Showing posts with label 2003. Show all posts
Showing posts with label 2003. Show all posts

Sunday, September 10, 2023

Dance of Death

Yang menyambut ulang tahun ke 20 pada 8hb Sept yang lalu...

Iron Maiden - Dance of Death (2003)

Pernah menulis tentangnya 9 tahun yang lalu >SINI<

Selepas 9 tahun, perasaan saya terhadap album ini tidak banyak berubah. Lagu-lagunya memang tidak dinafikan sedap. Dan sama seperti dulu, saya hilang tumpuan di pertengahan. Terutamanya untuk lagu-lagu yang berdurasi panjang. Semakin berusia semakin sukar untuk menumpukan perhatian.

Macam tak percaya yang ianya dah pun 20 tahun. Bagi generasi seperti saya yang mendengar mereka dari tahun 80an, album-album sebegini akan tetap di anggap sebagai album baru. Pekat betul memori album-album awal. Maklumlah ianya zaman remaja kami. Mana-mana album dari zaman tersebut memang kuat nostalgianya. Memang susah nak "move on"...

Cuma apa yang berbezanya berbanding 9 tahun yang lalu, dulu cuma sekadar ada cd. Tetapi semenjak 2,3 tahun yang lalu ianya dah bertambah kepada lp. Penyakit yang semakin tua semakin sukar untuk dibendung...hahaha...


Monday, June 27, 2022

Rabbit Don't Come Easy

9 tahun dulu pernah buat cerita tentang album ini. Tetapi pada ketika itu sekadar mempunyai versi kaset...

Helloween - Rabbit Don't Come Easy (2003)

Tak ingat bila cdnya dibeli. Tetapi seperti kebanyakan cd-cd lain, ianya bertahun terperuk dalam rak dan ntah bila akan dimainkan. Tetapi apabila diarahkan bekerja dari rumah (angkara covid-19), agak banyak masa juga untuk cd-cd tersebut diputarkan sebagai muzik latarbelakang sambil bekerja.

Sedikit trivia yang di "google"… album ini adalah penampilan pertama Sascha Gerstner selepas Roland Grapow keluar dari Helloween. Ianya juga penampilan pertama Mikkey Dee dengan genre sebegini setelah kali terakhirnya bersama King Diamond untuk album Conspiracy (1989).


Saya tidak mempunyai banyak kenangan dengan album ini. Semenjak "The Dark Ride (2000)", saya secara tiba-tibanya menjadi kemaruk dengan genre power metal. Tetapi menjelang tahun album ini diterbitkan, saya mula menjadi tepu atau "burn out" dengan muzik sebegini. Namun begitu kasetnya tetap dibeli tetapi hanya mendengarnya sambil lalu.


Mendengarnya semula selepas 9 tahun. Rasanya tak ada banyak yang berubah. Ianya adalah apa yang kita mahukan dari band yang bernama Helloween. 4 track awalnya sememangnya cemerlang. Tetapi grafnya agak menurun selepas dari itu. Memerlukan sedikit masa untuk lebih hadam. Tetapi yang pastinya, Andy Deris telah mengukuhkan namanya sebagai vokalis Helloween. 

Kalau 9 tahun yang lalu pertanyaannya adakah patut saya mendapatkannya dalam bentuk cd… tetapi untuk kali ini patutkah pula membelinya dalam bentuk lp?....😅 


Monday, August 16, 2021

St. Anger

Pendegaran rawak WFH...

Metallica - St. Anger (2003)

Hasil perbincangan dengan rakan-rakan whatsapp group blogger beberapa hari yang...saya cuba untuk kembali mendengar St. Anger (Maaf saya tidak mempunya apa-apa versi asli untuk album ini. Saya pun dah lupa dari mana saya dapat versi "Jack Sparrow" seperti gambar di atas)

Saya berhenti selepas hampir 3 suku album ini di dengar. Tak boleh hadam. Lagu-lagunya seperti tajuk album memang marah-marah. Bob Rock mentang-mentanglah dia yang bermain bass bunyi bass memang meletup. Bunyi drum Lars memang sangat "annoying". Tong drum mana la dia ketuk. Hampeh betul...

