Followers

Showing posts with label INSAF. Show all posts
Showing posts with label INSAF. Show all posts

Sunday, May 6, 2012

IN MEMORY OF ALLAHYARHAM HAJI ASHAARY BIN CHIK

Sumpah.

Saya bagaikan tidak percaya. Apa yang terjadi berlaku dengan pantas dan hanya dengan sekelip mata sahaja. Bagaikan halilintar membelah bumi ketika mendengar berita ini,namun saya harus redha.saya terima berita pemergian Ayah saya mengadap illahi buat selama-lamanya sewaktu berada di Korea pada hari pertama tiba di sana (3 Mei 2012)

Pagi itu saya tiba di Incheon Airport pada jam 6am, sempat melawat istana Gyeongbuk, dataran Gwanghwamun dan juga sungai yang jernih di bandar Seoul, Korea iaitu sungai Cheonggyecheon. Di Tourist information center saya mendapat berita kurang menyenangkan di Facebook apabila adik memberi private mesej memberitahu bahawa ayah sudah tidak sedarkan diri..Hati sudah mula menggelisah dan apabila pulang semula ke Namsan Guest House di area Myeong Dong, semua itu telah tersurat..Kak Tie dapat dihubungi dan menggeletar seluruh badan apabila kak tie memberitahu saya ayah sudah pergi meninggalkan kami semua buat selama-lamanya.

Innalillahiwainnailaihirojiun..

Terpana.
Tergamam.
Bungkam.

Namun tiada apa-apa yang dapat saya lakukan pada ketika itu..Air mata mengalir membasahi pipi..dan saya hanya mampu sedekahkan Al-Fatihah pada arwah ayah dan terus berkemas barang untuk menuju ke Lapangan Terbang Incheon..Terima kasih pada pihak pengurusan Namsan Guest House yang telah membantu memberikan telefon peribadinya untuk saya membuat panggilan ke Malaysia bagi mengetahui hal sebenar..dan terima kasih jua kerana mengaturkan tiket penerbangan balik dengan air-asia X..Wang ringit bukan soalnya sekarang..berapa harga tiket pun pasti akan saya beli..kerana fikiran ketika ini hanya ingin berada di kampung halaman secepat mungkin..Terima kasih pada travel partner yang lain seramai 7 orang yang menghantar saya menunggu bas 6015 ke Incheon Airport.maaf kerana mengganggu plan korang semua. Semoga selamat pulang nanti.oh, tak lupa juga kepada semua rakan rakan yang lain yang bertungkus lumus untuk menghubungi saya (Encik sepul, Nikli Nodin, Faiz, Nita, Che Burn, Che Qis,Bozzo, Diyana, arina, dan beberapa nama yang lain lagi.).Pertolongan kalian dalam membantu saya di detik terakhir bersama ayah ini sangat saya hargai.

Saya menanti penerbangan paling cepat dari Incheon Airport ke LCCT Kuala Lumpur pada jam 12am.buntu.helpless.hanya mampu berdoa agar Allah tempatkan roh ayah saya dikalangan orang yang beriman dan beramal soleh..Semoga Allah memudahkan perjalanan saya balik, dan paling menyedihkan memang saya tak akan sempat untuk menatap wajah ayah saya buat kali terakhir kerana akan dikebumikan malam ini juga..Hanya memori dan doa menjadi ingatan.Al-Fatihah.sepanjang penerbangan saya tak lupa sedekahkan bacaan yassin dan baaan ayat suci alquran yang lain..Moga moga senuanya dipermudahkan buat arwah ayah.

Sehari sebelum pemergian Ayah, saya sempat meluangkan masa untuk bersarapan pagi bersama sama dengan ayah..Ayah makan banyak pagi itu.Nasi Kerabu yang di beli di Kampung Bharu habis di makannya seorang..Kemudian usai makan pagi, saya, mak dan ami ke Nilai untuk ambil Faiz yang telah tamat asasi sainsnya di USIM..kembali dari Nilai, sekali lagi kami sempat makan tengahari bersama-sama dengan ayah.sungguh aku tak sangka itu lah kali terakhir aku akan sempat untuk makan sama-sama dengan ayah..Sebelum kak Tie hantar aku ke LCCT pada jam 8pm, aku bersalam dengan ayah..segalanya adalah seperti biasa.tiada tanda tanda yang pelik berlaku..Dan itu lah kali terakhir aku cium tangan ayah, dan itu juga merupakan kali terakhir aku lihat wajah ayah..

Segala apa yang terjadi adalah ketentuan dari Allah.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Katakanlah sesungguhnya kematian yang kamu semua melarikan diri darinya itu, pasti akan menemui kamu, kemudian kamu semua akan dikembalikan ke zat yang Maha Mengetahui segala yang ghaib serta yang nyata.”

