Showing posts with label rock melayu. Show all posts
Showing posts with label rock melayu. Show all posts

Thursday, April 23, 2026

30 tahun Langit dan Bumi

Ulangtahun ke 40

Search - Langit dan Bumi (1986)

Album Search yang paling bernostalgia dan diminati untuk saya. Mungkin sebab ia diterbitkan ketika muzik heavy metal mula berkembang pesat di Malaysia. Dan saya sendiri sedang melalui fasa perubahan dari peminat tegar Duran Duran kepada peminat heavy metal. 

Ianya juga terasa lebih berat dari album pertama mereka. Menjelang album berikutnya, saya sudah mula lebih kemaruk dengan muzik heavy metal orang putih.


Wednesday, March 5, 2025

Gila Format - Identiti

Yang terkini berjaya di"gila format"kan...

Metalian - Identiti (1987)

Antara yang tak terfikir akan berjaya di"gila format"kan. Bukannya mudah nak dapat versi piring hitam.

Terjumpa ianya di jual di acara tahunan JB Collectors Market yang diadakan di JBCC bulan lepas. Dengan harga jualan RM100, ianya memang susah untuk dilepaskan


Friday, November 29, 2024

Engkar

Produk tempatan 2024...

Langsuir - Engkar (2024)

Seperti yang pernah disebut sebelum ini, saya sememangnya jarang membeli produk muzik tempatan. Tetapi kalau ianya kena dengan selera sudah semestinya akan dibeli.

Langsuir sememangnya tidak mengecewakan. Mereka masih dengan indentiti mistik kemelayuan. Itu adalah ciri khas mereka. Lagu-lagunya memang mudah menangkap. 

Produksi sound pun bersih dan sedap. Bagi saya mereka adalah penanda aras untuk genre melodic death metal tempatan

Walaupun sekadar EP ( 5 lagu), Ianya bolehlah dikatakan  sebagai rilisan melodic death metal terbaik untuk tahun 2024.

Rekomended!


Monday, November 18, 2024

Peluru Cokelat

 Album rock melayu terkini di pasaran..

Barbarik - Peluru Cokelat (2024)

Tabik untuk Jobranko kerana masih terus berkarya. Beliau masih dengan trademarknya tetapi dengan sound dan gaya rock yang lebih moden.

Harapnya dengan album ini mereka akan mendapat lebih ramai peminat baru yang lebih muda. Nak harap peminat lama berapa kerat sahajalah yang masih beriya mendengar apatah lagi membeli muzik.

Saya sememangnya jarang membeli produk muzik tempatan kecuali jika ianya betul-betul kena dengan jiwa. Dan ini sememangnya album rock tempatan terbaik untuk tahun 2024.

Rekomended!


Saturday, August 24, 2024

Gila Format - Image Of Purity

Antara yang terkini berjaya di "gila format"kan...


Cromok - Image Of Purity

Akhirnya ianya dikeluarkan juga dalam bentuk piring hitam. Sebagai seorang yang ada penyakit gila format sudah semestinya TERPAKSA beli...hahaha...


Tiada apa lagi yang nak diceritakan tentang Image Of Purity. Ianya sudah menjadi album lagenda. Membeli kenangan sebegini sememangnya bukanlah murah...


Tetapi baru perasan yang versi cd ini adalah cd cetakan awal yang menggunakan gambar cover demo bukannya seperti cover kaset terbitan VSP.  Arghhh sudah....nampak gayanya terpaksalah kena cari cd yang sama pula gambar covernya...ini memang penyakit...hahaha...



Thursday, June 20, 2024

Ziet Giest

Mendengar semula...

M.A.Y - Ziet Giest (1992)

Antara album MAY yang dulunya tak pernah dengar. Hanya tahu lagu Meniti Suratan. Ini adalah zaman yang saya hampir zero dengan muzik rock melayu.

Mendengar temubual Yantzen dalam podcast “Hubungan Rambang Ad Samad” di youtube menyebabkan terpanggil untuk mendengarnya. Ini adalah satu lagi album reissue yang dibeli hanya sekadar untuk hiasan di rak. Maklumlah bila album yang tiada kenangan memang rasa nak dengar tu amat kurang.

Zeit Geist adalah album pertama Yantzen Bersama MAY. Saya baru tahu yang bahagian gitarnya dimainkan oleh Arwah Samad. Malah kesemua album MAY dizaman Yantzen khabarnya dimainkan oleh arwah.

