Showing posts with label bloodshed. Show all posts
Showing posts with label bloodshed. Show all posts

Tuesday, May 9, 2023

Gila Format - Samarkand

Antara "wish list" untuk dimiliki dalam bentuk piring hitam yang akhirnya tercapai. 

Bloodshed - Samarkand (piring hitam keluaran semula - 2023)

Samarkand tidak perlukan pengenalan. Ianya adalah salah satu album terbaik hard rock / heavy metal yang pernah dihasilkan. Period!

Sound piring keluaran semula ini bolehlah dikategorikan sebagai boleh tahan. Dengan sumber asal yang terhad, mungkin ini yang terbaik kita boleh dapat. 

Kalau ada isu yang hendak di ketengahkan pun cuma gambar cover yang tidak menggunakan gambar asal (seperti cover kaset) dan sedikit ganguan pada awal lagu Satria Mega. (Saya mencuba dengan 2 pemain turntable. Satu "jumping" dan satu lagi sekadar menghasilkan bunyi "tap")

Kini lengkaplah sudah gila format. Seperti gambar di bawah, kiri atas adalah cd cetakan pertama 1997, kanan pula cd rilisan semula 2015 dan bawah adalah kaset asal 1987.


Tetapi yang pastinya, harga piring hitam sebegini semakin mahal. Mungkin ada benarnya kata-kata "hobi kami mahal". Muzik secara fizikal bukanlah sesuatu yang mampu dimiliki oleh semua orang. Semakin mahal harganya semakin generasi baru menjauhkan diri. Tak hairanlah kalau format begini semakin dilupakan.

Muzik secara fizikal sudah menjadi satu cabang hobi dan kenangan silam. Dan membeli kenangan itu sememangnya sesuatu yang semakin mahal…😞



Monday, February 8, 2021

Ilusi Sebuah Mimpi

Kenangan zaman remaja...

Bloodshed - Ilusi Sebuah Mimpi (1987)

Ada beberapa album yang tak pernah jemu di dengar walaupun usianya dah melebihi 30 tahun. Ilusi Sebuah Mimpi adalah salah satunya darinya. Bayangkan dari usia teruna suci 16 tahun hinggalah dah mencecah ke usia boleh keluar akaun 2 KWSP 😀, masih tetap tak jemu-jemu didengar tanpa perlu "skip" mana-mana lagu.

Sememangnya ini adalah album Bloodshed yang menjadi kegemaran. Samarkand juga bagus. Tetapi ada lagu yang kurang berkenan. "Tangisan Salju Di Khatulistiwa" adalah lagu yang selalu kena "skip" sejak dari zaman kaset. Mendayu sangat. Walaupun "Restu" dalam Ilusi Sebuah Mimpi juga mendayu, tetapi ianya mengingatkan saya kepada lagu "So Tired - Ozzy Osbourne".

Satu lagi yang menarik tentang Ilusi adalah soundnya yang "raw" dan di tambah pula dengan kerja gitar Hamdan Reko. Memang sedap. Memang harap sangatlah ianya akan dikeluarkan semula dalam bentuk piring hitam. (walaupun dikhabarkan Samarkand yang akan dikeluarkan semula). Maklumlah...nak dapat yang asal memang harga yahudi mabuk todi 😁 



Tuesday, August 18, 2020

Kaset rock

Baru jer dapat kaset-kaset ni. Taklah beriya-iya sangat nak cari. Hobi mengumpul kaset taklah seaggresif mengumpul cd. Kata orang rezeki dan tuah tak salah alamat. Kebetulan pula ada sahabat yang nak jual.


Ketiga-tiga kaset ini adalah kenangan dari zaman sekolah sekitar tahun 1986 dan 1987. Tahun-tahun yang baru terjebak dengan muzik rock dan metal dan ini adalah antara album-album rock melayu terawal yang pernah diterbitkan.


Akhirnya setelah 33 tahun barulah dapat memiliki versi kaset yang asli. Dan secara rasminya dah boleh masuk frame dah versi pirate ni 😁 (Lefthanded Keadilan versi lanun lama dah hilang)


Secara jujurnya, di antara ketiga-tiga kaset ini, saya tak pernah tengok kaset Ilusi Sebuah Mimpi yang asli. Akhirnya setelah 33 tahun.....😊



Thursday, April 30, 2020

Hiburan WFH - Battle of the Bands Round 2


Lagi hiburan yang mengimbau kenangan lalu...