Saya rasa album ini gagal kerana tiadanya lagu pop untuk generasi Black album suka. Dan ianya juga gagal untuk menarik minat orang tua lama kerana lagu-lagunya dah berbumyi seperti Nu Metal atau Alternative Metal yang sememangnya golongan lama ini tak akan suka.

Antara album yang tak akan masuk dalam koleksi...


P/S - Yang paling untung dalam album ini sudah semestinya Kirk Hammett. Senang kerja dia makan gaji buta tak payah pikir pasal solo...ktang ktang ktang...err silap...kah kah kah...



Thursday, March 30, 2017

Fenomena Made In USA

Antara isu terhangat dikalangan rakan-rakan collectors cd di FB sepanjang minggu lalu....


Search - Fenomena Limited Edition Made in USA (2017)

Walaupun kurang berminat, tetapi album ini tetap ada kenangannya. Penantian menunggu album baru Search selepas album Mentari Merah memang terasa sangat lama. Zaman tiada internet untuk mencari info, maka terpaksalah berulang alik ke kedai kaset hampir setiap minggu. Sayangnya yang ada hanyalah kaset Di Pintu Sepi dan Berpaling. Kes mahkamah antara mereka dan Polygram menyebabkan ianya asyik tertunda.

Bila akhirnya ianya diterbitkan, saya sudah hilang keterujaan. Tahun 1989 adalah tahun saya mula kemaruk dengan irama thrash. Muzik hard rock Search bukan lagi menjadi pujaan. Di tambah pula dengan keluarnya Hillary. Namun begitu kasetnya tetap juga di beli. Kid dari Gersang pada zaman itu adalah sebuah band seperti kata Deaf, untuk akak-akak lipat kain. Haha...


Bila dapat berita yang ianya akan dikeluarkan semula, rasa teringin pula untuk membeli. Lama betul tak mendengarnya secara album penuh. Mungkin dah lebih dari 20 tahun. Dulu masa keluar versi 2003 pun tak rasa berminat untuk beli. Dah tua-tua semakin bertambah usia ni terasa ingin pula mendengarnya semula.

Ok cukup cerita perihal sejarah. Tujuan entri ini adalah untuk membuat perbandingan di antara versi Made In USA ini dengan versi 2003. Saya tiada versi 1990 Japanese Press (cd warna silver) atau versi tempatan ( cd warna unggu) untuk di buat perbandingan. Tetapi menurut rakan-rakan yang mempunyai kedua-dua cd tersebut. Cd Made in USA ini bolehlah dikatakan replika kepada cd warna unggu. Susunan tracknya pun sama. Yang warna silver ada 12 track. Lagu Pawana dan Songsang dipisahkan manakala cd warna unggu lagu Pawana dan Songsang bersambung dalam satu track menjadikannya 11 tracks. Sama kes dengan cd Made In USA yang juga mempunyai 11 tracks


Sebab itu ada dakwaan di FB yang mengatakan yang versi 2017 ini tidak melalu proses remaster. Ianya hanyalah sekadar salinan dari versi unggu 1990. Jujurnya saya tak pasti. Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak mempunya cd 1990. Tetapi berdasarkan tulisan di bawah cd yang tertulis “Music Makers”. Ianya memang meragukan. Betullah ianya di cetak di USA. Tetapi kalau anda rajin mengoogle pastinya anda tahu bagaimana “Music Makers” beroperasi. Mungkin juga Made in USA ini hanyalah sekadar gimmick untuk menjustifikasikan harganya yang seolah-olah rakaman album baru.

Berbalik kepada cd versi 2003. (Baru beli dengan harga RM25 semata-mata untuk entri ini) Minta maaf lah jika saya tidak memiliki kelulusan Sound Engineering seperti yang Nasir Search sarankan sebelum boleh memberikan komen.  Tetapi kalau ikutkan telinga dan sound system cap ayam saya, sememangnya sound versi 2003 adalah jauh lebih baik dari versi 2017. Bunyinya crystal clear. Memang dah upgrade. Sound gitarnya jelas dan mantap. Berdentum! Terutamanya 3 lagu yang ditouch-up semula oleh Nordin dan Kid. Memang tip-top. Manakala versi 2017 pula agak mendap. Tenggelam. Kena naikkan volume untuk lebih kepuasan. Bunyi gitar juga agak tenggelam. Memang tabik hasil kerja terbaik Eddrie Hashim untuk versi 2003. Tak payah pergi USA pun (heheh…)