Saya kurang pasti kenapa Abu tidak terlibat ketika seissi rakaman. Dan khabar lainnya juga mengatakan yang beliau juga tidak bermain dalam album-album MAY yang lainnya. Maafkan kalau saya tersilap. Tetapi kalau dengar perbezaan sound gitar di setiap album memang mungkin ianya benar.

Saya bersetuju dengan apa yang Yantzen suarakan dalam seissi wawancara tersebut yang beliau mahukan muzik MAY yang tidak jauh berubah dari zaman sebelumnya. Zaman Mus terutamanya bermula dari album Hakikat (1989), MAY mempunyai beberapa lagu yang bercirikan thrash. Dan album ini cuba untuk mengekalkannya.

Secara mudahnya boleh lah dikatakan yang album ini adalah cubaan Arwah Samad untuk memainkan riff dan sound thrash. Namun mungkin ianya bukanlah jiwa beliau, saya dapat rasakan feel Warren DeMartini / Robbin Crosby di dalam lagu "Visions of Emotion" dan Loudness di dalam lagu “Obsession"

Namun begitu rasa Rusty Blade tetap ada. Vokal Yantzen didalam lagu-lagunya “heavy” ciptaan beliau memang sudah sinonim dengan bunyi Rusty Blade. Cuma saya agak keliru dengan vocal didalam lagu "Resah". Lengok nyanyiannya betul-betul berbunyi seperti Mus. Tak macam Yantzen.

Secara keseluruhannya bagus terutamanya lagu-lagu yang berentak rancak.


Thursday, February 1, 2024

Blackrose

Satu lagi produk reissue cd rock tempatan... lama dah beli, baru sekarang nak buat entri...

Blackrose - Blackrose (1991) keluaran semula 2023

Merujuk kepada komen dibawah (dari entri Black Rose reissue 2016) - terimakasih Elmanemran, saya sememangnya teruja dengan cd keluaran semula 2023 ini dan telah pun membuat pra pesanan awal sejak mendapat berita tentangnya.

Versi 2006 sememangnya menghampakan. Baik dari segi kualiti sound dan packagingnya. Tetapi versi baru 2023 ini sememangnya tip top. Tiada apa yang hendak di komplen. 


atas kiri - versi 2023, atas kanan versi 2006
bawah kiri - versi cdr , bawah kanan - kaset asal 1991

Entri ini sekadar berkongsi gambar. Kalau ada yang berminat nak membeli, sememangnya rekomended!.



Wednesday, January 10, 2024

Belantara Showcase 2.0

Bukan nak cerita pasal showcase nya. Tak dapat hadir pun. Ada hal yang tak boleh dielakkan. Tapi nak cerita tentang cenderahati dari showcase tersebut.

Nak kata rugi tak pergi… memang la rugi…. Tak nak buat macamana…bukan rezeki…

Bila tak dapat pergi, dapat cenderahati untuk kenangan macam ini pun jadilah. Buku lirik dan lanyard sempena showcase. Tabik buat YB Amir dan team. Tak banyak atau mungkin hampir tak ada band di Malaysia yang buat buku lirik untuk show sebagai kenangan.


Beli juga sehelai tshirt. Tetapi bukannya tshirt official showcase….


Tetapi thsirt official crew… Kasi lengkap showcase 1 (20/02/2020) dan 2 (07/12/2023) 😁

Terima kasih sekali lagi untuk my bro, Amir atas cenderahati dan tandatangan setiap anggota band.
 

"Insan berakal..hormatilah memasuki naungannya"



Thursday, August 31, 2023

Made In Malaysia

Sempena hari Merdeka...

F.T.G - Made In Malaysia (1999)

Apa yang menarik bagi saya adalah pilihan lagu-lagunya. Walaupun F.T.G adalah sebuah band thrash, tetapi lagu-lagu yang mereka pilih tidak satu pun dari band thrash. Malah mereka tidak mengubah pun lagu-lagu tersebut menjadi thrash. Kecuali bahagian vokal yang ada sedikit growl, muzik masih seperti yang asal.

Majoritinya adalah lagu-lagu rock dan heavy metal yang popular di kalangan Mat Rock Malaysia yang membesar di zaman 80an. Menarik juga bila tiada lagu Iron Maiden dan Scorpions. 2 band yang paling besar pengaruhnya di Malaysia pada tahun 80an.

