Showing posts with label Testament. Show all posts
Showing posts with label Testament. Show all posts

Thursday, June 16, 2022

The Ritual

Sebuah lagi album thrash yang dah 30 tahun (1992)...

Testament - The Ritual (1992)

Sama kes seperti band-band thrash lain yang dah diceritakan sebelum ini. Testament pun terjangkit sama. Dan seperti yang lainnya, ianya juga tidak saya dengar pada tahun ianya diterbitkan atas alasan yang sama.

Tak ambil tahu tentangnya sehinggalah memiliki cdnya beberapa tahun yang lalu. Entah kenapa ianya tidak di dalam radar walaupun ketika zaman MP3. Saya agak "lost" dengan Testament bila dapat tahu yang Alex Skolnick tidak lagi bersama mereka. Satu-satunya lagu yang diketahui adalah "Return To Serenity". Itupun kerana ianya ada di dalam satu kompilasi cd lagu-lagu ballad yang saya beli.

Hanya mula mendengar semula muzik Testament apabila Alex Skolnick kembali bersama mereka. Ketika itulah album ini kali pertama di dengar. Tak sangka pula jadi minat. Sememangnya muzik mereka telah berubah. The Ritual lebih lembut. Lebih perlahan temponya. Ianya lebih melodic dan sedikit progressif. Ianya percubaan mereka untuk lebih mudah diterima di telinga pendengar biasa. Sebuah album metal komersial ala-ala Black Metallica.

Antara penyebab jadi suka adalah kerana solo dan kerja gitar Alex Skolnick. Seperti yang diketahui, beliau adalah antara gitaris terbaik atau mungkin yang paling baik diantara semua gitaris band-band thrash utama di dunia.

The Ritual juga menonjolkan kekuatan vokal Chuck Billy. Mungkin ianya boleh menjadi antara album kegemaran untuk tahun 1992 jika saya mendengarnya pada ketika itu. The Ritual bukanlah thrash yang biasa. Tetapi ianya di dalam kategori yang masih boleh diterima.  


Tuesday, February 1, 2022

Gila Format - Practice What You Preach

Terkini yang berjaya di"gila format"kan...

Testament - Practice What You Preach (1989)

Satu lagi kapsul masa yang berjaya di"gila format"kan. Ianya mengembalikan ingatan kepada zaman belajar di ITM. Antara kaset yang dibeli dengan menggunakan duit pinjaman belajar 😅. Ianya juga antara pendedahan awal kepada genre yang dipanggil sebagai thrash. Zaman sebelum tu semua pun kita panggil rock ataupun heavy metal.

Zaman tersebut kita tak mampu untuk banyak membeli. Apa yang ada itulah yang akan kita dengar, belek dan baca liriknya berulang-ulang kali. Sememangnya akan melekat terus dalam memori. Pembelian gila format seperti ini sememangnya semata-mata untuk membeli kenangan. Walaupun sebenarnya ia adalah suatu pembaziran semata-mata…hahaha…

Pernah tulis tentang album ini suatu masa dahulu. Ianya pengenalan saya kepada Testament. Yang membuatkan jadi minat pada Testament adalah kerana gitarisnya, Alex Skolnick. Minat betul dengan solo-solo gitar beliau. Piring hitam ini dibeli melalui penjual di instagram. Bila nampak ianya diiklankan, memang tak berfikir panjang untuk membeli. 

Versi cd pula dah tak boleh nak ingat bila dan dimana ianya dibeli. Tak pasti adakah ianya pembelian secara fizikal atau dalam talian melalui ebay. Tetapi sudah semestinya ianya adalah antara yang terawal di cari apabila mula mengumpul cd.

Versi kaset pula mungkin pada penghujung 1989 atau awal 1990. Ketika itu zaman thrash sedang melanda. Sememangnya naik rambang mata kalau berkunjung ke kedai kaset. Bermacam-macam tajuk yang ada. Biasanya pembelian rambang dibuat berdasarkan gambar cover atau nama band yang di baca di majalah atau thank list di inlay kaset band lain. 

Tak ingat pula kenapa beli Practice What You Preach. Mungkin juga kerana gambar covernya. Dan biasalah....dulunya ada sedikit rasa cuak dengannya. 


Wednesday, December 9, 2020

Titans of Creation

 Lagi album terkini untuk tahun 2020...

Testament - Titans of Creation (2020)

Diam tak diam dah 13 album dah otai thrash ni. Seperti mana-mana band yang pernah mencapai tahap kegemilangan atau zaman kemuncak mereka, setiap album berikutnya akan sentiasa menjadi perbandingan dan sudah semestinya agak sukar untuk mencapai kembali tanda aras tersebut. Dan pastinya ada peminat yang tak suka. Tambah-tambah pula kebanyakan band thrash cuba bereksperimen dengan hala tuju baru di tahun-tahun 90an. Testament tidak terkecuali. The Ritual (1992) adalah contohnya.

