Showing posts with label 2022. Show all posts
Showing posts with label 2022. Show all posts

Monday, May 5, 2025

X Japan Ballad Collection

 Yang terkini dalam simpanan...


X Japan - Ballad Collection (Vinyl 2XLP - 2022)

Antara band yang albumnya agak sukar ditemui dalam bentuk piring hitam. Memang keluaran terhad dan tidak pernah dikeluarkan semula. Jika ada pun, harganya pasti tidak mampu milik.

Memang seronok dapat yang ini. Walaupun hanya sekadar album kompilasi, paling tidak disangka ianya dijual di Shopee.


Menurut maklumat di Discogs, album ini hanya pernah dikeluarkan sekali dalam bentuk piring hitam dan dikeluarkan di Hong Kong pada tahun 2022. Versi asal dalam bentuk CD pula dikeluarkan di Jepun pada tahun 1997.

Tidak pasti sama ada versi ini adalah keluaran Hong Kong tersebut atau sekadar bootleg. Namun, tidak kisah lah. Yang penting, bunyinya bagus, masih baru dan bersampul. Paling utama, harganya lebih murah berbanding harga piring hitam reissue album rock Melayu.


Thursday, April 6, 2023

The War to End All Wars

Dah setahun dah album ni. Baru sekarang nak buat cerita 😁.

Sabaton - The War to End All Wars (2022)

Sambung lagi cerita tentang album-album terbitan tahun lepas

The War to End All Wars masih dalam acuan yang sama dengan album yang sebelumnya. Tidak banyak yang berbeza. Band yang sudah ada tanda nama seperti mereka pastinya tidak mahu terlalu banyak perubahan. Setiap perubahan ada risikonya.

Mereka masih mengekalkan lirik bertemakan perang dunia pertama (WW1). Penceritaan kali ini tertumpu untuk tempoh tahun 1914 ke 1918. Ianya adalah konsep album sambungan dari album yang sebelumnya ("The Great War - 2019").

Lagu-lagu mereka yang kedengaran agak bombastik sememangnya bersesuaian untuk didengar dan ditonton secara "live". Maka tidak menghairankanlah kenapa mereka adalah antara band yang sering diberikan peranan utama (headliner) dalam mana-mana festival rock dan metal untuk masa sekarang.

Secara ringkasnya jika anda baru dengan Sabaton, mereka adalah sebuah band yang bolehlah dikategorikan sebagai power metal. Yang membezakan mereka adalah gaya nyanyian vokalisnya yang tidak menggunakan high pitch dan lirik yang berkisarkan tentang sejarah perang dunia pertama (WW1). 

Mungkin "The War to End All Wars" tidak akan mendatangkan peminat baru untuk mereka. Tetapi ianya cukup untuk memuaskan hati peminat setia mereka secara khususnya dan genre power metal secara amnya.


Thursday, March 30, 2023

A Paranormal Evening with the Moonflower Society

Lagi album terbitan dari tahun lepas...

Avantasia - A Paranormal Evening with the Moonflower Society (2022)

Tak tau nak tulis apa sangat. Kepala menjadi tepu semula apabila terlampau banyak sangat medengar lagu-lagu bergenre begini. Avantasia adalah salah satu band yang saya lebih rasa teruja nak tak siapa penyanyi undangannya berbanding album itu sendiri.

Dari segi lagu dan muziknya, Tobias Sammet sebagai mastermind Avantasia sememangnya jarang mengecewakan. Kalau anda peminat power metal, ini sememangnya makanan anda. Tetapi bagi peminat kasual seperti saya, lagu-lagunya sedap, permainan muziknya mantap tetapi agak sukar untuk benar-benar melekat di kepala.

Tetapi seperti yang saya katakan awal tadi, keterujaan mendengar Avantasia adalah lebih kepada vokalis jemputannya. Tobias Sammet tak pernah gagal untuk mengumpulkan nama-nama besar dunia power metal ke dalam Avantasia. Antaranya Floor Jansen (Nightwish), Jørn Lande (Jorn), Michael Kiske (Helloween), Ralf Scheepers (Primal Fear), Geoff Tate (ex-Queensrÿche), Eric Martin (Mr. Big) dan Ronnie Atkins (Pretty Maids).