3 lagu yang vokalnya dari Ronnie James Dio ("Children Of The Sea", "Heaven And Hell" dan "Holy Diver") adalah bukti yang pengaruh Ronnie James Dio adalah sangat besar pada ketika itu. Dan tambah menarik apabila mereka memilih "Perfect Strangers" berbanding "Smoke On The Water" atau lain-lain lagu Deep Purple era 70an. Seingat saya "Perfect Strangers" sememangnya antara lagu popular yang sering kedengaran di mainkan oleh band-band kerja kahwin pada ketika itu. 

Tetapi pilihan saya adalah "Metal Health", "Red Hot" dan "We're Not Gonna Take It". Membesar di tahun 80an dan tak tahu lagu ini sememangnya anda adalah poser…hahaha…

Selamat hari Merdeka yang ke 666!



Wednesday, August 2, 2023

Sweet Charity - Berita Gempa @ Arena Larkin

 Lama dah tak berkonsert....

Sweet Charity - Konsert Berita Gempa @ Arena Larkin (29/07/2023)

Dah semakin berumur rasa semakin tak larat untuk berkonsert. Tetapi bila mengenangkan Sweet Charity yang dah berusia atuk pun masih boleh mengadakan konsert, apa lah sangat bagi kita yang lebih muda ini untuk turun memberikan sokongan. Tambahan pula ianya di JB. Dan inilah peluang untuk bersua muka dan beramah mesra dengan kawan-kawan yang jarang dapat jumpa.

Dah lama tak menulis panjang macam dulu-dulu. Kali ini saya cuba. Tetapi kalau ada yang berminat untuk membaca ulasan dari kacamata sorang peminat bukannya wartawan boleh pergi ke FB sahabat-sahabat saya iaitu Deaf (Seriusdep Berbual) dan Portdy (Portdy Malone Sly). Mungkin cerita mereka lebih menarik.


Antara point menarik yang boleh saya ingat…

1 - Venue Arena Larkin - Kalau tak silaplah, ini kali kedua tempat ini digunakan untuk konsert selepas kumpulan Radja pada bulan March yang lalu. Stadium baru bagi menggantikan Stadium MBJB. Banyak kenangan konsert di stadium lama tu. Dan rasanya Arena Larkin memang sesuai untuk pengajuran konsert berskala sederhana seperti ini.

2 - Sound - Ramai yang komplen pasal sound. Rasanya untuk beberapa lagu awal sound memang tak seimbang. Suara Ramli Sarip tenggelam. Agak bingit. Tetapi beberapa lagu selepas tu dah ok. Tak pasti di bahagian penonton yang lain. Tetapi untuk yang berdiri di Berita Gempa Zone Q depan barrier berhadapan Rosli Mohalim dengan speaker depan muka tak ada lah nak komplen sangat. Cuma ada beberapa kali juga bunyi gitar Rosli berdengung. 


3a - Pilihan lagu - Saya dah dapat setlist sehari lebih awal. Sempat buat list kat Spotify. Tak ada yang berubah cuma ada sedikit penambahan. Dah boleh agak yang lagu "Tanjung Puteri" adalah tribute SC kepada Johor. Ada kisah mereka pernah kena banned di Johor pada suatu masa dahulu. Khabarnya konsert di Johor ini pun atas permintaan dari Ramli Sarip sendiri.

3b - Pilihan lagu - Dengan 7 album (termasuk Terbaik 1984 tak campur SC 88) memang susah la nak puashatikan semua pihak. Semua lagu pun boleh dikira Greatest Hits. Cuma yang terkejut sedikit adalah "Seniman Di Rantau" (album pertama 1979). Ini kali pertama dibawa secara live. Ramai tak ingat lagu ni.

3c - Pilihan lagu - Paling tak disangka bila ada 3 lagu pendek tiada dalam setlist dinyanyikan tanpa iringan muzik. Mungkin ianya secara impromtu. "Sama Sama Merasa", "Bersenda" dan "Bulat Bulat". "Bersenda" dan "Bulat Bulat" memang mengamit memori. Ianya lagu yang dulu-dulunya ketika saya kanak-kanak sering diputarkan di Radio Singapura. Bak kata Deaf, ketika itu tak tau pun itu lagu band rock. Kalau dimainkan dalam versi penuh tentu lagi best.

3d - Pilihan lagu - Kalau ada satu lagu yang teringin nak dengar tetapi tak ada dalam setlist adalah "Ikrarku Pada Rozana". Tapi tak apa lah, Dengan 24 lagu di tambah 3 lagu pendek hampir 3 jam lebih tanpa henti dengan usia mereka yang dah mencecah 70 lebih tu kira dah puas hati lah.


