Showing posts with label Lefthanded. Show all posts
Showing posts with label Lefthanded. Show all posts

Tuesday, March 16, 2021

Fanatisme

 Layanan ketika WFO....

Lefthanded - Fanatisme (1991)

Walaupun saya adalah peminat besar Lefthanded terutamanya ketika era BOTB dan 3 album terawal mereka, tetapi saya tidak pernah mengambil tahu tentang album ini.

Ketika Keadilan diterbitkan, mereka adalah band rock no 1 bagi saya. Lebih tinggi kedudukannya dari Search. Tetapi entah di mana silapnya, saya rasakan mereka semakin merundum dari satu album ke satu album yang berikutnya. 

Satu-satunya lagu yang saya tahu dari album ini adalah "Semangat Lamina". Itu pun versi nyanyian Arab dalam album "Nafas". Mendengar album ini rasanya seperti mendengar album solo Ramli Sarip. Majoriti lagu-lagunya tidak mengingatkan saya kepada muzik Lefthanded. Mungkin juga imej dan aura Ramli Sarip yang terlampau kuat. Tambahan pula kesemua lagu-lagunya adalah ciptaan beliau.

Saya tak rasa gabungan mereka dengan menggunakan nama Lefthanded adalah satu kejayaan. Sebagai peminat Lefhanded saya rasa agak janggal. Tetapi dalam masa yang sama, sebagai seorang yang minat juga dengan Ramli Sarip, ini sesuatu yang bagus bila Ramli kembali dengan rock n roll.



Thursday, September 17, 2020

Gila Format - Keadilan

Satu lagi yang berjaya di "gila format"kan...

Lefthanded - Keadilan (1986)

Akhirnya... lama juga mencari versi kaset setelah kaset yang asal (cetak rompak jer pun) hilang entah kemana.

Citarasa boleh berubah-ubah mengikut mood atau keadaan semasa. Tetapi yang pastinya album ini akan sentiasa menjadi 3 pilihan utama atau "top 3" saya dalam apa juga keadaannya sebagai album melayu yang paling digemari sepanjang zaman.


Tuesday, August 18, 2020

Kaset rock

Baru jer dapat kaset-kaset ni. Taklah beriya-iya sangat nak cari. Hobi mengumpul kaset taklah seaggresif mengumpul cd. Kata orang rezeki dan tuah tak salah alamat. Kebetulan pula ada sahabat yang nak jual.


Ketiga-tiga kaset ini adalah kenangan dari zaman sekolah sekitar tahun 1986 dan 1987. Tahun-tahun yang baru terjebak dengan muzik rock dan metal dan ini adalah antara album-album rock melayu terawal yang pernah diterbitkan.


Akhirnya setelah 33 tahun barulah dapat memiliki versi kaset yang asli. Dan secara rasminya dah boleh masuk frame dah versi pirate ni 😁 (Lefthanded Keadilan versi lanun lama dah hilang)


Secara jujurnya, di antara ketiga-tiga kaset ini, saya tak pernah tengok kaset Ilusi Sebuah Mimpi yang asli. Akhirnya setelah 33 tahun.....😊



Thursday, April 30, 2020

Hiburan WFH - Battle of the Bands Round 2


Lagi hiburan yang mengimbau kenangan lalu...


Battle of the Bands - Round 2 (1986)

Ada 2 benda lah yang ingat pasal album ni. Satu gambar inlay Ella kena peluk 😂 dan satu lagi nak cerita kat bawah ni.

Tahun 1986. Nak ambik SRP. (iyer... Memang dah tua... Tapi muda sikit la dari yang ambil LCE 😅). Masa ni dah start rock sikit-sikit. Tapi masih dengar A-ha. Abang bawa balik kaset Scoundrels Day masih suka walaupun dah tak kemaruk macam Hunting High and Low. Tapi lebih berminat dengan kaset Van Halen - 5150 yang juga dia bawa. Jiwa rock tu dah bermula.

Pergi kelas malam untuk SRP, ada seorang rakan bawa kaset BOTB Round 1. Dia suruh dengar. Best dia cakap. Masalahnya dia tak nak bagi pinjam. Sayangnya sebagai budak sekolah mana la ada duit nak beli kaset. Nak minta mak abah jangan harap lah. Kami bukanlah dari keluarga pendengar muzik walaupun abah ada la sedikit koleksi piring hitam dan katrij.


