Lagi album reissue...Khas untuk saudara Kaemm Reutn..(heheh..)
Gamma - Lembayung (1991) - keluaran semula 2015
Lagi album yang tak pernah dengar dulunya. Tertarik hendak mencuba semata-mata kerana gitaris kedua mereka. Lan Hashim adalah bekas anggota kumpulan Urgent. Album Wajah Mistikal dari Urgent pada saya cukup menarik. Ada unsur-unsur progressif yang jarang kita jumpa dalam mana-mana album rock melayu pada ketika itu. Tambahan pula beliau mencipta 4 lagu dalam album tersebut.
Sayangnya agak hampa juga ketika membelek senarai lagu-lagunya. Tiada nama Lan Hashim malah tiada juga nama anggota Gamma. Majoriti lagu (betulkan kalau saya silap) adalah ciptaan penerbit dan bukan anggota kumpulan. Adakah mereka sekadar band majalah? Itu saya kurang pasti.
Mendengar cdnya buat kali pertama membuatkan saya mengeluh. Terlampau banyak sangat lagu yang meleweh. Untuk berlaku adil saya mendengarnya berulang-ulang kali. Namun...memang agak susah juga nak masuk. Tetapi saya harus memuji vokal penyanyinya, Blank. Bak kata orang kampung saya "give credit where credit is due". Solo-solo gitarnya pun bagus, Tetapi saya tak pasti siapakah yang memainkannya.
Pada saya mereka lebih kepada pop rock. Sasaran pendengar mereka bukanlah untuk golongan seperti saya. Dan bagi saya mereka telah berjaya. Kalau tak...tak kan lah lagu-lagu seperti Penyair Cinta dan Bahang Asmara menjadi popular dan sering kita dengar di radio.
Mungkin saya bukanlah peminat dan tak akan minat. Bukannya makanan halwa telinga saya. Tetapi rasanya ramai lagi pendengar di luar saya yang minat lagu-lagu yang begini. Selera dan duit masing-masing. Tiada yang salah dalam pilihan muzik.