4a - Persembahan - Kalau ada terkucil sana sini tu biasalah. Faktor umur dan tahap kesihatan yang kita fahami. Kagum la dengan Rahman Sarbani, 3 jam non stop ketuk drum untuk orang seusia beliau memang sesuatu yang sangat mengagumkan. Respek!


4b - Persembahan - Yang patut kena sebut. Gitar Hero Melayu saya zaman budak-budak dahulu, Rosli Mohalim. Kalau duduk di JB, sebelum Man Kidal dia lah idola kutu-kutu rock tepi simpang main gitar kapok awal 80an dulu. Showmanship dan solo-solo gitar beliau masih berhantu. 3 jam beliau berdiri non stop tak duduk walau ada kerusi disediakan. Paling tak disangka beliau turut menyanyi bersama AJ untuk lagu "Jalan Malam". Tengok gayanya yang masih hensem nampak muda berambut hitam tanpa uban, siapa sangka yang beliau baru pulih dari serangan penyakit angin ahmar. Belum pun sihat seratus peratus. Bak kata Deaf dan Portdy, dia memang Man Of The Match!.


4c - PersembahanAJ. Anggota yang paling steady. Paling nampak cool. Beliau turut menyanyi 4 lagu. Secara solo untuk "Bagaikan Bermimpi" dan "Terharu", berduet dengan Rosli untuk "Jalan Malam" dan dengan Ramli untuk "Seniman Di Rantau". Masih hebat!


4d - PersembahanRamli Sarip. Apa lagi yang boleh dikatakan tentang beliau. Living Legend!. Malam tu memang dia rock n roll habis. Siap baring atas stage. Walaupun ada beberapa lagu yang dia menyanyi sambil duduk dan 3 lagu dia berehat tetapi yang lainnya memang all out. Vokal pun masih power.


4e - Persembahan - Saya tak tahu sangat tentang Din Safari (bass), Roza (keyboards) dan Kamarul (percussions). Tetapi semuanya pun pemuzik yang tip top. Saya cukup tertarik bila Addy Cradle turut bersama. Memang mengikuti beliau sejak zaman Teacher's Pet. Banyak juga lagu yang beliau menyolo. Tetapi yang menariknya dia tidak cuba untuk "overshadow" Rosli. Malah mereka saling melengkapi dalam bahagian-bahagian twin gitar solo seperti lagu "Ribut 10.59 Pagi" contohnya.

5a - Penonton - Saya difahamkan ada dalam 3 ribu lebih yang datang dalam pelbagai peringkat usia. Tetapi yang pastinya satu stadium bergegar dengan suara mereka. Bahagian yang bila penonton disuruh menyanyi, memang sangat kuat di setiap bahagaian. Crowd yang sangat sporting. Tabik!

5b - Penonton - Bahagian berdiri Zone Q depan stage tu tak lah sesak sangat. Yang lenguh kaki boleh lah duduk bersila di belakang. Selesa lah. Ada satu brother depan barrier tu siap buat video call sepanjang konsert. Mungkin nak tunjuk pada isteri yang tak dapat datang... atau mungkin juga bukti yang beliau tak melencong ke tempat lain...haha...


5c - Penonton - Saya yang asalnya malas nak ke barrier tetapi akhir ke depan juga. Maklum dah tua-tua ni memang lenguh nak berdiri lama. Berpaut di pagar barrier dapat juga membantu menghilangkan lenguh kaki. Tapi apa yang saya perasan bergoyang-goyang juga pagarnya bila crowd yang ditengah stage berheadbanging. Bahagian last ketika lagu "Penunggu" paling kuat bergoyang. Kesian pulak tengok anggota RELA menahan pagar dari tumbang. Dah macam ada satu scene konsert orang share kat FB tu. Crowd banging, pegawai keselamatan tahan pagar...huhu..

5d - Penonton - Rugi bagi yang keluar awal. Ramai yang sangka show dah habis bila dah ada upacara bergambar di atas stage. Untung bagi saya yang dah tau setlist lebih awal. Sudah semestinya ada encore dengan lagu "Penunggu". Ada juga majlis "meet and greet" selepas konsert. Dapatlah Deaf melengkapkan signature di cd, Eddie Jamal di vinyl dan paling bertuah Nuar Mata Kucing di kertas setlist dan dapat cd free dari gadis misteri...heheh...

6 - Kesimpulan - hanya satu ayat yang sesuai....PUASHATI!