Yang paling saya nak dengar sudah semestinya Eric Martin dan Michael Kiske. Kedua-duanya adalah vokalis kegemaran. Eric Martin membuktikan yang beliau adalah seorang vokalis yang versatile manakala Michael Kiske masih dalam acuan Helloween.

Tetapi lagu track pembukaan, "Welcome to the Shadows" pada saya adalah yang paling sedap. Ianya adalah satu-satunya lagu yang melodi chorusnya mudah menangkap dan melekat di kepala.


Monday, March 27, 2023

From Womb To Tomb

Album pilihan 2022

Lillian Axe - From Womb To Tomb (2022)

Lillian Axe adalah salah satu dari ratusan band-band era 80an yang dikategorikan sebagai glam/hair metal yang berjaya merakamkan album tetapi gagal untuk menjadi popular. Bukan kerana mereka tak bagus atau tak sedap, tetapi ianya lebih kepada saingan yang tinggi, promosi dan nasib yang kurang menyebelahi mereka.

Mereka juga adalah di dalam kategori band-band yang bukan menjadi keutamaan untuk saya dengar pada ketika itu. Kekangan seorang TRUE pelajar yang tak berapa berduit dan tiadanya kawan yang mendengar kaset mereka menjadikan mereka hanyalah band yang saya tahu nama tetapi tidak tahu bagaimana lagu-lagunya.


Tetapi sejak kebelakangan ini timbul rasa minat untuk cuba mendengar band-band dari genre sebegini. Hasil dari carian di spotify baru tahu yang mereka masih aktif dan ada menghasilkan album baru. Percubaan mendengarnya menyebabkan jatuh minat dan terjebak untuk membeli cdnya.

Tak pandai sangat nak komen perbezaan dari album-album awal. Saya hanya mempunyai satu cd dari mereka (album pertama, Lillian Axe 1988) tetapi apa yang pastinya album terbaru ini bukanlah  glam/hair metal 80an ataupun straight forward hard rock. Ianya banyak elemen progressif rock dengan lagu-lagu yang lebih perlahan dan beremosi. Namun begitu ianya sedap. Vokal yang harmoni dan kerja gitar yang melodic.

Sudah semestinya ia adalah diantara album pilihan saya untuk tahun 2022


Wednesday, March 22, 2023

Leviathan II

Album pilihan 2022

Therion - Leviathan II (2022)

Lagi sebuah band yang lama dah ditinggalkan. Kali terakhir mendengar mereka secara betul adalah album Secret of the Runes (2001). Manakala kali terakhir membeli cd mereka adalah album kompilasi Atlantis Lucid Dreaming (2005).

Percubaan di spotify dan membaca ulasan di media sosial menyebabkan terjebak membeli. Sebenarnya ini adalah album trilogy. Ini adalah yang kedua. Yang pertama pada tahun 2021 manakala yang ketiga dijangkakan pada penghujung tahun ini.

Sebenarnya bukan sahaja Therion, tetapi boleh dikatakan hampir kesemua muzik bergenre symphonic metal ini agak lama saya tinggalkan. Mungkin itu salah satu penyebab kenapa kali ini agak mudah jatuh suka. Terlampau banyak menjadi tepu. Tetapi bila sesekali dengar rasa ketagih.

Lagipun memang susah untuk tidak sukakan Therion jika selera anda adalah genre yang sebegini. Mereka sememangnya sebuah band symphonic power metal yang cukup gah dari segi susunan muziknya. Memang "grand". Produksinya pun memang berkualiti. Mungkin ada sedikit elemen melankolik dan gelap tetapi ianya sangat melodic dan sedap. 

