Thank you for the music.
Ross 'The Boss' Friedman
(January 3, 1954 – March 26, 2026)
Remembering my youth - 35th anniversary
David Lee Roth - A Little Ain't Enough (15/01/1991)
Saya bukanlah peminat David Lee Roth. Van Halen saya adalah era Sammy Hagar, kerana itulah adalah zaman remaja saya.
Cd ini dibeli semata-mata kerana Jason Becker. Saya rasakan muzik David Lee Roth bukanlah pilihan tepat untuk beliau, apatah lagi apabila rakan shredder Cacophony beliau, Marty Friedman bersama Megadeth.
Sayangnya, ini merupakan hasil kerja terakhir beliau. Selamanya beliau akan menjadi gitar hero untuk saya.
Terus kuat Jason. Anda adalah satu inspirasi!
Antara yang terkini di pasaran.
Smith/Kotzen - Black Light/White Noise (4 April 2025)
Album kedua dari gandingan Adrian Smith & Richie Kotzen. Secara jujurnya saya membeli cd ini semata-mata kerana Adrian Smith. Dan jujurnya juga saya sememangnya kurang berminat dengan hasil kerja Richie Kotzen tak kira samada zaman beliau solo ataupun ketika bersama Poison mahupun Mr. Big.
Beliau lebih kepada blues rock. Satu genre yang kurang kena dengan jiwa. Album ini seperti juga album pertama mereka adalah lebih Richie Kotzen berbanding Adrian Smith yang kita kenal dalam Iron Maiden. Sememangnya agak payah juga untuk hadam album sebegini walaupun ada lagu yang mempunyai solo yang bagus.
Ini adalah satu contoh cd yang dibeli sekadar untuk memenuhi rak. Entah bila nak dengar lagi tu Wallahu a'lam...
Seorang lagi gitar hero telah pergi meninggalkan kita. Hidup di zaman muziknya seperti sekarang memang payah dah nak jumpa seorang pemain gitar hebat seperti ini.
Lagi pembelian album dari 2023...
Andy Taylor - Man's A Wolf To Man (2023)
Dah ada Duran Duran baru kena pula ada yang ini.
Ini pembelian tanpa pradengar di Spotify. Bila dapat tahu yang beliau ada menghasilkan album solo memang terus tak teragak-agak untuk membeli. Zaman budak-budak dulu ketika terjebak dengan Duran Duran, John Taylor adalah band member kegemaran. Tetapi bila mula tersampuk dengan muzik rock, imej rocker Andy Taylor pula menjadi pilihan. Beliau adalah antara gitar hero terawal.
Lagi album pilihan dari 2023
Vandenberg - Sin (2023)
Ini adalah album kedua bagi Adrian Vandenberg selepas kembali meggunakan nama Vandenberg. Album sebelum ini pernah saya tulis di >SINI<.
Dari segi muziknya tiada yang berbeza kecuali kali ini beliau meggunakan Mats Levén (Yngwie Malmsteen, Therion) sebagai vokalis. Menariknya juga kerana Ronnie Romero sudah terlampau "overexpose" dengan bermacam-macam projek lain.
Mats Levén mempunyai vokal blusey yang ada masanya menyerupai David Coverdale. Dengan sejarah Adrian sebagai gitaris Whistenake, maka album ini memang tidak boleh lari dari kedengaran seperti Whitesnake. Lagu yang menjadi tajuk album, "Sin" sememangnya benar-benar seperti lagu Whitesnake.
Adrian Vandenberg sekali lagi membuktikan yang beliau bukan hanya seorang gitaris yang hebat, tetapi boleh juga menghasilkan lagu-lagu yang sedap.
Tambah menarik adalah kulit albumnya. Ianya mengembalikan nostalgia kepada album-album Vandenberg di tahun 80an. Dan jangan tak percaya, ianya dilukis sendiri oleh Adrian seperti juga di album-album lama beliau. Ternyata beliau adalah seorang yang sangat berbakat.
Antara album terbitan 2023 yang dimiliki...
Paul Gilbert - The Dio Album (2023)
Saya tak pandai bermain muzik. Naik main gitar pun tangan bangku. Disebabkan itu memang jarang membeli album instrumental. Rasanya tak sampai 3 pun di dalam simpanan. Tetapi yang ini ada sedikit pengecualian. Mat Rock memang jarang tak minat Ronnie James Dio.