Battle of the Bands - Round 2 (1986)

Ada 2 benda lah yang ingat pasal album ni. Satu gambar inlay Ella kena peluk 😂 dan satu lagi nak cerita kat bawah ni.

Tahun 1986. Nak ambik SRP. (iyer... Memang dah tua... Tapi muda sikit la dari yang ambil LCE 😅). Masa ni dah start rock sikit-sikit. Tapi masih dengar A-ha. Abang bawa balik kaset Scoundrels Day masih suka walaupun dah tak kemaruk macam Hunting High and Low. Tapi lebih berminat dengan kaset Van Halen - 5150 yang juga dia bawa. Jiwa rock tu dah bermula.

Pergi kelas malam untuk SRP, ada seorang rakan bawa kaset BOTB Round 1. Dia suruh dengar. Best dia cakap. Masalahnya dia tak nak bagi pinjam. Sayangnya sebagai budak sekolah mana la ada duit nak beli kaset. Nak minta mak abah jangan harap lah. Kami bukanlah dari keluarga pendengar muzik walaupun abah ada la sedikit koleksi piring hitam dan katrij.


Masa tu tak pernah beli kaset. Biasa dengar sahaja apa yang abang dengar. Mula dari itu berhasrat nak beli koleksi sendiri. Perlahan-lahan mula kumpul duit sekolah. Mak bagi 50 sen sehari. Kena lah berjimat cermat. Kaset melayu cetak rompak masa tu harganya RM2.50. Kalau Orang Pueh RM3.00. Kaset yang asli memang tak mampu lah. Lagipun kedai kaset kat Pekan Ulu Tiram memang jual yang cetak rompak sahaja. Nak yang asli kena pergi ke bandar Johor Bahru.

Tak ingatlah beberapa bulan selepas tu, penghujung 86 kot. Bila nak beli kaset Round 1 rupa-rupanya dah keluar yang Round 2. Dan kalau tak silap (maaflah benda dah 30++ tahun tak berapa nak ingat dah) ianya adalah kaset rock melayu pertama yang dibeli sendiri. Atau pun mungkin yang kedua selepas Langit Dan Bumi. Hmmmm... Memori makin lemah...

Kali pertama dengar terus suka. Ianya menjadi salah satu penyebab mengapa saya meninggalkan Duran Duran, A-ha dan segala muzik new wave 80an yang lainnya selepas dari ini.

Walaupun dah 30++ tahun tapi masih hafal setiap lirik lagu-lagu nya. Masih tak jemu. Kalaulah saya ada DeLorean....



Sunday, April 15, 2018

Battle Of The Bands


Battle Of The Bands (2006)

Ini sekadar melengkapkan koleksi. Tak beli pun. Tapi ada seorang sahabat bermurah hati nak bagi. Dia yang sambut hari jadi, saya pula yang dibaginya hadiah…hahaha..(terimkasih Encik Hensem Portdy)

Sedikit info, cd ini didatangkan dalam bentuk 2 disc dengan gabungan album BOTB Round 1 dan BOTB Round 2. Susunan lagunya sama seperti versi 2 disc keluaran tahun 1997. Kedua-duanya kurang satu lagu (Hanya Secebis Jawapan - Ella & The Boys)


Yang menarik tentang versi ini adalah inlaynya. Ianya disertakan dengan biodata band-band yang mengambil bahagian. Walaupun ianya bukanlah biodata yang lengkap, tetapi sekurang-kurangnya ada usaha ke arah itu.


Selepas ni memang rasanya dah tak cari dah apa-apa pun keluaran tentang Battle Of The Bands. Cukuplah apa yang ada. Yang kurang cuma versi kaset dan gold disc cd BOTB Round 2. Tak apa lah. Tak cari pun. Pernah ada versi kaset dulu-dulu (versi cetak rompak). Tapi dah hilang ntah kemana.






Saturday, December 30, 2017

Battle Of The Bands Round 2 vinyl

Yang terkini di pasaran...


Battle Of The Bands - Round 2 (piring hitam 2017)

Selepas Battle Of The Bands di piring hitamkan, kini giliran Round 2 pula. Sebuah album yang tak perlu di perkenalkan lagi. Memang tak rock la kan kalau tak tau. Ianya adalah kenangan terindah bagi muda mudi yang membesar di zaman tersebut. Diam tak diam dah 31 nak masuk 32 tahun. Yang dulunya muda belia ketika membeli kaset ini pun kurang-kurangnya dah masuk umur 40 tahun dah...cepat betul masa berlalu.