Tak pasti telinga orang lain. Tetapi bagi telinga saya yang jarang-jarang mendengar genre sebegini, Leviathan II  sememangnya menghiburkan. Nampaknya kenalah mencari Leviathan yang pertama pula selepas ini...


Sunday, March 19, 2023

Rad Wings of Destiny

Album kegemaran 2022

Ugly Kid Joe - Rad Wings of Destiny (2022)

Ugly Kid Joe adalah sebuah lagi band yang lama dah ditinggalkan. Kali terakhir yang betul-betul beli dan dengar adalah Motel California (1996). Muzik mereka yang berubah arah menyebabkan hilang rasa teruja untuk terus mengikuti mereka.

Tetapi untuk tahun 2022 sememangnya saya banyak bernostalgia. Banyak betul membeli album baru dari band-band "soundtrack" zaman remaja. Rad Wings of Destiny adalah salah satunya darinya. Tak sangka pula akan jatuh suka. Maka tak hairanlah bukan sekadar cd, piring hitamnya pun turut dibeli.

Mereka masih mengekalkan tajuk album secara parody. Walaupun bertajuk Judas Priest tetapi isinya lebih terarah kepada ACDC. Ada beberapa lagu yang pekat pengaruh ACDC. Track pertama (That Ain't Livin'  ) adalah contohnya. Sampai ada ulasan yang mengatakan yang ianya lebih bagus dari lagu-lagu ACDC sekarang.

Sebagai peminat, saya masih bernostalgia tetapi nampaknya Ugly Kid Joe telah "move on". Walaupun mereka masih mempunyai sound yang sama. Tetapi tiada lagi lagu-lagu yang keras dan berat. Tiada langsung lagu-lagu seperti "Madman" atau "Neighbor". Mereka kini lebih lebih lembut dan perlahan. Mungkin bersesuailah dengan usia dan imej terkini mereka yang berambut pendek dan botak... hahaha...

Namun begitu secara kesuluruhannya ia adalah album yang bagus. Semua lagu sedap. "Long Road" yang santai mengingatkan kepada "Mr. Recordman". 

Rekomended!


Tuesday, March 14, 2023

Sweet Evil Sun

Lagi album dari tahun lepas (2022)....

Candlemass - Sweet Evil Sun (2022)

Album reunion yang kedua bersama vokalis Johan Längqvist. Ianya masih mengekalkan formula yang hampir sama seperti album sebelumnya, The Door to Doom (2019). Bersesuaian dengan kembalinya Johan, mereka cuba untuk kembali ke asal.

Walaupun saya bukanlah peminat tegar mereka dan kurang berminat juga dengan muzik doom. Tetapi saya masih boleh menerima Candlemass. Muzik mereka masih mempunyai pengaruh heavy metal 80an. Dan ianya tidaklah terlampau meleweh. Masih ada bahagian lagu yang laju dan rancak.


Tak ada apa yang nak di komplen. Sweet Evil Sun masih seperti Candlemass yang sepatutnya. Saya pun bukanlah mendengar sangat mereka ketika era vokalis yang lain. Makanya tak layak untuk membuat sebarang perbandingan. Tetapi jika anda sukakan Epicus Doomicus Metallicus (1986), pastinya Sweet Evil Sun tidak akan menghampakan.

Tabik kepada band-band lagenda seperti mereka yang masih terus berkarya. 


Friday, March 10, 2023

Survive

 Album pilihan 2022

Stratovarius - Survive (2022)

Agak lama sebenarnya tak mengikuti perkembangan Stratovarius. Kali terakhir yang betul-betul ambil tahu adalah Elements Pt. 2 (2003). Selepas itu sememangnya "lost" dengan mereka.

Tetapi sejak kembali bersemangat untuk mendengar semula genre power metal, ini adalah antara album baru yang ditunggu-tunggu. Mereka adalah antara penyebab saya terjebak mendengar genre sebegini suatu masa dahulu.