Kalau ini adalah kali terakhir mereka bermain di bumi Johor pun saya terima. Dengan usia yang semakin meningkat. Apalagi yang kita harapkan dari mereka. Terimakasih Sweet Charity kerana mewarnai kehidupan saya sejak 44 tahun yang lalu. Setiap lagunya mengimbau kenangan lama. 
Terima Kasih!



Tuesday, May 9, 2023

Gila Format - Samarkand

Antara "wish list" untuk dimiliki dalam bentuk piring hitam yang akhirnya tercapai. 

Bloodshed - Samarkand (piring hitam keluaran semula - 2023)

Samarkand tidak perlukan pengenalan. Ianya adalah salah satu album terbaik hard rock / heavy metal yang pernah dihasilkan. Period!

Sound piring keluaran semula ini bolehlah dikategorikan sebagai boleh tahan. Dengan sumber asal yang terhad, mungkin ini yang terbaik kita boleh dapat. 

Kalau ada isu yang hendak di ketengahkan pun cuma gambar cover yang tidak menggunakan gambar asal (seperti cover kaset) dan sedikit ganguan pada awal lagu Satria Mega. (Saya mencuba dengan 2 pemain turntable. Satu "jumping" dan satu lagi sekadar menghasilkan bunyi "tap")

Kini lengkaplah sudah gila format. Seperti gambar di bawah, kiri atas adalah cd cetakan pertama 1997, kanan pula cd rilisan semula 2015 dan bawah adalah kaset asal 1987.


Tetapi yang pastinya, harga piring hitam sebegini semakin mahal. Mungkin ada benarnya kata-kata "hobi kami mahal". Muzik secara fizikal bukanlah sesuatu yang mampu dimiliki oleh semua orang. Semakin mahal harganya semakin generasi baru menjauhkan diri. Tak hairanlah kalau format begini semakin dilupakan.

Muzik secara fizikal sudah menjadi satu cabang hobi dan kenangan silam. Dan membeli kenangan itu sememangnya sesuatu yang semakin mahal…😞



Saturday, April 29, 2023

Segar Dalam Ingatan...

Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.

Masih terngiang-ngiang kata-kata beliau ketika di konsert XPDC di D'va Seri Alam pada tahun 2015 yang lalu, "Kami bukan band yang protokol...semua nak perfect macam nak bertanding juara lagu... kami adalah sebuah band yang penonton boleh enjoy dan bernyanyi sama-sama". 

Dan itulah yang berlaku di dalam setiap konsert XPDC. Beliau dengan auranya yang tersendiri hanya perlu berdiri di atas pentas. Kami penonton akan tolong menyanyi bersama. Rasanya tidak ramai penyanyi yang mempunyai aura sebegitu. Segala kelebihan atau kekurangan diterima seadanya oleh peminat.

Beliau adalah XPDC. Tanpa beliau ianya bukan lagi XPDC. Izo boleh menjadi Kirk Hammett. Zuar adalah Cliff Burton atau pun Jason Newstead...tetapi Mael tidak pernah akan menjadi James Hetfield. Mael akan tetap menjadi Mael!

Terimakasih lagenda. Suara anda adalah soundtrack terindah kehidupan kami.

Thank you for the music


Syed Ismail Syed Ibrahim
7 Mac 1967 - 27 April 2023

"Allahumma firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu" 

 "Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlahnya."



Sunday, April 2, 2023

65 Tahun Muzik Rock di Malaysia: Dari Rock Proto ke Glam Rock Melayu (1955-1986)

65 Tahun Muzik Rock di Malaysia: Dari Rock Proto ke Glam Rock Melayu (1955-1986) - Muhamad Takiyuddin Ismail 

Saya tak mahu mengulas panjang.  Ianya adalah RM150 yang berbaloi untuk dibelanjakan. 

Sebagai seorang ahli akademik yang dah berpengalaman menghasilkan beberapa buah buku, Prof. Dr. Takiyuddin sudah semestinya tahu bagaimana sebuah buku tentang sejarah muzik rock patut dihasilkan.

Tetapi yang lebih utamanya, sebagai seorang yang mengaku dirinya rocker, beliau paham apa yang perlu ditulis. Dan beliau telah melakukannya dengan cemerlang. Tahniah Doc!

Sekarang tak sabar nak tunggu siri yang kedua pula....

Buku ini boleh didapatkan di Shopee atau terus menghubungi Dr. Taki di Facebook (Taki Takiyuddin) ataupun whatsapp 0192060568.



