Showing posts with label Ella And The Boys. Show all posts
Showing posts with label Ella And The Boys. Show all posts

Thursday, April 30, 2020

Hiburan WFH - Battle of the Bands Round 2


Lagi hiburan yang mengimbau kenangan lalu...


Battle of the Bands - Round 2 (1986)

Ada 2 benda lah yang ingat pasal album ni. Satu gambar inlay Ella kena peluk 😂 dan satu lagi nak cerita kat bawah ni.

Tahun 1986. Nak ambik SRP. (iyer... Memang dah tua... Tapi muda sikit la dari yang ambil LCE 😅). Masa ni dah start rock sikit-sikit. Tapi masih dengar A-ha. Abang bawa balik kaset Scoundrels Day masih suka walaupun dah tak kemaruk macam Hunting High and Low. Tapi lebih berminat dengan kaset Van Halen - 5150 yang juga dia bawa. Jiwa rock tu dah bermula.

Pergi kelas malam untuk SRP, ada seorang rakan bawa kaset BOTB Round 1. Dia suruh dengar. Best dia cakap. Masalahnya dia tak nak bagi pinjam. Sayangnya sebagai budak sekolah mana la ada duit nak beli kaset. Nak minta mak abah jangan harap lah. Kami bukanlah dari keluarga pendengar muzik walaupun abah ada la sedikit koleksi piring hitam dan katrij.


Masa tu tak pernah beli kaset. Biasa dengar sahaja apa yang abang dengar. Mula dari itu berhasrat nak beli koleksi sendiri. Perlahan-lahan mula kumpul duit sekolah. Mak bagi 50 sen sehari. Kena lah berjimat cermat. Kaset melayu cetak rompak masa tu harganya RM2.50. Kalau Orang Pueh RM3.00. Kaset yang asli memang tak mampu lah. Lagipun kedai kaset kat Pekan Ulu Tiram memang jual yang cetak rompak sahaja. Nak yang asli kena pergi ke bandar Johor Bahru.

Tak ingatlah beberapa bulan selepas tu, penghujung 86 kot. Bila nak beli kaset Round 1 rupa-rupanya dah keluar yang Round 2. Dan kalau tak silap (maaflah benda dah 30++ tahun tak berapa nak ingat dah) ianya adalah kaset rock melayu pertama yang dibeli sendiri. Atau pun mungkin yang kedua selepas Langit Dan Bumi. Hmmmm... Memori makin lemah...

Kali pertama dengar terus suka. Ianya menjadi salah satu penyebab mengapa saya meninggalkan Duran Duran, A-ha dan segala muzik new wave 80an yang lainnya selepas dari ini.

Walaupun dah 30++ tahun tapi masih hafal setiap lirik lagu-lagu nya. Masih tak jemu. Kalaulah saya ada DeLorean....



Sunday, April 15, 2018

Battle Of The Bands


Battle Of The Bands (2006)

Ini sekadar melengkapkan koleksi. Tak beli pun. Tapi ada seorang sahabat bermurah hati nak bagi. Dia yang sambut hari jadi, saya pula yang dibaginya hadiah…hahaha..(terimkasih Encik Hensem Portdy)

Sedikit info, cd ini didatangkan dalam bentuk 2 disc dengan gabungan album BOTB Round 1 dan BOTB Round 2. Susunan lagunya sama seperti versi 2 disc keluaran tahun 1997. Kedua-duanya kurang satu lagu (Hanya Secebis Jawapan - Ella & The Boys)


Yang menarik tentang versi ini adalah inlaynya. Ianya disertakan dengan biodata band-band yang mengambil bahagian. Walaupun ianya bukanlah biodata yang lengkap, tetapi sekurang-kurangnya ada usaha ke arah itu.


Selepas ni memang rasanya dah tak cari dah apa-apa pun keluaran tentang Battle Of The Bands. Cukuplah apa yang ada. Yang kurang cuma versi kaset dan gold disc cd BOTB Round 2. Tak apa lah. Tak cari pun. Pernah ada versi kaset dulu-dulu (versi cetak rompak). Tapi dah hilang ntah kemana.