Secara ringkasnya album ini adalah album tribute Paul Gilbert kepada Dio. Lagu-lagu yang dipilih adalah lagu-lagu kegemaran beliau dari zaman Rainbow, Black Sabbath dan Dio.
Semua alatan muzik kecuali drums dimainkan oleh beliau sendiri. Malah bahagian vokal juga. Tetapi ianya bukanlah menggunakan suara, sebaliknya semua bahagian melodi suara dimainkan dengan gitar.
Sususan muziknya hampir sama seperti asal. Mungkin beliau juga memberikan tribute kepada gitar hero beliau (Ritchie Blackmore, Tony Iommi dan Vivian Campbell) dengan cuba bermain seperti yang asal.
Tak ada siapa yang boleh menyangkal kehebatan Paul Gilbert. Percubaan beliau meniru melodi vocal Ronnie James Dio sememangnya berjaya. Ianya sebuah album khas untuk peminat tegar beliau. Jika anda hanya sekadar pendengar kasual, seeloknya dengar sahaja versi yang asal.
Rawak adalah cd/lp yang dibeli secara rawak yang tiada perancangan awal tetapi dibeli bersama-sama dengan cd/lp yang memang dicari kerana ianya secara purata akan dapat menjimatkan kos postage dan adakalanya percuma...
Ace Frehley - Trouble Walkin' (1989)
Ada pilihan samada membeli ini atau Frehley's Comet (1987). Tetapi percubaan mendengarnya di spotify akhirnya memilih yang ini.
Touble Walkin' bersesuaian dengan tahun ianya dikeluarkan mempunyai pengaruh Glam/Hair Metal yang kuat. Ianya lebih berat dari album sebelumnya. Malah Sebastian Bach, Dave Sabo dan Rachel Bolan dari Skid Row turut menjadi penyanyi latar untuk lagu "Back to School".
Dulunya tak mengambil tahu sangat tentang Ace. KISS yang betul-betul saya dengar adalah zaman Mark St. John (Animalize) dan kemudiannya Bruce Kulick. Saya tak merasakan yang Ace adalah shredder. Ketika itu saya lebih gemarkan band-band yang mempunyai gitar shredder. Kemudiannya bila saya mula mengumpul cd-cd KISS baru saya dapat menghargai beliau.
Tak rasa pun yang album ini popular. Tetapi lagu cover dari ELO, "Do Ya" sedap. Dan mungkin juga "Hide Your Heart" versi Ace lebih menarik dari versi Paul Stanley dalam album KISS - Hot In The Shade (1989)...
Lagi pendengaran secara rawak ketika bekerja dari rumah...
Cacophony - Go Off (1988)
Antara album yang cukup popular dikalangan rakan-rakan yang kaki gitar shredder. Apa-apa sahaja keluaran dari Shrapnel Records memang sudah pastinya mengujakan terutamanya untuk para guitarist wannabe pada ketika itu. Saya yang "tangan bangku" untuk bermain gitar pula hanya setakat mendengarnya sambil lalu.
Saya tidak pernah membeli apa-apa kaset gitar hero. Saya tahu salah seorang rakan sekampung saya pasti akan membelinya. Beliau agak kemaruk untuk menjadi gitar hero. Makanya hampir kesemua kaset-kaset keluaran Shrapnel Records yang ada di pasaran pasti akan beliau beli. Ketika saya menutut di ITM pun begitu juga. Ramai rakan-rakan yang handal bermain gitar memiliki kaset-kaset dari Shrapnel Records. Saya hanya sekadar tumpang pinjam dan dengar...Bijak kan?😀
Tetapi yang betul-betul rasa teruja nak mendengar Cacophony adalah selepas Megadeth - Rust In Peace (1990). Bila dapat tahu yang Marty Friedman bermain untuk Megadeth, pada ketika itulah mula mencari semula kaset-kaset Cacophony, album solo Marty - Dragon's Kiss dan tidak terkecuali juga Jason Becker - Perpetual Burn.
Go Off sama juga seperti album pertama mereka, Speed Metal Symphony adalah album yang menonjolkan kehebatan Marty dan Jason. Cumanya pada saya Go Off lebih memberi ruang kepada Peter Marino untuk menyanyi. Sayangnya pada saya itulah kesilapannya. Kelemahan utama Cacophony adalah di bahagian vokal.