Piring hitam ini semenangnya sesuai untuk collectors dan mereka yang hendak mengimbau kenangan silam. Nak kata istimewa pun tak juga. Packaging simple. Gatefold yang di dalamnya sekadar lirik. Gambar covernya kurang sharp. Ada muka band member yang memang tak nampak apa. Seperti biasa ayat 'klise'nya...biar ada dari tak ada..


Dari segi sound tak ada nak komplen sangat. Biasa la volume kena up dari biasa. Tak pasti sumbernya dari mana. Mungkin juga dari cd. Seperti yang dikatakan awal tadi, lp ini memang sesuai untuk collectors dan mereka yang mengimbau kenangan silam. Nak beli yang asal memang susah nak dapat dan harga pun tak masuk akal.


Tapi tu la....harga lp-lp reissue ini pun sebenarnya agak mahal juga. Berbalik pada point asal...Memang ianya hanya untuk collectors dan mereka yang ada kenangan silam (macam saya).



***harapnya Juara Juara Rock juga akan dipiringhitam walaupun nanti hati gembira kocek menangis...




Saturday, December 9, 2017

Samarkand



Bloodshed - Samarkand (1987)

Masuk bulan disember ni kalau tak silap dah 30 dah usia album ni. Masih ingat dulu beli kasetnya dapat poster kalendar tahun 1988. Bertahun juga poster tu bertampal kat bilik sehinggalah mak buat make over bilik habis semua poster kena buang.

Ini antara album terbaik rock melayu. Sayangnya kat Malaysia ni dari syarikat rakaman hinggalah yang kononnya peminat rock memang buat tak tak tau atau tak ambik tau tentang tarikh dan sejarah.

Kalau orang puteh ni dah tentu tentu akan adanya terbitan semula sempena ulang tahun dengan bermacam macam terbitan dan bonus track. Tapi kat Malaysia ni mimpi la. Berapa kerat jer yang nak beli...dan kalau buat pun jadilah macam Search Fenomena Made in USA....kata orang tu pun sekadar menangguk di air keruh...

Ok la...harap satu hari nanti Samarkand ni akan keluar juga versi piring hitam...come on record company...take my money.... 😁





Sunday, November 5, 2017

Battle Of The Bands - vinyl

Yang terkini di pasaran..


Battle Of The Bands (piring hitam 2017)

Kali pertama dikeluarkan dalam bentuk piring hitam. Sebuah album yang tak perlu diperkenalkan lagi. Album wajib untuk untuk semua mat rock. Album yang menjadikan muzik rock satu budaya di Malaysia. Tak rock la kan kalau takder album ni...



Untuk standard lp rock melayu...ni kira ok la...sound...packaging pun ok...takder nak komplen sangat...ada duit lebih sila beli...


Kaset dah hilang. Tak boleh la nak buat giler format. Harapnya selepas ini Round 2 pulak dipiring hitamkan.


Muzik Rock Yang Sebenar!




Tuesday, September 5, 2017

Battle of The Bands - Limited Gold Disc Edition

Antara yang terkini di pasaran...


Battle Of The Bands -Limited Gold Disc Edition - terbitan semula 2017

Tak pasti mengapa album di keluarkan sekali lagi. Kali terakhir ianya diterbitkan semula adalah 2 tahun yang lepas (2015) ketika demam album-album rock melayu reissue sedang hangat di pasaran.

Mungkin juga kerana isu sound, typo atau inlay kertas lipat 2 maka pembetulan dibuat. Atau mungkin juga ianya lubuk emas untuk meraih keuntungan. Tak kisahlah apa sebabnya. Tetapi untuk siapa-siapa yang terlepas untuk membeli edisi tahun 2015, maka inilah masanya untuk membeli album lagenda yang menjadikan muzik rock satu budaya popular di Malaysia.