Saturday, December 30, 2017

Battle Of The Bands Round 2 vinyl

Yang terkini di pasaran...


Battle Of The Bands - Round 2 (piring hitam 2017)

Selepas Battle Of The Bands di piring hitamkan, kini giliran Round 2 pula. Sebuah album yang tak perlu di perkenalkan lagi. Memang tak rock la kan kalau tak tau. Ianya adalah kenangan terindah bagi muda mudi yang membesar di zaman tersebut. Diam tak diam dah 31 nak masuk 32 tahun. Yang dulunya muda belia ketika membeli kaset ini pun kurang-kurangnya dah masuk umur 40 tahun dah...cepat betul masa berlalu.


Piring hitam ini semenangnya sesuai untuk collectors dan mereka yang hendak mengimbau kenangan silam. Nak kata istimewa pun tak juga. Packaging simple. Gatefold yang di dalamnya sekadar lirik. Gambar covernya kurang sharp. Ada muka band member yang memang tak nampak apa. Seperti biasa ayat 'klise'nya...biar ada dari tak ada..


Dari segi sound tak ada nak komplen sangat. Biasa la volume kena up dari biasa. Tak pasti sumbernya dari mana. Mungkin juga dari cd. Seperti yang dikatakan awal tadi, lp ini memang sesuai untuk collectors dan mereka yang mengimbau kenangan silam. Nak beli yang asal memang susah nak dapat dan harga pun tak masuk akal.


Tapi tu la....harga lp-lp reissue ini pun sebenarnya agak mahal juga. Berbalik pada point asal...Memang ianya hanya untuk collectors dan mereka yang ada kenangan silam (macam saya).



***harapnya Juara Juara Rock juga akan dipiringhitam walaupun nanti hati gembira kocek menangis...




Sunday, November 5, 2017

Battle Of The Bands - vinyl

Yang terkini di pasaran..


Battle Of The Bands (piring hitam 2017)

Kali pertama dikeluarkan dalam bentuk piring hitam. Sebuah album yang tak perlu diperkenalkan lagi. Album wajib untuk untuk semua mat rock. Album yang menjadikan muzik rock satu budaya di Malaysia. Tak rock la kan kalau takder album ni...



Untuk standard lp rock melayu...ni kira ok la...sound...packaging pun ok...takder nak komplen sangat...ada duit lebih sila beli...


Kaset dah hilang. Tak boleh la nak buat giler format. Harapnya selepas ini Round 2 pulak dipiring hitamkan.


Muzik Rock Yang Sebenar!




Tuesday, September 5, 2017

Battle of The Bands - Limited Gold Disc Edition

Antara yang terkini di pasaran...


Battle Of The Bands -Limited Gold Disc Edition - terbitan semula 2017

Tak pasti mengapa album di keluarkan sekali lagi. Kali terakhir ianya diterbitkan semula adalah 2 tahun yang lepas (2015) ketika demam album-album rock melayu reissue sedang hangat di pasaran.

Mungkin juga kerana isu sound, typo atau inlay kertas lipat 2 maka pembetulan dibuat. Atau mungkin juga ianya lubuk emas untuk meraih keuntungan. Tak kisahlah apa sebabnya. Tetapi untuk siapa-siapa yang terlepas untuk membeli edisi tahun 2015, maka inilah masanya untuk membeli album lagenda yang menjadikan muzik rock satu budaya popular di Malaysia.

versi 1997 vs 2015 vs 2017
Apa yang berbeza? Dah tentu-tentunya seperti apa yang dicanangkan adalah cdnya berwarna gold dan sound 24-bit digitally remastered. Memang betul. Gold discnya lebih baik dari gold disc merapu Hukum Karma. Soundnya pun lebih baik dari versi 2015. Tapi rasa macam sama sahaja jika anda mempunyai versi 2 dalam 1 tahun 1997. Mungkin juga ianya di ambil dari versi tersebut. Maklumlah versi ini khabarnya dikeluarkan sendiri oleh Sony Music melalui PMP Entertainment bukannya disubkan bawah label Rusa Marketing. (Maaf...jika salah info...sila perbetulkan jika salah)