versi 2003
Tetapi disebabkan versi 2017 telah di “approved” kan oleh anggota Search sendiri. Saya bersangka baik. Mungkin mereka mahukan sound asal tahun 80an. Sebab itu soundnya begitu. Tetapi kalau untuk sound sebegitu, rasanya tak perlulah kot proses 24 bits remastering di studio canggih di USA seperti yang di iklankan. Boleh sahaja di buat di sini dan dapat pula harga yang lebih murah. Mungkin juga anggota Search sendiri pun tak pernah ada cd 2003 ni….apatah lagi cd versi 1990 untuk perbandingan.

Perlu di ingat, entri itu bukanlah bertujuan untuk menghentam. Ianya sekadar teguran semoga pihak pengeluar lebih jujur dalam menghasilkan produk-produk yang berikutnya. Jadikanlah juga cd Hukum Karma Gold Edition sebagai pengajaran. Semoga keluaran selepas ini lebih berkualiti. Kesian juga dengan rakan-rakan peniaga yang turut merasa tempiasnya.


Tetapi bukanlah semuanya tak baik. Inlay dan cover cdnya bagus. Berkualiti dan Cantik. Puas hati walaupun ianya taklah sama dengan kaset yang asal. Bab ni memang patut di puji. Sememang patutnya cd-cd reissue mempunyai inlay berkualiti sebegini. Ini adalah antara sebab kenapa cd versi 2017 ini patut juga dimiliki.

Secara keseluruhannya boleh lah saya katakan begini…

Sound = Versi 2003 > Versi 2017
Inlay = Versi 2017 > Versi 2003

Tetapi sebagai peminat sejati dan para collectors…tak kira apa pressing pun…sedap tak sedap…beli tetap beli…kalau tak…tak kan lah khabarnya dah sold out dah versi 2017 ni…

Akhir kata…maaf la jika ada yang tersinggung…saya hanya seorang peminat biasa yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan pun. Yang habis duit pun saya jugak….kan.


p/s: Untuk Tuan Doktar Rizal Azuar, kalau dapat pergi USA dengan Search tu…kirim-kirim la fridge magnet barang seketul dua walaupun balik nanti kena jalan kaki…heheh…






Friday, January 3, 2014

Dance of Death

Memulakan cerita pasal cd di tahun baru dengan cerita Iron Maiden....sudah semestinya la kan....
Sepatutnya di tulis pada tahun lepas sempena menyambut ulangtahunnya yang ke 10.


Iron Maiden - Dance of Death (2003)

Awalnya tak berapa gemar dengan album ini. Tambahan pula covernya tidak menarik. Pada saya ini adalah cover album mereka yang paling buruk. Pertama kali ternampaknya di rak cd memang tiada nafsu untuk membelinya. Tambahan pula pada ketika itu (awal tahun-tahun 2000) saya baru kembali mendengar semula muzik rock dan metal selepas kononnya nak pencen bila berkahwin dan mempunyai cahaya mata.

Memang terasa kelainan pada awalnya. Lagu-lagunya agak panjang yang kebanyakannya lebih dari 6 minit. Lebih progressif. Biasanya mereka cuma ada 1 atau 2 lagu yang begitu. Saya sememangnya agak sukar untuk hadam lagu-lagu yang progessif. Terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk menerimanya. Lebih pelik bila adanya lagu seperti Journeyman. Tak pernah terpikir mereka akan bermain akustik dengan iringan keyboards. Suatu benda yang tak rock langsung ketika saya remaja di tahun-tahun 80an dulu. Makin aneh bila Iron Maiden pula yang memainkannya. Siapa kata Iron Maiden tidak pernah berubah.


Tetapi sebenarnya lagu-lagu progresif seperti Paschendale, Dance of Death, Face in the Sand dan Journeyman itulah yang menarik. Semakin lama mendengarnya semakin sedap (grower). Manakala untuk lagu-lagu yang pendek memang saya tiada masalah untuk menyukainya. Sayangnya tiada lagu yang betul-betul dapat mencabar lagu-lagu di era 80an mereka kecuali pada saya Montségur. Lain-lain mungkin Wildest Dreams dan Rainmaker. Manakala percubaan pertama Nicko McBrain mencipta lagu (New Frontier) sekadar ok-ok sahaja lah.