versi 1997 vs 2015 vs 2017
Apa yang berbeza? Dah tentu-tentunya seperti apa yang dicanangkan adalah cdnya berwarna gold dan sound 24-bit digitally remastered. Memang betul. Gold discnya lebih baik dari gold disc merapu Hukum Karma. Soundnya pun lebih baik dari versi 2015. Tapi rasa macam sama sahaja jika anda mempunyai versi 2 dalam 1 tahun 1997. Mungkin juga ianya di ambil dari versi tersebut. Maklumlah versi ini khabarnya dikeluarkan sendiri oleh Sony Music melalui PMP Entertainment bukannya disubkan bawah label Rusa Marketing. (Maaf...jika salah info...sila perbetulkan jika salah)

beza gold disc antara dua
Inlay pula kali ini jenis lipat 3. Tak adalah istimewa sangat pun kecuali ada sedikit info berbanding versi 2015 yang langsung tak ada. Tapi apalah salahnya kan, dah alang-alang buat versi remastered, jemputlah Ali Bakar (contohnya) untuk menulis sedikit coretan sementara mereka yang terlibat dalam BOTB ni masih hidup. Susah betul nak jumpa album-album terbitan semula tempatan yang ada semua ini. Nak tahu tarikh bila album terbit pun susah. Apatah lagi nak harap bonus track...lagilah jangan harap. Kalau ada pun versi pok amai amai (hahaha...)


Tapikan...jangan nak kata versi ni tak ada salah. Typo mungkin dah jadi amalan biasa untuk album-album reissue. Tak tahulah siapa yang tukang check. Whitesteel pun boleh jadi Whitesteed. Hampeh!


Apa-apa pun pergilah beli. Kang kalau tak beli dorang merajuk tak nak keluarkan lagi. Habislah blog ni kena bantai bila cakap macam ni....😅



**May - Rahsia pun dah keluar gold disc...kata support rock melayu...kata collector...pegilah beli 😉










Friday, March 24, 2017

Ilusi Sebuah Mimpi

Yang menyambut ulangtahun ke 30 pada tahun ini..


Bloodsheed - Ilusi Sebuah Mimpi (1987)

Tak ada nak cerita apa. Dah pernah buat sebelum ini. Sekadar memenuhi konsep blog tentang ulangtahun sesuatu album. Sayangnya tak dapat kepastian bila tarikh sebenarnya album ini diedarkan. Ini sememangnya satu kelemahan dalam industri muzik Malaysia. Tiada siapa yang merekodkan secara terperinci tentang terbitan sesuatu album tersebut. Terimakasihlah kepada mereka-mereka yang mengemaskinikan maklumat tentang album-album tempatan di laman www.discogs.com. Perkara sebegini sememangnya berguna untuk generasi akan datang.


Tak tahu nak cerita apa tetapi sekadar nak berkongsi tentang pengaruh kumpulan Anthem terhadap album "Ilusi Sebuah Mimpi". Lagu "Peristiwa" adalah cover version dari lagu "Death To Death". Dulu-dulu memang tercari-cari juga siapakah penyanyinya yang asal. Ketika itu kebanyakan lagu cover version memang tidak dinyatakan siapa pencipta/penyanyi yang asal. (sekadar ditulis "copyright controlled"). Ketika zaman belum ada internet dan sumber yang terhad. Memang susahlah nak tahu lagu yang asal.

Selain itu lagu "Jangan Terpedaya" pula walaupun tidak dinyatakan sebagai lagu cover version. Tetapi memang banyak persamaannya dengan "Finger's On The Trigger". Mungkin kerana ianya tidak ditiru bulat-bulat, maka ianya tidak digolongkan sebagai lagu cover. Zaman tersebut perkara seperti ini memang satu kebiasaan. Memang banyak pun band yang buat.

Walaubagaimanapun, saya menyukai versi Bloodshed dari Anthem. Soundnya lebih raw, laju dan berat....atau mungkin juga kerana sudah terbiasa dengan versi mereka...


**"Death To Death" dan "Finger's On The Trigger" adalah dari album Anthem - Tightrope (1986)






Thursday, March 24, 2016

Battle of the Bands

Yang menyambut ulang tahun ke 30...



Battle Of The Bands (1986) - keluaran semula 2015

Banyak dah diperkatakan tentang album ini. Tak perlulah saya mengulas panjang tentang lagu-lagunya. Pada saya Search-Cinta Buatan Malaysia adalah pembuka jalan tetapi Battle Of The Bands lah yang menjadikan rock dan heavy metal sebagai budaya yang popular di Malaysia

Dikenalkan kepadanya buat pertama kali oleh seorang rakan ketika menghadiri kelas tambahan untuk peperiksaan PMR SRP (giler tua penulis blog ni...hahaha...). Saya dah tak boleh ingat siapa rakan tersebut tetapi yang saya ingat beliau menunjukkan kaset BOTB tetapi tidak membenarkannya untuk dipinjam.