Dengan Survive, ternyata mereka tidak banyak berubah. Jarak masa hampir 20 tahun dan ketiadaan Timo Tolkki bagaikan tiada kesan. Saya tidak pasti bagaimana dengan album-album lainnya dalam tempoh tersebut, tetapi Survive mengembalikan ingatan saya kenapa saya gemarkan genre sebegini suatu masa dahulu.

Stratovarius membuktikan yang mereka masih diposisi band-band elit bagi genre power metal. Ianya bagus dan tidak membosankan. Saya kebiasaanya akan "hilang" dipertengahan album terutamanya apabila sampai di track yang ke 5 dan keatas. Tetapi ianya tidak berlaku kepada Survive. Lagunya catchy dan yang paling penting tidak berlebihan hingga boleh menyebabkan kedengaran seperti berulang.

Mungkin bukan penanda aras. Tetapi ianya adalah apa yang anda mahu dari genre power metal. Survive adalah satu album terbaik power metal masa kini.


Tuesday, March 7, 2023

The Final Battle

Satu lagi album pilihan 2022...

Stryper - The Final Battle (2022)

Awalnya tidak menaruh harapan yang tinggi. Pra dengar di spotify pun sekadar sambil lalu kerana sedap atau tak sedap, cdnya memang akan tetap dibeli.

Kesibukan Michael Sweet dengan pelbagai projek lain membuatkan saya beranggapan yang beliau pastinya telah kering idea. Cdnya pun antara yang terakhir saya dengar dari pelbagai cd yang di beli pada tahun lepas. 

Ternyata saya tersilap. Seperti beberapa album sebelumnya, Stryper sememangnya tidak mengecewakan. The Final Battle membuktikan yang mereka adalah satu-satunya band dari era glam/hair metal 80a yang terus menerus menghasilkan album-abum yang bagus dan berkualiti.

Mungkin ianya bukanlah sesuatu yang baru atau lain dari yang lain. Sememangnya tiada yang berubah. Vokal Michael Sweet pun masih sama seperti dulu. Tetapi yang pentingnya ini adalah apa yang kita mahu dari Stryper. Mereka memang pakar dalam menghasilkan melodi dan rif yang sedap. Ianya seperti saya kembali kepada era 80an tetapi di tangan ada teknologi terkini.

Bagi saya muzik mereka adalah heavy metal. Tak kisahlah jika ianya putih atau hitam. Yang paling penting adalah sedap. Dan ini adalah satu lagi album terbaik dan pilihan saya untuk tahun 2022.


Friday, March 3, 2023

Seventh Rum of a Seventh Rum

Lagi album terbitan dari tahun 2022.... 

Alestorm - Seventh Rum of a Seventh Rum (2022)

Mula terjebak dengan Alestorm selepas mendengar Curse of the Crystal Coconut (2020). Nak kata minat sangat tu... tak juga. Tetapi melodinya yang catchy sememangnya mudah untuk melekat. Tambahan pula lagunya jenis riang ria. Memang sesuailah dilayan selepas seharian penat bekerja ataupun mengharung jalan jem ketika memandu pulang ke rumah.

Seventh Rum of a Seventh Rum sebagai tajuk album adalah parodi mereka kepada Seventh Son of a Seventh Son - Iron Maiden. Tetapi dari segi lagunya memang tidak ada kena mengena. Kalau nak dibuat perbandingan dengan Running Wild (satu lagi band berkonsep pirate metal yang saya gemar), Alestorm muziknya jauh lebih pop dan komersial. Mungkin sasaran mereka sememangnya untuk pasaran yang lebih mainstream.  

Melodi lagunya yang berkonsep lanun membuatkan saya terkenangkan cerita kartun, Jake and the Never Land Pirates yang ditayangkan di Astro pada suatu ketika dulu. Ianya adalah cerita kegemaran anak bongsu. Menemankan beliau menonton hingga menyebabkan bapanya pun terminat sama. 😁. Tetapi ini kisah 10 tahun yang lalu. Saluran kartun di Astro pun dah lama tak berusik. Anak pun dah meningkat remaja. Mana lah dia nak layan kartun-kartun macam ni lagi. 

Ahoy....!