Tetapi sejak kemunculan semula (reunion) mereka dengan album "The Formation of Damnation"(2008), Testament kembali menjadi Testament. Rasanya itulah yang sepatutnya mereka orang-orang lama buat. Biarlah generasi muda dengan muzik generasi mereka. Bagilah peminat generasi tua lama ini untuk terus bernostalgia...haha...

Ini semangnya klasik Testament! Tiada yang mengecewakan. Setara antara thrash yang keras dan yang melodic. Malah banyak lagu-lagunya mempunyai chorus yang agak catchy. "Dream Deceiver" adalah yang paling menonjol. Sekali dengar pun dah terasa nak menyanyi bersama.

Tengok pula siapa di bahagian rhythm mereka. Gene Hoglan dan Steve DiGiorgio adalah antara nama besar dalam dunia drum dan bass untuk muzik thrash. Vokal Chuck Billy yang masih bertahan walaupun dan hampir mencecah ke usia 60 tahun. Dan yang paling penting, sebab utama kenapa saya sukakan Testament adalah "thrashy riff" dan "blistering solo" dari Alex Skolnick dan Eric Peterson. Mereka berdua memang tidak pernah mengecewakan.

Tiada yang berubah dengan Titans of Creation. Apa yang kita harapkan itulah yang kita dapat. Cumanya saya teringin nak dengar mereka kembali merakamkan lagu-lagu balada thrash seperti "The Ballad","The Legacy" atau pun “Return to Serenity”


Wednesday, May 23, 2018

The New Order

Yang menyambut ulangtahun ke 30 pada 5hb Mei yang lalu...


Testament - The New Order (1988)

Banyak betul album-album best dari tahun 1988. Mungkin kerana ianya adalah antara tahun-tahun kemuncak kegemilangan muzik rock dan metal. The New Order adalah salah satu darinya.

Seperti juga The Legacy, ini adalah antara album yang dulunya hanya mampu membaca ulasan-ulasan tentangnya dalam majalah. Selepas kali pertama mendengar muzik Testament dalam tahun 1989 (Practise What You Preach), cuba juga untuk mencari album-album mereka yang sebelumnya. Tetapi faham-faham sahajalah zaman tersebut. Kekangan kewangan seorang pelajar dan sukar pula untuk mendapatkannya di pasaran.


The New Order adalah kisanambungan The Legacy. Muzik thrash acuan Bay Area yang melodic. Sekali dengar dah hadam dan melekat melodinya dalam kepala. Memang sedap. Tambahan pula jika anda sukakan solo-solo gitar berjiwa dan melodik. Alex Skolnick tidak pernah menghampakan. Gandingan harmonic beliau bersama Eric Peterson sememangnya tiang asas Testament.

Testament untuk saya adalah 5 album terawal mereka. Dan The New Order adalah sebuah lagi album yang patut anda cuba jika anda gemarkan muzik thrash metal ala Bay Area.

Best!







Tuesday, December 26, 2017

Bukan dari The Big Four

Bila malas dan tiada idea untuk menulis, maka akan keluarlah entri-entri riak cdwi.. 😀

10 album terbaik thrash yang bukan dari Metallica, Megadeth, Slayer dan Anthrax mengikut loudwire.com. Seperti biasanya lain orang akan lain pendapatnya.


10 - Overkill - The Years of Decay (1989)
9 - Annihilator - Alice in Hell (1989)


8 - Death Angel - Frolic Through the Park (1988)
7 - Suicidal Tendencies - Lights, Camera, Revolution (1990)


6 - Flotsam & Jetsam - Doomsday for the Deceiver (1986)
5 - Dark Angel - Time Does Not Heal (1991)


4 - Nuclear Assault - Handle with Care (1989)
3 - Kreator - Extreme Aggression (1989)


2 - Exodus - Bonded by Blood (1985)
1- Testamant - The Legacy (1987)

Semua ni sebenarnya berpuluh tahun kumpul. Membeli apa yang suka. Tak kisahlah versi apa. Yang penting janji ada. Kadang-kadang bila buat entri macam ni baru perasan apa yang kita tak ada. Extreme Aggression pun hanya setakat versi NSR rupa-rupanya. Tapi yang pastinya Frolic Through the Park adalah misi ebay saya yang seterusnya.






Wednesday, October 11, 2017

Riak Cdwi ; Metal 87 - 90




Running Wild - Under Jolly Roger (1987) / Testament - The New Order (1988) / Xentrix - Shattered Existence (1989) / Entombed - Left Hand Path (1990)


lagi entri tak ada idea....

kebelakangan ini rajin pula mendengar lagu mengikut tahun....ada yang baru beli dan ada juga yang dah bertahun....