Melihatkan gambar cover dengan perkataan "Muzik Rock Yang Sebenar" telah membuatkan saya teruja. Maklumlah band-band rock yang ada album pada ketika itu selain Search, masih lagi dengan pengaruh rock 70an dan dangdut. Saya sendiri sebelum tahun 1986, masih lagi seorang pengemar Duran Duran. Selepas Iron Maiden dan Search, BOTB lah yang membuatkan saya betul-betul terjebak dengan genre muzik yang sebegini.

Memang tidak dinafikan pengaruh besarnya kepada saya. Sayangnya saya tidak berkesempatan untuk menonton konsert mereka. Konsert hantu begini (hahaha..) janganlah haraplah akan dapat keizinan dari orang tua. Dah lah tahun tersebut tahun peperiksaan. Tambah pula zaman tu pengangkutan untuk ke bandar dari kampung saya bukanlah semudah sekarang. Kena pula kat belah malam. Tak silap saya kalau di Johor Bahru ianya diadakan 2 malam berturut-turut di Dewan Jubli Intan.



Yang paling diminati sudah tentu-tentunya Lefthanded, Maklumlah gitarisnya, Man Kidal juga terlibat dalam album Search - Cinta Buatan Malaysia. Tambahan pula nama beliau dan Lefthanded memang dah cukup popular di sekitar Johor Bahru sebelum zaman Search lagi. Aksi gigit gitar beliau memang dah jadi bualan mat rock sekitar Johor Bahru. "Debunga Wangi" menjadi anthem bagi kami.

Tapi kira yang paling gempak sekali dah tentu-tentulah SYJ. Imej ala-ala Motley Crue mereka memang menakutkan mak bapak. Mana ada orang berani buat lirik maki dan dengan selambanya letak kaki atas meja masa majlis sidang akhbar. Lagu "Orang Timur" menjadi antara lagu kegemaran kami bila jamming di studio.

Senang cerita inilah antara album yang mengubah citarasa muzik saya. Dan dari sinilah bermulanya budaya rock dan heavy metal di Malaysia.

Rekomended!

*masih tak lupa kenangan di kantin sekolah bersama rakan-rakan beramai-ramai menyanyikan lagu Debunga Wangi sambil di iringi petikan gitar oleh senior kami Enal ( gitaris D'Fender - finalis Juara Rock Johor 1988, pernah jadi opening act untuk konsert Wings/Rusty Blade di Stadium Larkin 1989 dan pernah juga keluar dalam URTV) dan Husin (gitaris Kumpulan Sahara - pernah merakamkan album Bahang Bahang (1989) dan pernah keluar Muzik Muzik TV3)...rasa macam tak nak berhenti menyanyi walaupun loceng sekolah telah berbunyi...ianya masih terngiang-ngiang dalam ingatan....





Tuesday, November 24, 2015

Villa Misteri

Lagi cerita pasal album keluaran semula


Blackshed ( Bloodshed ) - Villa Misteri (1989) - Keluaran semula 2015

Pembelian ini hanyalah sekadar untuk melengkapkan koleksi Bloodshed saya. Sama seperti penyanyi asalnya Rosdan yang berhijrah bersama Punisher untuk muzik yang lebih ekstrim, saya juga begitu. Tahun 1989 adalah tahun yang saya rasa bukan saya sahaja, tetapi ramai lagi mat rock yang mula terpengaruh dengan muzik thrash dan mula meninggalkan rock melayu. True la konon-kononnya.

Tetapi pernah juga mendengar kaset ini dahulu. Kalau tak silap kepunyaan sepupu. Dengar sekali dah tak boleh nak masuk terutama kerana suara penyanyinya. Mendengarnya semula sekarang ternyata perkara yang sama terlintas di dalam kepala.

Muziknya bagus. Lagu sedap. Kerja gitar pun bagus. Maklumlah Opie sememangnya seorang gitaris yang bagus. Kalau ingatan saya masih tepat, dalam satu artikel surat khabar yang pernah saya baca, M Nasir pun memuji bakat beliau. Tidak boleh membaca nota muzik tetapi tetap boleh memainkan apa sahaja lagu yang diberi. Sememangnya Opie antara gitaris yang sering digunakan oleh M Nasir untuk kerja-kerja studio album terbitan beliau.

