Hari ni abah nak berleter lagi, bukan berleter pada orang lain, tapi pada orang yang terasa leteran ini untuk dia, dan salah seorang dari orang itu, diri abah sendiri.
Abah baru habis baca dua akhbar sekejap tadi – Mingguan Malaysia dan Borneo Post. Yang menarik perhatian abah – MM. Kenapa? Sebab banyak orang dalam MM bercakap tentang bangsa Melayu, tentang bangsa abah. Dr. Mahathir, Najib Tun Razak, Prof. Ungku Aziz, Izham Yusoff, dan ramai lagi, samada secara langsung atau tidak. Abah dah agak, bila baca pun apa yang depa kata, intipatinya tetap sama. Orang Melayu kena berubah. Mesti berubah. Bosan juga baca benda yang sama, tapi abah fikir depa itu cerita dan cakap benda yang sama bukan sebab takde benda lain nak cakap, tapi sebab orang Melayu tetap bangsa yang sama. Tidak berubah-ubah juga.
Takkan takde yang berubah kot? Ada, memang ada, tapi berapa kerat? Sedih sangat kalau nak cerita jumlahnya. Nak berubah tahap mana lagi? Pelajar terbaik SPM setakat ni, Melayu. Budak genius matematik skrg ini juga Melayu. Jutawan Internet kat Malaysia skrg ni pun Melayu. Tak cukup lagi ke? Kita sama-sama renung(dan fikir) dan sama-sama jawablah.
Kita tolak ketepi orang2 Melayu yang tak bernasib baik (penagih, pelacur, pencuri, perompak, pembunuh, etc) tu dulu. Ambil saja kita sebagai contoh, orang Melayu yang berkerjaya, dan mempunyai kelulusan akademik, walau setakat SPM. Kita selesa dengan hidup, ada kerja, ada rumah, ada kereta. Nak buat apa lagi? Hidup secara sederhana cukup lah, buat apa nak kaya sangat. Akhirat pun nak kena kejar juga.
Abah tak kata orang, abah pun berfikiran macam itu. Cukuplah apa yang ada, tak perlu nak buat lebih lebih sangat. Dan abah tahu itu silap. Sangat silap. Buat lebih lagi itu sebenarnya perlu, dan mesti. Mungkin bukan untuk diri sendiri, tapi untuk orang lain juga. Abah pendidik, dan abah sangat suka dengan kerja ini, namun abah tidak boleh anggap ini sebagai satu kerja, sebagai satu mata pencarian. Abah kena anggap ini satu kelebihan yang Allah beri untuk abah untuk buat benda yang lebih baik.
Abah memang mendidik orang, tapi abah boleh didik lebih gigih lagi. Abah juga buat kerja2 pentadbiran, dan abah boleh buat lebih baik lagi. Bukan tak boleh, cuma abah kena ubah sikit mindset abah. Anda juga. Kerja bukan sekadar kerja, tapi juga satu usaha untuk majukan diri dan agama, bangsa serta negara. Tak perlu jadi doktor, tak perlu jadi cikgu untuk berbuat sesuatu bagi majukan bangsa. Jadi jaga pun boleh, jadi kerani pun boleh, jaga kaunter pun boleh, apatah lagi jadi Manager atau CEO..
Kenapa tidak boleh layan pelanggan sebaiknya? Be the best service provider. Sambut orang dengan senyum, bukan wajah masam mencuka. Bantu pelanggan yang tidak tahu, bukan herdik atau perli orang. Kalau jual ikan dipasar, jual ikan yang segar, dan harga yang berpatutan. Orang cina boleh beri servis yang baik, kenapa kita tidak? Abah sebolehnya cuba nak belanjakan setiap ringgit dan sen duit abah membantu orang Melayu Islam. Beli barang di kedai melayu, servis kereta di bengkel Melayu, tapi kadang abah kecewa dengan orang-orang melayu ini. Anda faham2 la apa maksud abah.
Berapa ramai graduan menganggur orang melayu? Berlambak-lambak. Memang keadaan yang membuat mereka terpaksa menganggur, tapi setakat itu sajakah usahanya. Memang dalam hidup cabaran akan sentiasa ada, tapi perlukah berhenti sebab halangan itu? Susah la nak kerja, sebab aku tak reti cakap omputeh? Susah, memang susah, tapi tak boleh buat sesuatu ke? Berapa ramai abah dah jumpa budak kampung yang ulu dulunya, tapi boleh bercakap Bahasa Inggeris dengan baik. Dia telan pil ajaib ke? Tidak, depa berusaha keras untuk sampai tahap itu! Kenapa tidak kita.
Orang kita lebih suka melayan hal jiwa2. Tak salah melayan jiwa, tapi biarlah ia boleh majukan diri. Susah sikit, tak boleh buat. Ada cabaran sikit, nak berhenti. Kita lebih senang memikirkan masalah daripada memikirkan bagaimana nak menyelesaikan masalah. Asyik-asyik susah, balik-balik susah. Medic susah, Accounting susah, Law susah, semua susah. Sebab susah itulah, semua pakat2 ambik Arts, Social Science, Culture etc. Salah ke bidang-bidang itu? Tak salah, tapi berapa puluh ribu orang Arts yang kita hendak? Dan kalau betul pun nak jadi 'artists', nak jadi saintis sosial, jadilah yang bagus, yang cemerlang. Bukan setakat lulus Arts kelas dua bawah.
Abah bukan nak menghina bangsa sendiri, tapi abah fikir kita sendiri menghalang diri kita untuk jadi yang terbaik. Orang Cina Islam lagi lancar baca Al-Quran dari kita. Orang India muallaf lagi hebat ilmu Islamnya berbanding kita yang Islam sejak kecik. Itu belum cerita budak2 Cina bukan Islam yang rata-rata dapat A untuk kursus Tamadun Islam di universiti. Begitu juga dengan berlambak2 budak India dapat A kursus Perniagaan Islam. Kita???
Haha, abah..abah. Buat apa la mengepek banyak2 tentang orang melayu. Buang masa je.
Abah harap abah tak buang masa la menulis a.k.a mengepek ni. Abah kena berubah, anda juga kena berubah. Sikit-sikit pun tak apa, janji berubah. Kita tak hidup lama, tapi anak-anak kita insyaAllah akan hidup lama, dan kita tentu tak mahu anak2 melayu kita akan datang mewarisi pemikiran kita sekarang. Cakap saja tak elok juga, kena buat. Kalau anda jurutera, jadilah jurutera cemerlang. Kalau anda doktor, bantulah pesakit terbaik yang boleh. Eh, ada ke jurutera dan doktor baca blog abah ni? Hehe...
Oklah, sampai sini dulu. Nanti abah sambung lagi. Mengepek lama-lama nanti, orang bosan juga, hehe, biasa la, melayu...
Selamat Menyambut Maulidur Rasul esok. Tapi tak tahulah samada esok sekadar hari cuti saja atau hari yang beri makna, dan boleh anjakkan kita ke depan dalam mencintai Rasulullah s.a.w...Ketuk hati, beri salam, tanya iman...