Monday, January 2, 2023

Orang Asing

Nak juga mencelah. Iya lah kan, tengah hangat seminggu dua ni di Facebook cerita pasal konsert Barbarik Pentas Keras. Walaupun tak dapat hadir dan album ini bukan Mus, tetapi ianya adalah permulaan era Wings dibawah Joe Branko.


Wings - Orang Asing (1995)

Ini adalah antara beberapa cd melayu terawal yang saya ada. Dah tak boleh nak ingat mana satu yang pertama. Saya mula membeli cd sekitar penghujung tahun 1994. Ketika itu tak banyak pun cd melayu yang ada dipasaran. Mengikut Spotify, Orang Asing diterbitkan pada 03/06/1995. Berkemungkinan besar ada cd lain yang lebih awal. 

Sebenarnya pada ketika itu saya tak mengikuti sangat perkembangan muzik rock melayu. Pembelian cd ini semata-mata kerana pada ketika itu saya memiliki set pemain cd changer kereta. Ianya jenis yang boleh letak 10 disc sekaligus dan diletakkan di bahagian bonet belakang. Untuk mencukupkan 10, saya membeli apa sahaja cd rock yang ada. Kedai-kedai di Johor Bahru di tahun 1995 masih majoritinya menjual kaset. Memang agak sukar untuk membeli cd terutamanya cd rock.

Jujurnya tak minat sangat dengan album ini. Terlampau lembap. 4 lagu awalnya lagu perlahan. Yang ke 5 dan 6 moderate. Masuk track ke 8 baru jumpa yang berat. Memang terasa letih untuk menghabiskannya tanpa skip. Tetapi disebabkan ketika itu saya mempunyai jumlah cd yang terhad. Pusing-pusing tetap dengar cd yang sama. Lama-lama jadi suka juga.


Lagu-lagu seperti Ranjang Mawar, Lena Diulit Intan, Semalam Yang Hangat dan Asing menjadi peneman ketika memandu pergi dan balik kerja. Dan biasanya akan "skip" 3 lagu yang terakhir. (selepas lagu berat "Setan Mengganas", memang rasa tak lalu nak dengar 3 lagu perlahan berikutnya secara berturutan). Disebabkan itu saya tidak mempunyai apa-apa kenangan dan tak ingat dengan lagu "Saputangan" (lagu yang dinyanyikan Mel ketika Barbarik Pentas Keras)

Yang pastinya, Joe cuba lari dari imej dan sound Wings ketika bersama Awie. Bunyi yang lebih kasar dan berat yang kemudiannya menjadi trademark beliau ketika bersama Mus. Saya tidak mempunyai masalah dengan Mel. Cumanya saya rasakan yang suara beliau tidak berapa kena dengan muzik yang berat. Mungkin juga itu penyebab kenapa Joe meletakan 7 lagu slow dan 2 lagu moderate untuk album ini.


Tuesday, August 2, 2022

Mr. Barbarik

Khabarnya Jo dan Mus akan kembali bergabung untuk satu persembahan istimewa…dah boleh lah kot untuk mulakan sesi ulangkaji...


Wings - Mr. Barbarik (2000)

Jujurnya dulu tak dengar sangat pun album ini. Setakat beli kasetnya tetapi tak adalah beriya nak dengar. Ni jenis kalau pakai t-shirt Mr. Barbarik tapi kena namakan 3 lagu dari album tersebut memang kantoilah tak boleh jawap…hahaha…

Wings di zaman Mus sebagai vokalis sememangnya berbeza dari zaman Awie. Bermula dari Biru Mata Hitamku (1996), Jo telah mengubah muzik Wings menjadi lebih berat dan lebih metal. Mungkin untuk kesesuaian gaya vokal Mus atau mungkin juga ianya adalah pengaruh metal mainstream yang di bawa XPDC pada ketika itu. 


Pasa saya Mr Barbarik, sesuai dengan tajuknya sememangnya lebih berat, lebih keras dan lebih ganas dari 2 album Wings bersama Mus yang sebelumnya. Mungkin agak payah juga untuk mereka yang kurang gemar dengan muzik yang keras. Tambahan pula ianya tidak mempunyai satu lagu perlahan yang betul-betul boleh menjadi killer song. Tetapi bagi pengemar muzik berat, ini sememangnya sangat menarik.

Namun begitu, saya agak kurang gemar dengan produksi soundnya. Ianya agak tenggelam dan sedikit sebanyak menganggu tumpuan saya kepada kerja gitar Jo. Walaubagaimanapun, Mr Barbarik membuktikan yang Wings adalah Jo… dan Jo adalah Wings… Yang lain hanyalah sekadar Awie and Superfriends...huhu...

