombak,Karak,tengkorak)-013 207 8407
Mohsen (Cheras,UK Perdana) - 013 388 9214
Syamsulfaiz ( Klang Gate, Selera Makan Benjamin, Jln Yap Kwan Seng,KLCC)-019 358 6358
Norman Soo(Sentul,Gombak,Aswara,Central Market) - 012 655 9733
Azman (Gombak, Cyberjaya) 019 383 2341
Abdul Raof (Subang, Damansara, Cyberjaya) - 017 202 1097
Delivery within Klang Valley is only applicable to minimum order of 5 Cds ( and above).
Term of payment: Cash (except for registered company with minimum order of 20 copies) ,or cash deposit at Maybank (Account number 164 351 06 882 7 -Mohd Zulkifli bin Ramli)
This CD is specially brought to you by Penerbitan Lewat Senja, a new publishing label specially dedicated to folk/ethnic/new age/experimental music , books and spiritual enlightenment. The label is looking for potential runner/agents and distributors. Feel free to call 013 207 8407 (Director) or our legal advisor 019 358 6358.You can also email your request to penerbitanlewatsenja@gmail.com

Friday, May 09, 2008

Selamat Hari Ibu

Selembar Kasih

Tiada dapat diperbanding
Kasih yang tumpah bagai tiada penghujung
Bagaikan limpahan jernih si air
Mendamaikan ruang hatiku yang sugul
Damainya jiwaku bila disisimu
Rasa gundah berlalu hilang resahku

Di mana mungkin ku nikmati
Belai dan sentuhan lembut selainmu
Betapa indahnya senyummu
Menyapa kalbu tiap detik dan waktu
Alangkah murni ciptamu oh Tuhanku
Kurniakan rahmatmu buat ibuku

Adakah ruang bagiku
Kesempatan membalas jasa baktimu?
Mampukah akal dan kudratku
Mengimbang titisan peluh dan resahmu
Ingin ku bela dirimu oh ibuku
Itulah sumpahku duhai ratuku

Biarpun segunung salahku
Kemaafanmu bak laut tak bertepi
Ku serah jiwa ragaku
Kiranya itu memadai buatmu
Agar terus jiwaku dikalbumu
Agar kasihmu padaku takkan luntur
Moga mereka tahu tinggi nilaimu
Tiada pengganti kasihmu oh ibu


Muzik oleh Zulkifli Ramli ( 2006)

Senikata oleh Mohsen Amdan (2006)

Dimuatkan di dalam EP 'Dewangga Sakti' bertajuk 'Mabok Kepayang' yang akan muncul


Selamat hari Ibu kepada semua ibu dan bakal ibu!

Monday, March 31, 2008

Masanya hampir tiba

Ya! Masanya hampir tiba untuk rakaman Dewangga Sakti menerjah pasaran. Semalam dua buah lagu lagi telah siap dikerjakan di studio Purple Sound. Dua buah lagu itu adalah Belayar ke Pulau Jauh (Untuk Mencipta Rekod Dunia) dan Tertinggal Kapal Angkasa.Dua lagu ini akan diadun (mix) di dalam masa terdekat dan bakal dimuatkan di dalam EP (mini album) bersama dua buah lagu terdahulu yang sudah siap dirakam iaitu Selembar Kaseh dan Kembali Menchari.
EP ini akan diterbitkan dahulu sebelum album penuh muncul selepas itu. Target kami untuk mengeluarkan EP ini pada bulan Mei 2008 iaitu dua tahun tertangguh bermula rakaman separa siap pada tahun 2006(di studio yang lain).
Pada saat ini (jika pihak kesultanan tidak mengubah fikiran),EP akan diberi tajuk Mabok Kepayang
---bersambung

Tuesday, January 08, 2008

Bersantai di studio



Alhamdulillah,berkat kesabaran bangsa ang(ka)sa,mereka telah menghabiskan proses rakaman dua buah lagu yang mula dirakam sejak Ogos tahun lepas.Lagu-lagu ini akan diadun dan kemudian dimasterkan.
Lagu-lagu tersebut adalah Selembar Kaseh yang tempoh durasinya hampir 8 minit tetapi telah dipecahkan kepada dua bahagian.Bahagian pertama hampir dua minit akan menampilkan takseem- gambus dan violin sahaja.Kemudian diikuti dengan lagu penuh.Lagu ini telah dihasilkan dua tahun yang lalu ketika maghrib hampir menjelma.Ketika sibuk memetik gambus,aku meminta Azmi yang kebetulan datang ke rumah untuk memainkan rebana(rentak inang).Tidak lama kemudian,lagu ini diberikan nafas berbeza bila dimainkan dengan tabla (dirakam untuk demo pada tahun 2006) dan akhirnya kembali kepada rebana untuk rakaman sekarang.Mohsen telah melakarkan satu senikata yang menarik untuk lagu ini dengan tema yang amat universal.Pasal apa? Tunggu...
Lagu kedua yang telah siap adalah Kembali Menchari yang telah diilhamkan pada tahun 2001. Lagu yang amat lama dan telah melalui banyak transformasi.Jika tidak silap,ini adalah transformasi (atau reincarnation!ha ha)yang keempat. Aku telah menggubahnya ketika di bilik Mohsen (Mahallat Ali) dan memberikan melodi kepada Iqbar yang pada masa itu menjadi penyanyi utama.Gubahan ini pertama kali menggunakan gamelan (saron,pekin),3 orang pemain angklung,gitar akustik,bass,gendang ibu dan anak dan dipertandingkan untuk satu pertandingan yang kami sertai ketika itu.
Peringkat kedua pada tahun 2003 menggunakan ensemble gamelan yang lebih besar dan anggota seramai hampir 20 orang.Pada tahun 2001 ,kami tidak dapat menggunakan gamelan secara keseluruhan dsebabkan krisis yang melanda anggota-anggotanya.Ada dua kem yang menentang penggunaan gamelan di dalam Dewangga Sakti dan bertindak memburuk-burukkan anggota kumpulan sehingga ada anggota yang menghadapi kemurungan dan hampir bertindak nekad mencuri gamelan(he he).Pada tahun 2006,sekali lagi lagu ini menghadapi transformasi dengan permainan gitar Yaser yang fancy dan berstail Hawaii (demo 2006).Juga amat ketara di dalam rakaman itu adalah penggunaan gendang Sunda yang dimainkan oleh Azmi.
Nah!Sekali lagi lagu ini berubah dengan kemasukan gitaris yang lain iaitu Azman dan ini diabadikan dengan ketara di dalam rakaman terbaru.Nampak ketara penonjolan gitar di dalam lagu ini kerana imajinasi awal adalah penggunaan ukulele atau cuk dan cak.Inilah bentuk yang paling dekat.Sample juga digunakan di dalam lagu ini dan solo yang asalnya gitar telah diubah kepada gambus dan solo akhir ditambah violin.
Pada sesi rakaman sabtu lepas,tiga orang ang(ka)sa telah membuat guide kepada lagu terbaru iaitu Joget Spanco Ang(ka)sa---yang sehingga saat ini tajuk masih belum muktamad!Lagu ini merupakan ciptaan Norman yang membayangkan orang sedang berlari dan kemudian mengejar roket yang akan berlepas ke angkasa lepas.Terdapat nyanyian seperti 'hey','hoi','Along' di dalamnya.
Lagu lain yang dirakam iaitu Belayar ke Pulau Jauh (untuk mencipta rekod dunia) hanya sedikit bahagian lagi perlu diperbaiki.

Tuesday, November 13, 2007

Meneroka ruang (angkasa)

Selamat datang ke angkasa!Kapsul anda akan meletup sebentar nanti.Pastikan anda menukar pakaian bumi anda kepada pakaian yang menyerupai ang(ka)sa!
Anda sudah memasuki titik tanpa jalan keluar! Pastikan anda membawa peralatan secukupnya dan buku untuk anda membaca ketika berjalan-jalan di permukaan planet baru anda!
--------((==@*%#---------
Ketika ramai sedang sibuk menonton tv dan bersantai sambil memikirkan adakah minyak akan naik pada awal tahun hadapan,bangsa angkasa akhirnya berjaya merakamkan trek vokal untuk dua lagu pada hari minggu yang lalu. Dua lagu tersebut adalah Selembar Kaseh (Planetku) dan Kembali Menchari (Bumi).Lagu-lagu ini sudah melalui proses akhir -kemasukan instrumen sudah hampir siap dikerjakan dua bulan lalu. Jika tidak ada aral melintang ,lagu-lagu ini akan diadun(mix) dalam masa terdekat ini bersama sebuah lagi lagu yang sudah 95 peratus siap iaitu Belayar ke Pulau Jauh (untuk mencipta rekod dunia).
Jika kita menonton filem-filem futuristik, makhluk asing digambarkan terlalu serius tetapi bangsa angkasa memenuhi masa mereka di studio PurpleSound dengan penuh lawak jenaka. Keadaan studio yang kecil tidak menyempitkan ruang imajinasi mereka kerana fikiran mereka telah keluar daripada planet bumi. Mereka bergurau senda ,berjenaka seolah-olah studio rakaman itu mereka yang punya!
Nasib baik tuan punya studio, En Arif yang bijaksana dapat memahami lawak mereka. Tidaklah seperti kata orang tua-tua,lawak tidak bagus ketawa sahaja yang lebih!Seperti biasa, raja lawak kumpulan menyumbangkan banyak idea lawak spontan. Peribadinya tidak lawak tetapi situasi yang memerangkapnya begitu.

Wednesday, August 22, 2007

Nuriku terhempas di Janda Baik

Dewangga Sakti sudah memulakan proses rakaman untuk EP mereka yang bakal dinamakan 'Mabok Kepayang' dan akan mengandungi empat buah lagu.EP ini akan diikuti oleh sebuah album penuh pada tahun hadapan.
Rakaman sudah dimulakan di studio PurpleSound milik saudara Ariff Akhir yang juga aktif sebagai singer/songwriter di dalam sirkit muzik indie sekitar ibu kota. Di antara album yang pernah dirakam di studio beliau adalah album penyanyi folk teman baik kami,Meor (Yang terlintas di fikiran), Sohaimi Mior Hassan (album baru -comeback!akan keluar bulan ini) dan banyak lagi lagu artis lain yang tidak popular di arus perdana tetapi mempunyai stail dan citarasa tinggi melebihi ketinggian KLCC.
Lagu yang telah dirakamkan setakat ini adalah Selembar Kaseh dan Belayar ke Pulau Jauh. Lagu ini hanya di peringkat asas dan banyak aspek lagi perlu diambil kira sebelum melalui adunan akhir untuk melepasi kriteria yang ditetapkan pihak kesultanan. Lagu Mabok Kepayang tidak akan dimasukkan ke dalam EP ini.Sebab musababnya akan diberitahu di dalam entri menjelang Merdeka nanti. Hanya semangatnya akan mewarnai keseluruhan penerbitan EP ini.
Dengan ini,semua rakaman pada tahun lepas dilupuskan penerbitannya dan diisytiharkan sebagai unreleased materials (demo).Antara lagu yang dirakam pada tahun lepas adalah Mabok Kepayang, Selembar Kaseh,Kembali Mencari dan lagu klasik Zapin Yaladan. Selain itu terdapat versi demo lagu Malaysia Tanahairku, Sungai Pusu (Suara dari hutan).Mungkin akan dikeluarkan sebagai edisi terhad untuk teman-teman terdekat.
Terkini: EP ini kemungkinan besar akan bertukar kepada LP! Album penuh--kerana kami sudah bosan menunggu! he he