Cumanya muziknya sedikit berbeza dari album Samarkand. Ilusi Sebuah Mimpi apatah lagi. Itu gitaris pun lain. Mungkin kerana bunyi trademark keyboardnya yang berlainan. Kalau tak silap (tolong betulkan kalau silap) pemain keyboard asal mereka Judy pun sudah tidak bersama mereka ketika ini.



Mungkin album ini akan jadi lebih bagus kalau mereka mendapat penyanyi yang lebih sesuai. Penyanyi baru mereka bukanlah tak bagus. Tetapi agak kurang sesuai bila menyanyikan lagu-lagu yang berat dan bernada tinggi. Rasa tersiksa pula bila mendengarnya. Bukan senang ya nak dapatkan suara penyanyi yang betul-betul sesuai utuk menyanyikan lagu-lagu yang bercorak metal.

Rasanya dengan hanya tinggal 2 orang anggota asal memang sepatutnya mereka tidak lagi menggunakan nama Bloodshed. Walaupun sepertimana yang kita tahu, nama Blackshed digunakan hanyalah semata-mata kerana larangan dari pihak berkuasa kerana nama Bloodshed itu dianggap sebagai terlalu ganas dan tak bersesuai dengan budaya Malaysia.

Antara yang menarik perhatian saya adalah lagu 'Fillo Bercandi'. Bukan kerana saya sukakan lagunya tetapi intronya mengingatkan saya kepada lagu 'Hallowed Be Thy Name' dari Iron Maiden. Manakala lagu '1 & 1000' pula mengingatkan saya kepada XPDC. Setelah diperiksa rupa-rupanya ini lagu Arwah JS Kevin. Padanlah melodinya mengingatkan saya kepada XPDC. Mungkin kalau lagu ini di'xpdc'kan tentu lebih sedap.

Beli. Itupun jika anda mahu melengkap koleksi Bloodshed anda.





Tuesday, November 3, 2015

Ilusi Sebuah Mimpi

Lagi album reissue...


Bloodshed - Ilusi Sebuah Mimpi (1987) - Keluaran semula 2015

Akhirnya...dalam banyak-banyak album reissue yang dah dikeluarkan. Ini adalah antara album yang paling saya tunggu-tunggu. Semestinya salah satu album rock kegemaran sepanjang zaman.

28 tahun yang lalu, ini adalah soundtrack kehidupan saya. Hari-hari dengar. Naik lunyai dah kasetnya. Semua lagu pun best. Tak pasti kenapa album ini dan lagu-lagunya tidak sepopular album Samarkand. Padahal lagu yang menjadi tajuk album ni pun punyalah sedap. Liriknya pun bukan lirik yang biasa-biasa.

yang kiri ori...yang kanan versi cdr

Nak yang berat, lagu-lagu seperti "Pertumpahan Darah" dan "Peristiwa" cukup berat dah. Nak lagu slow rock cintan, "Memori Biru" pun syahdu. Lagu "Restu" pula patut jadi antara anthem untuk setiap kali hari ibu. Tak tahu di mana silapnya. Mungkin juga kerana kurang promosi dan lagu-lagunya pun seperti tidak pernah pun dimainkan di radio. Senasib seperti album Belantara.

Highlight utamanya bagi saya adalah kerja gitar gitarisnya Hamdan. Memang best. Mungkin ada yang kata Opie lagi best. Tetapi pada saya sound, rif dan solo-solo gitar Hamdan memang hebat. Raw. Kadang-kadang mengingatkan saya kepada George Lynch (Dokken). Kalau lagu-lagu slow tu memang menusuk kalbu. Sayangnya beliau keluar dari Bloodshed selepas dari album ini. Trademark gitar warlock beliau akan tetap menjadi identiti bagi Bloodshed.

Yang ni malu nak tunjuk...bukan sebab dah terbarai...tapi pasal ianya bukan ori...Tapi zaman tu bukan sahaja pasal budak sekolah yang tak berduit...tapi kedai kaset pun kalau di kawasan ceruk seperti saya agak sukar nak dapatkan kaset yang asli...dulu cetak rompak memang teruk...sekarang ni harapnya janganlah ada lagi yang terus menyokong...Belilah yang asli!