Tapi tak kisahlah. Sesiapa pun yang mendengar album ini tujuan utamanya adalah untuk mendengar hasil kerja tangan bijaksana dari Marty dan Jason. Dan ianya memang sangat bagus. Sangat bagus tu maksudnya untuk yang minat gitar shredder lah. Yang kata main laju-laju nak pergi mana tu pergilah dengar album lain...
Antara yang terbaru di pasaran...
Adrian Smith & Richie Kotzen - Smith / Kotzen (2021)
Tiada tour/show/konsert ketika lock down pandemic Covid 19 menyebabkan ramai pemuzik mempunyai banyak masa terluang. Adrian Smith & Richie Kotzen menggunakan masa tersebut untuk berkolaborasi bersama. Rupa-rupanya mereka telah lama berkawan walaupun genre muzik mereka agak berbeza.
Album ini diterbitkan oleh mereka secara bersama-sama. Dari segi lagu, lirik dan permainan muziknya juga adalah dari gabungan mereka berdua. Kecuali track drum adalah dari pemuzik jemputan (Nicko McBrain adalah salah seorang darinya, namun begitu 5 daripadanya dimainkan sendiri oleh Richie Kotzen). Dari segi vokal walaupun mereka berduet untuk setiap lagu, tetapi ikut pendengaran saya rasanya lebih banyak bahagian diberikan kepada Richie kerana sememangnya sedia maklum yang beliau mempunyai vokal yang lebih bagus berbanding Adrian.
Tetapi yang menjadi perhatian untuk album sebegini sudah pastinya kerja gitar mereka berdua. Bila 2 orang gitar hero bergabung sudah semestiya solo-solo gitarnya yang lebih menjadi tumpuan. Saya dapat rasakan yang mereka berdua tidak cuba untuk membayangi antara satu sama lain. Ianya lebih kepada solo-solo gitar yang saling melengkapi. Dan ianya memang menarik.
Secara jujurnya album sebegini bukanlah selera saya. Pada saya ianya lebih kepada Richie Kotzen berbanding Adrian Smith. Lagu-lagu yang mempunyai pengaruh blues rock seperti ini sememangnya sudah sinonim dengan Ritche. Tidak ada lagu yang melekat dengan sekali pendengaran. Tetapi ianya adalah sebuah album yang menarik untuk dijadikan muzik latar belakang ketika berkerja dari rumah. Solo-solo gitarnya memang padu.
Randy Rhoads sebelum Ozzy dan Quiet Riot sebelum Metal Health...
Quiet Riot - Quiet Riot (1977)
Album ini sebenarnya hanya pernah dikeluarkan di Jepun. Randy Rhoads ketika hayatnya dan keluarga beliau selepas kematiannya tidak membenarkan ianya di keluarkan semula terutamanya di US. Pernah terbaca yang Randy berasa malu dan pernah menangis bila ibunya sendiri mengkritik album ini. Dan ada juga terbaca yang Kevin Dubrow semasa hayatnya juga tidak mahu album ini dikeluarkan semula. Tak pasti juga adakah album ini pernah dikeluarkan dalam bentuk cd. Yang pastinya versi cd kepunyaan saya ini adalah versi bootleg dari Russia.
Album ini memang jauh bezanya jika hendak dibandingkan dengan Quiet Riot di zaman Metal Health apatalah lagi Randy di zaman Ozzy Osbourne. Ia sememangnya bukan sebuah album heavy metal. Muziknya lebih terarah kepada pop rock 70an. (ala-ala Queen mungkin?..). Kerja gitar Randy dalam album ini juga agak kurang menonjol jika hendak dibandingkan dengan status beliau sebagai gitar hero di kemudian harinya. Namun begitu ada juga solo-solo dan rif-riff beliau yang sudah nampak ke arah tersebut. Cumanya mungkin produksi album ini yang kurang memberi perhatian kepada gitar beliau.
Album ini sering mendapat ulasan dan kritikan dengan rating yang rendah. Tetapi secara peribadinya, saya rasa ianya masih sebuah album yang saya boleh enjoy selagi tidak kita membandingkannya dengan Blizzard of Ozz, Diary of a Madman, Metal Health atau pun Condition Critical.
Lagi album tahun 2020 yang ada dalam simpanan...