Masa tu tak pernah beli kaset. Biasa dengar sahaja apa yang abang dengar. Mula dari itu berhasrat nak beli koleksi sendiri. Perlahan-lahan mula kumpul duit sekolah. Mak bagi 50 sen sehari. Kena lah berjimat cermat. Kaset melayu cetak rompak masa tu harganya RM2.50. Kalau Orang Pueh RM3.00. Kaset yang asli memang tak mampu lah. Lagipun kedai kaset kat Pekan Ulu Tiram memang jual yang cetak rompak sahaja. Nak yang asli kena pergi ke bandar Johor Bahru.

Tak ingatlah beberapa bulan selepas tu, penghujung 86 kot. Bila nak beli kaset Round 1 rupa-rupanya dah keluar yang Round 2. Dan kalau tak silap (maaflah benda dah 30++ tahun tak berapa nak ingat dah) ianya adalah kaset rock melayu pertama yang dibeli sendiri. Atau pun mungkin yang kedua selepas Langit Dan Bumi. Hmmmm... Memori makin lemah...

Kali pertama dengar terus suka. Ianya menjadi salah satu penyebab mengapa saya meninggalkan Duran Duran, A-ha dan segala muzik new wave 80an yang lainnya selepas dari ini.

Walaupun dah 30++ tahun tapi masih hafal setiap lirik lagu-lagu nya. Masih tak jemu. Kalaulah saya ada DeLorean....



Sunday, April 15, 2018

Battle Of The Bands


Battle Of The Bands (2006)

Ini sekadar melengkapkan koleksi. Tak beli pun. Tapi ada seorang sahabat bermurah hati nak bagi. Dia yang sambut hari jadi, saya pula yang dibaginya hadiah…hahaha..(terimkasih Encik Hensem Portdy)

Sedikit info, cd ini didatangkan dalam bentuk 2 disc dengan gabungan album BOTB Round 1 dan BOTB Round 2. Susunan lagunya sama seperti versi 2 disc keluaran tahun 1997. Kedua-duanya kurang satu lagu (Hanya Secebis Jawapan - Ella & The Boys)


Yang menarik tentang versi ini adalah inlaynya. Ianya disertakan dengan biodata band-band yang mengambil bahagian. Walaupun ianya bukanlah biodata yang lengkap, tetapi sekurang-kurangnya ada usaha ke arah itu.


Selepas ni memang rasanya dah tak cari dah apa-apa pun keluaran tentang Battle Of The Bands. Cukuplah apa yang ada. Yang kurang cuma versi kaset dan gold disc cd BOTB Round 2. Tak apa lah. Tak cari pun. Pernah ada versi kaset dulu-dulu (versi cetak rompak). Tapi dah hilang ntah kemana.






Saturday, December 30, 2017

Battle Of The Bands Round 2 vinyl

Yang terkini di pasaran...


Battle Of The Bands - Round 2 (piring hitam 2017)

Selepas Battle Of The Bands di piring hitamkan, kini giliran Round 2 pula. Sebuah album yang tak perlu di perkenalkan lagi. Memang tak rock la kan kalau tak tau. Ianya adalah kenangan terindah bagi muda mudi yang membesar di zaman tersebut. Diam tak diam dah 31 nak masuk 32 tahun. Yang dulunya muda belia ketika membeli kaset ini pun kurang-kurangnya dah masuk umur 40 tahun dah...cepat betul masa berlalu.


Piring hitam ini semenangnya sesuai untuk collectors dan mereka yang hendak mengimbau kenangan silam. Nak kata istimewa pun tak juga. Packaging simple. Gatefold yang di dalamnya sekadar lirik. Gambar covernya kurang sharp. Ada muka band member yang memang tak nampak apa. Seperti biasa ayat 'klise'nya...biar ada dari tak ada..


Dari segi sound tak ada nak komplen sangat. Biasa la volume kena up dari biasa. Tak pasti sumbernya dari mana. Mungkin juga dari cd. Seperti yang dikatakan awal tadi, lp ini memang sesuai untuk collectors dan mereka yang mengimbau kenangan silam. Nak beli yang asal memang susah nak dapat dan harga pun tak masuk akal.