Monday, February 27, 2023

Digital Noise Alliance

 Album pilihan 2022

Queensrÿche - Digital Noise Alliance (2022)

Tahun ini banyak betul band-band zaman remaja yang dah lama saya tinggalkan tetapi rasa teruja untuk mendengarnya semula. Ini semua adalah gara-gara ulasan positif di media sosial tentang album baru mereka. Queensrÿche adalah salah satu darinya. Kali terakhir medengar mereka secara betul adalah album Promised Land (1994).

Lebih tahu tentang perebutan nama diantara mereka berbanding lagu-lagunya. Tak tahu pun yang ini adalah album ke 4 bersama vokalis baru, Todd La Torre. Ternyata beliau adalah pilihan yang tepat. Vokal beliau sememangnya sama taraf dengan Geoff Tate. Saya tidak pernah mendengar vokal beliau bersama Queensrÿche, tetapi album solo beliau (Rejoice in the Suffering - 2021) banyak kali juga saya dengar melalui spotify.

Kalau ikut selera saya, album ini jauh lebih bagus dari zaman pertengahan 90an mereka. Tetapi disebabkan saya tidak benar-benra mengikuti muzik mereka pada ketika itu, berkemungkinan juga saya silap. Tetapi secara jujurnya bagi saya album ini lebih "metal" berbanding zaman Empire. Mungkin tidak sebagus album-album awal, tetapi ianya hampir kearah itu.

Yang utamanya bagi saya bukan setakat mereka berjaya mencari penganti Geoff Tate, tetapi Queensrÿche versi baru ini telah membuktikan kemampuan Michael Wilton sebagai penulis lagu dan gitaris. Beliau selama ini sering dibayangi oleh Chris DeGarmo. Tanpa DeGarmo beliau berjaya membuktikan yang Queensrÿche masih berada di tahap teratas.

Sebenarnya saya tak sangka yang saya akan sukakan album ini. Nampaknya kena lah mencari 3 album Todd La Torre bersama mereka yang sebelumnya.


Wednesday, February 22, 2023

Pavlov's Dawgs

Album pilihan 2022...

Tankard - Pavlov's Dawgs (2022)

Tankard adalah salah satu nama besar bagi gerakan Teutonic thrash di tahun 80an dahulu. Namun begitu mereka bolehlah dikatakan yang paling kurang popular berbanding band-band yang lainnya.

Lirik dan imej yang sering berkisarkan tentang beer di tambah pula dengan cover album kartun menyebabkan mereka sering tidak dipandang serius. Namun begitu, dari segi muzik mereka sebenarnya bagus. Kualiti muzik mereka sememangnya serius bagus.

Ini adalah cd mereka yang ke 6 saya beli. Percubaan mendengarnya di spotify menyebabkan terjebak untuk membeli. Tankard masih seperti dulu. Lirik mereka masih majoritinya berkisarkan tentang beer. Muzik mereka juga masih yang sama. Ianya masih thrash seperti yang mereka mainkan dulu-dulu. Tiada yang berubah.

Band yang dan menghasilkan banyak album (18) seperti mereka pastinya ada album yang menaik atau menurun. Pavlov's Dawgs adalah di dalam kategori yang menaik. Ianya bukanlah yang terbaik, tetapi sesiapa yang sukakan thrash amnya dan Tankard khususnya pastinya tidak akan kecewa.

Satu lagi album kegemaran bagi tahun 2022. Sememangnya 2022 tidak menghampakan jika anda adalah seorang peminat thrash. Banyak album thrash yang bagus.


Tuesday, February 14, 2023

Halo

Yang menyambut ulangtahun pertama pada 11hb Februari yang lalu...


Amorphis - Halo (2022)

Lama dah beli. Asyik terlupa untuk menulis tentangnya. Itu tandanya yang ianya bukanlah album yang meninggalkan kesan untuk saya. Tetapi tidaklah bermakna ianya tidak bagus. Terlampau banyak album yang bagus untuk 2022 menyebabkan Halo bukanlah keutamaan. 