Tak kisahlah walaupun sumber asal cd reissue ini di ambil dari piring hitam. Yang penting ada. Design covernya pun cantik. Sound pun boleh tahan. Paling suka rekaan di cdnya yang berbentuk old school. Tahniah kepada mereka-mereka yang berusaha menjadikan impian saya satu kenyataan. (tunggu Belantara pula...)

Terbaik. Rekomended!







Monday, October 12, 2015

Samarkand

Demam cd rock melayu 80an reissue berterusan....



Bloodshed - Samarkand (1987) - keluaran semula 2015

Dah pernah buat cerita pasal album ni 6 tahun yang lalu. Kalau rajin nak baca apa yang saya merepek ketika itu sila klik >SINI<

Rasanya tak perlulah saya ulas lagi. Cuma saya ingin berkongsi perbezaan yang terdapat antara cd keluaran semula 2015 ini dengan cd asal 1st press terbitan tahun 1997.


Dari segi sound rasanya cd 2015 ini tidak jauh ketinggalan dengan 1997. Tak pasti sumber mana yang digunakan. Tak rasa pun dari master tape yang asal. Mungkin juga piring hitam atau mungkin sumbernya sememangnya dari cd 1997 ini. Pasal itu soundnya tidak jauh berbeza.

2015 (kanan) 1997 (kiri)
Tapi yang pastinya gambar cover dan inlaynya memang berbeza. Saya pasti yang cd terbitan 2015 ini menggunakan cover kaset sebagai rujukan. Font tulisan Samarkand adalah sama dengan di kaset.


Inlay di belah dalam dan graphic di atas cd juga berbeza. Yang atas 2015, bawah 1997.


Inlay 2015 jenis kertas sekeping lipat dua, manakala 1997 jenis kertas panjang berjela.


Begitulah lebih kurang perbezaannya. Yang 1997, "packaging"nya lebih berbaloi. Tapi tak kisah lah. Nak dapat yang 1997 ni memang dah susah dah. Dapat yang baru ni pun dah kira elok...janji soundnya bagus.



Monday, April 28, 2014

The Best of Bloodshed Ensaiklopedia




Bloodsheed - Ensaiklopedia The Best of (2012)

Ada beberapa album rock melayu tahun 80an yang saya teringin nak ada dalam bentuk cd. Paling dikehendaki adalah 2 album kumpulan Belantara, Belantara (1987) dan Srikandi Disisi (1988),selain Sofea(SYJ) - Kembali (1987), Gersang - Gersang (1988) dan Bloodsheed - Ilusi Sebuah Mimpi (1987). Sayangnya sampai sekarang album-album ini tidak pernah diterbitkan dalam bentuk cd.

Bila pertama kali terbaca kisah album kompilasi dari Bloodsheed ini diterbitkan 2 tahun yang lalu. Jenuh juga mencarinya sehinggalah saya terjumpa cd ini di Muar pada tahun lalu.


Kompilasi ini menarik. Sayangnya saya sedikit kecewa kerana hanya ada 5 lagu dari album Ilusi Sebuah Mimpi. Tak kisah sangat tiadanya lagu "Nostalgia Rindu" dan "Manusia Dan Janji". Kedua-dua lagu ini ada dalam cd Battle of The Band. Tapi bila lagu "Ilusi Sebuah Mimpi", "Restu" dan slow rock kegemaran saya "Memori Biru" tiada...memang sedikit mengecewakan.

Mungkin yang minat album Samarkand akan gembira. Semua lagu ada. Saya tak kisah sangat pasal saya dah ada cdnya. Tetapi bila sampai 9 lagu dari album zaman mereka bertukar nama menjadi Blacksheed memanglah sangat hampeh. Minta maaf. Saya tidak berminat dengan album Villa Misteri dan kurang gemar dengan suara vokalisnya.

Masih menyimpan kaset versi Jack Sparrow ni. Dah 27 tahun dah usianya...kulitnya pun dah nak terbarai... 

Satu lagi yang agak mengecewakan hanya gambar dari Ilusi Sebuah Mimpi yang ada di inlay. Standard biasa bagi  rilisan cd best of di Malaysia. Sekurang-kurangnya pun letak la gambar-gambar kaver album. Nak harap info lain memang jangan haraplah...

Tapi tak kisahlah...sekurangnya ada juga lagu "Peristiwa" dan "Pertumpahan Darah". Tak perlulah lagi saya mendengar versi MP3 yang soundnya tenggelam timbul dan sebu. Maklumlah di"convert" dari kaset.