Tapi tu la....harga lp-lp reissue ini pun sebenarnya agak mahal juga. Berbalik pada point asal...Memang ianya hanya untuk collectors dan mereka yang ada kenangan silam (macam saya).



***harapnya Juara Juara Rock juga akan dipiringhitam walaupun nanti hati gembira kocek menangis...




Sunday, November 5, 2017

Battle Of The Bands - vinyl

Yang terkini di pasaran..


Battle Of The Bands (piring hitam 2017)

Kali pertama dikeluarkan dalam bentuk piring hitam. Sebuah album yang tak perlu diperkenalkan lagi. Album wajib untuk untuk semua mat rock. Album yang menjadikan muzik rock satu budaya di Malaysia. Tak rock la kan kalau takder album ni...



Untuk standard lp rock melayu...ni kira ok la...sound...packaging pun ok...takder nak komplen sangat...ada duit lebih sila beli...


Kaset dah hilang. Tak boleh la nak buat giler format. Harapnya selepas ini Round 2 pulak dipiring hitamkan.


Muzik Rock Yang Sebenar!




Tuesday, September 5, 2017

Battle of The Bands - Limited Gold Disc Edition

Antara yang terkini di pasaran...


Battle Of The Bands -Limited Gold Disc Edition - terbitan semula 2017

Tak pasti mengapa album di keluarkan sekali lagi. Kali terakhir ianya diterbitkan semula adalah 2 tahun yang lepas (2015) ketika demam album-album rock melayu reissue sedang hangat di pasaran.

Mungkin juga kerana isu sound, typo atau inlay kertas lipat 2 maka pembetulan dibuat. Atau mungkin juga ianya lubuk emas untuk meraih keuntungan. Tak kisahlah apa sebabnya. Tetapi untuk siapa-siapa yang terlepas untuk membeli edisi tahun 2015, maka inilah masanya untuk membeli album lagenda yang menjadikan muzik rock satu budaya popular di Malaysia.

versi 1997 vs 2015 vs 2017
Apa yang berbeza? Dah tentu-tentunya seperti apa yang dicanangkan adalah cdnya berwarna gold dan sound 24-bit digitally remastered. Memang betul. Gold discnya lebih baik dari gold disc merapu Hukum Karma. Soundnya pun lebih baik dari versi 2015. Tapi rasa macam sama sahaja jika anda mempunyai versi 2 dalam 1 tahun 1997. Mungkin juga ianya di ambil dari versi tersebut. Maklumlah versi ini khabarnya dikeluarkan sendiri oleh Sony Music melalui PMP Entertainment bukannya disubkan bawah label Rusa Marketing. (Maaf...jika salah info...sila perbetulkan jika salah)

beza gold disc antara dua
Inlay pula kali ini jenis lipat 3. Tak adalah istimewa sangat pun kecuali ada sedikit info berbanding versi 2015 yang langsung tak ada. Tapi apalah salahnya kan, dah alang-alang buat versi remastered, jemputlah Ali Bakar (contohnya) untuk menulis sedikit coretan sementara mereka yang terlibat dalam BOTB ni masih hidup. Susah betul nak jumpa album-album terbitan semula tempatan yang ada semua ini. Nak tahu tarikh bila album terbit pun susah. Apatah lagi nak harap bonus track...lagilah jangan harap. Kalau ada pun versi pok amai amai (hahaha...)


Tapikan...jangan nak kata versi ni tak ada salah. Typo mungkin dah jadi amalan biasa untuk album-album reissue. Tak tahulah siapa yang tukang check. Whitesteel pun boleh jadi Whitesteed. Hampeh!


Apa-apa pun pergilah beli. Kang kalau tak beli dorang merajuk tak nak keluarkan lagi. Habislah blog ni kena bantai bila cakap macam ni....😅



**May - Rahsia pun dah keluar gold disc...kata support rock melayu...kata collector...pegilah beli 😉










Friday, July 28, 2017

Seruan

Dah 30 tahun dah...