Muzik mereka masih sama seperti beberapa album yang lalu. Progressif melodic power metal dengan gabungan vocal “growl” dan “clean”. Yang membezakannya adalah kualiti lagu-lagunya. Dan ianya tidak dinafikan bagus. Sama bagus dengan album sebelumnya. Melodinya sedap. Tetapi tidak ada yang benar-benar boleh melekat. Kalau ada pun mungkin lagu track pertama, Northwards.


Ianya adalah masalah yang sama bagi band-band berkonsep sebegini. Sekurang-kurangnya kepada orang seperti saya. Sedap tetapi tidak ada faktor X yang boleh membuatkan rasa teringin untuk mengulang dengarnya semula. 

Tetapi jika anda adalah peminat tegar Amorphis, tak ada pun pun yang perlu dikomplen. Ini sememangnya apa yang anda harapkan dari mereka.



Friday, February 10, 2023

The Great Heathen Army

 Album pilihan 2022

Amon Amarth - The Great Heathen Army (2022)

Untuk mempermudahkan jalan cerita, jika anda adalah peminat Amon Amarth, anda tidak akan kecewa. Tetapi jika anda mahukan suatu kelainan dari mereka, mungkin anda tak akan jumpa

Amon Amarth tetap setia dengan "branding" mereka. Melodic death metal dengan lirik yang bertemakan Viking mythology. Yang menariknya, mereka masih dapat menghasilkan rif dan melodi yang sedap walaupun ini adalah album mereka yang ke 12.

Mungkin ada yang beraggapan yang mereka telah menjadi statik sejak beberapa album yang lalu tetapi bagi saya ianya lebih kepada mereka telah berjaya menghasilkan bunyi yang boleh dikenali atau satu formula muzik yang sudah menjadi sinonim dengan nama mereka.

Kalau ada pun sedikit kelainan untuk album ini bagi saya adalah dari lagu “Saxons and Vikings”. Biff Byford (Saxon) sebagai vokalis jemputan membawa semangat heavy metal ke dalam muzik Amon Amarth. Dan ianya menjadi salah satu lagu kegemaran saya untuk tahun 2022.

The Great Heathen Army adalah salah satu dari pilihan saya untuk album pilihan 2022.


Tuesday, February 7, 2023

True North

 Album pilihan 2022

A-Ha - True North (2022)

A-Ha adalah kenangan zaman sekolah. Kali terakhirnya yang betul-betul menghayati album mereka adalah Scoundrel Days (1986). Mereka adalah band pop terakhir yang saya suka sebelum mula terjebak menjadi mat rock.

Tidak mengambil tahu tentang album-album mereka selepas dari tu. Kali terakhir membeli cd mereka adalah album kompilasi Headlines and Deadlines: The Hits of A-ha (1991)

Semakin meningkat usia, semakin banyak kita bernostalgia. Berita tentang album baru mereka di Facebook dan ditambah pula "rachun" dari seorang kenalan di Facebook yang berkongsi gambar beliau membeli piring hitam album baru tersebut membuatkan tiba-tiba timbul rasa minat untuk membelinya.

Selain dari itu, tajuk albumnya juga membuatkan sedikit rasa teruja. Maklumlah tajuk "True North" itu seolah-olah seperti tajuk sebuah album black metal. Maklumlah, A-ha juga berasal dari Norway. Sebenarnya...mereka adalah the true Norwegian black metal….hahaha...

Atas sebab nostalgia, saya cuba juga menghayati lagu-lagunya walaupun muzik pop sebegini bukan lagi makanan minda untuk saya. Awalnya agak susah juga. Majoriti lagu-lagunya agak "mellow" dan agak meletihkan (zzzzzzzzzzzzzzzzzz). Hampir tiada lagu yang mengenengahkan gitar berdistorsi dari Paul Waaktaar seperti di album-album awal. Maklumlah saya adalah seorang yang agak sukar untuk menghayati lagu-lagu yang agak meleweh

Tetapi setelah beberapa kali percubaan, terutamanya ketika perjalanan berkereta menempuh jalan jem di dalam suasana hujan yang lebat. Akhirnya ada juga lagu-lagunya menusuk jiwa. Mungkin aura cuaca sejuk ala-ala di Noway (hahaha) pada ketika itu menyebabkan otak lebih mudah untuk menerima. Melodinya sedap tetapi temponya agak perlahan. Mungkin seiring dengan peningkatan usia. namun begitu Vokal Morten Harket masih tetap seperti dulu.