Friday, February 20, 2009

Samarkand




Cd ini adalah album kedua dari Bloodshed...sebuah band yang berasal dari zaman Battle Of The Band...diterbitkan pada penghujung tahun 1987...ingat lagi dapat free poster kalender thn 88 masa beli kaset ni dulu...bertahun jugak la poster kalender tu tertampal kat bilik aku kat kampung sehingga la bilik tu bertukar tangan jadi bilik adik aku...




masih tersimpan elok kaset ni...dah dekat 22 tahun dah usia kaset ni...kalau anak dara dah boleh masuk meminang...haha..

Walaupun aku lebih suka 1st album Ilusi Sebuah Mimpi...lebih raw..dan gitaristnya Hamdan yang trademarknya gitar warlock ala Blackie Lawless dan yg main ala2 George Lynch tu...aku memang respek ar mamat ni..sayangnya Ilusi Sebuah Mimpi tak keluar dalam bentuk cd...aku hanya ada kaset je...tu pun pirate...



Aku tak ingat bila aku beli cd ni...thn 97 kot...di keluarkan dalam bentuk cd pun kalau tak silap aku pasal ada wartawan dalam Harian Metro komplen susah nak cari album ni..aku tak ingat sapa wartawan tu..tapi dia list kan album Samarkand ni sebagai album no 1 dari senarai 10 album rock melayu terbaik sepanjang zaman..kiranya nasib aku la terjumpa cd ni..

Tracklist:
01. Samarkand (Hamdan/Man Boron)
02. Srikandi Cintaku (M.Nasir/Nasir Jani)
03. Carilah Wajahmu (M.Nasir/Siso)
04. Tangisan Salju Di Khatulistiwa (Hamdan/Man Boron)
05. Tanah, Air Dan Angin (M.Nasir/Usop)
06. Marilah Berjuang (Bloodshed)
07. Kota Itu Illusi (M.Nasir/Usop)
08. Satria Mega (Hamdan/Man Boron)
09. Dibendong Kasih (Bloodshed/Man Boron)
10. Panah Arjuna (M.Nasir.Usop)



Sound Samarkand agak berlainan dari Ilusi Sebuah Mimpi...lebih clean..penerbit pun M.Nasir kan..banyak pengaruh M.Nasir dalam ni...contohnya lagu Tanah, Air, Api dan Angin..dengar melodi pun dah agak tu M.Nasir punya lagu...separuh dari lagu2 dalam cd ni pun M.Nasir yang cipta...kombinasi lagu Hamdan/Man Boron (nama Man Boron ni kvlt sungguh zaman sekolah aku dulu...naper?..tu citer lain..nanti2 la citer...hehe...) masih ada..dan terhasil lagu yang bagus macam Samarkand dan Satria Mega...dan pengganti Hamdan di posisi gitar pun hebat jugak...gitarist tangan kidal dari Kumpulan Scandal (Juara Juara Rock)...Opie..boleh tahan jugak mamat ni...ntah mana pegi la sekarang ek..

Album ni jugak adalah album last vocalistnya Rosdan bersama Bloodshed...kerana lepas daripada itu beliau dah menjadi mat thrash bersama Punisher...sungguh trendy beliau ketika itu...kerana sama macam aku...lepas dari tahun 87,88...semua dah jadi mat thrash...hahaha..



hanya satu lagu aku tak suka dari cd ni..Tangisan Salju Di Khatulistiwa...ngantuk...yang lain2 ok...boleh layan la..macam Samarkand, Marilah Berjuang, Satria Mega tapi tak leh lawan lagu2 heavy Ilusi Sebuah Mimpi macam Pertumpahan Darah dan Peristiwa..

sayangnya selepas Samarkand..Bloodshed terpaksa tukar nama kepada Blackshed...dah akhirnya hilang tah kemana...(dengar citer dorang dah kembali buat reunion)...begitu jugak dengan nasib Rosdan dan Punishernya...setelah begitu digembar gemburkan akan menjadi opening act Metallica akhirnya tak jadi dan juga terus lenyap begitu sahaja...kempunan aku nak dengar thrash melayu zaman tu...hehe..

err..ada member di forum metal terus nak beli cd ni...tapi aku tak nak jual..sekali sekala aku nak riak cdwi...hahaha...