Lefthanded - Seruan (1987)

Ketika dulu, saya selalu beranggapan yang Lefthanded akan menjadi band rock nombor 1 di Malaysia. Lebih besar dari Search. Pada saya mereka lebih bagus. Ketika "Keadilan" dan "Langit Dan Bumi" mula berada di pasaran, kemungkinan itu seolah-olah akan berlaku. Masih ingat dalam rancangan radio tengah malam RTM, "Rockarena" kelolaan DJ Kamal Hasan, pemanggil memilih Lefthanded lebih tinggi dari Search. Sayangnya di album-album berikutnya ianya tidak berlaku.

Selepas Search keluar dengan album "Mentari Merah Di Ufuk Timur", "Seruan" sememangnya di tunggu-tunggu. Saya sendiri sanggup tak makan mengumpul duit belanja sekolah semata-mata untuk membeli kaset yang asli. Agak terkejut awalnya bila Lefthanded menambah anggota baru untuk bermain keyboards. Paham-paham sahajalah di waktu itu keyboards adalah sesuatu yang pantang untuk muzik rock. Tak rock la kan kalau ada keyboards walaupun sebenarnya Malmsteen, Dio malah lagu "Final Countdown" pun guna keyboards. Bila Iron maiden guna keyboards untuk "Seventh Son of a Seventh Son" baru rasa ok lah guna keyboards…haha..


"Seruan" pada saya adalah sebuah album yang bagus. Walaupun "Mentari Merah Di Ufuk Timur" telah mula menjarakkan Search di depan, tetapi secara peribadinya saya lebih menyukainya berbanding Mentari Merah. Skil muzik mereka lebih kedepan. Man Kidal dan Arwah Samad sememangnya 2 orang shredder yang hebat. Sesunan lagu mereka contohnya lagu "Seruan" memang agak teknikal berbanding Search. Kekuatan Search adalah lagu-lagunya yang lebih santai, singalong dan melodinya mudah dan cepat melekat.

Menariknya pada saya kali ini tiada lagi solo-solo dan melodi yang dicedok dari barat. Maaflah kalau ada, mungkin saya yang tak tahu. Maklumlah "Lagenda Cinta" di cilok dari solo lagu "Asia - After The War" pun baru-baru ni sahaja saya tahu.

Bagi saya masalah Lefthanded adalah ego antara mereka. Ianya menghalang untuk mereka terus melangkah ke depan. Bila Search menjadi no 1 dengan album "Fenomena", mereka pula terus merundum dengan album berikutnya.

Untuk saya Lefthanded cuma ada 2 album yang bagus. Dan saya memilih "Keadilan" lebih dari "Seruan". Sayang sebuah band yang bagus tetapi tidak mencapai potensi yang sepatutnya...


*masih berharap dikeluarkan dalam bentuk vinyl...tetapi tak perlulah nak mengarut nak made in sana sini....err...sapu tangan pun tak nak tau...haha...

**kenangan untuk arwah Samad dan Man Dayak. Thanks for the music. Tabik untuk untuk my hometown heroes...





Monday, November 14, 2016

Nafas

Sempena 20 tahun dan tribute kepada Arab...


Lefthanded - Nafas (1996)

Satu-satunya album live Lefthanded. Sayangnya tanpa Nash dan Arwah Man Dayak. Tempatnya digantikan oleh Arwah Arab dan Tom. Cuma ada 6 lagu. Selebihnya adalah 2 lagu versi akustik yang gitarnya dimainkan oleh Eddie Marzuki dan 2 lagu baru ciptaan Arwah Arab yang dimainkan oleh Arwah Samad, Yan dan Tom tanpa Man Kidal.

Bagi saya ianya tidak cukup Lefthanded. Bukan untuk menidakkan kehebatan vokal Arwah Arab dan ketukan drum Tom. Tetapi tanpa Nash dan Arwah Man Dayak, selayaknya mungkin cd ini dinamakan Lefthanded dan rakan-rakan. Membelinya dulu semata-mata kerana mahu mendengar petikan live gitar Man Kidal dan Arwah Samad dalam 6 lagu tersebut.

Ini versi 1st press...dah keluar dah pun versi reissue...tak pasti apa bezanya pasal tak beli...

Dengan reputasi Man Kidal, Arwah Samad, Yan dan Tom memang sudah semestinya persembahan live mereka memang tiada cacat celanya. Sound sedap. Memang power. Vokal Arab pun bagus. Kira sesuai jugalah beliau diambil untuk mengantikan Nash. Malah lagu Semangat Lamina pun dia bawa dengan baik. Saya lebih menyukai versi live ini berbanding versi Ramli Sarip. Mungkin kerana versi ini lebih betul betul saya dengar berbanding versi album Fanatisme.