Di pendekkan cerita Dance of Death sama seperti The Final Frontier, memerlukan masa. Di era 6 orang anggota ini saya tetap memilih Brave New World dan A Matter of Life and Death sebagai album terbaik mereka. Walaupun begitu album ini memang wajib dibeli. Ini Iron Maiden la beb...tak rock la kalau tak ada....







Wednesday, November 6, 2013

Rabbit Don't Come Easy

Kaset yang dah 10 tahun...


Helloween - Rabbit Don't Come Easy (2003)

Saya adalah peminat Helloweeen. Tetapi minat saya pada mereka pudar selepas era album Chameleon. Bukannya kerana Andi Deris tetapi mungkin secara kebetulannya minat saya untuk mendengar metal menurun pada pertengahan tahun-tahun 90an. Kononnya nak pencen selepas menamatkan zaman bujang.

Walaupun begitu saya tetap membeli kaset-kaset mereka di zaman tersebut walaupun tidak mendengarnya secara bersungguh-sungguh. Tetapi semuanya berubah bila pertama kali saya mendengar Rhapsody "Dawn Of Victory". Kerananya minat saya terhadap metal terutamanya power metal kembali meluap-luap. Saya kembali mendengar Helloween. "The Dark Ride" menjadi kegemaran saya. Tetapi menjelang tahun 2003 kepala saya menjadi tepu kerana terlampau banyak sangat mendengar genre sebegini. Gamma Ray,Blind Guardian,Stratovarius,Sonata Arctica,Angra,Hammerfall,Edguy,Avantasia dan bermacam-macam lagi yang saya rasakan kadang-kadang bunyi mereka terlampau sama sehingga saya merasa tersangat jemu. Saya perlukan kelainan.

Ketika itu saya back to basic, kembali mendengar album-album rock dan metal 80an. Power metal saya tinggalkan sehinggakan walaupun saya membeli kaset ini tetapi saya tidak mendengarnya secara serius. Kalau di tanya apakah lagu yang best dari album ini memang sah saya tidak boleh menjawapnya.


Tetapi 2,3 tahun kebelakangan ini saya kembali mendengar Helloween terutamanya selepas saya cuba untuk meng"upgrade" koleksi kaset-kaset mereka kepada cd. Sayangnya saya masih belum berpeluang untuk memiliki cd album ini. Makanya agak sukar untuk saya menulis tentang lagu-lagu dari album ini kerana saya tidak mempunyai kaset player. Hasil dari pendengaran saya di youtube maka apa yang dapat saya rumuskan adalah seperti berikut.

- Walaupun Sascha Gerstner adalah gitaris baru, Helloween tetap berbunyi Helloween. Malah sound album ini seolah-olah mereka cuba untuk kembali ke zaman lampau.

- Arah muziknya berbeza dari The Dark Ride yang serius dan gelap. Saya terbaca yang Michael Weikath mahukan Helloween yang lama. Lagu-lagu yang happy. Nampaknya beliau berjaya.

- Andy Deris menyakinkan saya yang beliau sememangnya layak untuk bersama Helloween. Semenjak The Dark Ride saya mula menerima yang beliau adalah suara Helloween.

- Lagu-lagunya agak melodic. Tetapi ada juga yang perlukan masa. "Nothing To Say" adalah sesuatu yang berlainan. Ada rentak reggae. Tetapi yang paling menarik pada saya adalah "Just a Little Sign" , "The Tune" dan "Hell Was Made In Heaven". Lagu-lagu bergenre power metal begini sememangnya trademark Helloween. Sayangnya lagu perlahan "Don't Stop Being Crazy" pada saya hanya sekadar filler. Ini lagu slow Helloween yang paling tak best pada saya.

- Bonusnya, drum dimainkan oleh Mikkey Dee. Ia mengingatkan saya kepada zaman beliau bersama King Diamond.

Ianya masih Helloween. Mungkin patut juga saya meng"upgrade"kannya kepada cd. Tengoklah...kalau ada rezeki.





Monday, October 14, 2013

Thickskin

Diam tak diam dah 10 tahun..


Skid Row - Thickskin (2003)

Menukar vokalis tidak seperti menukar gitaris. Impaknya memang berbeza. Tambahan pula bagi band yang sudah ada nama. Lagi parah bila mereka mengubah arah tuju muzik mereka. Thickskin mengingatkan saya kepada album Motley Crue 1994. Menunggu lama akhirnya rasa kecewa.