beza gold disc antara dua
Inlay pula kali ini jenis lipat 3. Tak adalah istimewa sangat pun kecuali ada sedikit info berbanding versi 2015 yang langsung tak ada. Tapi apalah salahnya kan, dah alang-alang buat versi remastered, jemputlah Ali Bakar (contohnya) untuk menulis sedikit coretan sementara mereka yang terlibat dalam BOTB ni masih hidup. Susah betul nak jumpa album-album terbitan semula tempatan yang ada semua ini. Nak tahu tarikh bila album terbit pun susah. Apatah lagi nak harap bonus track...lagilah jangan harap. Kalau ada pun versi pok amai amai (hahaha...)


Tapikan...jangan nak kata versi ni tak ada salah. Typo mungkin dah jadi amalan biasa untuk album-album reissue. Tak tahulah siapa yang tukang check. Whitesteel pun boleh jadi Whitesteed. Hampeh!


Apa-apa pun pergilah beli. Kang kalau tak beli dorang merajuk tak nak keluarkan lagi. Habislah blog ni kena bantai bila cakap macam ni....😅



**May - Rahsia pun dah keluar gold disc...kata support rock melayu...kata collector...pegilah beli 😉










Wednesday, March 15, 2017

Ella & The Boys ‎– Ella & The Boys

Kenangan 30 tahun....(kebetulan pula D'arsil pun buat cerita yang sama >SINI<)


Ella & The Boys ‎– Ella & The Boys (1987)

Album ini lahir ketika demam Battle of The Bands sedang memuncak. Selepas Keadilan. tak ingat album mana yang keluar dulu. Ilusi Sebuah Mimpi atau Ella & The Boys...tapi yang pastinya ia diterbitkan pada awal tahun 1987. Sayang sungguh kita tidak mempunyai catatan lengkap tentang keluaran sesuatu album tersebut.

Ada beli dalam bentuk kaset (versi lanun). Itu sahaja yang mampu pada ketika itu. Tak rasa album ini cukup popular. Mungkin ketika itu lagu "Dua Insan Bercinta" masih hit. Maka ianya menenggelamkan lagu-lagu lainnya. Selain "Dua Insan Bercinta", sebuah lagi lagu dari BOTB, "Hanya Secebis Jawapan" turut dimuatkan.

Saya sendiri agak kurang mengambil tahu. Di zaman remaja yang sedang dahagakan lagu-lagu berat dan laju. Ella & The Boys bukanlah menjadi pilihan. Mendengarnya sekadar lalu. Tak ada satu lagunya pun yang masih segar dalam ingatan. (kecuali lagu-lagu dari BOTB)


Betul-betul mendengarnya semula hanya sekitar 6 tahun yang lalu. (pernah menulis tentangnya di >SINI< ) Muzik mereka agak berbeza dengan lain-lain band dari BOTB. Agak unik. Mereka lebih terarah kepada rock 70an terutamanya dalam penggunaan keyboard yang seakan-akan ala Deep Purple atau Uriah Heep.

Tetapi yang pastinya saya cukup kagum dengan Lord. Lagu-lagu dan petikan gitarnya. Walaupun agak kurang gemar dengan sound gitar dalam album ini, tetapi bakat Lord memang tidak boleh dinafikan. Sepatutnya beliau berhak mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi.

Walaupun sound cd reissue ini hanya sekadar boleh. Tetapi sekurang-kurangnya dapat jugalah mengembalikan nostalgia ketika kegemilangan rock melayu pada suatu ketika dahulu.



Wednesday, August 31, 2016

Anak Merdeka

Sempena hari kemerdekaan..


Ella & The Boys - Anak Merdeka (1987keluaran semula 2016

Minggu ini genap sudah 29 tahun album ini dipasarkan. Ketika itu ianya bersempena dengan sambutan 30 tahun negara. Sayangnya jarang sungguh lagu yang menjadi tajuk album ini dapat kita dengar ketika negara menyambut ulangtahun kemerdekaan.