Agak terkejut juga mendapat berita tentang permergian beliau. Saya tidak mengikuti sangat perkembangan karier beliau tetapi saya tahu selain mempunyai vokal yang baik, arwah juga seorang komposer yang bagus. Satu satunya lagu nyanyian beliau yang saya tahu adalah "Bila Bulan Berwarna Biru". Itupun setakat mendengar di radio dan tidak pernah mendengar album penuh Arab & Aidit. (baru jer kan keluar versi cd reissue)

Berbalik pada Nafas, Saya sebenarnya menantikan solo Prodigal Son, sayangnya semenjak kontroversi solo ini tersebar rasanya Arwah Samad dan Man Kidal sememangnya dah tak main pun dah versi solo dari BOTB tu..



Syed Azlan Syed Abu Bakar (Arab)
1966 -2016
"Allahumma firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu" 
 "Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlahnya."





Wednesday, October 12, 2016

Keadilan - Ulang Tahun 30

Sempena ulangtahun yang ke 30...


LP Edisi 30 Tahun "Lefthanded - Keadilan" (2016)

Selepas Rusty Blade "786 Ikrar Perwira", kini satu lagi album lagenda rock 80an di piring hitamkan. Walaupun harganya agak "keras" tetapi kualiti soundnya memang tip top. Memang puashati!


Ini adalah album kegemaran. Banyak kenangannya. Pokai kena puasa sampai hujung bulan pun tetap akan dibeli...haha..


kertas lirik


poster


piring hitam manisnya


one happy family...kaset jer dah hilang...


Harapnya akan ada lagi album lain yang akan dipiringhitamkan....Search mungkin?...


Cerita lain pasalnya 2009 >SINI<  beberapa bulan yang lalu >SINI< .






Friday, June 17, 2016

Lefthanded

Menyelongkar gerobok untuk riak Lefthandedwi...


Versi 1995 dan versi 2016...kaset dah hilang


Versi 2004, 2016 dan kaset tahun 1987


Versi 2004 dan 2016 serta kaset tahun 1988


Dua-dua cd versi 2016. Tak pernah ada versi kaset. Tahun 1989 - 1991 tengah kemaruk thrash. Tak dengar dah rock melayu. Dua-dua cd ni tak pernah dengar pun album penuhnya sehinggalah reissue 2016 ini.


Seleksi Lagenda tu tahun 1992. Nafas 1st press tahun 1996. Tak beli pun versi reissue. Bajet dah lari... Kaset Syurga dan Neraka tu tahun 1999. Kalau keluar reissue mungkin beli untuk sekadar melengkapkan koleksi.

Secara jujurnya hanya mengikuti perkembangan mereka sehingga album Qabul. Maka kira dah cukup dah...tak akan beli lagi...kecuali kalau keluar versi lp...heheh...




Wednesday, June 8, 2016

Keadilan


Sempena ulang tahun ke 30..


Lefthanded - Keadilan (1986 - terbitan semula 2016)

Ini memang album kegemaran. Walau dah ada cd cetakan pertama tetap beli juga versi reissue. Selepas Cinta Buatan Malaysia dan Battle Of The Band Round 1 & 2, inilah album yang pada saya sangat penting dalam sejarah muzik rock Malaysia.

versi 1995
Dah pernah buat ceritanya 7 tahun yang lalu >SINI< cuma kali ini nak kongsi perbezaan antara cd reissue ini dengan cd cetakan pertama tahun 1995.

kiri 2016, kanan 1995
Dah berapa kali beli dah Keadilan ni. Zaman kaset kalau tak silap 3 kali.  Tiga tiga pun ntah hilang kemana. Kalau satu hari nanti keluar versi piring hitam pun pasti akan dibeli. Antara album kegemaran sepanjang zaman. Memang semua lagu sedap.