*kalaulah ada versi lp… boleh dah buat entri Gila Format…😅



Thursday, April 7, 2022

Tanpa Prejudis

 Pendengaran rawak ketika bekerja dari rumah...

Amuk - Tanpa Prejudis (1998)

Siapa disebalik Amuk bukanlah lagi satu rahsia. Tetapi pada suatu ketika dahulu ianya memang satu misteri. Memang tiada gambar dan info tentang mereka di inlay cd. Membelinya dahulu secara cuba jaya selepas terbaca satu artikel promosi tentangnya di surat khabar. Ianya lebih kepada perasaan nak tahu bagaimana muzik Cromok dinyanyikan dengan lirik berbahasa melayu. 

Mereka adalah di antara beberapa buah band yang menggunakan perkataan "metal" secara mainstream yang meletop di pasaran selepas kejayaan XPDC. Ketika itu (penghujung tahun-tahun 90an), memang banyak band-band yang berkonsep sebegini. Dan saya pula pada ketika itu baru kembali untuk cuba mendengar rock melayu turut terbabit untuk membeli sebahagian darinya. Amuk hanya saya ikuti (beli) hingga ke album no. 2 (Tak Relevan). Selepas dari itu hanya tahu lagu-lagu mereka yang keluar di radio..


Sebenarnya agak janggal juga apabila mendengar muzik Cromok dinyanyikan dalam bahasa melayu. Mungkin kerana dah terbiasa dengan growl Sam Cromok yang tak faham bunyi butir tu...haha... Tetapi sebenarnya saya lebih tertarik dengan lagu-lagu bukan Cromok dari album ini. Ianya menjadi identiti mereka untuk album-album yang seterusnya.

Rasanya kalau saya mendengar album Lang Buana dari Febians terlebih dahulu, pastinya dari awal lagi saya tidak perlu untuk berteka teki siapakah dia Bandi Amuk sebenarnya...


Thursday, January 13, 2022

Rock 'n' Roll

 Album yang tak pernah dengar pada ketika tahun ianya diterbitkan..

Blackrose  - Rock 'n' Roll (1994)

Seperti Espirit De Corps, kaset album ini juga antara yang selalu nampak di rak kaset kepunyaan sepupu setiap kali berkunjung ke rumah Pak Usu saya di Kota Tinggi. Tahun yang sama, mungkin pada ketika itu beliau yang jauh lebih muda dari saya tengah kemaruk membeli kaset-kaset rock. Sekarang tak pasti di mana agaknya kaset-kaset tersebut. Lupa pula nak tanya apabila berjumpa.

Saya meminati album pertama Blackrose. Ianya berbeza dari album-album rock melayu yang sezamannya. Tetapi entah kenapa ketika pertengahan 90an saya agak "lost" dengan lagu-lagu rock melayu. Jujurnya memang tak pernah dengar walaupun satu lagu. Atau mungkin juga pernah dengar tapi tak tau pun ianya lagu Blackrose. Panic Buying ketika PKP tahun lepas menyebabkan akhirnya terbeli juga cdnya...haha...

Ternyata tak banyak yang berubah. Blackrose masih tetap rock n roll. Kemasukan Amir (vokalis) dan Lan (gitar) yang kedua-duanya dari Cinema tidak mengubah mereka. Pengaruh Poison dan glam metal memang jelas kendegaran. Lagu-lagunya memang rocking, memang Poison.... Tak ada terasa sangat pun ketiadan Ajin. 

Album ini membuktikan yang mereka sebenarnya boleh bermain muzik dengan baik. Boleh juga mencipta lagu sendiri. Kerenah syarikat rakaman dan penerbit album sebenarnya yang banyak membunuh band-band rock melayu untuk bebas berkarya.

Sayangnya album ini kurang mendapat sambutan. Mungkin ianya terbit pada tahun yang salah. Pertengahan 90an adalah era rock leleh di Malaysia manakala di barat pun konsep sebegini (glam metal) tidak lagi diterima ramai.

Walaupun lebih 20++ tahun terlambat, Blackrose - Rock n Roll telah menjadi salah satu album rock melayu kegemaran saya. Memang best!


Friday, December 17, 2021

Search - The Polygram Years 1985-1988

 Akhirnya...


Lengkap sudah kesemua album Search ketika mereka di bawah label Polygram Records di"piring hitam"kan. 