Thickskin bukanlah Skid Row yang kita kenali semasa era album Skid Row (1989), Slave to the Grind (1991) atau Subhuman Race (1995). Graf peningkatan semakin heavy setiap album terbantut dengan Thickskin. Kali ini mereka benar-benar kedengaran seperti modern rock. Banyak lagu-lagu yang terutamanya mid tempo mengingatkan saya kepada band2 modern rock awal 2000 seperi Creed, Staind, Nickelback, Matchbox 20, Three-Doors-Down dan lain lain yang seangkatan dengannya.

Bukanlah nak kata lagu-lagunya tak sedap. Lagu-lagunya bagus. Tulang belakang Skid Row yang menghasilkan lagu-lagu klasik Skid Row seperti Rachel Bolan dan Dave "The Snake" Sabo masih ada. Mereka masih berkemampuan menghasilkan lagu-lagu yang melodic dan sedap. Solo gitar Scotti Hill pun masih ada walaupun kurang menyengat. Tetapi menukar hala tuju muzik secara mendadak hanya kerana untuk kekal relevan adalah sesuatu yang tak dapat di terima oleh majoriti peminat mereka termasuk lah saya.

Hasilnya Skid Row terperangkap di tengah-tengah. Tidak dipedulikan oleh generasi muda kerana dikaitkan dengan glam metal dan dipinggirkan oleh generasi lama kerana telah berubah arah. Sayang sungguh. Kerana album ini memang bagus sebenarnya. Kalau betul promosinya, ia boleh pergi jauh. Sememangnya ianya jauh lebih bagus dari mana-mana album band modern rock ketika itu.


Bayangan Sebastian Bach memang tak dapat dihilangkan. Tak pasti kenapa mereka merakamkan kembali lagu "I Remember You" dalam versi laju ala Punk. Johnny Solinger bukanlah lawan Sebastian Bach. Jauh....Dan saya kecewa tiadanya solo feeling mendayu Scotti Hill dalam lagu tersebut.

Banyak juga lagu yang sedap. Terutamanya lagu-lagu mid tempo seperti "Ghost", "Born a Beggar" dan "See You Around". Lagu-lagu begini mengingatkan saya kepada Creed dan band-band modern rock yang lainnya. Satu-satunya lagu yang betul-betul perlahan adalah "One Light". Bayangkan jika Sebastian Bach yang menyanyikannya. Pasti lebih sedap. Manakala yang heavy saya lebih tertarik dengan lagu "Thick Is the Skin". Sound dan riff berat metal alaf baru.

Kesimpulannya Thickskin adalah sebuah album modern rock yang cemerlang. Memang bagus dan sedap. Tetapi jika anda mengharapkan ianya sebuah album Skid Row era Sebastian Bach, anda seperti juga saya...akan merasa kecewa.




Thursday, December 6, 2012

G@me

Khas untuk En. Portdy



G@me (2003)

Ini filem Jepun yang saya tertengok secara tak sengaja. Terjumpanya ketika mengodek aplikasi youtube di Andoid Tab cap ayam anak bongsu saya. Cadangnya mencari filem Usagi Drop yang disebut oleh En Portdy.

Saya bukanlah pakar cerita Jepun. Sememangnya saya tak pernah tau keujudan filem ini dan tak pernah kenal siapa pun pelakonnya. Tapi cerita ini benar2 berjaya menarik perhatian saya. Kalau anda pengemar cerita yang banyak twist and turn, G@me adalah filem untuk anda.

Cerita bergenre thriller/romance ini pada awalnya agak biasa2 sahaja. Kisah penculik dan yang diculik berpakat demi wang dan dendam. Tetapi pada 40-30 minit terakhirnya ianya menjadi semakin menarik kerana di situlah  bermulanya twist2 yang diluar jangkaan.

Lakonan mantap Naohito Fujiki dan Yukie Nakama (sumpah saya tak kenal siapa mereka ini) sememangnya banyak membantu. Dan sebagai lelaki yang normal, sudah semestinya selepas ini saya akan mencari cerita2 lain lakonan Yukie Nakama pula...heheh...

Rekomended!