Friday, April 28, 2017

The Legacy

Yang menyambut ulangtahun ke 30 pada 21hb April yang lalu...


Testament - The Legacy (1987)

Antara album yang dulunya teringin nak dengar tetapi tak berpeluang. Banyak terbaca ulasan yang baik tentangnya di majalah. Tapi agak sukar untuk mendapatkannya pada ketika itu sehinggalah munculnya zaman internet dan mp3.

Bila mengenal e-bay, ini adalah antara cd yang menjadi idaman. Puas juga mencari harga yang mampu milik sehinggalah terjumpa cdnya di e-stock. Harganya yang tak sampai pun RM30 memang rezeki terpijak.

Testament saya yang pertama adalah Practice What You Preach (1989). Pada ketika itu memang kemaruk dengan apa sahaja yang datang dari Bay Area. Tetapi Testament memang ada kelainannya terutamanya hasil kerja gitar Alex Skolnick. Tidak seperti kebanyakan band-band thrash seangkatan dengannya. Petikan gitar dari anak murid Joe Satriani ini memang agak bermelodi dan penuh jiwa. Solo-solo gitarnya memang menarik.

Mendengar album pertama Testament ini, perkara pertama yang menarik perhatian saya sudah semestinya petikan gitar beliau. Solo-solo dan rif harmoni antara beliau dan Eric Peterson sememangnya tarikan utamanya. Kalau tak terhanguk-hanguk kepala tak tahu lah nak kata apa.


Jika itu masih tidak cukup, vocal power dari Chuck Billy adalah “plus point”nya. Tak sia-sia beliau mengantikan tempat Steve "Zetro" Souza yang lari ke Exodus. Beliau adalah antara vocal terbaik thrash metal. Tak padan dengan saiz badannya yang agak besar.

The Legacy cukup kuat perencah thrash metal ala Bay Area. Lagu-lagunya mudah melekat kat kepala. Antara yang masih terngiang-ngiang di kepala sudah semestinya “Burnt Offerings”,“Alone In The Dark” dan "Raging Waters".

Ini adalah antara thrashterpiece!! Terbaik!!




Monday, November 29, 2010

Souls Of Black

Sebuah lagi album dari tahun 1990...ada beberapa tajuk lagi yang ntah larat ker tak larat aku nak buat sebelum berakhirnya tahun 2010...lain2 yang aku dah buat boleh cekidot kat >SINI<



Kali ni pasal album no 4 dari sebuah band thrash yang tak kurang glamernya pada zaman tersebut iaitu Testament bertajuk Souls Of Black...memori aku pasal album ni yang paling jelas sekali adalah berkaitan dengan tour "Clash Of The Titans"...kerana apa yang aku ingat masa tu...semua megazine metal terutamanya macam Metal Hammer, Metal Force sibuk promosi pasal tour ni...so ada satu page iklan khas pasal album2 band yang terlibat termasuk la album ni...sempat la aku photostate tampal kat file gi kelas...riak thrash sungguh la kononnya masa tu...hahaha..


Kebetulan pulak semua band yang terlibat dalam tours ni ada album baru...Megadeth,Slayer,Suicidal Tendencies....dan termasuk lah Testament sendiri..aku jugak ada terbaca yang Souls Of Black ni di riliskan semata2 pasal siri tour tersebut...so ianya dibuat secara tergesa2...maka hasilnya terutama dari segi produksinya memang sedikit mengecewakan...ada bahagian yang bunyi drum dan bassnya agak tenggelam...




Tapi secara keseluruhannya album ni bukanlah la mengecewakan pun...kalau korang minat Testament album Practise What You Preach...album ni konpem korang boleh masuk...formulanya hampir sama...thrash komersil...cuma lagu2nya sedikit heavy tapi masih catchy...tapi yang kurangnya kebanyakan lagu2nya riffnya seakan2 sama...kurangnya moment2 yang memorable...kekadang agak membosankan la...

Apa2 pun highlight utama album ni dah tentu2 la pasal solo2 gitar Alex Skolnick...macam aku cakap dulu...aku suka Testament pasal Alex...sekali lagi dia tak menghampakan aku...kerja gitar dan solo2 beliau rasanya adalah yang terbaik berbanding album2 yang sebelumnya...tak caya try layan lagu "Face in the Sky" ataupun "The Legacy"...memang membunuh arr solo dia...