Bukan itu sahaja, album ke 2 Ella & The Boys ini juga agak kurang mendapat sambutan. Tak pasti dimana silapnya. Pada saya album ini lagu lagunya lebih baik dan sedap dari album pertama mereka. (pernah cerita dalam entri >sini< ) Mungkin juga kerana album ini terlalu cepat diterbitkan di saat orang belum puas dengan lagu Dua Insan Bercinta.


Selain anthem untuk hari merdeka, album ini juga mengandungi lagu anthem untuk hari ibu. Lagu Ibu nyanyian Lord liriknya memang sesuai untuk didedikasikan untuk para ibu. Lagunya pun sedap. Sayangnya seperti Anak Merdeka ianya kurang dipromosikan.

Pernah memilikinya dalam bentuk kaset. Tetapi di waktu itu tengah kemaruk dengan lagu rock inggeris, maka ianya tidak diendahkan sangat. Tetapi jujurnya hanya betul betul menghayatinya beberapa tahun yang lalu. Tak sangka pula ianya "grower". Makin lama dengar makin sedap. Lord memang seorang komposer yang bagus. Walaupun dah ada kesemua lagu lagunya dalam cd kompilasi Ella & The Boys tetapi memilikinya dengan cover yang asal adalah satu kemestian bagi mana mana album yang ada memorinya.

Saya berharap idea untuk menghidupkan semula Battle of the Bands akan menjadi kenyataan. Teringin nak dengar Ella menyanyikan semula lagu lagu dari album ini. Banyak lagu lagunya yang pada saya lebih sedap dan rockin' dari zaman solo beliau.





Friday, August 19, 2016

Kelkatu Gugur Sayapnya

Lagi album rock lama yang dikeluarkan semula...


Shima & The Boys - Kelkatu Gugur Sayapnya (1989) - keluaran semula 2016

Tahu pasal album ni. Pernah dengar 2 lagunya di radio tapi tak pernah dengar album penuh. Membelinya semata mata kerana minat pada Lord. Pada saya beliau sangat "underated". Bukan sahaja sebagai seorang gitaris tetapi juga sebagai seorang komposer.

Mula timbul minat kepada beliau ketika membuat entry berkenaan cd Ella & The Boys 5 tahun yang lalu. >SINI<
Mendengarnya secara tekun berulang ulang kali menyebabkan saya jatuh suka. Sesuatu yang saya tak berapa kisahkan pun dulu ketika zaman Battle Of The Bands.

Ternyata album ni boleh tahan lagu lagunya. Lord sememangnya komposer yang bagus. Malah dia juga boleh menyanyi. 3 lagu solo dan satu berduet dengan Shima. Konsep lagu lagunya tak lari sangat dari zaman Ella. Feel blues dan rock 70an ala ala Uriah Heep masih kedengaran terutamanya bahagian keyboardnya. Sound gitarnya pun sedap. Tidak lagi nyaring seperti zaman Ella.



Tak kisah pun jika penyanyinya bukan Ella. Saya lebih kepada hendak mendengar muzik The Boys. Saya tertarik dengan lagu Pedaya Cinta sejak pertama kali mendengarnya. Lagu sedap dan suara vokalisnya pun power. Shima memang tak sama dengan Ella. Dan dia tidak cuba juga untuk menjadi Ella. Saya sukakan ianya begitu. Walaupun ada juga bahagian seraknya yang cuba menjadi Ella tetapi suara beliau lebih kasar. Tetapi ada juga bahagian high pitch yang saya rasakan seperti menjerit.

Beliau dicanangkan sebagai saingan Ella. Walaupun beliau pernah juga berada di puncak tetapi rasanya hanya ada satu Ella. Sesuatu yang agak sukar hendak di gugat sehingga kini. Saya tak tahu sangat lagu lagu Shima solo dan tak berminat pun. Tetapi saya berharap suatu hari nanti ada pula cd rilisan semula Lord Justice. Band Lord selepas dari The Boys.



Thursday, March 24, 2016

Battle of the Bands

Yang menyambut ulang tahun ke 30...