Friday, February 3, 2023

The Gang's All Here

Album pilihan 2022

Skid Row - The Gang's All Here (2022)

Dah lama tak ambil tahu perihal Skid Row. Kali terakhir membeli produk album baru dari mereka adalah "Thickskin (2003)". Tanpa Sebastian Bach dan arah tuju muzik mereka yang berlainan membuatkan jadi kurang berminat untuk terus mengikuti album yang seterusnya. 

Desas desus di media sosial yang mengatakan album terbaru mereka telah kembali kepada muzik Skid Row yang asal menyebabkan sedikit rasa teruja untuk mendengarnya. Dan ternyata ianya memang betul.

Scott "Snake" Sabo, Scotti Hill dan Rachel Bolan akhirnya kembali memberikan senyuman kepada peminat asal mereka. "The Gang's All Here" sememangnya membawa kita kembali ke era tersebut. Mendengarnya secara "back to back" bersama "Skid Row (1989)" dan "Slave to the Grind (1991)" seolah-olah ianya dalam satu jangka masa yang sama.

Membawa masuk Erik Grönwall di posisi vokal ternyata satu keputusan yang tepat. Kehebatan vokal beliau yang ada masanya mirip kepada Sebastian Bach ternyata mengembalikan aura Skid Row yang asal.

The Gang's All Here adalah salah satu dari album pilihan Top 10 untuk tahun 2022 saya...


Friday, December 30, 2022

14 years and a happy new year

 It's been 14 years of pain...

It's been 14 years that are gone forever and I'll never have again...

Diam tak diam dah 14 tahun berblog. Kalau orang dah masuk umur awal remaja. Dari list blog kawan-kawan kat sebelah kanan itu pun tinggal berberapa kerat sahaja yang masih aktif.

Blogspot bukan lagi satu trend. Kalau dulu senang-senang view boleh mencecah ratusan. Tetapi sekarang nak dapat 30 pun makan masa berbulan-bulan…haha... 

Tapi tak kisah lah. Ini blog syiok sendiri. Hingga kini, belum ada rasa nak berhenti. Selagi ada semangat dan bahan untuk ditulis rasanya akan terus menulis. Sekurang-kurangnya ada bahan duniawi untuk dikenang...

Cheers to 14 years and forever more....Selamat tahun baru!


Saturday, December 3, 2022

Brotherhood

Lagi antara album terkini terbitan 2022...

Sinner - Brotherhood (2022)

Antara band 80an yang kurang dikenali. Saya sendiri hanya mengetahui tentang mereka apabila lagu mereka, "The Storm Broke Loose" dari album "Touch of Sin (1985)" diciplak ke dalam bahasa melayu menjadi "Memori" oleh kumpulan Rockers.

Mereka adalah diantara band-band heavy metal Jerman yang kurang berjaya di arena antarabangsa. Namun begitu mereka tetap aktif hingga kini. Kali terakhir mendengar album penuh mereka adalah "Dangerous Charm (1987)".  Selepas dari itu sememangnya tidak mengambil tahu sehinggalah gatal tangan mencuba dengar album terbaru ini di Spotify dan tak pasal-pasal terus jadi minat dan "terbeli" pula cdnya.