Selain Alex...satu lagi highlight album ni adalah lagu ballad "The Legacy"...memang feel arr lagu ni...vocal Chuck Billy kena betul ngan lagu ni...macam aku pernah cakap dulu la...band2 thrash ni bila sesekali buat lagu ballad...memang syahdu...lagu2 lain yang aku rasa best adalah "Souls of Black", "Falling Fast", "Seven Days of May" dan "Face In The Sky"...



Kalau nak kata ini adalah salah satu album thrash terbaik...tak jugak la...tapi ini adalah last album Testament yang best pada aku...yang aku betul2 aku follow...tambah pulak beberapa tahun lepas tu Alex blah dari Testament...so memang aku dah tak follow la...termasuk album reunion dorang...

Apa2 pun kalau nak lengkapkan koleksi album2 thrash...Souls Of Black masih patut masuk list...

Thursday, October 15, 2009

Practise What You Preach


Ada member yang tanya...kenapa aku tak banyak review cd2 thrash metal..asik hard rock hair/glam metal ajer..kata dulu peminat thrash tegar..ok la..aku biar aku jawap..

Aku sememangnya bermula dgn hard rock,NWOBHM,hair,glam tu semua..aku hanya start giler thrash dari tahun 89 hinggalah tahun 91,92 gitu..so bila aku start keja pada pertengahan 90an tu..aku kemaruk mengumpul cd2 yang aku minat masa zaman aku mula2 minat rock dulu..tu pasal dalam koleksi aku majoritinya banyak cd2 band2 hard rock hair/glam metal...so tak banyak yang aku boleh review untuk cd2 thrash..tapi untuk kali ni..aku akan review salah satu cd thrash yang paling aku minat...Testament..Practise What You Preach.

Ini adalah pengalaman pertama Testament aku...mungkin kerana lagunya...atau pun mungkin tahun 89 itu adalah zamannya...maka mudah untuk aku meminati album ni..PWYP dan Soul Of Black adalah 2 album Testament yg paling aku suka...mungkin ada yg cakap album awal dorang lagi best..lagi heavy..tapi disebab kan di sini aku bermula dan lebih familiar..maka aku agak kurang meminati 2 album terawal mereka.


aku masih simpan kaset ni...dah 20 tahun oi usianya..

Testament bukanlah pencetus genre thrash metal dan tak termasuk pun dalam The Big Four...dan ramai yg cakap dorang klon Metallica...tapi pada aku yang menariknya Testament ni terletak pada gitaristnya Alex Skolnick...anak murid Joe Satriani ni memang dasat solo2nya...lebih teknikal dari Slayer atau Anthrax...ada kawan aku dulu cakap..Testament lagunya tak seberapa...tapi solo2 gitarnya memang memukau..sedikit sebanyak aku bersetuju ngan kawan aku tu..secara dasarnya Testament ni sama je ngan berderet2 band2 bay area thrash yang lain..tapi solo2 Alex Skolnick la yg memberi kelainan dan kelebihan dan penyelamat kepada mereka.

Album ni sebenarnya agak catchy dan lembut jika dibandingkan ngan 2 album terawal...dan menurut Eric Paterson (gitarist) sememangnya album ini dibuat begitu rupa khusus untuk mendapatkan radio airplay...so..paham2 je la..ramai jugak yg kondem album ni...so either you love it or you hate it...terpulang memasing punya selera.

Antara lagu yang menarik adalah lagu yang menjadi title track iaitu Practise What You Preach..kuat betul klon Metalicca dalam lagu ni...terutama part vocal Chuck Billy...sebijik gaya ala2 Jamez Hetfield...tapi solo Alex dalam lagu ni memang best..terbaek!

Perilous Nation pulak aku suka intro bass dia..lagu ni chorus dia memang la catchy..begitu jugak ngan Time Is Coming...chorus dia mmg terngiang2 kat kepala aku...tapi kedua2 lagu jadi bertambah best dgn solo dan riffs terbaek Alex...ntah berapa kali dah aku puji Alex ni...haha...



Lain2 yang menarik bagi aku termasuk la Sins Of Ommission,Greenhouse Effect dan Blessed In Contempt...Satu lagi lagu yang menjadi highlight sudah tentulah sebuah lagu slow ala2 Fade To Black bertajuk The Ballad...lagu ni sekali lagi aku nak puji Alex...permainan gitar akustik dia terbaek...solo dia pun terbaek...ntah la ek...aku rasa band2 thrash ni kalau dorang serius buat lagu slow...memang boleh jadi top hit...sedap2...kalah Poison...huhu...

Walaupun point utama album ni kepada aku adalah Alex Skolnick (sejujurnya aku stop dengar Testament bila Alex keluar)...tapi PWYP tetap menjadi salah satu album thrash kegemaran aku..

Jom layan 2 lagu berikut..Practise What You Preach versi live dan The Ballad versi videoclip...layannn..