Bagi mereka yang sebaya, majoritinya meletakkan zaman ini adalah zaman Search yang paling diminati. Mungkin ianya bukanlah yang terbaik tetapi ianya lebih kepada nilai nostalgia membeli dan mendengar kasetnya ketika zaman remaja. 

Kesemuanya juga ada dimiliki dalam bentuk cd dan kaset. Boleh dah kalau nak buat entri "gila format" bila rajin nanti 😁

Saturday, November 20, 2021

Espirit De Corps

Cd reissue terkini...

Crossfire - Espirit De Corps (1994) - reissue 2021

Tak pernah dengar ni. Nasiblah ada versi reissue. Tapi memang tau lah kewujudannya. Dulu setiap kali ke rumah bapa saudara di Kota Tinggi, pastinya akan nampak kaset ini di rak kaset di rumahnya. Ianya kepunyaan sepupu. Tetapi tak pernah pula tergerak hati untuk pinjam atau mendengarnya setiap kali berkunjung kesana.

Baru tahu juga yang vokalis untuk album ini bukannya vokalis asal, Aim tetapi Asri. Hebat juga vokalnya. Tetapi beliau terlalu banyak menggunakan suara falsetto menjerit yang kadang-kadang rasa agak menganggu juga di telinga saya.

Dari segi lagu-lagu berat, memang ada beberapa lagu ("Puteri Duyung" contohnya) yang berbunyi seakan-akan speed metal ala-ala Judas Priest atau Riot. Lagu instrumental "Espirit De Corps" pula seolah-olah versi neo classical speed metal melayu yang cenderung kepada Malmsteen. Tetapi tidaklah semuanya lagu berat. "Nepotisme" adalah sebuah lagu mid-tempo ala-ala band US power metal 80an manakala "Kamikaze" pula ada bauan Guns N Roses. "Resah" pula sekadar sebuah lagu filler. Dan ada juga 3 lagu cari makan (balada).

Dikatakan yang lagu "Pelangi Jingga" adalah sebuah lagu yang agak popular pada ketika itu. Sering dimainkan di radio. Malangnya saya tidak pernah tahu. Nampak sangat tak dengar radio.😁. Tetapi selepas 2,3 kali pendengaran memang sedap lah lagunya. Memang patut jika ianya popular.

Apa-apa pun ini sememangnya patut dipuji. Tabik untuk 2 gitarisnya, Yus dan Burn kerana menghasilkan rif-rif dan twin gitar solo yang bagus-bagus malah beliau berdua adalah penerbit dan pencipta hampir kesemua lagu-lagu didalam album ini. Respek!

"Puteri Duyung", "Prejudis", "Nepotisme", "Espirit De Corps" dan "Andrew" adalah 5 lagu speed metal atau US power metal acuan melayu yang rasanya cukup berbaloi untuk cd ini dimiliki. Ok la..."Pelanggi Jingga" pun ok...


Thursday, November 11, 2021

Rock Kapak - Ipoh Music Symposium

 Antara yang terkini dalam pasaran buku...


Jarang nak jumpa buku pasal rock dalam bahasa melayu. Orang kita memang memang amat jarang nak buat buku biography apatah lagi buku tentang muzik. Mungkin kita sendiri yang kurang menghargai sejarah muzik menyebabkan penerbit buku tidak berminat untuk menerbitkan buku berkisar muzik dan biography pemuzik.


Sekali sekala terjumpa bahan bacaan macam ini memang tak akan dilepaskan peluang. Belum sempat baca pun lagi. Berderet sebenarnya buku yang tengah tunggu giliran untuk dibaca. Netflix dan yang seangkatan dengannya memang menyebabkan hampir kesuntukan masa lapang untuk membuat perkara lain.


Kongsi sedikit tajuk-tajuk yang boleh kita baca dalam buku ini. Ianya adalah himpunan pendapat, kajian, pemerhatian dan pengalaman beberapa orang individu yang dipilih untuk dibentangkan di dalam majlis Ipoh Music Symposium 2020 yang bertemakan "Rock Kapak".


Kongsi sekeping gambar. Kalau nak tengok yang lain kena lah beli bukunya. Tetapi bersesuian dengan penerbit dan penganjurnya iaitu Arkib Muzik Perak (AMP), sudah semestinya majoriti gambar adalah band rock kebangaan dari Perak iaitu SYJ.

Tabik kepada AMP yang berjaya mendokumentasikan bahan-bahan sejarah musik terutamanya dari Perak. Sepatutnya negeri-negeri lain juga kena mengikuti jejak langkah mereka sebagai contoh.