Vandenberg - 2020 (2020)
Saya adalah peminat Adrian Vandenberg. Dia adalah salah seorang gitar hero di zaman saya membesar. Mengenali muzik beliau sebelum zaman Whitesnake lagi. Adrian dan kumpulan beliau, Vandenberg membawa saya kembali ke zaman kaset Apache. Ada 2 lagu mereka yang terkandung dalam siri kompilasi "The Ultimate Revenge Of Kerrang!" yang mengenalkan saya kepada mereka. ("Burning Heart" dan "All the Way").
Kini beliau kembali menggunakan nama Vandenberg sebagai satu band. Walaupun tanpa anggota yang asal, sudah semestinya Vandenberg adalah beliau. Arah tuju muziknya masih sama. Album ini mengembalikan nostalgia tersebut.
Dengan Ronnie Romero bertindak sebagai vokalis, ianya seperti mendengar album Raibow atau pun Whitesnake. Tak pelik pun. Ritche Blackmoore pun menggunakan khidmat Ronnie untuk Rainbow. Beliau mempunyai kekuatan vokal yang seakan-akan seperti Ronnie James Dio, Jeff Scott Soto mahupun David Coverdale.
Album ini juga menampilkan rakaman semula lagu "Burning Heart". Ianya lebih perlahan dengan solo Adrian yang lebih mendayu. Boleh tahan sedap. Tetapi saya lebih menyukai versi asal dari tahun 1982. Bukan sahaja kerana nilai nostalgianya tetapi kerana soundnya yang lebih "raw"...lebih 80an...
Yang pastinya, Vandenberg 2020 adalah salah satu album hard rock kegemaran saya untuk tahun 2020. Cuba dengarkan lagu "Shadows Of The Night". Memang umphhhh...
Lagi berita sedih. Banyak pula berita sedih untuk tahun 2020 ni. Kali ini dikejutkan pula dengan pemergian salah seorang gitar hero dan idola saya sejak dari zaman awal remaja…
Beliau memang idola la. Terer main gitar. Hensem. Kahwin dengan actress. Budak rock mana la yang membesar pada tahun 80an yang tidak mahu menjadi rockstar seperti beliau.
Lagu Van Halen saya yang pertama bukannya "Jump", tetapi "I'll Wait" (dari album yang sama,1984) yang saya dengar dari kaset kompilasi cetak rompak lagu-lagu pop hits zaman tersebut. Tetapi yang tidak saya sedari, saya telah terlebih dulu mendengar lagu "You really Got Me" (dari album pertama 1978) yang pada ketika itu saya tak tahu pun siapa penyanyinya.
Popular lagu ni di sekitar JB pada awal 80an dulu. Band kerja kahwin memang selalu main sampaikan Search pun cover lagu ni dalam album Cinta Buatan Malaysia. Bila lagu "Jump" meletup, terutamanya selepas menonton rancangan "Playback 84" di tv, baru saya tahu yang Van Halen adalah sebuah kumpulan rock dan Eddie adalah seorang pemain gitar yang hebat....and the rest is history...
Rasanya inilah penamat untuk band Van Halen. Tiada siapa yang berhak untuk menggantikan beliau. Selain dari Ritchie Blackmore, Yngwie Malmsteen dan Michael Schenker, beliaulah antara pengaruh terbesar kepada semua gitaris dunia rock melayu pada tahun-tahun 80an dahulu.
Thanks for the music
Edward Lodewijk Van Halen
January 26, 1955 – October 6, 2020
Lagi berita sedih.... Terutama untuk peminat UFO. Selepas Paul Raymond, kemudiannya Paul Chapman... Kini pengasas dan pemain bass lagenda Pete Way pula... 😭
Beliau adalah salah seorang idola saya. Maklumlah dulu-dulu zaman budak sekolah bila kita tak pandai sangat main gitar dan pemalu pula nak jadi penyanyi, tempat kita kalau nak tinggi sikit tarafnya dari seorang groupies adalah menjadi pemain bass...Hahaha...
Sama seperti Steve Harris, saya juga menjadikan Pete Way sebagai idola. Lagaknya di atas pentas bersama Gibson Thunderbird memang sangat rock star. Impian budak-budak seperti saya.
Lawaknya saya hanya betul-betul tahu tentang beliau bila beliau sudah pun keluar dari UFO dan menubuhkan Waysted. Maklumlah zaman budak-budak saya dulu, UFO adalah semata-matanya Michael Schenker.
Thanks for the music sir...
PETE WAY
Aug 7, 1951 - Aug 14, 2020