Showing posts with label Medicine. Show all posts
Showing posts with label Medicine. Show all posts

Saturday, March 12, 2016

War Rock I - Sengsara Timur Tengah

Lagi perihal cd keluaran semula..


War Rock I - Sengsara Timur Tengah (1987) - Keluaran semula 2016

Tidak pernah ada kasetnya. Ketika itu agak memilih dalam membeli kaset rock melayu. Maklum sahajalah keadaan kewangan seorang budak sekolah dan pengaruh muzik thrash telah mula bertapak di dalam hati.

Tetapi agak pelik juga bila cd ini dimainkan, rasa macam pernah dengar pula. Puas juga memikirkan di mana. Akhirnya baru teringat. Album ini saya dengar di kantin sekolah. Anak mak cik kantin di sekolah saya dulu sering memutarkannya setiap kali waktu rehat. Posternya pun siap tertampal di dinding kantin.

Padanlah bila mendengar cd Medicine - Titian tempohari ada lagu yang melodinya macam pernah saya dengar. Rupanya lagu "Dusta" dari cd tersebut di ambil dari lagu "Di Derai Kerinduan". Cumanya versi dari album War Rock adalah lagu slow rock, manakala dalam album Titian telah diubah menjadi rancak dengan lirik yang berbeza. Begitu juga lagu "Derita Seorang Filosuf" telah diubah suai dari lagu "Bantulah Aku".


Betul. Kumpulan Medicine sememangnya berasal dari kompilasi ini. Sayangnya mereka berubah menjadi pop rock bila membuat album solo. Boleh dikatakan keempat-empat kumpulan didalam kompilasi ini muziknya mempunyai pengaruh heavy metal. Sound kasar, kotor dan mentah ala-ala NWOBHM walaupun untuk lagu perlahan. Paham sahajalah teknologi zaman itu. Tetapi jika anda sukakan sound heavy metal awal 80an mungkin anda akan sukakan album ini. Tetapi jika anda suka sound yang bersih dan moden ini bukan untuk anda. Tabik juga kepada Nasir P Ramlee selaku penerbit kerana bukan mudah untuk orang yang tak rock untuk memahami sound rock. (ker beliau sememangnya mat rock?)

Saya terbaca yang kumpulan Pratayuda penyanyinya adalah Hattan. Tetapi saya tak pasti adakah beliau yang menyanyi kerana saya tidak dapat mengecam persamaan suaranya dengan album-album solo beliau. Suatu kelemahan kita di Malaysia ini tiada siapa yang merekodkan sejarah muzik. Syarikat rakaman juga tidak banyak membantu. Contohnya album ini. Langsung tiada info disertakan. Paling hampeh versi cd ini hanya disertakan dengan inlay sekeping. Tak berbaloi dengan harganya yang agak mahal (RM29.90) berbanding dengan album reissue keluaran syarikat lain. Dah macam cd pirate pun iyer juga. Betul-betul mengambil kesempatan.

dah la inlay sekeping...belakang kosong pulak...satu info pun takder...hampeh betul!!

Satu lagi trivia yang saya dapati dari hasil mengoogle, Kumpulan Iklim tertubuh hasil dari gabungan anggota The Kids (Mohalim - Bass dan Kama - Drum) dan Midnight (Umarul - gitar) yang terlibat dalam kompilasi ini. Kalau nak kena pilih kumpulan yang bagus. Saya memilih Medicine. Ija memang bagus. Muzik mereka agak mantap. Pratayuda pun ok. Sayangnya mereka memilih untuk untuk meletakkan 2 lagu perlahan. Lagu heavy mereka "Sengsara Timur Tengah" menjadi lagu kegemaran saya. Kalau yang perlahan, Medicine - "Di Derai Kerinduan" menjadi pilihan.

Mungkin ianya kurang nilai nostalgia untuk saya berbanding Battle Of The Bands, Juara Juara Rock atau Clash Of The Bands. Tetapi ianya mempunyai nilai sejarah yang tersendiri. Mana-mana album rock melayu sebelum tahun 1989 pada saya adalah wajib dimiliki. Kerana majoriti muziknya masih betul-betul bersoundkan rock dan heavy metal. Selepas dari itu dah mula mengarut. Kecualilah jika anda sukakan rock leweh meleweh.


*kualiti sound cd ini kira ok ok sahajalah...tak pasti dari mana sumbernya...ada bahagian yang sedikit timbul tengelam...saya tidak pernah memiliki album yang asal...makanya kurang pasti jika rakaman asal pun sememangnya sudah begitu...






Tuesday, October 27, 2015

Titian

Lagi layan album reissue sementara mencari ilham untuk karangan Search Panggung Khayalan...


Medicine - Titian (1988) - terbitan semula 2015

Lagi album yang tidak pernah saya dengar ketika ianya diterbitkan. Tahun 1988 adalah tahun yang saya masih membeli kaset-kaset rock melayu. Tetapi tidak pasti kenapa album ini saya tertinggal. Mungkin kerana masalah kekangan kewangan sebagai seorang pelajar sekolah. Terpaksa selektif dalam memilih kaset mana yang hendak dibeli.

Kalau tidak silap saya tahun 1988 adalah tahun bermulanya lebih banyak kaset original di jual di kedai berbanding cetak rompak. Sebagai seorang pelajar sekolah yang berbekalkan duit belanja sekolah 50 sen sehari, memang betul-betul kena selektif. Tambahan pula saya sudah mula pandai membeli kaset-kaset original rock orang putih. (1988 dah susah dah nak jumpa kaset pirate jenama apache)

Mungkin kerana imej rambut pendek Medicine menyebabkan saya tidak membelinya. Mungkin juga keputusan saya tepat. Album ini banyak lagu perlahan. Malah 2 track pembukaannya pun lagu perlahan. Pastinya saya tidak akan suka. Lagu yang saya tahu dari album ini hanyalah lagu yang sering dimainkan di radio, 'Tika Dan Saat Ini' dan 'Rimba Cinta'.

Mendengarnya buat kali yang pertama saya rasakan permainan muzik mereka sangat kemas. Mereka adalah pemuzik yang bagus. Susunan muzik pun sedap. Di tambah pula dengan sound cd yang bagus. Sayangnya terlampau banyak lagu yang perlahan. Kurang menepati selara muzik saya. Namun begitu gitaris mereka, Ija memang bagus. Dengarkan sahaja petikan gitar akustik dan solo beliau dalam lagu 'Tika Dan Saat Ini'. Memang syahdu.


Ada beberapa lagu yang menarik perhatian saya. "Mergastua" mengingatkan saya kepada lagu Lefthanded. Mungkin kerana gitaris mereka yang bagus seperti Lefthanded. Saya bersetuju dengan Xyrus Zone yang lagu 'Derita Seorang Filosuf' mempunyai sedikit pengaruh dari Iron Maiden. Mungkin mereka sememangnya peminat Iron Maiden.. Kerana saya pernah melihat mereka muncul di tv secara live (lupa rancangan apa...Panggung Anniversary ataupun Pesta Kingsway) membawakan lagu "Running Free" dari Iron Maiden.

Secara keseluruhannya bukanlah makanan saya. Tetapi ianya sebuah album yang bagus jika anda sukakan lagu-lagu rock yang berentak perlahan.