(Surah Jum’ah ayat 8 )

Saya Redha atas apa yang terjadi..Mati itu pasti..dan tiada siapa pun yang dapat melarikan diri daripadanya.Sejak dari azali lagi sebenarnya sudah tertulis bila ajal kita..semua itu kemas berada dalam perancangan Allah..Sebagai Hamba yang begitu Dhaif dan lemah, siapalah kita untuk mempertikaikan pekerjaan Allah?apa yang Allah buat semuanya bersebab dan penuh hikmah.maka saya percaya ketentuan dari Allah jua lah yang terbaik. kita wajib percaya pada qada' dan Qadar..Ujian dari Allah wujud kerana Dia ingin menguji sejauh mana kita akan berbalik kepada-Nya dan bersabar atas musibah yang menimpa.

Jika ingin di gali semula, banyak hikmah yang terbentang depan mata.siapa yang tidak sedih bila Ayah yang selama ini menjadi tunggak kepada keluarga kami pergi buat selama-lamanya..perasaan sedih itu pasti akan ada.tapi saya percaya, itu yang terbaik buat ayah dan juga buat kami semua.dan syukur Alhamdulillah ayah meninggal dalam keadaan yang sangat tenang, tanpa ada sebarang kesakitan terpancar..dan perjalanan ayah meninggal sehingga di kebumikan amat lah lancar sekali dan penuh penghormatan..dalam hati saya terdetik bahawa perjalanan ayah meninggal sehingga dia di kebumikan itu lah menggambarkan siapa arwah ayah yang sebenarnya.Seorang yang warak dan kuat berpegang pada agama, tegas dan garang dalam membentuk keluarga, penyayang dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa, baik dengan semua orang, khusyuk dalam setiap pekerjaan yang dibuat dan pelbaai lagi kualiti menarik yang ada pada arwah ayah.Memang idola saya dari dulu kini dan selamanya.

Kenangan bersama arwah ayah pasti akan sentiasa kekal bersemadi di hati kami semua..Jujur saya katakan sampai saat ini, saya terasa seperti ayah masih ada dengan kami semua..seolah olah dia tidak pernah meninggalkan kami semua.Semadilah ayah dengan tenang di sana..Segala jasa bakti ayah akan kami kenang selama lamanya.

Sesungguhnya ayah adalah insan terbaik buat kami, Segala pengorbanan dan jasa ayah pd kami, hanya Allah sahaja yg mampu membalasnya.kami bersyukur kerana di beri peluang oleh Allah untuk menjaga dan memberi layanan ketika ayah masih ada.Kami semua berbangga dan bersyukur sangat sangat kerana di pilih Allah Taala tuk menjadi anak kepada seorng pemimpin dan ketua yang sangat di segani dlm keluarga…Terlalu besar pengorbananmu kepada kami…

Terima kasih ayah kerana jadikan kami sperti mana kami sekarang, Terima kasih ayah kerana mengenalkan kami dengan kalam Allah Taala, Terima kasih ayah kerana mendidik kami dengan Agama Islam, Terima kasih ayah kerana mnunjukkan kami jalan kehidupan yg betul, Terima kasih ayah kerana tak pernah jemu dalam membesarkan kami adik beradik walaupun adakalanya kami banyak menyusahkan ayah.

Pemergianmu amat menyentuh hati dan jiwa kami semua kerana terlalu banyak nostalgia yang sentiasa tersemat di dalam hati dan sanubari kami…Ayah akan sentiasa kami kenang di dalam doa kami semua.Terima kasih juga buat mak yang tak pernah merasai erti penat lelah sepanjang menjaga ayah.Terima kasih buat semua adik-beradik, saudara-mara, rakan taulan dan saudara-saudara islam yang telah terlibat secara langsung atau tidak di dalam penyempurnaan perjalanan arwah ayah ini. Insya Allah, kami akan sentiasa sedekahkan ayat2 suci Al-quran buat ayah, kerna itu sajalah yang mampu kami hulurkan. 

Semoga Allah sentiasa merahmati dn memberkati ayah di sana. Ya Allah ! ampunkanlah dosa kami pada ayah, dan ampunkanlah segala dosa dosa ayah serta ringankn bebanan ayah di sana. 

Amin.

Hadis Rasulullah s.a.w :

"Apabila matinya seorang anak Adam, terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariahnya, ilmu yang dimanfaatkannya dan doa anak yang soleh kepadanya"- Hadis sahih riwayat Abu Daud


*in memory Allahyarham Ashaary bin Chik (23 Disember 1948 - 3 Mei 2012)

Friday, August 19, 2011

RENUNGAN DI HARI JUMAAT : 'MANA MAK?'

Jam 6.30 petang.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
.
Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"
.
Ateh menjawab, “Entah.”
.
Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.
.
Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.
.
Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.
.
Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombr 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.
.
Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"
Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.
.
Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.
.
Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.
.
Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.
.
Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."
.
Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.
.
Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.
.
Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.
.
Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.
.
Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.
.
Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."
.
Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.
.
Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.
.
Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.
.
Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.
.
Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "
.
Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

*Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails