Showing posts with label Alat Tulis. Show all posts
Showing posts with label Alat Tulis. Show all posts

25 March, 2011

Rexel 'Ubat Stap-ler'


Mungkin ramai di antara kita yang sering menggunakan 'stap-ler' sama ada di rumah mahupun di pejabat untuk mengklip kertas, plastik mahupun pulut udang. Tetapi mungkin ramai juga yang belum pernah melihat atau menggunakan 'ubat stap-ler' jenama Rexel ini kerana lazimnya jenama Max buatan Jepun yang sering menjadi pilihan. Sementelahan jenama-jenama buatan China yang semakin berlambak di pasaran juga pastinya menjadi pilihan kerana harganya yang lebih murah.


Sememangnya sudah menjadi kelaziman kepada kita memberikan istilah 'ubat' kepada benda-benda seperti ini umpamanya bateri, peluru dan sebagainya. Mengikut nama sebenarnya di dalam Bahasa Malaysia ialah dawai kokot dan 'stap-ler' yang selalu kita sebut-sebutkan itu ialah pengokot.


Untuk makluman, di tahun 1950-1960-an di waktu belum adanya klip kertas dan dawai kokot ini, kebanyakan pejabat menggunakan jarum peniti untuk mengklip kertas dan dokumen-dokumen mereka.

Ini terbukti dengan kebanyakan dokumen-dokumen lama yang BR miliki dari tahun 1950-an sehinggalah ke tahun 1960-an telah diklip menggunakan jarum peniti dan kesan lubang serta karat jarum peniti tersebut masih kelihatan dengan jelas.


Dawai kokot ini sebenarnya telah lama usianya iaitu dikeluarkan di sekitar tahun 1960-an. Dawai kokot jenama Rexel ini adalah buatan England dan Rexel merupakan satu jenama pengeluar peralatan stationery dan pejabat yang masih popular di England sehingga kini.


Made ini England tu Mak Tam Rahmah... Produk Rexel ini masih lagi berada di pasaran tetapi sudah tentulah wajah baharu yang diberikan terhadap setiap keluarannya.


'Ubat stap-ler' jenama Rexel ini mempunyai beberapa kelebihan seperti yang tercatat di kotaknya iaitu senang diisi, tidak tersumbat dan bermata pahat supaya penggunaannya menjadi lebih mudah.

Jika dibandingkan kualitinya dengan dawai kokot sekarang, sudah tentulah dawai kokot jenama Rexel ini jauh lebih baik kualitinya kerana ia dihasilkan daripada logam yang kukuh dan kemas apabila dikokot. Kebanyakan dawai kokot sekarang dihasilkan daripada logam lembut yang kualitinya amat mengecewakan.


23 December, 2010

Pemadam Pensel Bendera


Di zaman kanak-kanak dahulu kalau boleh semua benda BR hendak kumpul sebagai hobi, terutamanya benda-benda yang mempunyai kaitan dengan kegunaan harian. Salah satunya ialah pemadam pensel bendera ini.


Pemadam seperti ini pernah menjadi kegilaan kanak-kanak sebagai koleksi selain boleh dijadikan permainan 'golek-golek pemadam' He.. he..


Tidak banyak negara-negara yang sempat dikumpul, antara yang ada ialah Switzerland, Peru, Korea, United Nations, Mali, United States, Belgium, Jamaica, China, Spain, Denmark, Singapore, Netherlands, Nigeria, Bulgaria, Hungary, Jordan, Thailand, Italy, Australia dan sebagainya.

26 May, 2010

Staedtler Mathematical Drawing Instruments


Inilah Mathematical Drawing Instruments atau lebih dikenali sebagai 'bekas pensel geometri', 'set geometri', 'geometri box', 'kotak geometri' dan berbagai-bagai lagi nama yang diberikan di mana akhirnya telah membawa kita kepada satu makna dan benda yang sama.


Sesiapa sahaja yang pernah bersekolah menengah dahulu tidak sahlah jika tidak pernah memilikinya. Selalunya digunakan di dalam subjek Sains, Matematik dan Geografi. Peralatan di dalamnya jarang-jarang digunakanpun bergantung kepada subjek yang memerlukannya sahaja. Tetapi bekas geometri inilah yang telah aku gunakan di sepanjang persekolahan sekolah menengah.


Jenama yang paling popular pada waktu itu ialah HELIX OXFORD (Berwarna biru dan ada gambar bangunan Universiti Oxford di hadapan). Ramai di kalangan rakan-rakan aku yang menggunakan jenama tersebut. Harganya lebih kurang sama sahaja pada waktu itu, tetapi entah di mana silapnya aku boleh pula menggunakan jenama STEADTLER ini, mungkin kerana warnanya yang kuning atau untuk tampil lebih berbeza... he.. he..


Dibeli pada awal 1980-an ketika mula-mula memasuki alam sekolah menengah dan harganya lebih kurang di dalam lingkungan RM3.00. (Dah lupa). Punyalah seronok dan bangga kerana telah memiliki kotak pensel yang baharu dan dijaga bagaikan menatang minyak yang penuh...


Sewaktu mula-mula beli dahulu kotak geometri ini lengkap didatangkan bersama pensel, pemadam, pengasah dan juga jadual waktu. Yang itu tidak sempat untuk diselamatkan kerana telah musnah dimamah usia.


Triangle ruler, 90 dan 45 darjah. Memang seronok apabila menggunakan peralatan geometri ini di mana ketepatan ukuran memainkan faktor utama di dalam mendapat jawapan yang betul kepada sesuatu soalan. Ala-ala engineer gitu...


Jangka sudut dan pembaris lurus enam inci. Masih original kerana terdapat cetakan jenama Staedtler pada setiap pembaris.


Jangka Tolok, digunakan untuk menyukat jarak terutamanya di dalam peta topo. Semasa cikgu tiada di dalam kelas, boleh juga dijadikan dart, tuju-tuju dinding, ataupun main 'tikam-tikam' di celah jari...


Jangka Lukis, digunakan untuk membuat bulatan, separa bulatan atau yang seumpamanya. Hati-hati sewaktu menggunakan alat ini kerana bukan takut cedera tetapi takut habis berlubang buku dibuatnya.


Acuan plastik di dalam kotak geometri supaya alatan-alatan di dalamnya tersusun kemas. Masih kekal bersama.


Didatangkan juga bersama sarung untuk menyimpan kotak geometri yang diperbuat daripada kotak. Juga masih aku kekalkan.


Moral Value: "Sayangi dan hargailah apa yang anda miliki sekarang sebelum ianya tiada" he.. he..



21 May, 2010

Buku, Pen Dan Pensel Di Tahun 1980-an


Inilah buku tulis semasa aku bersekolah dahulu di sekitar tahun 1980-an sewaktu menuntut di Tingkatan Enam, St. Xavier's Institution, Pulau Pinang. Buku tulis ini adalah buku nota subjek Sejarah dan Ekonomi dan sengaja tidak menggunakan buku tulis sekolah kerana buku tulis sekolah pada waktu itu muka suratnya hanyalah 60 m/s sahaja, amat tidak sesuai untuk menulis nota yang banyak.


Dibeli di kedai buku biasa sahaja dan mengandungi 200 muka surat, cukup tebal bagi seorang pelajar.


Di bahagian kulit belakang buku terdapat abjad A - Z huruf kecil dan huruf besar, nombor dan juga contoh tulisan berangkai. Jenama Crown Brand dan dikeluarkan oleh Syarikat Hai Chuan, Lebuh Pantai, Pulau Pinang.



Inilah contoh nota di dalam buku tersebut. Gambarajah Kelok, Kesan Penggantian, Penawaran, Permintaan, Kos Melepas bla.. bla.. aku sendiripun dah tak ingat dah... he.. he..


Ini pula pen ballpoint yang paling popular pada waktu itu. Jenama REYNOLDS yang terdiri daripada dua siri iaitu 045 POPULAR dan 045 FINE CARBURE. Didatangkan di dalam 4 warna iaitu biru, hitam, merah dan hijau.


Terdapat juga ballpoint yang hampir serupa tetapi dengan jenama SUPERLINE WIP 712.


Ballpoint di atas namanya sahaja bunyi macam gempaq tetapi harganya ialah RM0.40 sahaja pada waktu itu. Penutupnya pula amat berguna untuk dijolok pada plug untuk memasukkan soket 2 kaki...


Ini pula pen keluaran Staedtler iaitu dalam siri NORIS CLIPPY, juga popular pada waktu itu kerana memiliki mata pen yang panjang.



Keluaran Staedtler Stick juga tidak kurang hebatnya. "pen merah pen biru, you marah, I love you..." he.. he..


Ini pula pen jenama ROYAL. Digunakan oleh kakitangan kerajaan ketika itu kerana terdapat perkataan 'HAK KERAJAAN MALAYSIA' pada pen.


Bagi penggunaan pensel pula, kebanyakan pelajar tidak mempunyai banyak pilihan pada waktu itu kerana penggunaan pensel mekanikal masih belum meluas lagi. Pilihan untuk menggunakan pensel tradisional 2B sahajalah yang ada...


Ini pula ialah bekas pensel yang aku gunakan ketika itu. Masih disimpan lagi walaupun sudah berusia hampir 25 tahun. Kepada pembaca yang meminta supaya disiarkan bekas pensel geometri, harap bersabar kerana memang ada lagi tersimpan bekas geometri itu, digunakan ketika dari tingkatan satu hingga enam dan masih lengkap lagi dengan peralatan geometrinya! InsyaAllah di post yang akan datang...


Nota:

Kepada semua pembaca yang telah meninggalkan komen, BR mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih yang tidak terhingga dan ianya amat dialu-alukan. Ini bererti BR tidak keseorangan di dalam mengimbau masa silam yang selayaknya dikongsi bersama... Terima kasih sekali lagi. - BR


19 May, 2010

Pensel Warna Dan Poster Colour


Sebut sahaja mengenai lukisan (Pelajaran Seni Lukis), ia adalah salah satu subjek yang paling aku minati sewaktu di sekolah rendah dahulu selain daripada mata pelajaran PJ (Pelajaran Jasmani). Pendidikan Muzik belum ada lagi pada waktu itu kerana belum ada KBSR, jika tidak muzik pun aku minat juga... Itulah tiga subjek yang paling popular dari dulu, kini dan selamanya...


Mengenai Pelajaran Seni Lukis di sekolah rendah (sekarang Pendidikan Seni Visual), kita tentunya tidak dapat lari daripada menggunakan berbagai medium seperti warna pensel, warna air (poster colour) atau lebih dikenali sebagai water colour dan juga warna lilin (crayon).


Inilah warna pensel yang pernah aku gunakan suatu ketika dahulu. Berpensel panjang berjenama LUNA keluaran Staedtler dan mengandungi 12 batang pensel warna, dibeli dengan harga RM1.80 pada waktu itu. Memang jauh bezanya jika dibandingkan dengan harganya sekarang.



Pensel warna dahulu sememangnya berbaloi dari segi kualitinya berbanding dengan yang ada sekarang. Penselnya lebih tahan, tidak mudah patah dan yang pentingnya tiada keluaran tiruan (imitation) seperti yang banyak di pasaran sekarang.


Di bahagian belakang kotak terdapat 'Hints On Colour Mixing And Shading' iaitu tips bagi mencampurkan warna sebagai rujukan.


Sesuatu yang paling seronok sewaktu mengikuti pelajaran Seni Lukis ini ialah apabila guru yang mengajar pada waktu itu memberi tajuk 'bebas'. Biasanya lukisan berbentuk pemandangan akan menjadi pilihan di mana ada matahari yang memancarkan cahayanya di celah bukit-bukit yang 'tersusun' dan sama besar, ada beburung berterbangan (dengan lukisan berbentuk M), ada pokok kelapa, ada sebuah rumah tangga batu di tepi sawah lengkap dengan antenna TV, bertingkap dan berlangsir, pagar rumah, lorong kecil terus ke tangga rumah, pokok bunga di dalam pasu (biasanya pokok bunga matahari yang menjadi pilihan kerana mudah untuk dilukis), ada sawah padi lengkap dengan scarecrow atau orang-orang di tengah sawah,.. Tidak lupa juga lukisan 'orang lidi'. Itulah hebatnya daya imaginasi kanak-kanak dahulu berdasarkan persekitaran masing-masing...


Tetapi ada sesuatu yang menghairankan juga di mana murid-murid perempuan pada waktu itu memang suka sangat melukis sepasang pengantin di atas pelamin... he.. he..



Ini pula water colour yang digunakan sewaktu di sekolah menengah. Jenama Panda yang mengandungi 12 tiub warna dan buatan Taiwan. Semasa di sekolah rendah dahulupun ada juga menggunakan warna air ini tetapi di dalam bentuk serbuk tepung di dalam tin (sebesar tin milo) yang akan dicampur air. Maka jika ada pelajaran seni lukis pada hari itu, habis berwarnalah jari jemari termasuklah juga pakaian sekolah yang dipakai...


Pernah sewaktu di Tingkatan Lima aku dan seorang rakan telah dicubit perut dan terpaksa berdiri di atas kerusi kerana telah terlupa membawa warna ke sekolah. Bayangkanlah dah 17 tahunpun kena berdiri di atas kerusi lagi... Itulah penangan cikgu Munirah, cikgu Pendidikan Seni yang masih 'Cik' lagi ketika itu...


Kelemahan warna air ini ialah ianya akan mudah menjadi keras dan beku jika lama tidak digunakan terutamanya jika penutupnya tidak kemas.



Masih terdapat tanda harga yang telahpun kabur. Akupun tidak pasti berapakah harganya pada waktu itu tetapi yang pastinya ia telah dibeli di Lucky Supermarket Alor Setar. Untuk makluman, supermarket inipun sekarang telah tidak wujud lagi. Terletak di jalan Tunku Ibrahim berhadapan dengan Stadium (sekarang Dewan) Dato' Syed Omar.



Bekas pembancuh warna inipun dibeli bersekali dan seusia dengan warna air di atas. Masih terdapat kesan-kesan warna yang membuktikan bahawa ianya pernah digunakan. Syahdu dan melankolik betul bila mengenangkan zaman persekolahan dahulu...hu.. hu.. sob.. sob..


15 May, 2010

Accessories Di Dalam Bekas Pensel


'Little Bob Dog'
, ini adalah satu lagi contoh bekas pensel yang penuh nostalgia dan sedang aku gunakan sehingga sekarang di dalam tugas-tugas seharian. Dibeli pada tahun 1990 iaitu kira-kira 20 tahun yang lalu dan masih boleh memberi jasa walaupun kelihatan sudah uzur. Rakan-rakan setugas dan klien telah sedia maklum yang aku ini pengguna barang-barang lama, bukan tidak mampu untuk membeli yang baharu.


Entri pada kali ini akan menceritakan tentang alatan-alatan tambahan yang biasanya terdapat di dalam sesebuah bekas pensel selain daripada pensel dan pen. (Kisah khas mengenai pen dan pensel pula akan dimasukkan di dalam entri-entri yang akan datang).


Terdapat beberapa alatan yang wajib ada di dalam sesebuah bekas pensel di zaman dahulu mahupun sekarang. Di antaranya adalah seperti berikut:



Pisau Pengasah Pensel atau lebih dikenali sebagai 'Pisau Lima Duit'. Mungkin mendapat nama itu kerana harganya pada waktu itu hanya lima sen sahaja. Sungguh tajam terutamanya bagi yang baharu dibeli. Ketajamannya boleh dibuktikan dengan penggunaannya alternatifnya ialah untuk menyembelih ayam.



Sekarang inipun pisau ini masih tetap wujud tetapi popularitinya di kalangan murid-murid sekolah sudah menurun kerana terdapat larangan membawa pisau ke sekolah. Penggunaan nt cutter yang lebih selamat dan efisyen juga merupakan salah satu faktor kurangnya penggunaan pisau lima duit pada masa ini.



Pengasah Pensel atau lebih dikenali sebagai 'Gerumit'. Penggunaan gerumit ini adalah lebih selamat untuk mengasah pensel daripada menggunakan pisau. Tetapi penggunaannya harus berhati-hati kerana mata pensel yang sensitif akan mudah patah semasa mengasah.



Di zaman persekolahan dahulu, gerumit bercermin yang berbentuk bulat memang menjadi pilihan utama di kalangan pelajar. Cermin yang terdapat pada gerumit itu amat berguna kepada pelajar lelaki mahupun perempuan mengikut citarasa kegunaan masing-masing...



Pembaris atau lebih dikenali sebagai 'Kayu Roon'. Pembaris kayu seperti imej di atas merupakan kayu roon yang cukup popular di zaman itu memandangkan tiada lagi pengeluaran kayu roon plastik yang lebih ringan seperti sekarang.



Made in England tu bang, kak long...



Bahagian belakang kayu roon terdapat garisan-garisan geomatrik yang aku sendiri tidak faham dan tidak pernah menggunakannya. Kelebihan kayu roon kayu ini ialah boleh diukir nama pemilik di atasnya menggunakan pisau lima duit sebagai mengesahkan pemiliknya.



Pemadam Pensel atau lebih dikenali sebagai 'Raba Pensel'. Raba pensel jenis ini memang cukup popular pada waktu itu. Berbagai corak permainan dalaman boleh dihasilkan daripada raba pensel ini seperti main golek pemadam, gasing pemadam dan sebagainya sebagai hiburan ketika guru tidak atau lambat sedikit masuk ke kelas. Semasa guru sedang mengajarpun ada juga yang bermain dengan pemadam ini...



Terdapat berbagai corak yang tercetak pada pemadam ini. Paling popular ialah ABC dan gambar Bendera.



Pemadam Pen atau lebih dikenali sebagai 'Raba Pen'. Cukup popular dikalangan pelajar sekolah menengah sahaja kerana murid-murid di sekolah rendah pada waktu itu belum menggunakan pen di dalam penulisan mereka. Boleh memadam tulisan pen tetapi tidak 100% akan terpadam kerana sifatnya yang kasar boleh mengoyakkan kertas apabila digosok dengan cara berlebihan.


Semenjak adanya pemadam cecair atau lebih dikenali sebagai 'Liquid Paper' (tidak mengira apa-apa jenama ianya tetap akan dipanggil liquid paper), penggunaan raba pen ini telah semakin dilupai.


14 May, 2010

Pen Dan Dakwat Parker Super Quink Blues...


Sewaktu aku di sekolah menengah dahulu, penggunaan pen dakwat basah (fountain pen) sememangnya telah menjadi satu kemestian bagi setiap pelajar. Penggunaan pen-pen ini seperti Parker, Pilot dan Youth (sekadar menyebut beberapa jenama) memang cukup popular pada waktu itu. Harganya juga adalah pada kadar yang mampu dimiliki iaitu di sekitar RM5.00 sehingga RM15.00 sahaja di mana ianya sesuai bagi seorang pelajar.




Pen Parker ini adalah satu contoh pen yang pernah aku gunakan dahulu. Dibeli sekitar tahun 1980-an. Penggunaan pen dakwat basah ini adalah lebih ekonomi berbanding pen ball point kerana ianya boleh diisi semula dengan dakwat yang dibeli berasingan.


Untuk makluman, pen ini masih lagi digunakan sehingga kini tetapi bukanlah untuk menulis nota pelajaran seperti dahulu, cuma digunakan untuk menurunkan tandatangan sahaja kerana pen ini memiliki nilai sentimentalnya yang tersendiri.



Made In England, tetapi kebanyakan pen-pen Parker sekarang ini perkataan England itu telah ditukar kepada U.K.


Apabila bercerita mengenai pen basah, mestilah ada dakwatnya. Umpama irama dan lagu ianya tidak dapat dipisahkan. Ini pula dakwat yang aku gunakan iaitu Parker Super Quink. Petua orang, jika menggunakan sebarang pen dakwat basah, dakwatnya juga seboleh-bolehnya juga biarlah dari jenama yang sama supaya jangka hayat pen nanti akan bertahan lebih lama.


Kelemahannya pula ialah jika dakwatnya terkena baju atau tertumpah. Pernah berlaku kejadian seorang rakan di mana buku-buku sekolahnya habis dipenuhi dengan dakwat yang tertumpah di dalam beg. Cubalah anda bayangkan...


Boleh didapati dalam beberapa isipadu iaitu 2, 4, 20 dan 40 fl. oz. Saiz yang biasa digunakan ialah seperti di dalam imej di atas iaitu 2 fl. oz. Biasanya sebotol dakwat bersaiz tersebut boleh bertahan sehingga bertahun berdasarkan penggunaan. Dengan kebanjiran pen-pen dakwat kering dan pen yang berdakwat gel di pasaran sekarang, penggunaan pen basah ini sudah hampir pupus penggunaannya. Namun begitu tidak dinafikan ia tetap mempunyai peminatnya setianya yang tersendiri.


Pengumpul-pengumpul botol serta pakar-pakar 'botologi' dan 'tinlogi' yang aku hormati seperti saudara Fitri Osman tentunya lebih mengetahui berapakah usia sebenar botol dakwat ini. He.. he..


Terdapat logo Parker di tudung botol dakwat. Lambang anak panah adalah menjadi simbol atau trademark pen Parker ini semenjak dahulu lagi.


Dikeluarkan di bawah lesen dan penyeliaan oleh The parker Pen Company, Janesville, Wisconsin, U.S.A. Juga terdapat di dalam enam warna iaitu Hitam, Biru-Hitam, Biru, Turqouise, Merah dan Hijau. Warna yang sering digunakan hanyalah warna hitam dan biru sahaja oleh kebanyakan orang.


Petua:

Jika pakaian anda terkena dakwat, gosoklah pakaian tadi dengan sabun mandi dengan segera dan direndam di dalam air. Selepas itu basuhlah pakaian itu seperti biasa dengan memberi gosokan yang lebih di tempat yang terkena dakwat.



Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'