Inlay cd 1995, jenis lipat 3. ada lirik dan satu gambar
Paling nostalgia, “Ku Kehilangan Cinta 3 Dimensi”. Ianya adalah lagu pertama yang saya bawa ke studio jamming. Terkial2 kali pertama memegang gitar bass yang sebenar. Gitar bass lebih besar dari orang...haha...

inlay 2016 jenis kertas lipat 2, dalam ada lirik., yang istemewanya dapat sekeping poskad
Album yang sangat kuat pengaruh Iron Maiden dan "Debunga Wangi" adalah satu lagi lagu wajib bila ke studio jamming.

kiri yang gold disc tu versi 1995, kanan tu 2016
Memang sangat rekomended bagi sesiapa yang hendak mengenal Lefthanded khususnya dan rock melayu 80an secara amnya.

Rekomended!

#untuk makluman, cd reissue Seruan, Qabul dan Evolusi juga telah berada di pasaran.





Thursday, March 24, 2016

Battle of the Bands

Yang menyambut ulang tahun ke 30...



Battle Of The Bands (1986) - keluaran semula 2015

Banyak dah diperkatakan tentang album ini. Tak perlulah saya mengulas panjang tentang lagu-lagunya. Pada saya Search-Cinta Buatan Malaysia adalah pembuka jalan tetapi Battle Of The Bands lah yang menjadikan rock dan heavy metal sebagai budaya yang popular di Malaysia

Dikenalkan kepadanya buat pertama kali oleh seorang rakan ketika menghadiri kelas tambahan untuk peperiksaan PMR SRP (giler tua penulis blog ni...hahaha...). Saya dah tak boleh ingat siapa rakan tersebut tetapi yang saya ingat beliau menunjukkan kaset BOTB tetapi tidak membenarkannya untuk dipinjam.


Melihatkan gambar cover dengan perkataan "Muzik Rock Yang Sebenar" telah membuatkan saya teruja. Maklumlah band-band rock yang ada album pada ketika itu selain Search, masih lagi dengan pengaruh rock 70an dan dangdut. Saya sendiri sebelum tahun 1986, masih lagi seorang pengemar Duran Duran. Selepas Iron Maiden dan Search, BOTB lah yang membuatkan saya betul-betul terjebak dengan genre muzik yang sebegini.

Memang tidak dinafikan pengaruh besarnya kepada saya. Sayangnya saya tidak berkesempatan untuk menonton konsert mereka. Konsert hantu begini (hahaha..) janganlah haraplah akan dapat keizinan dari orang tua. Dah lah tahun tersebut tahun peperiksaan. Tambah pula zaman tu pengangkutan untuk ke bandar dari kampung saya bukanlah semudah sekarang. Kena pula kat belah malam. Tak silap saya kalau di Johor Bahru ianya diadakan 2 malam berturut-turut di Dewan Jubli Intan.



Yang paling diminati sudah tentu-tentunya Lefthanded, Maklumlah gitarisnya, Man Kidal juga terlibat dalam album Search - Cinta Buatan Malaysia. Tambahan pula nama beliau dan Lefthanded memang dah cukup popular di sekitar Johor Bahru sebelum zaman Search lagi. Aksi gigit gitar beliau memang dah jadi bualan mat rock sekitar Johor Bahru. "Debunga Wangi" menjadi anthem bagi kami.

Tapi kira yang paling gempak sekali dah tentu-tentulah SYJ. Imej ala-ala Motley Crue mereka memang menakutkan mak bapak. Mana ada orang berani buat lirik maki dan dengan selambanya letak kaki atas meja masa majlis sidang akhbar. Lagu "Orang Timur" menjadi antara lagu kegemaran kami bila jamming di studio.

Senang cerita inilah antara album yang mengubah citarasa muzik saya. Dan dari sinilah bermulanya budaya rock dan heavy metal di Malaysia.

Rekomended!

*masih tak lupa kenangan di kantin sekolah bersama rakan-rakan beramai-ramai menyanyikan lagu Debunga Wangi sambil di iringi petikan gitar oleh senior kami Enal ( gitaris D'Fender - finalis Juara Rock Johor 1988, pernah jadi opening act untuk konsert Wings/Rusty Blade di Stadium Larkin 1989 dan pernah juga keluar dalam URTV) dan Husin (gitaris Kumpulan Sahara - pernah merakamkan album Bahang Bahang (1989) dan pernah keluar Muzik Muzik TV3)...rasa macam tak nak berhenti menyanyi walaupun loceng sekolah telah berbunyi...ianya masih terngiang-ngiang dalam ingatan....