Battle Of The Bands (1986) - keluaran semula 2015

Banyak dah diperkatakan tentang album ini. Tak perlulah saya mengulas panjang tentang lagu-lagunya. Pada saya Search-Cinta Buatan Malaysia adalah pembuka jalan tetapi Battle Of The Bands lah yang menjadikan rock dan heavy metal sebagai budaya yang popular di Malaysia

Dikenalkan kepadanya buat pertama kali oleh seorang rakan ketika menghadiri kelas tambahan untuk peperiksaan PMR SRP (giler tua penulis blog ni...hahaha...). Saya dah tak boleh ingat siapa rakan tersebut tetapi yang saya ingat beliau menunjukkan kaset BOTB tetapi tidak membenarkannya untuk dipinjam.


Melihatkan gambar cover dengan perkataan "Muzik Rock Yang Sebenar" telah membuatkan saya teruja. Maklumlah band-band rock yang ada album pada ketika itu selain Search, masih lagi dengan pengaruh rock 70an dan dangdut. Saya sendiri sebelum tahun 1986, masih lagi seorang pengemar Duran Duran. Selepas Iron Maiden dan Search, BOTB lah yang membuatkan saya betul-betul terjebak dengan genre muzik yang sebegini.

Memang tidak dinafikan pengaruh besarnya kepada saya. Sayangnya saya tidak berkesempatan untuk menonton konsert mereka. Konsert hantu begini (hahaha..) janganlah haraplah akan dapat keizinan dari orang tua. Dah lah tahun tersebut tahun peperiksaan. Tambah pula zaman tu pengangkutan untuk ke bandar dari kampung saya bukanlah semudah sekarang. Kena pula kat belah malam. Tak silap saya kalau di Johor Bahru ianya diadakan 2 malam berturut-turut di Dewan Jubli Intan.



Yang paling diminati sudah tentu-tentunya Lefthanded, Maklumlah gitarisnya, Man Kidal juga terlibat dalam album Search - Cinta Buatan Malaysia. Tambahan pula nama beliau dan Lefthanded memang dah cukup popular di sekitar Johor Bahru sebelum zaman Search lagi. Aksi gigit gitar beliau memang dah jadi bualan mat rock sekitar Johor Bahru. "Debunga Wangi" menjadi anthem bagi kami.

Tapi kira yang paling gempak sekali dah tentu-tentulah SYJ. Imej ala-ala Motley Crue mereka memang menakutkan mak bapak. Mana ada orang berani buat lirik maki dan dengan selambanya letak kaki atas meja masa majlis sidang akhbar. Lagu "Orang Timur" menjadi antara lagu kegemaran kami bila jamming di studio.

Senang cerita inilah antara album yang mengubah citarasa muzik saya. Dan dari sinilah bermulanya budaya rock dan heavy metal di Malaysia.

Rekomended!

*masih tak lupa kenangan di kantin sekolah bersama rakan-rakan beramai-ramai menyanyikan lagu Debunga Wangi sambil di iringi petikan gitar oleh senior kami Enal ( gitaris D'Fender - finalis Juara Rock Johor 1988, pernah jadi opening act untuk konsert Wings/Rusty Blade di Stadium Larkin 1989 dan pernah juga keluar dalam URTV) dan Husin (gitaris Kumpulan Sahara - pernah merakamkan album Bahang Bahang (1989) dan pernah keluar Muzik Muzik TV3)...rasa macam tak nak berhenti menyanyi walaupun loceng sekolah telah berbunyi...ianya masih terngiang-ngiang dalam ingatan....





Thursday, October 9, 2014

U.S.A

Yang menyambut ulangtahun ke 20...


Ella - U.S.A (1994)

Unik. Syuga. Asli....Sedar tak sedar dah 20 tahun rupanya usia album ini. Banyak kenangannya. Antaranya  menonton konsert tour Ella-U.S.A di Stadium Tertutup MBJB. Ketika itu Khalid Mubin (Rusty Blade), Zan (Rusty Blade) dan Yem Bai (BPR) menjadi band pengiring. Super group tu. Memang best.

Sayangnya mereka tidak bermain untuk rakaman album ini. Maklumlah, selepas kejayaan besar 30110, (mencipta rekod abum yang paling tinggi jualannya di Malaysia pada ketika itu sebelum dipotong oleh album pertama Raihan kemudiannya). EMI berbelanja besar untuk Ella. Rakaman dilakukan di California. Semua pemuziknya mat salleh kecuali mamat jepun Kyoji Yamamoto.

Siapa Kyoji Yamamoto?. Sila google Bow Wow atau Vow Wow ketika zaman mereka di UK. Seangkatan dengan Loudness dan Eartshaker ni. Memang gitaris hebat. Beliau juga bertindak sebagai penerbit dan penyusun muzik untuk album ini. Maka tak hairanlah sound album ini memang sangat berkualiti. Memang hebat. Tip Top.

Kaset ini dibeli ketika bulan ia dilancarkan (feb 1994)...di dalamnya ada booklet lirik,info dan gambar-gambar Ella

Yang lebih menarik pada saya Ella sendiri turut terlibat dalam proses pembikinannya. Menjadi penerbit bersama dan menulis lirik. 9 buah lagu liriknya ditulis oleh beliau. Tak kisahlah walaupun lirik-liriknya bukanlah setaraf lirik arwah Loloq.

Nak kata semua lagunya saya suka...kira boleh lah...tapi saya lebih mengemari album 30110. Album ini mengembalikan memori di tempat pertama saya berkerja. Ketika itu saya terpaksa "stay back" di pejabat hampir setiap malam...yang ada masanya hingga ke pukul 1 pagi. Album ini menjadi peneman kerana salah seorang rakan pejabat cukup sukakan Ella. Dah radio kaset dia yang punya. Terpaksalah berulang-ulang kali mendengarnya hampir setiap malam...hinggakan setiap lagunya melekat di kepala.

Versi cd kalau tak silap di beli pada tahun 2010...cd reissued ini mengandungi booklet yang lengkap sama seperti kaset...

Antara yang melekat kat kepala termasuklah lagu gedik "Mungkin" kerana ini lagu kegemaran rakan saya tersebut. (Tak pasti kat mana rakan saya ni sekarang...lama dah terputus hubungan...nama betulnya pun saya dah lupa...)

Tapi kalau untuk saya...selain lagu-lagu yang rancak...paling suka...paling feel...adalah "Rindu"...syiok layan ketika zaman bercintan cintun dulu....

untuk layan cerita dari blog Ijau...klik >SINI< dan >SINI<







Thursday, June 23, 2011

Ella & The Boys

Aku ada banyak permintaan untuk review album yang masih tak tertunai...perlu diingat aku tak pandai review...ianya lebih kepada cerita2 kisah aku dan album tersebut...tetapi setiap kali nak bercerita pasal album2 tu...aku kena dengar balik dan buat sedikit research...maklumlah ada yang diantaranya dah lama dan bertahun aku tak dengar...lupa dah..oleh sebab tu...banyak permintaan yang terpaksa aku KIV dulu...nanti2 lah bila ada masa dan terajin...

Baru2 ni Saudara Nizam ada mintak cerita pasal Ella & The Boys...kebetulan masa mengemas cd tu hari ngam2 ternampak cd ni...dekat 2 minggu jugak la ambik masa nak dengar balik maklum la 2 disc..



Ella ni macam biasalah...tau masa zaman Battle Of The Bands...walaupun tu jam aku lebih prefer Lefthanded dan SYJ...tapi disebabkan yang lainnya jantan...ni jer satu2nya awek rock yang ada...kira layan jugak la...

Cd Best of ni ada 2 disc...Disc 1 lagu2 dari album pertama (selepas Battle Of The Bands)..self title album yang kalau tak silap diterbitkan pada tahun 1986...manakala disc 2..adalah dari album ke2 berjudul Anak Merdeka...ni pulak kalau tak silap tahun 1987...dan seperti biasa zaman tu...aku beli kedua2nya dalam versi cetak rompak RM2.50...biasa la budak sekolah...mana ada duit...sayangnya ntah mana hilangnya dua2 kaset tu...