Tidak pasti sejauh mana mereka telah berubah. Tetapi Brotherhood mengembalikan ingatan saya kepada zaman awal mereka sebelum berubah menjadi lebih komersial, glam dan sedikit AOR di penghujung 80an. Ianya adalah melodic heavy metal dengan rif-rif yang catchy. Adakalanya menyeberangi sempadan power metal ala-ala Helloween. Ianya bukanlah sesuatu yang asing kerana Matt Sinner selain menjadi tulang belakang Sinner, beliau juga adalah pengasas bersama dan masih aktif untuk kumpulan power metal Primal Fear

Secara keseluruhannya ia adalah sebuah album melodic heavy metal yang sangat bagus. Rekomended untuk yang gemar muzik sebegini. Sudah semestinya antara album yang menjadi kegemaran untuk tahun 2022.



Saturday, November 26, 2022

Patient Number 9

 Lagi calon album pilihan untuk tahun 2022...


Ozzy Osbourne - Patient Number 9

Ingatkan Ordinary Man pada tahun 2020 adalah album terakhir dari beliau. Memandangkan usia dan keadaan kesihatan beliau, Tak sangka pula tahun ini ada lagi yang terbaru.

Tambah menarik ianya lebih bagus dari Ordinary Man. Bagus bagi saya bukanlah hanya dari segi kesedapan melodi lagu-lagunya tetapi juga susunan muziknya. Mungkin juga atas faktor kembalinya Zakk Wylde yang sudah serasi dengan beliau atau berkemungkinan juga kerana nama-nama besar yang menjadi gitaris undangan.


Sebenarnya nama-nama besar digunakan sebagai pemuzik undangan adalah perkara biasa untuk album-album Ozzy. Contohnya untuk album ini ada Robert Trujillo dan Duff McKagan di posisi bass manakala Chad Smith dan Taylor Hawkins di drums. Tetapi yang menjadi lebih menarik adalah barisan gitaris undangannya. Selain Zakk Wylde dan Andrew Watt (penerbit dan pemain gitar untuk album Ordinary Man), album ini juga menampilkan lagenda gitaris seperti Jeff Beck, Tony Iommi, Eric Clapton dan tak ketinggalan juga Mike McCready dari Pearl Jam

Lagu-lagu yang menampilkan Jeff Beck dan Eric Clapton adalah pilihan saya dari album ini. Lagu-lagu lain pun sedap, tetapi lagu-lagu yang menampilkan mereka berdua lebih mudah melekat di dalam kepala.

Tak ada apa lagi yang nak diharapkan dari Ozzy. Dia selamanya adalah lejen. Setiap album atau lagu baru dari beliau adalah bonus. Tabik hormat kerana beliau masih terus berkarya. Salut!


Friday, November 18, 2022

The God Machine

 Lagi album terkini terbitan 2022...

Blind Guardian - The God Machine (2022)

Dah lama tak membeli album mereka secara fizikal. Kali terakhinya adalah "Nightfall in Middle-Earth (1998)". Dan yang terakhir mendengarnya secara betul melalui versi MP3 adalah "A Night at the Opera (2002)"

Perubahan selera dan rasa tepu dengan genre power metal menyebabkan kurang mengambil tahu tentang album-album mereka yang seterusnya. Tetapi entah mengapa dalam beberapa tahun kebelakangan rasa seronok pula untuk kembali mendengar genre sebegini. Hasilnya "ter"beli pula album terbaru dari Blind Guradian.

Mendengar album terbaru ini saya rasakan yang muzik mereka masih sama seperti dulu. Seperti kebanyakan band-band besar yang lainnya, tiada apa lagi yang mereka perlu buktikan. Zaman untuk bereksperiman dan berevolusi telah pun mereka tinggalkan. Kini mereka hanya menjadi Blind Guardian seperti mana yang majoriti peminat mahukan.

Ianya adalah apa yang kita fikirkan tentang Blind Guardian. Produksi sound, melodi, kerja gitar dan vokal Hansi Kürsch yang masih hebat. Ada momen yang menarik dan ada masanya saya hilang. Ada lagu yang sedap dan ada juga yang kurang menangkap

Secara keseluruhannya bagus, tetapi tidak cukup untuk membuat saya benar-benar teruja.