Kalau tak silap jugak...self title kaset tu cuma ada 9 lagu...tapi kat cd ni ada 10 lagu...penambahan lagu Cinta Berakhir....lagu dari Battle Of The Bands 1...tapi dari 9 lagu tu...7 jer lagu baru...Dua Insan Bercinta dari BOTB 1 manakala Hanya Secebis Jawapan dari BOTB 2...menjadikan hanya lagu Ulat Bulu (BOTB 2) jer satu2nya lagu Ella & The Boys yang tak der dalam best of ni...lain semua cukup...

Bagi aku muzik The Boys ni memang berbeza dengan lain2 band dari BOTB...kalau Lefthanded nak jadi Malmsteen...SYJ Motley Crue...Bloodshed ada rif2 ala Dokken...Rahim Maarof David Coverdale...tapi The Boys lebih kepada hard rock 70an...progressif rock 70an pun yer jugak...memang banyak lagu2 dorang yang fell camgitu...ala2 Styx...atau mungkin lebih kepada Uriah Heep...tambahan pulak banyak penggunaan keyboard ala2 Ken Hensley...dasat gak keyboardist dia...tak sure time ni Satiman atau Lord sendiri yang main...orang lain tu jam nak jadi Jon Lord...dia Ken Hensley...tabik!



The Boys ni adalah Lord...dan Lord adalah The Boys...majoriti lagu memang semuanya oleh Lord..(cuma 3 lagu jer dari Anak Merdeka yang bukan Lord buat)...pernerbitnya pun dia...memang respek band2 yang cipta lagu dan terbit sendiri macam ni...tapi bab cilok sikit2 riff tu biasa la kan...contohnya dengar lagu Anak Merdeka...boleh tangkap riff Stone Cold Crazy dari Queen..

Kalau ikut aku...aku lebih suka disc 2 (Anak Merdeka)...lebih heavy sikit...cuma aku kurang berkenan ngan sound gitar Lord..bunyinya nyaring sangat...banyak betul band2 rock 80an sound camgini...ntah kenapa ek??...mungkin pasal penggunaan studio yang sama kot...apa2 pun memang banyak lagu yang sedap...Ada 2 lagu yang bukan Ella nyanyi...tak silap aku Lord yang nyanyi...salah satunya lagu Ibu...jelas boleh dengar pengaruh Uriah Heep kat pertengahan lagu ni...bagi aku la...lagu ni berserta ngan Kepangkuan Ibunda dari Belantara memang patut jadi lagu tema hari ibu bukannya takat lagu Ibu P. Ramlee dan Bonda M.Nasir ajer...kalau lebih promosi dua2 lagu ni pun boleh jadi legend ler...

Kalau nak dengar Ella zaman2 mudanya...zaman2 rock 80an...cd ni berserta 2 album solo awal beliau Pengemis Cinta dan Puteri Kota memang aku rekomen la...sayangnya ntah kenapa album2 Ella & The Boys ni kurang mendapat perhatian...mungkin kurang promosi kot...atau pun zaman tu mungkin ramai yang macam aku....lebih suka rock lelaki...tapi bukan gay tau...heheh...



komplen aku untuk cd ni cuma satu...kenapa la sykt rakaman macam tak ambik peduli nilai sejarah bila terbitkan cd2 macamgini...kalau kat barat...cd2 remastered memang best...ada added track...ada booklet tebal gambo berwarna warni...sejarah pasal album tersebut dan macam2 lagi...ni kat malaysia...hampeh!!!...inlay sekeping...apa la salah panggil Lord ker Ella ker (sementara dorang masih hidup)...suh tulis sikit cerita kat inlay...benda2 yang boleh jadi rujukan untuk generasi akan datang...sykt rakaman kat malaysia memang hampeh...(Belantara sampai sekarang pun tak dapat hak nak riliskan balik album mereka...dah la sykt rakaman tak nak buat...band nak buat sendiri pun dorang tak bagi...memang hampeh)...pastu sibuk nak sekat laman2 download...pikir la...(bak kata en.changingseason)...kalau takat inlay sekeping...kena bayar puluh2 ringgit...sapa la yang nak beli cd...ko download dan beli sama jer2...dua2 pun tak leh nak belek2 inlay...(nasib jugak cd yang ni ada lirik...)